Home Novel Komedi/Romantik Komedi Antara Mawar Dan Kaktus
Bab 23
BAB 23

Satu persatu kaca yang pecah cuba dicantum kembali oleh Lisa. Inilah satu-satunya kenangan yang dia ada tentang ibu dan abahnya. Hanya Si Meon, kucing peliharaannya dan pasu ini sahaja yang dapat diselamatkan selepas kebakaran berlaku dirumahnya ketika dia berusia 7 tahun yang telah meragut nyawa ibu dan adiknya.

Memori Lisa berputar. Air mata mula bertakung di birai matanya.

“Ibu!!!! Ibu!!!” Lisa meraung diluar rumah sementara api sedang lahap memakan kayu-kayu dinding rumah.

Tubuh kecilnya cuba untuk meredah masuk ke dalam api tetapi Lisa dihalang oleh jiran tetangga. Jiran-jiran dan bomba cuba untuk memadamkan api namun api itu lebih kuat mengganas memandangkan kayu rumah sudah usang dan ia umpama bahan bakar kepada api tersebut.

Setelah api padam tidak ada satu pun yang tinggal kecuali barang-barang yang ada pada dirinya. Kegembiraan minggu pertama persekolahannya di darjah satu diragut pada hari itu. Orang yang disayangi telah pergi buat selama-lamanya.

Lisa rebah di tanah. Kakinya tidak kuat untuk berdiri setelah melihat pasukan bomba mengusung satu jasad yang sudah rentung. Jasad itu memeluk erat jasad kecil yang juga turut rentung bersama. Lisa merangkak ke arah jasad ibunya yang telah diletakkan diatas pengusung oleh Pasukan Bomba...

“Ibu… Bangun ibu… Ibu……” Lisa menangis disisi ibunya.

Pasukan bomba cuba untuk menenangkan dirinya. Sayu sungguh melihat anak kecil ini meraung melepaskan hiba dihati.

“Sabar ya adik… Adik tinggal dirumah ini berapa orang?” tanya Bomba untuk mencari jika masih ada lagi mangsa yang terkorban.

“Saya tinggal dirumah ni bersama ibu dan adik kembar saya…”

“Kembar?”

“Ya, adik kembar…”

“Teruskan operasi mencari... Mungkin ada seorang lagi bayi yang menjadi mangsa,” arah bomba tersebut kepada anggota yang lain.

Lisa duduk setia disisi ibunya yang sudah ditutupi dengan plastik hitam. Baju sekolahnya yang putih bersih dijaga sebelum ini sudah mula kotor kehitaman. Tiada orang pun yang datang memeluk dan menenangkannya. Mungkinkah mereka tidak berani mendekati jasad ibunya yang sudah rentung? Tangisannya semakin menjadi-jadi.

“Adik.... Dah, jangan menangis macam ni… Tak baik. Nanti ibu sedih tengok adik meraung-raung macam ni.” Pegawai Bomba tersebut menyeka air mata yang mengalir dipipi Lisa.

Tatkala ini hatinya terasa disiat-siat, kenangan bersama ibu sebelum bertolak ke sekolah pagi tadi adalah kenangan yang terakhir buat dirinya. Tiada lagi ibu yang sudi memasakkan untuk dirinya walaupun hanya menggoreng sebiji telur. Tiada lagi… Dia kini sebatang kara. Abah juga telah pergi buat selamanya meskipun begitu pusaranya belum pernah dilawati mereka berempat dan mereka sendiri tidak tahu di mana tempatnya.

“Ya Allah…. Apa dah berlaku ni!!” jerit Puan Raudah panik sebaik sahaja tiba diperkarangan rumah Lisa. Pasangan suami isteri tersebut begitu terkejut dengan apa yang berlaku.

“Mak cik!!!” Lisa berlari menerpa ke arah wanita berkenaan. Tubuh kecilnya dipeluk erat oleh Puan Raudah.

