Home Novel Komedi/Romantik Komedi Antara Mawar Dan Kaktus
Bab 22
BAB 22

Tepat jam 12.30 tengahari Irfan menunggu kehadiran Lisa di butik mamanya. Hanya waktu ini sahaja Irfan boleh hadir ke Butik Elis memandangkan dia juga mempunyai tugas di firma guaman.

Sementara menunggu kehadiran Lisa, Irfan berbincang dengan fotografer terlebih dahulu tentang lokasi pengambaran mereka nanti. Berdasarkan konsep rekaan baju yang lebih kepada warna alam semula jadi mereka memilih untuk mengadakan pengambaran di Terengganu memandangkan negeri berkenaan kaya dengan pulau-pulau yang cantik. Mereka juga turut mahu bercuti ke negeri itu. Kata orang, sambil menyelam minum air.

Tidak beberapa lama kemudian pintu bilik diketuk. Lisa tercegat diluar pintu bersama senyuman manisnya.

“Haa... Lisa, masuklah,” pelawa Irfan.

Lisa melangkah masuk ke dalam bilik mesyuarat kecil yang telah dipenuhi oleh 5 orang lelaki dan 1 orang perempuan. Lisa bersalaman dengan perempuan yang berada disisi Irfan.

“Duduklah,” pelawa wanita berkenaan. Mesra senyumannya.

Lisa mengambil tempat bersebelahan wanita berkenaan.

“Maaf, saya lambat,” kata Lisa memulakan bicara.

“Tak ada hallah… Kami bukan mesyuarat secara rasmi tapi berbincang secara sepintas lalu,” kata Irfan.

Lisa mengangguk faham. Lega hatinya. Ingatkan dia sudah terlambat.

“Ok, perkenalkan ini model kita. Lisa boleh perkenalkan diri?”

“Assalamualaikum…” Lisa memulakan bicara.

“Waalaikumusslam....”

“Nama saya Lisa Amira Natasya binti Abdul Hamid. Saya berusia 23 tahun. Berasal dari Terengganu dan bekerja sebagai seorang jururawat. Saya tidak pernah menceburi bidang peragaaan tetapi sangat berminat didalam bidang ini. Insya-Allah saya akan cuba yang terbaik.”

Mereka mengagumi kecantikan Lisa. Wajahnya begitu fotogenik.

“Awak berasal dari Terengganu… Jadi, senanglah kerja kita,” kata Wanda.

“Kenapa?” tanya Lisa.

“Kami dah putuskan untuk mengadakan lokasi pengambaran di Terengganu.”

“Owhh… Negeri saya tu,” jawab Lisa teruja.

“Awak rasa pulau mana yang boleh kita pergi? Kalau boleh pulau tu kurang orang.... Biar ia nampak lebih semula jadi dan tenang.”

“Owh, banyak pulau disana.... Antaranya Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Tenggol, Pulau Kapas, Pulau Gemia, Pulau Bidong.... Kalau nak pulau yang kurang dikunjungi orang saya rasa kita boleh pergi ke Pulau Gemia. Pulau Gemia bersebelahan dengan Pulau Kapas. Hanya satu resort sahaja yang didirikan dan Pulau Gemia ni merupakan pulau persendirian. Saya rasa Pulau Gemia sesuai untuk pengambaran.... Tempatnya berbatu-batu dan airnya sangat jernih.”

“Ok, Pulau Gemia… Nanti kita periksa melalui internet dan kita akan buat tempahan,” kata Irfan.

“Oklah semua.... Saya dah nak masuk pejabat ni. Wanda, tolong uruskan Lisa. Minta dia tandatangan kontrak sebagai model butik kita. Yang selebihnya saya serahkan kepada awak,” kata Irfan sambil menghulurkan satu dokumen kepada Wanda.

Irfan berlalu keluar dari butik berkenaan. Jam 2 petang nanti dia perlu masuk bekerja dan untuk sekarang dia harus mengisi perutnya seterusnya menunaikan solat Zohor.

Lisa telah menandatangani kontrak butik berkenaan setelah membaca semua syarat yang ditetapkan. Hatinya begitu teruja dengan pekerjaan barunya.

“Lisa, perkenalkan saya Wanda selaku setiausaha butik ini, ini Daus dan Raizal selaku fotografer butik ini. Manakala ini pula Encik Fuad selaku pereka fesyen butik dan ini Jayjay selaku pembantu Encik Fuad,” kata Wanda memperkenalkan barisan pekerja di butik berkenaan.

