Home Novel Komedi/Romantik Komedi Antara Mawar Dan Kaktus
BAB 40
BAB 40

Irfan bersandar lenguh di sofa empuk. Kakinya ditumbuk perlahan-lahan bagi meringankan rasa lenguh di kaki. Bagasi yang dibawa pulang masih tersadai di muka pintu. Irfan memandangnya dengan perasaan malas. Kalau boleh dia mahu melelapkan matanya sekarang. Penatnya masih terasa disebabkan perjalanan jauh dari Amerika Syarikat ke Malaysia. Irfan tidak menolak peluang keemasan yang diberikan oleh firma guaman pak ciknya untuk menghantar peguam yang berkaliber ke Amerika Syarikat bagi menambahkan ilmu berkaitan bidang keguaman.

“Laa… Kenapa beg masih ada dekat sini ni,” tegur Puan Elinna sebaik sahaja menjenguk ke luar.

“Assalamualaikum ma...” Irfan bangun bersalaman dengan Puan Elinna.

“Waalaikumussalam… 9 bulan tak jumpa, mama tengok anak mama ni dah bertambah kurus...”

“Tak cukup makan ma…”

“Amboi, tak kan tak cukup makan… Kalau macam tu, jomlah makan dulu... Mama dah siapkan makan tengaharinya…”

“Ok, Irfan angkat beg ni dulu...”

“Eh, papa kamu mana Irfan... Tak masuk-masuk lagi ni?”

“Tadi papa kata dia nak jumpa pekerja ladang... Katanya ada hal… Kalau nak makan, papa suruh kita makan dulu... Mungkin dia balik lambat...”

“Oh, ya ke... Ini mesti pasal baja yang dibeli tak sampai-sampai lagi ni... Oklah, mama hidangkan lauk dulu… Jangan tertidur pula dekat atas tu...”

“Kalau tertidur mama kejutkan… Penat sangat ni ma... Jet Lag...”

“Ah, tak ada… Turun makan dulu baru tidur… Nanti hilanglah Jet Lag tu,” pesan Puan Elinna.

“Baiklah... Irfan mengalah…”

Sebaik sahaja Irfan turun ke dapur, susunan balang biskut yang diletakkan di atas meja kecil menarik perhatiannya. Satu balang dicapai lalu dibuka.

“Ma, sedapnya biskut ni... Sejak bila mama buat ni? Setahu Irfan, mama tak pernah buat biskut kan?

“Bukan mama yang buat...”

“Habis tu, tak kan Iffa kut… Potong bawang pun tak pernah…” Irfan terus mengunyah biskut yang diambil dari balang.

“Calon isteri kamulah...” kata Puan Elinna sambil membawa lauk ke meja makan.

“Lisa?”

“Ialah… Siapa lagi….”

“Ma, pinangan kita diterima tak ma?!” Irfan teruja bertanya. Lenguh badannya serta-merta hilang. Sudah berkali-kali soalan ini ditanya semasa berada di Amerika tetapi Puan Elinna hanya akan memberitahu Irfan sebaik sahaja Irfan pulang ke Malaysia. Papa dan mamanya berangkat kerumah Lisa setelah dia berlepas ke Amerika. Lisa pun Irfan tidak sempat berjumpa sebelum kesana. Nasib baiklah cincin untuk merisik sempat dibeli. Cuma cincin yang dipinjam masih belum dipulangkan.

Lisa menatap wajahnya yang dihias indah di dalam cermin. Hasil solekan Huda menampakkan keayuan diwajah Lisa. Lisa tidak sangka, dia akan sampai ke detik ini.

“Lisa, welcome to my club! Lepas jadi tunangan orang nanti, kau tak boleh nakal-nakal dah,” pesan Huda dari arah belakang Lisa. Tangan diletakkan lembut diatas bahu Lisa. Dari dalam cermin, Huda nampak senyuman bahagia sahabatnya.

“Oklah Lisa... Aku keluar dulu... Aku bagi masa untuk engkau bertenang dan melepaskan rasa gugup kau tu... Aku faham macam mana perasaan kau masa ni…”

“Huda nak ke mana?”

“Nak minum air... Nanti aku datang balik… Senyum ok,” pesan Huda apabila melihat wajah sahabatnya yang kelihatan sedikit gelisah.

“Ok, huhhh… Aku nervouslah…”

“Biasalah tu... Relax ok... Aku keluar dulu...”