Tangisan bayi mula kedengaran. Begitu sayu tangisan bayi kali ini. Seperti bayi kecil ini mengetahui dia telah ditinggalkan ibunya buat selama-lamanya.

“Mana ibu kamu Lisa?” tanya Encik Hamid sambil memberikan bayi yang dipegangnya kepada Puan Raudah disebelah.

Lisa menunding jarinya kearah jasad yang telah ditutup dengan plastik hitam.

“Allahhh… Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un…” Lisa dipeluk Encik Hamid. Kasihan anak kecil ini.

Mereka menapak menuju ke arah jasad Rohayu iaitu ibu Lisa. Plastik hitam diselak Encik Hamid. Pilu hatinya apabila melihat wanita yang sudah dianggap seperti adiknya itu telah rentung sambil mendakap kemas bayinya.

Anggota Bomba menghampiri Puan Raudah dan Encik Hamid.

“Maaf.... Encik dan Puan ni kenal rapat ke dengan mangsa?”

“Ya.... Kami kenal dia dan kami dah anggap dia seperti adik kami sendiri.”

“Sebelum kejadian, abang dan kakak ada menemui mangsa tak?”

“Ada... Dalam 3 jam sebelum ini. Kami datang ke rumah untuk mengambil bayi Rohayu untuk dibawa ke klinik kerana demam. Rohayu tidak larat untuk membawa anaknya sendiri ke klinik memandangkan dia perlu menjaga seorang kembar lagi. Tambahan diluar cuacanya sangat panas dan Rohayu bimbang kalau anak kembarnya yang lagi satu akan turut demam. Jadi, dia meminta pertolongan kami untuk membawa bayinya ke klinik,” jelas Puan Raudah.

Lisa kini lebih tenang setelah dipujuk oleh kedua pasangan suami isteri ini. Namun, tangisan adiknya masih belum berhenti sementara Pasukan Bomba telah memberhentikan pencarian memandangkan adik kembarnya selamat bersama Encik Hamid dan Puan Raudah.

“Adik, ini sahaja yang tinggal,” kata Anggota Bomba sambil menghulurkan pasu bunga yang sedikit pun tidah rosak disebabkan kebakaran tersebut. Cuma pasu tersebut sedikit kehitaman disebabkan berada di dalam api yang marak. Tetapi apabila ia dilap, ia pasti berkilat kembali dan akan memancarkan kejernihan kaca biru muda tersebut.

“Meh aku tolong kau Lisa,” kata Huda sambil bersila berhadapan dengan Lisa.

Lisa terkejut dari lamunannya. Air matanya di sapu perlahan.

“Kau menangis Lisa?” Huda berasa bersalah.

“Tak adalah…” Lisa masih lagi menyeka air matanya.

“Maaflah Lisa. Aku tak sengaja… Aku tahu kau sayangkan sangat pasu ni…”

“Ia... Aku faham… Bukan salah engkau pun… Salah pencuri tu. Tak ada apalah… Kan boleh cantum balik ni,” kata Lisa menyedapkan hati Huda. Lisa tahu, Huda tidak sengaja memecahkan pasu kenangan ibu dan abahnya.

“Terima kasih Lisa.... Tak apa. Kita sama-sama cantumkan pasu ni balik.”

Senyuman mula menghiasi wajah Lisa. Lega hatinya kerana Huda sudi menolongnya.

“Kau sekarang bukan main lagi ya.... Rajin betul ke hospital. Bukan kau tak suka ke suasana hospital?” Lisa memperli Huda cuba menghilangkan rasa sedih di hati.

“Nak buat macam mana, buah hati sakit....” suara Huda sedikit menggedik.

“Bila Ustaz Saiful boleh keluar?”

“Tak pasti lagi Lisa…”

“Kasihan Ustaz Saiful… Susah juga dia nak bergerak. Kalau terlalu banyak bergerak bimbang jahitan lukanya akan terbuka. Kalau tak kena cara jaganya boleh terkena jangkitan kuman,” kata Lisa.

