Home Novel Komedi/Romantik Komedi Antara Mawar Dan Kaktus
Bab 2
BAB 2

Kereta BMW 5 series dengan megahnya memasuki perkarangan banglo dua tingkat milik kepada usahawan pertanian yang berjaya. Setelah keluar dari kereta, Irfan atau nama sebenarnya Tuan Muhammad Harith Irfan bin Tuan Iskandar berniat untuk mencuci kereta memandangkan hari ini hari minggu dan dia tidak kemana-mana. Dengan bersemangat dia menyediakan alatan untuk mencuci.

Irfan lebih suka untuk mencuci keretanya sendiri berbanding mengambil khidmat orang lain untuk mencuci keretanya. Bagi Irfan, tidak perlulah membazirkan wang memandangkan dia mampu untuk membuat perkara tersebut dengan sendiri. Selain itu, inilah salah satu cara untuk menyihatkan badan.

“Mana pula mama letakkan paip getah ni?” terbongkok-bongkok Irfan mencari paip getah yang diletakkan Puan Elinna entah dimana.

“Laa... Dekat sini rupanya mama letakkan paip getah ni… Agak-agak mama dah siram belum pokok bunga ni? Tolong siramkanlah.... Mesti mama belum siram lagi ni… Kering je tanah.”

Irfan terus menyemburkan air pada pokok-pokok bunga kepunyaan Puan Elinna. Bukan main seronok lagi dia menyiram setiap pasu bunga yang tersusun rapi.

“Irfan!!! Apa yang Irfan buat pada pokok mama tu? Sekarang pukul berapa?” jerit Puan Elinna dari balkoni.

“Pukul 11.30 pagi ma… Irfan tolong siramkan pokok mama ni… Hari ini cuaca panas… Petang nanti mesti layu sebab kurang air,” jawab Irfan tersengih-sengih sambil meneruskan siraman. Pasti Puan Elinna akan berterima kasih padanya.

“Ramalan cuaca kata, hujan petang nanti. Dah dekat tengahari mana ada orang siram pokok Irfannn… Nanti melecur daun pokok tuu…” Puan Elinna mengelengkan kepala.

Walaupun Irfan anak kepada usahawan pertanian, tetapi Irfan tidak pernah mengambil tahu perihal pertanian. Dia lebih minat kepada seni fotografi dan juga undang-undang.

“Irfan, sekarang tolong hantar mama ke hospital… Mama nak pergi melawat papa. Sekarang dah nak masuk waktu melawat. Pak Samad cuti hari ni.... Pak Samad ada hal untuk uruskan perkahwinan anak perempuannya… Irfan tak ada hal lain kan?”

“Ok, ma.... Sebenarnya Irfan nak basuh kereta. Tapi tak apalah Irfan hantar mama dulu. Lagi pun dah panas ni.” .

“Tau tak apa... Orang basuh kereta pagi-pagi… Ni matahari dah terpacak atas kepala baru terhegeh-hegeh nak basuh kereta. Nanti hitam anak mama yang seorang ni… Dah, cepat pergi mandi! Pergi jogging bukan nak beritahu mama pun.... Jogging dengan kekasih hati la tu,” usik Puan Elinna.

“Manalah ada gadis yang nak dekat Irfan ni, ma… Ok, Irfan masuk mandi sekejap.” Pili air segera ditutup.

Ketika Irfan menukar baju untuk mandi, dia membelek keadaan perutnya.

“Mak aiiiii!! Lebamm! Patutlah senak semacam rasa perut aku ni… Perempuan ni, nanti kauu… Kalau aku jumpa kau sekali lagi, nahaslah! Tahulah aku ajar kau!” Irfan menggenggam buku tangannya. Geram sungguh rasanya. Dendam mula menjalar di dalam sanubarinya.

Setelah 15 minit bersiap, jejaka yang mempunyai ketinggian 178 cm ini turun ke ruang tamu dengan memakai T-shirt kuning hitam bersama jeans. Rambut disikat rapi dan haruman minyak wangi harum semerbak.

“Amboi… Tauke minyak wangi mana pulak ni yang datang,” sindir Puan Elinna.

Irfan hanya tersengih-sengih.

Setelah mengunci pintu rumah, Irfan terus menuju ke kereta.