Terkontang-kanting Lisa di dalam bilik seorang diri. Hatinya hebat berdegup kencang.

“Lisa, tarik nafas dalam-dalam… Hembusss…” Lisa lakukan ini bagi menenangkan hatinya yang gementar.

“Tarik lagiiii… Hembusss…”

Lisa rasa sedikit tenang.

“Tak sangka aku akan bertunang dengan dia,” kata Lisa perlahan sambil bibir bewarna merah jambunya menguntum senyuman manis.

Detik-detik keputusan ini dibuat secara spontan.

Di suatu petang Lisa dan Huda duduk berbincang tentang lamaran yang baru diketahuinya di taman mini milik mereka.

“Huda macam mana ni... Aku peninglah… Emak dan ayah aku pandai-pandai sahaja terima lamaran tu... Bukan mereka nak tanya aku sepatah dua…”

“Mungkin mereka rasa dia sesuai dengan kau...”

“Tapi, kalau ya pun tanyalah aku dulukan... Bila aku tanya kenapa terus terima?”

“Mak aku kata, sengaja nak rapatkan silaturrahim yang terputus... Aku peliklah... Apa yang terputus? Emak aku tak beritahu pula bila ditanya… Dia ketawa sahaja… Aku kena balik kampung ni…”

“Terima sahajalah Lisa,” pujuk Huda tersengih-sengih. Bukannya nak bersimpati dengan sahabatnya ni. Geram hati Lisa melihatnya.

“Engkau tahukan aku sukakan Dr.Haikal... Irfan pun satu! Dah dia nak pinang aku, sepatah kata pun dia tak beritahu… Tup,tup dah seminggu ada di Amerika... Apa ni? Dia ingat aku ni budak-budak ke...”

“Ok, macam inilah… Kau sukakan Dr.Haikal kan?”

“Sudah semestinya! Kaukan dah tahu kan,”jawab Lisa bersungguh.

“Kalau macam tu, ada tak Dr.Haikal meluahkan perasaannya selama ni? Ada tak dia cakap dia sukakan kau?”

Lisa mengeleng laju.

“Ada tak dia melamar kau?”

Lisa mengeleng lagi. Lisa berfikir sejenak.

“Irfan ada tak dia cakap dia sukakan kau dan pinang kau untuk dijadikan isteri?” Huda menongkah dagunya sambil matanya terus menatap mata Lisa yang sudah berair.

“Mestilah ada... Kan kita tengah bincangkan hal ni...”

“Kalau macam tu terimalah Irfan… Dia jujur... Terus pergi jumpa mak dengan ayah kau... Ini baru namanya bersungguh-sungguh nakkan kau...”

“Tapi…”

“Tak ada tapi-tapi!”

“Ok, macam ni. Ermm…” Lisa berfikir.

“Apa lagi…”

“Dr.Haikal ada hadiahkan aku sepohon Pokok Mawar... Manakala Irfan hadiahkan aku sebakul Kaktus... Aku akan tunggu, mana-mana pokok yang berbunga dahulu aku akan pilih dia...” Lisa rasa ini adalah cadangan yang terbaik. Sudah pasti Pokok Mawar yang akan berbunga dahulu berbanding Kaktus.

“Hahahahaha…. Aku tengok dah setahun lebih kau jaga Pokok Mawar ni… Putik bunga pun tak muncul-muncul… Bilalah kau nak berbunga Mawar…” Huda membelai Pokok Mawar yang mulai segar berdaun. Namun putik bunganya masih tidak muncul-muncul.

“Eh, Lisa... Betul ke kau nak tunggu mana-mana pokok yang berbunga dahulu kau akan pilih dia?”

“Ya... Aku janji dan aku pasti!” Lisa mengangkat tangan tanda bersumpah.

“Hahahaha... Nampaknya kaktus dah berbunga!” kata Huda gembira.

“Apa? Kaktus berbunga?!” Lisa terperanjat. Cepat-cepat kakinya melangkah ke arah susunan kaktus yang tersusun rapi di atas bangku kecil.

“Ya Allah… Kaktus dah berbunga… Macam mana ni??” Lisa menatap bunga kecil yang bewarna merah jambu dan juga jingga yang menghiasi pokok kecil yang berduri halus.

“Macam mana apa? Kau terima sahajalah lamaran tu… Itu yang kau janji dan pastikan?” Huda cuba menahan tawanya.

“ Hudaaaa!! Mati akuu…”Air mata Lisa mengalir laju.