“Itulah yang aku risaukan Lisa… Insya-Allah tak ada apa-apalah,” kata Huda sambil fokus mencantumkan kaca-kaca yang pecah.

“Amin… Sama-sama kita doakan....”

“Kau dengan Dr.Haikal ada apa-apa ke Lisa? Aku tengok Dr.Haikal tu macam sukakan kau… Dah banyak kali kamu berdua keluar jogging berduaan... Bukan nak ajak aku pun…”

“Hello.... Bukan ke kau yang cakap kau malas… Tak ada apa-apalah. Kenapa? Kau tengok macam ada apa-apa ke?”

“Aaah… Cara Dr.Haikal pandang kau tu… Eee... Tak bolehlah aku nak jelaskan… Cara mata dia tu... Macam dia sukakan kau…”

“Ya ke? Aku tak perasan pun…” Lisa buat muka selamba. Malas nak melayan pertanyaan Huda. Hakikatnya dia juga tahu cara pandangan lelaki tersebut terhadapnya. Senyuman lelaki tersebut mampu memperlihatkan isi hatinya. Tetapi Lisa tidak mahu syok sendiri. Biarlah dia dengar sendiri pengakuan dari lelaki tersebut.

“Engkau ni… Semua tak perasan. Irfan pun kau sapu…”

“Haaa… Ini dah fitnah ni! Aku, Dr.Haikal dan Irfan kawan sahaja... Ini yang aku malas nak berkawan dengan lelaki ni... Kan dah timbul fitnah...” Lisa memasamkan muka.

“Kau jangan sampai dua-dua lelaki tu bergaduh disebabkan merebut kau Lisa.... Ingat tu…”

“Apa? Ingat aku cantik sangat ke mereka nak bergaduh disebabkan nakkan aku?”

“Mestilah… Siapa tak kenal Cik Lisa kita ni... Gadis cantik yang garang. Hanya putera yang gagah perkasa sahaja yang dapat menawan hati puteri kita ni...” Huda mencuit hidung mancung Lisa.

“Hahaha... Cantiklah sangat. Terima kasih… Siapalah si putera yang gagah perkasa tu...” Lisa meletakkan jarinya didagu buat-buat berfikir.

“Saksikannnn… Irfan? Atau Dr.Haikal? Jeng jeng jeng…...”

“Entah-entah orang lain kan... Dia tak muncul lagi…” Lisa menjelirkan lidah.

“Kalau diberi pilihan kau nakkan Irfan atau Dr.Haikal?” tanya Huda sekadar memancing Lisa.

“Kalau kau?”

“Aku tanya kau, Lisa...”

“Kau jawab dulu…” Lisa membuat muka garang.

Huda mengalah...

“Kalau aku, aku pilih Irfan....”

“Sebab?”

“Sebabnya Irfan kacak, tinggi, bergaya, gentleman.... Kerja pun sedap peguam tu! Senyuman dan lesung pipit dia tu… Sempurnalah pada pandangan aku… Sesuailah kalau kamu berdua bersama, mesti comel kalau bergambar. Dua-dua ada lesung pipit.... Mesti anak kamu berdua nanti semuanya ada lesung pipit... Eee... comelnya!!” Huda geram.

“Irfan? Kau pilih lelaki yang tak ada perikemanusian pada haiwan tu? Dahlah garang… Kau tak takut ke Huda?”

“Bukan aku nak kahwin dengan dia pun... Ustaz Saiful nak letak dekat mana… Kau pilih siapa?”

“Aku? Entahlah… Dr.Haikal kut... Sebab dia seorang yang lemah lembut tutur bicaranya... Kalau dia merawat pesakit boleh cair hati calon mak mentua tau tak? Dia bersopan…”

“Irfan bersopan jugakan?” belum sempat Lisa habiskan kata-kata Huda sudah menyamput.