“Irfan, tolong buka bonet belakang. Mama nak letakkan barang.”

Irfan menuruti arahan daripada mamanya.

“Irfan! Datang ke belakang sekejap!”

“Kenapa, ma?”Irfan segera melangkah ke bahagian belakang kereta.

“Mee goreng??” terbeliak biji mata Irfan melihat mee goreng yang sudah mula mengering tertampal di keretanya.

Irfan terus teringat peristiwa pagi tadi. Irfan menggenggam tangan tanda geram. Dengan segera Irfan mengambil gambar tersebut dengan kamera telefon pintarnya. Dia mula terbayangkan mee goreng dan karipap yang tertumpah pagi tadi. Pasti gadis tadi yang mencampakkan mee tersebut pada keretanya. Tapi bila? Irfan tidak menyedari perkara tersebut.

“Jomlah mama… Nanti habis pula waktu melawat,” ajak Irfan sambil memakai cemin mata hitam menampakkan lagi ketampanan yang dimilikinya. Irfan berpura-pura tidak ambil kisah tentang perkara tersebut. Sedangkah didalam hati, tuhan sahaja yang tahu bertapa geram hatinya.

Kereta bergerak dengan berhati-hati ketika keluar dari perkarangan rumah. Pintu pagar rumah yang tersegam indah ditutup secara automatik.

“Irfan, kenapa dengan kereta tu?” tanya Puan Elinna sedikit risau.

“Entahla mama… Irfan pun tak tau.” Irfan cuba untuk merahsiakan kejadian pagi tadi.

Jika Irfan menceritakan peristiwa tadi, sudah pastinya dia yang akan mendapat bebelan percuma daripada mamanya. Ini disebabkan Puan Elinna juga begitu menyayangi haiwan tersebut. Cuma dia sahaja yang tidak berapa suka dengan haiwan berbulu itu. Mengada-ngada!

Setelah setengah jam perjalanan, mereka tiba di hospital yang menempatkan papa Irfan. Kelihatan beberapa orang jururawat berjalan menuju haluan masing-masing. Tidak bekelip mata Irfan memandang mereka. Tersengih-sengih seorang diri.

“Kalau la aku dapat girlfriend jururawat kan baik. Dahlah comel-comel, lemah-lembut pula tu.... Bolehlah dia rawat perut aku yang lebam ni,” bisik hati Irfan.

“Irfann! Apa yang tersengih-sengih seorang diri tu. Jangan nak menggatal ya dekat sini… Ini hospital bukannya pantai,” bebel Puan Elinna.

Dia tahu sangat perangai anak terunanya itu. Pantang nampak perempuan cantik, mulalah ulat bulu naik daun. Itulah sampai sekarang membujang tak ada kekasih hati lagi. Bila perempuan mengorat dia, langsung tak dilayannya. Katanya malas nak melayan perempuan gedik. Tapi, kalau dia mengorat perempuan langsung tak dapat. Padan muka!

Irfan menuruti langkah Puan Elinna untuk ke bilik papanya. Sambil berjalan, sambil itulah dia tersenyum kepada jururawat muda yang lalu berselisih dengannya.

“Mama, kalau macam ini la kan, tiap-tiap hari pun Irfan boleh hantarkan mama jenguk papa.”

“Kenapa pula? Irfan tak kerja ke?”

“Hehe.... Tak apalah mama. Bukan lama pun nak hantarkan. Lagipun nurse-nurse dekat sini cantik-cantiklah. Manalah tahu, Irfan dapat calon isteri,” kata Irfan tersenyum lebar.

“Amboi!” satu cubitan telah hinggap pada pinggang Irfan.

“Aduhhh!”

“Irfan ingat nurse-nurse tu nak layan Irfan ke? Tak ada masanya mereka nak layan Irfan… Semuanya sibuk tau!”

Irfan hanya mencebikkan mukanya. Tidak berkata apa-apa.

Pintu bilik Mawar 25 diketuk oleh Puan Elinna.

“Assalamualaikum, abang,” ucap Puan Elinna sambil menjengukkan kepalanya ke dalam bilik.

“Irfan, papa kamu tak adalah dalam bilik,” beritahu Puan Elinna sebaik sahaja melihat katil suaminya kosong.