Tikk tikk...

Lisa tersedar dari ingatan lalu. Telefon yang diletakkan diatas meja soleknya dicapai.

Satu mesej diterima.

“Lisa, terima kasih kerana sudi menerima pinangan aku… Selepas 3 bulan insya-Allah kau akanku jadikan isteriku yang sah... Salam Sayang, Irfan...

Lisa hanya tersenyum menatap mesej itu. Rasa rindu mula bertamu dihatinya. Sudah 9 bulan lebih dia tidak menemui jejaka ini. Majlis pertunangan hari ini bakal menemukan mereka berdua.

“Lisa, rombongan dah sampai!” jerit Huda sebaik sahaja menerjah kedalam bilik Lisa. Puan Raudah juga turut menerpa kedalam bilik untuk melihat persediaan anak gadisnya.

“Wah, cantiknya anak mak...” Puan Raudah mencium dahi Lisa.

“Terima kasih…”

“Mak keluar dulu… Mereka dah sampai tu...”

“Ok, mak...”

Huda menutup kain langsir bilik agar kononnya Lisa dapat bersembunyi dengan baik didalam bilik sebelum keluar untuk disarungkan cincin.

“Mereka dah berucap tu Lisa...”

“Ya… Aishh… Takut pula aku…” Lisa mengosok kedua belah tangannya yang mulai terasa sejuk.

“Lisa… Jom ikut mak...” Puan Raudah masuk kembali ke dalam bilik untuk membawa Lisa keluar.

“Takutnya…”

“Haishh… Takut pula dia… Dah-dah... Jom keluar...” Puan Raudah memimpin tangan Lisa diikuti Huda dari belakang.

Lisa duduk bersimpuh ayu di atas pelamin kecil yang dihias indah. Semua mata tertumpu ke arahnya. Ada yang berbisik-bisik sesama mereka. Lisa gementar seorang diri. Didalam keadaan gementar begitu, senyuman manis masih lagi menghiasi wajah Lisa yang sudah sedia cantik.

Perlahan-lahan Puan Elinna menghampiri Lisa dengan senyuman mesra. Upacara menyarungkan cincin mula dilakukan. Setelah cincin bertatahkan batu berlian disarungkan dijari, tangan hangat Puan Elinna dicium Lisa. Kini, sah sudah Lisa menjadi tunangan Irfan.

Puan Elinna tidak sangka, cincin bertunang yang dipilih Irfan bersama cincin merisik yang lalu begitu muat dengan jari Lisa. Pandai Irfan pilih.

Puan Elinna juga bersyukur kerana ditemukan semula rakan karibnya suatu ketika dahulu. Mereka sama-sama susah dalam meniti ranjau kehidupan yang serba kekurangan. Alhamdulillah, insya-Allah tidak lama lagi mereka akan berbesan. Patutlah Irfan beria-ria mengatakan pinangan mereka akan diterima. Bila ditanya apakah yang membuatkan Irfan begitu yakin? Irfan hanya berkata, nanti mama dan papa akan tahu. Rupanya inilah rahsia yang Irfan cuba sampaikan. Gambar yang diberi Irfan suatu ketika dahulu rupanya ada persamaan dengan gambar yang disimpan oleh Puan Raudah dan Encik Hamid. Cuma, ketika hari merisik tempoh lalu, Puan Elinna dan Tuan Iskandar agak terkejut. Terkejut dek kerana Puan Raudah mengatakan Lisa dan adiknya hanya anak angkat mereka berdua. Selama ini Puan Elinna menyangka Lisa memang betul anak mereka kerana berbintikan nama yang sama dengan Abdul Hamid. Tapi, itu tidak mematahkan semangat Puan Elinna untuk bermenantukan Lisa. Hubungan mereka sekeluarga pasti akan seerat masa lampau.

Pertemuan dua sahabat lama ini masih dirahsiakan daripada Lisa. Suatu hari nanti Irfan sendiri akan memberitahu Lisa tentang hal ini. Buat masa sekarang biarlah ia menjadi rahsia.

