Home Novel Komedi/Romantik Komedi Antara Mawar Dan Kaktus
Bab 7
BAB 7

Keesokan harinya Irfan terus bergegas membersihkan diri setelah sampai di rumah. Dia perlu cepat agar tidak terlewat untuk ke pejabat.

Di bawah, Puan Elinna sedia menunggu Irfan dan Iffa Harlina di meja makan. Anak perempuannya itu baru sahaja pulang dari asrama. Cuti persekolahan telah pun bermula. Jadi, tidaklah keseorangan Puan Elinna di rumah. Ada jugalah penemannya untuk berkebun di laman.

Bau nasi goreng dan kopi panas sungguh menyelerakan. Kopi panas dituangkan Puan Elinna ke dalam cawan sementara menunggu anak-anaknya turun untuk makan. Nanti tidaklah terlalu panas untuk mereka minum.

“Aduhhhh.... Sakitlah Iffa!! Eh, janganlahhhh,” jerit Irfan.

“Eh, kan biasanya Angah geli bila Iffa geletek....”

Mendengar telatah anak-anaknya di tingkat atas membuatkan Puan Elinna tersenyum sendirian.

Iffa mengacah lagi untuk menggeletek Irfan. Sengaja dia mengusik abangnya pagi-pagi begini. Sudah 3 bulan mereka tidak bertemu. Abangnya selalu sibuk, jadi waktu pagi beginilah Iffa berkesempatan untuk mengusik abangnya.

Irfan menuruni anak tangga rumah selaju yang mungkin. Kot hitamnya hanya sempat dipakai sebelah bahu dan briefcast diangkat setinggi yang mungkin agar kakinya tidak terhalang untuk berlari menuruni anak tangga. Terasa senak perut Irfan digeletek oleh adiknya. Ia terkena tepat pada kesan tumbukan yang diterimanya semalam.

“Eh, sudahlah tu Iffa,” larang Puan Elinna apabila melihat anak bongsunya itu masih beria-ria untuk mengusik Angahnya. Puan Elinna hanya tersenyum dan mengelengkan kepala. Dia tahu anak bongsunya itu memang nakal.

“Dah, jom. Makan cepat sementara nasi ni masih panas,” ajak Puan Elinna.

Mereka bertiga menarik kerusi untuk duduk. Kot dan briefcastIrfan diletakkan di kerusi sebelah. Nasi goreng dicedok Irfan kedalam pinggan kosong dan dihulurkan kepada mama dan adiknya. Puan Elinna memandang kerusi kosong suaminya.

“Agak-agaknya papa kamu makan apa ya hari ni?”

“Mama jangan bimbang… Dekat sana ada orang jaga papa. Makan pun sedap-sedap,” jawab Irfan sambil tersenyum panjang.

“Ni kenapa senyum panjang hingga ke telinga ni?”

“Ma, malam ni Irfan rancang nak temankan papa lagi malam ni,” beritahu Irfan.

“Tak boleh!” Iffa menyampuk.

“Kenapa pula tak boleh?” tanya Irfan.

“Malam ni, Iffa yang nak temankan papa. Angah tak payah temankan. Kan semalam Angah dah temankan… Malam ni giliran Iffa pula. Lagi pun Iffa tak pernah tidur di hospital tau.”

Irfan menjegilkan mata pada adiknya.

“Angah cakap tak boleh! Iffa duduk rumah temankan mama.”

“Maaa… Tengoklah Angah ni....”

Irfan berharap agar mamanya menyokongnya. Kalau Iffa temankan papa maka melepaslah peluang untuk dia menyiasat siapakah jururawat Natasya?

“Betul cakap Angah tu… Iffa duduk rumah temankan mama ya? Lagi pun papa kan lelaki, biarlah anak lelakinya yang tolong jagakan. Senang sikit....”

“Iffakan anak papa juga. So, apa masalahnya ma?”

Puan Elinna memandang Irfan. Irfan mengelengkan kepala tanda tidak setuju dengan permintaan Iffa. Nasi goreng disuap Irfan ke dalam mulut lalu dikunyahnya perlahan-lahan. Matanya masih memandang Puan Elinna memberikan isyarat agar tidak membenarkan Iffa menunggu papanya.

“Esok, papa dah boleh pulang tau… Angah tanya doktor semalam. Insya-Allah kalau tak ada apa-apa, papa dapat pulang. Jadi, bolehlah Iffa jumpa papa. Tengahhari nanti ajak mama pergi melawat papa kalau Iffa rindukan papa. Tapi, malam ni Angah yang temankan papa. Muktamad!”

