Home Novel Komedi/Romantik Komedi Antara Mawar Dan Kaktus
Bab 9
BAB 9

“Assalamualaikum Ayah Cik…”

“Waalaikumussalammm… Haa, kamu Irfannn… Kenapa jumpa Ayah Cik pagi-pagi ni?” tanya bapa saudara Irfan merangkap pemilik firma guaman tempat Irfan bekerja.

“Eh, duduklah. Kenapa masih berdiri di muka pintu tu Irfan?” pelawa Tuan Mustafa.

Pen yang sedang digunakan diletakkan Tuan Mustafa ke meja. Sepenuh perhatian diberikan kepada anak saudaranya yang kini berhadapan dengannya.

“Err…. Sebenarnya Irfan nak cakap pun serba salah…”

“Cakaplah… Macam tak biasa dengan Ayah Cik...”

“Irfan nak minta cutilah hari ni Ayah Cik…”

“Ohhh… Itu saja? Hal macam ni kan boleh call… Kemudahan ada tapi tak nak guna. Sebab apa nak cuti?” hairan melihat anak saudaranya meminta cuti. Selama ini tak pernah Irfan mengambil cuti.

“Alahh… Nanti staff lain cakap apa pula kalau Irfan buat macam tu… Papa dah keluar hospital hari ni… Tak ada orang nak jemput… Driver cuti hari ni Ayah Cik,” beritahu Irfan dengan bersungguh-sungguh. Nasib baiklah driverkeluarganya cuti hari ni. Bolehlah dia jadikan ia sebagai alasan kukuh.

“Alhamdulillahhh… Macam mana dengan abang Ayah Cik? Dah sihat sepenuhnya ke?” terpampar wajah kesyukuran di wajah bapa saudaranya.

“Dah sihat… Cuma tangannya sahaja yang masih disimen… Bukan main gembira papa dah boleh discaj,” beritahu Irfan.

“Eh, tentulahhh… Siapa yang suka tinggal di hospital lama-lama kan…”

“Haa… Cakap pasal ni Irfan tak setuju! Bagi Irfankan Ayah Cik, seronok apa tinggal hospital lama-lama. Doktor cantik-cantik… Nurse pun lawa-lawa.”

“Orang muda mestilah suka… Kalau orang tua macam Ayah Cik dan papa kamu ni, perkara macam ni dah tak menarik. Kan ada pula yang cemburu dan istiharkan perang.”

“Hahahaha… Tahu tak apa… Oklah Ayah Cik Irfan cuti hari ni tau!” kata Irfan sambil mengangkat punggungnya dari kerusi. Salamnya di sambut Tuan Iskandar.

Pintu bilik dibuka Irfan untuk keluar.

“Separuh hari!”kata Tuan Mustafa separuh menjerit.

“Apa? Ayah Cikk!!! Tak kan separuh hari… Irfan malaslah hari ni… Cuti satu harilahhh,” kata Irfan sambil melangkah kembali kearah meja Tuan Mustafa.

Terkejut bapa saudaranya mendengar alasan Irfan. Malas? Apa kes budak ni? Tak pernah-pernah pun dia macam ni. Irfan membuat muka separuh merayu.

“Tolonglah Ayah cikk… Kali ni sahaja tau… Irfan betul-betul malas ni… Tak ada mood,” Kata Irfan sambil membuat muka bosan.

“Oklah… Kali ini sahaja tau... Lain kali jangan bagi alasan malas lagi,” kata bapa saudaranya sambil tersenyum.

“Ok… Terima kasih Ayah Cik,” kata Irfan gembira. Kali ini pasti rancangannya untuk mengenakan Lisa akan terlaksana sepertimana yang telah dirancangkan malam semalam.

Setelah Irfan berlalu pergi, Tuan Mustafa termenung sendirian. Kenapa dengan anak saudaranya? Malas? Tak logiklah budak ni… Nasib baiklah Irfan dah selesaikan 4 kes dalam beberapa hari ni. Jadi, tak apalah sekali sekala bagi bonus cuti. Selama ini pun walaupun demam, dia masih lagi bertapak ke ruang pejabat. Tak pernah pun diambil cuti. Cuma kali ini sahaja pelik.

“Huhhh… Nasib baik firma pak cik aku… Kalau tak bukan senang aku nak dapat cuti ni!” Irfan tersenyum bangga.

Setelah 20 minit melalui jalan raya yang sudah agak lengang, Irfan mencari kedai yang menjual barang yang diperlukan untuk rancangan nakalnya. Beberapa buah kedai telah dimasukinya. Namun hampa.