“Entahlah... Wehh... Aku tak pandailah nak menilai lelaki ni... Lagipun bukan mereka nak kahwin dengan aku pun kan...”

Huda hanya ketawa. Dia tahu Lisa sukakan Dr.Haikal. Satu tempat kerja menjadikan mereka lebih akrab. Tapi dihati Huda, Irfan sangat sesuai jika bersama dengan Lisa. Tunggulah jodoh Lisa sampai... Irfan atau Dr.Haikal?

“Lisa, aku ada sesuatu untuk kau,” kata Huda.

“Wah, ada hadiah ke?” Lisa tersenyum.

“Bukan…” Wajah Huda serius.

Lisa merasakan hatinya berdebar saat ini. Pandangan mata Huda menggambarkan seolah-olah Huda merisaukan sesuatu.

“Sekejap, aku ambilkan.” Huda mula bangun dari duduk lalu menuju ke arah almari. Laci almari dibuka. Huda menatap foto lama yang dipegangnya kini.

“Nah,” hulur Huda kepada Lisa sebaik sahaja Lisa menghampirinya.

Lisa merenung foto lama yang separuh hangus itu dengan penuh tanda tanya.

“Siapa tu? Aku pasti, budak perempuan tu bukan kau kan?”

“Mana kau dapat gambar ni?” Lisa menatap mata Huda untuk kepastian.

“Selepas aku baling pasu kesayangan kau tu, pasu tu pecah kemudian gambar ini terkeluar....”

“Maknanya, foto ni dah lama ada dalam pasu tu?”

“Mungkin,”jawab Huda.

Lisa mula melihat kesan hangus yang ada pada gambar tersebut. Di dalam foto tersebut terdapat tiga orang insan. Seorang budak perempuan yang tidak dikenalinya, seorang wanita yang gambar wajahnya telah hilang di makan api dan seorang lelaki yang amat dikenalinya iaitu Abahnya.

“Tapi, siapa perempuan disebelah Abahnya? Siapa budak perempuan ni? Gambar ini seperti gambar formal sebuah keluarga. Adakah perempuan disebelah Abahnya adalah ibunya? Tapi, kenapa bukan Lisa sebagai budak perempuan tersebut? Mahu sahaja dia tanyakan kepada Ibu dan Abahnya. Tapi, ibu dan Abahnya telah tiada. Jadi, kepada siapa Lisa perlu bertanya? Lisa buntu.

“Ini Abah aku.... Wanita dan budak perempuan ni, aku tak kenal,” Lisa menatap wajah Huda. Hatinya mula tidak sedap melihat foto tersebut.

“Aku tak dapat cam siapa perempuan ni.... Gambar wajahnya, hilang. Mungkin ia hangus disebabkan kebakaran yang berlaku...”

Huda mengangguk, faham.

“Kau rasa, aku perlu tanya siapa?”

Huda mengambil foto tersebut dari tangan Lisa. Tulisan yang tertulis pada foto tersebut menarik perhatian Huda.

“Tanya pada kedai gambar ni....” Huda menunjukkan nama kedai foto tersebut.

“Ada lagi ke kedai ni? Dah berbelas tahun rasanya gambar ni.”

“Insya-Allah,ada... Nanti kita cari....” Huda tersenyum menyedapkan hati Lisa.

“Dandelion Photo... Kau rasa kedai ni dekat mana?”tanya Lisa.

“Ermm... Entahlah Lisa...”

Lisa hanya tersenyum kelat. Adakah keluarganya ada menyimpan suatu rahsia yang masih tidak diketahui Lisa?

“Huda, aku rasa aku nak tanya emak dan ayah angkat akulah pasal ni....”

“Ermm... Bagus juga cadangan tu... Mungkin juga mereka tahu...”

Previous: Bab 22
Next: BAB 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.