Iffa mencebikkan mukanya. Dia tahu apabila Angahnya menyebut perkataan muktamad, maka tidak ada apa lagi yang boleh dipertimbangkan. Iffa terus berdiam diri dan mula untuk menjamah nasi goreng yang terhidang. Puan Elinna hanya tersenyum melihat telatah anak-anaknya. Seorang tu peguam, jadi kata-katanya tegas dan tidak dapat diperbahaskan lagi apabila dia telah membuat keputusan. Nasib baiklah Alongnya tidak ada disini. Kalau peguam berbicara sesama peguam entah mana satu yang menang. Along dan Angah merupakan anak lelaki yang tegas. Kasihan Iffa, tidak ada rezeki untuk mendapat seorang kakak atau adik perempuan. Dia perlu menuruti kata-kata abang-abangnya di dalam sesuatu hal.

Irfan bangun dari tempat duduknya untuk beransur ke tempat kerja. Dia mencium tangan mamanya untuk mendapat berkat dari seorang ibu. Iffa masih memuncungkan mulutnya tanda menyampah dengan keputusan abangnya.

“Hei, senyumlah sikit budak comot! Angah dah nak pergi ni,” kata Irfan sambil mencubit pipi adiknya.

“Aduh, sakitlah Angah!”

Irfan sempat mengucup dahi adiknya sebelum berangkat pergi. Iffa tersenyum sedikit apabila diperlakukan begitu oleh abangnya. Terasa diri disayangi. Puan Elinna dan Iffa menuruti langkah Irfan menuju ke kereta.

“Angah, bawa kereta tu hati-hati… Jangan menggatal tengok awek tepi jalan!” pesan Iffa. Dia tahu Angahnya selalu memandang perempuan ditepi jalan tanpa berkelip mata. Siap buat hon lagi dekat perempuan tu. Tapi, bila perempuan datang dekat, dia lari. Entah apa masalah Angahnya itu. Dia sendiri pun tidak faham.

“Ya lah mak nenek. Nanti Angah pandang depan je,” kata Irfan bersama senyuman terukir di wajah. Pintu BMW 5 Series itu dibuka dan Irfan hilang disebalik kereta putih tersebut.

Iffa begitu senang hati melihat abangnya senyum. Cair hatinya. Nasib baiklah Irfan itu abang kandungnya. Kalau tidak Iffa tidak akan melepaskan peluang untuk mengorat Irfan.

Jam sudah menunjukkan 8.00 pagi. Lisa tersenyum riang memandang bunga dahlia merah yang ditanamnya 2 bulan yang lalu telah berbunga. Pokok tersebut ditanam melalui pucuk mudanya. Selain itu, ia juga boleh ditanam melalui ubi. Bagi Lisa, menanam melalui ubi agak terhad kerana untuk menanam melalui ubi, ia menunggu masa yang agak lama untuk menanti ubi berisi. Sebaliknya jika menanam melalui pucuk muda, ia agak senang diselenggara memandangkan pokok banyak mengeluarkan pucuk muda yang baru bertunas. Selepas pucuk muda dipotong, ia perlu segera disemai ke dalam pasu yang berisi tanah dan diletakkan di tempat yang redup. Insya-Allah dengan berkat kesabaran penjagaannya, pokok ini akan tumbuh dengan subur.

Walaupun bunganya tidak sesegar dan sebesar bunga di Cameron Highland, ia masih lagi mempamerkan keanggunan tersendiri. Lisa menghidu bunga tersebut untuk mendapatkan bau.

“Ermm… Bunga ni tak ada baulah.” Lisa membelek kelopak bunga yang bewarna kemerahan itu.

Lisa mencapai paip getah di tanah dan seterusnya pili air dibuka. Siraman dilakukan dengan lembut agar pokoknya tidak rosak. Laman Lisa tidaklah terlalu banyak pokok bunga. Dia masih belum berkesempatan untuk membeli pelbagai jenis pokok bunga memandangkan Lisa mempunyai masa yang terhad. Nak diharapkan Huda, memang tak dapatlah. Bukan minatnya untuk menjaga pokok-pokok ni. Cuma Huda suka pada binatang. Di dalam kolam mini kepunyaan Huda, entah sudah berapa ratus ekor ikan guppy menghuni kolam kecil tersebut. Walaupun tidak terlalu banyak pokok bunga, laman Lisa sudah boleh dikategorikan sebagai taman indah. Ini disebabkan semua pokok yang ditanam hidup dengan subur dan mengeluarkan pelbagai aneka jenis bunga.