“Kenapa susah sangat nak cari ni? Ubah planlah,” bebel Irfan sambil melihat jam tangannya. Jam menunjukkan 10.30 pagi. Papanya perlu dijemput selepas Zohor nanti. Masih banyak masa.

Irfan masuk semula ke dalam kedai yang dikunjungi tadi untuk membeli barang. Kali ini rancangannya sudah berubah.

“Sekarang, aku kena cari kedai ikan!” Irfan tersenyum nakal.

Irfan mula memandu keretanya di blok-blok kedai untuk mencari sebuah kedai yang sudah pastinya menjual apa yang dihendaki Irfan. Entah kenapa hatinya begitu beria-ria untuk mengenakan gadis yang telah menumbuknya.

Irfan masuk ke sebuah kedai ikan dan membeli apa yang dimahukannya. Irfan merenung apa yang telah dibelinya. Hatinya puas! Kini dia perlu mencari sebuah tempat yang sesuai untuk dia menguruskan barang-barang yang sudah dibeli.

Keretanya diberhentikan di sebuah tapak permainan kanak-kanak. Kawasan ini sunyi dan tiada orang. Sesuai sangatlah untuk Irfan menjalankan projek yang dirancang. Irfan berjalan menuju ke wakaf yang kosong dan redup. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa mengurangkan bahang panas matahari di waktu tengahhari begini. Setelah meletakkan semua barang yang dibelinya di meja batu yang disediakan, Irfan memulakan operasi. Hampir setengah jam, akhirnya apa yang dirancang berjaya disiapkan.

“Hah, siap pun,” kata Irfan sambil meneliti bungkusan di tangannya.

Irfan memandang ke kiri dan kanan. Terasa dahaga pula tekaknya. Tidak jauh dari situ terdapat sebuah gerai makanan. Irfan terus melangkah ke gerai tersebut. Setelah sampai Irfan melihat kebersihan gerai yang ingin dikunjunginya itu. Janji tiada lalat dia akan beli dan makan. Kalau ada lalat, Irfan tidak akan sesekali makan makanan di situ. Pantang betul dia dengan serangga kecil tersebut.

“Wahhh… Keropok lekor goreng pun ada!” detik hati Irfan sambil menanggalkan kaca mata hitamnya.

“Mak cik, berapa batang keropok untuk RM1?” tanya Irfan.

“RM 1 mak cik jual 4 batang.”

“Kalau macam tu bagi saya RM2 dan air kelapa satu.”

“Baiklah…” Peniaga itu terus menyediakan apa yang di pesan oleh pelanggannya.

Irfan mengambil satu tempat berdekatan dengan kipas untuk menikmati makanan yang baru sahaja dibelinya.

“Fuhhh… Nikmatnya rasa air kelapa muda ni....”

Keropok lekor goreng dikunyah perlahan-lahan. Kerangupan keropok itu membuatkan Irfan bertambah selera. Ditambah pula kuah cuka yang sesuai dengan rasa keropok yang dikunyah. Kombinasi yang sangat sepadan. Irfan melayan rasa keenakan keropok yang dikunyah tanpa mempedulikan orang-orang disekeliling. Sudah lama dia tidak makan makanan kegemarannya ini.

Ketika sedap melayan rasa, handphone Irfan berbunyi. Tangannya dikesat dengan tisu sebelum mencapai handphonenya yang berada di dalam poket seluar.

“Assalamualaikum, mama...”

“Waalaikumussalam… Irfan ada dekat mana tu?”

“Ada diluar pejabat ma… Tengah makan. Kenapa?”

“Owhh… Jangan lupa jemput papa tau. Mama bimbang kamu lupa…”

“Ok… Irfan tak lupa, ma... Mesti ingat punya,” kata Irfan sambil mengerling ke arah beg kertas yang berada disisi.

“Baguslah kalau macam tu… Kalau boleh pergilah awal… Tolong kemaskan apa yang patut...”

“Ok, ma… Jangan risau… Nanti Irfan uruskan semuanya.”

“Iyalah… Hati-hati bawa kereta tu...”

“Insya-Allah, ma.”

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

Irfan cepat-cepat menghabiskan baki airnya. Dia terlupa bahawa dia perlu menolong papanya berkemas. Semalam, Irfan tertidur selepas menikmati makan malam. Jadi, barang-barang tidak sempat dikemaskan.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.