“Lisa, kalau boleh awak minta cuti dalam satu minggu untuk menjalani sesi pengambaran ini ya.... Saya tahu jururawat memang susah nak minta cuti kan. Jadi saya rasa awak perlu buat permohonan awal,” kata Encik Fuad.

“Macam mana Encik Fuad tahu jururawat susah nak dapatkan cuti?”

“Kalau nak tahu isteri saya juga seorang jururawat. Kalau nak bercuti dengan dia memang susahlah. Jadi, awak buatlah permohonan awal supaya senang ketua awak nak mengatur tugas. Jadi senang kerja awak Lisa,” kata Encik Fuad seperti begitu mengetahui selok belok pengurusan wad. Almaklumlah isterinyakan jururawat.

“Baiklah, saya akan membuat permohonan awal... Tapi bila tarikh pengambaran kita?”

“Kami akan beritahu awak secepat mungkin. Mengikut perancangan pertengahan bulan Jun nanti. Bila tarikh tu dah pasti kami akan khabarkan kepada awak. Kami perlu buat tempahan hotel atau chalet dululah. Kalau ada tempat tinggal untuk waktu tu, kita kira jadi. Saya uruskan semua penginapan dan pengakutan kita dalam masa tiga hari,” kata Wanda dengan penuh berhemah.

“Ada apa-apa lagi?” tanya Wanda kepada semua. Kontrak yang telah ditandatangani Lisa disimpan di dalam satu fail.

“Oh ya.... Wanda awak tolong ambilkan ukuran badan Lisa. Saya nak pastikan baju yang akan dijahit bersesuaian dengan badannya. Tapi saya rasa bentuk badan dia tiada masalah memandangkan potongan baju kita mengikut bentuk badan gadis semasa,” kata Encik Fuad.

“Baiklah Encik Fuad… Jom Lisa kita ke bilik ukuran di tingkat bawah,”ajak Wanda.

Hon kereta dibunyikan di depan rumah Lisa. Dr.Haikal sudah tidak sabar untuk bertolak ke hospital untuk melawat Ustaz Saiful. Tanpa berlengah lagi, Lisa keluar dari rumah secepatnya. Pintu rumah dikunci sebaiknya.

“Jom...,” ajak Lisa sebaik melangkah masuk ke dalam kereta Dr.Haikal.

“Macam mana keadaan Ustaz Saiful Lisa?” tanya Dr.Haikal bimbang. Sudah dua hari Ustaz Saiful terlantar dihospital dan hari ini baru dia mengetahuinya.

“Semalam saya dan Huda ada melawatnya. Keadaan Ustaz Saiful stabil cuma dia demam… Kami risau kalau dia terkena jangkitan kuman. Tapi nasib baiklah ujian makmal negatif. Mungkin dia demam disebabkan terkejut dengan kejadian tersebut,” jelas Lisa.

“Pelik jugakan…”

“Apa yang pelik?”tanya Lisa.

“Masa tu awal lagikan… Perompak tu tak terfikir ke orang masih belum tidur?”

“Sekarang ni nak merompak dah tak kira waktu Dr.Haikal.... Macam-macam dalam berita. Di tengah-tengah orang ramai pun boleh merompak dan membunuh. Mungkin disebabkan rumah sebelah saya kosong, Ustaz Saiful dan Haziq pun tiada dekat rumah dan awak sendiri pun tiada dekat rumah masa tu… Itu yang mereka tak takut tu...”

“Seram saya dengar cerita awak pasal Huda tinggal seorang diri dalam rumah. Nasib baik Ustaz Saiful sampai cepat. Kalau tak entah apa jadi dengan Huda. Masa tu awak ke mana?”

“Saya keluar dengan Irfan.... Saya dah ajak Huda ikut sekali, tapi dia tak nak.”

“Awak keluar dengan Irfan berdua je?”

Lisa menganggukkan kepala sambil memandang ke depan melihat jalan raya yang penuh sesak.

“Alamak, Dr.Haikal cemburu ke?” fikir Lisa setelah menyedari Dr.Haikal tidak lagi berbicara. Matanya dikerling ke arah Dr.Haikal yang sedang memandu. Hati Lisa bimbang jika doktor pujan hatinya cemburu.

Dr.Haikal menggerakkan jarinya distereng kereta. Hatinya sedikit panas mendengar pengakuan Lisa. Hatinya juga tidak senang dengan Irfan seolah-olah Irfan bakal menghalang hubungan antara dia dan Lisa. Walaupun Lisa masih belum mengetahui isi hatinya, suatu hari nanti pasti dia akan melamar gadis disebelahnya ini.

Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.