Morning, Lisa,” sapa Huda dari muka pintu rumah sambil membawa plastik berisi makanan ikan.

Morning,” balas Lisa sambil menghadiahkan senyuman mesra pada Huda.

“Kenapa Lisa tak kejutkan Huda semalam? Penat Huda tunggu sampai tertidur.”

“Bukan tak nak kejutkann… Tapi, Lisa tengok Huda macam letih sangat. Tak sampai hati pula nak kacau tidur Huda,” jawab Lisa sambil meneruskan siraman pada pokok keembongnya yang terdiri daripada warna ungu, merah jambu dan merah.

Huda hanya berdiam diri. Dia menfokuskan diri pada isian makanan ikan ke dalam botol yang dikhaskan untuk makanan ikan. Sedikit makanan ditabur ke dalam kolam. Mata Huda ralit melihat telatah ikan-ikannya berebut untuk mendapatkan makanan.

“Engkau marah ke Huda?” soal Lisa sambil menutup pili air.

“Eh, tak adalah... Tak marah pun,” balas Huda sambil berpaling pada Lisa.

Lisa turut serta duduk di bangku kecil bersama Huda. Kolam kecil dijenguk Lisa.

“Bak sini sikit. Aku pun nak bagi ikan ni makan. Selama seminggu kau tak ada, akulah jadi mak ikan ni tauuu…”

“Apa pun thankstau tolong jagakan ikan-ikan ni.”

“Apa nak susahnya… Cuma bagi makan.... Bukannya perlu disuap.” Lisa tersenyum.

“Hah, Lisa… Kucing siapa dalam rumah tu?”

“Oh itu Tuah namanya. Lisa jumpa hari tu. Kepala dia luka. Tu yang Lisa bawa balik tu,” beritahu Lisa sambil menabur makanan ikan ke dalam kolam mini.

“Eh, ceritalah macam mana engkau boleh jumpa si Tuah tu... Kenapa bagi nama Tuah? Dah macam Hang Tuah pula,” kata Huda sambil tertawa kecil.

Lisa tanpa berlengah lagi menceritakan daripada A hinggalah Z.

“Kau jangan main-main Lisa… Dahlah dia anak pesakit engkau.”

“Itulah yang aku risau. Dia cakap nak balas dendam untuk semua ini,” kata Lisa sedikit risau.

No no no…Aku rasa tak akan.”

“Tak akan apa, Huda?” tanya Lisa hairan.

“Aku rasa dia tak akan balas dendam. Sebab kau kan cantik. Mesti dia tak sampai hati punya! Kau senyumlah tunjuk lesung pipit kamu tu. Mesti dia cair punya! Aku gerenti!” kata Huda sambil memetik jarinya.

“Lesung pipit ni? Cair? Ok, aku akan cuba…”

Terbayang di mata Huda macam mana Lisa sahabat baiknya ini berani untuk menggoda seorang lelaki. Dalam kelembutan gadis ini, ada juga kekasarannya.

“Berani ke?”

“Engkau macam tak tahu aku ni… Aku kan penakut dengan lelaki… Terutamanya lelaki handsome! Aku cukup takut! Tak tahulah kenapa.... Mungkin aku takut dengan perasaan aku sendiri atau mungkin aku tak berkeyakinan… Ye ke tak berkeyakinan? Eh, lantaklah yang mana satu. Yang penting lelaki tu tak kacau hidup aku,” jawab Lisa sambil menongkah dagu.

“Dia handsome tak?” tanya Huda teruja.

“Ok, terus terang aku cakap muka diaaaa… Ishh… Malaslah aku nak cakap. Menyampah aku!”kata Lisa. Padahal hatinya mengakui kekacakan jejaka tersebut. Cuma perangainya sahaja yang Lisa tidak berkenan. Ada ke patut dia pukul binatang kesayangan Rasullullah ni.

“Kalau kau cakap macam ni mesti tak berapa nak handsomelah tu. Oklah, jom masuk. Aku dah sediakan sarapan. Nasib baiklah hari ni aku cuti… Kau Lisa shiff apa hari ni?”

“Bestnya... Jomm.... Aku pun dah lapar ni… Aku kerja petang hari ni,” kata Lisa sambil bangun dari tempat duduknya.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.