“Cuba mama lihat dalam toilet. Manalah tahu kalau papa ada dekat dalam.”

Puan Elinna segera melangkah ke arah bilik air. Tombol pintu dipulas tetapi Puan Elinna mendapati pintu tersebut tidak berkunci. Kepala dijengukkan ke dalam.

“Irfan, papa kamu tak ada dalam toiletni. Cuba Irfan tanya jururawat di kaunter.”

“Owhh… Ok,mama,” kata Irfan bersemangat.

“Irfannn, ingat di sini bukan pantai tau.... Jangan nak menggatal,” pesan Puan Elinna sambil meletakkan raga yang berisi makanan di atas meja yang disediakan.

“Mama ni… Irfan tak buat apa-apa pun lagi. ”

“Ya la tuu... Dah, cepat!” kata Puan Elinna sambil membaiki letak duduk selendang di bahu.

“Minta-mintalah jururawat cantik dekat kaunter tu.”

Dengan langkah yang meyakinkan, Irfan melangkah ke kaunter. Loceng di kaunter dibunyikan disebabkan tiada jururawat yang menunggu disitu.

“Ya, encik... Boleh saya bantu?” tanya ketua jururawat.

Nurse, boleh saya tahu pesakit bilik Mawar 25 ke mana?”

“Tuan Iskandar ke yang encik maksudkan?”

“Ya, Tuan Iskandar... Papa saya.”

“Buat masa ni, Tuan Iskandar ke bilik X-ray untuk melihat keadaan tulang tangannnya. Jika sudah bertambah baik, kemungkinan Tuan Iskandar akan discajdalam masa terdekat ini.”

“Lama lagi ke kami perlu menunggu?”

“Tidak lama encik. Mungkin dalam masa 20 minit lagi Tuan Iskandar akan balik ke bilik. Itupun jika pesakit lain tidak ramai.”

“Owhh... Terima kasih nurse,” kata Irfan sambil melemparkan senyuman.

“Sama-sama… Encik boleh tunggu di dalam bilik pesakit dahulu.”

“Ok...,” kata Irfan sambil berlalu pergi.

Pintu bilik Mawar 25 dibuka.

“Hah, Irfan.... Macam mana papa kamu? Tahu tak dia ke mana?”

“Papa pergi X-ray, ma… Dalam 20 minit lagi, baliklah tu,” jawab Irfan lemah.

“Ni kenapa pula anak mama ni?”

“Tadi ketua jururawat yang jawab pertanyaan Irfan. Melepas sahajalah....” Irfan membuat nada kecewa.

“Padan muka! Hahaha… Tahu takut…” Puan Elinna ketawa kecil sebaik sahaja melihat air muka anak terunanya .

Teringat peristiwa Irfan semasa kecil. Semasa kecil bukan main takut Irfan dengan ketua jururawat. Katanya, ketua jururawat garang. Mana taknya, semasa kecil datang jururawat muda nak berikan suntikan, Irfan main-main dan lari dari jururawat tersebut. Bila datang ketua jururawat, kena marah sikit, terus dia diam tak terkata apa-apa. Tiba-tiba sahaja seluar yang dipakai basah. Aduhai Si Irfan ni, terkencing dalam seluar rupanya. Akhirnya dapatlah juga jururawat berkenaan menyuntik vaksin ke badan Irfan. Sampai sekarang dia takut dengan ketua jururawat. Bukannya teruk sangat ketua jururawat tersebut marah, mungkin disebabkan muka jururawat tersebut agak garang menyebabkan Irfan terlalu takut dengannya.

“Mama, Irfan nak ke kafe sekejap. Rasa dahaga pula tekak Irfan ni. Mama nak ikut atau nak pesankan apa-apa?” tanya Irfan.

“Boleh juga. Mama nak minta tolong Irfan belikan limau ais dua bungkus. Mama satu, papa satu.”

“Ada apa-apa lagi yang mama nak?”

“Itu sahajalah. Nanti kalau mama nak apa-apa lagi, mama akan mesej Irfan.”

“Ok,ma… Irfan gerak dulu.”

Puan Elinna tidak berkata apa-apa. Dia hanya melemparkan senyuman pada anak terunanya itu.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.