Detik pertemuan antara keluarga Puan Elinna dan Puan Raudah berlaku apabila kedua-dua belah keluarga ini dipanggil guru besar sekolah untuk menyelesaikan masalah anak mereka. Masalah antara Irfan dan Lisa. Mereka disekolah selalu sahaja bertengkar. Irfan selaku senior selalu sahaja mengacau Lisa yang ketika itu berada di tahun 1. Disebabkan Irfan suka mengacau Lisa, Lisa telahpun memukul Irfan hingga luka-luka. Atas sebab inilah keluarga mereka bertemu. Hikmah disebalik pergaduhan yang dilakukan oleh anak-anak mereka, kedua-dua belah keluarga saling mengenal dan semakin lama bertambah akrab sehinggalah Puan Raudah dan Encik Hamid pulang ke Terengganu.

“Tahniah, sayang...” Puan Elinna mengucup lembut dahi Lisa.

“Terima kasih, ma...” ucap Lisa lembut. Agak kekok untuk memanggil Puan Elinna mama seperti mana yang disuruh oleh Puan Elinna.

“Sama-sama...” Puan Elinna memeluk erat badan Lisa.

Gambar kenangan diambil sebanyak yang mungkin ketika majlis pertunangan berlangsung. Irfan yang pada mulanya malu-malu untuk bergambar turut bergambar kenangan setelah dipaksa ramai kenalan. Majlis pertunangan yang diadakan secara sederhana itu dirasakan cukup bermakna buat Irfan dan Lisa. Terikatnya tali pertunangan ini bermakna mereka akan bakal bergerak satu langkah lagi untuk menuju ke gerbang perkahwinan yang diimpikan oleh semua dara dan teruna. Harapan mereka cuma satu iaitu semoga pertunangan ini berakhir ke jinjang pelamin.

Irfan mengerling jari manis Lisa yang cantik dihiasi cincin pertunangan mereka. Sesuai sekali dengan jari putih Lisa. Irfan tersenyum bahagia. Tiupan angin petang disekitar Tasik Perdana seakan meraikan cerianya hati Irfan petang itu. Irfan bersandar di kerusi. Dirasakan hatinya berbunga kembang setaman. Senyumannya melebar tanpa disedari telah diperhatikan Lisa.

“Kenapa awak senyum?” tanya Lisa hairan.

“Tak ada apa...” Irfan masih tersenyum.

“Tak ada apa kenapa senyum?” Lisa masih tidak puas hati pertanyaannya masih belum dijawab.

“Kau ingat tak sebelum aku ke Amerika kita ada sambut kejayaan kau jadi modelkan?”

“Ingat... Apa kaitannya?” Lisa menjungkitkan keningnya.

“Ehermm...” Irfan membetulkan suaranya. Badannya yang bersandar dikerusi tadi ditegakkan. Tangan diseluk kedalam saku seluarnya.

“Tadah tangan,” kata Irfan sambil menggenggam sesuatu di dalam tangannya.

“Tak naklah saya… Mesti ada sesuatu dalam tu...” Lisa menunjukkan muka geli.

“Eh, kenapa buat muka macam tu pula... Cepatlah... Nak ke tak nak ni…” Irfan tersengih menunjukkan barisan giginya yang putih bersih.

“Awak jangan kenakan saya... Ini mesti cicak atau apa-apa yang menggelikan ni...” Lisa menduga.

“Tak ada...”

“Betul ni? Bukan katak macam yang awak hadiahkan hari tu?”

Irfan tergelak besar apabila Lisa mengungkitkan peristiwa lalu. Tak sangka Lisa masih fobia dengan hadiah tersebut.

“Bukan... Cepatlah... Kalau awak tak nak saya buang dalam tasik ni...” Irfan cuba membuat gaya membaling.

“Ok-ok... Apa dia?” Lisa menadah tangan.

“Haa... Macam itulah...”

Pelahan-lahan Irfan meletakkan seutas rantai ke atas tapak tangan Lisa.

“Rantai? Untuk saya?”

Irfan mengangguk gembira.

“Nampak tak loket tu?”

“Eh, ini cincin saya!” Lisa mengusap lembut cincin yang dijadikan loket oleh Irfan.

“Janji nak pulangkan… 9 bulan lebih baru awak kembalikan kepada saya...”

“Maaflah... Lepas kita berjumpa hari tu, aku terus ke Amerika... Nasib baik sempat aku belikan cincin untuk kau...”

“Tak faham...”

“Ok, macam ni... Sebenarnya tujuan aku pinjam cincin kau ni adalah untuk… untuk...” Irfan cuba mengatur ayat.

“Untuk apa?”

“Untuk belikan cincin merisik dan bertunang kau...”

“Ooo... Jadi, awak tipu sayalah...”

“Lebih kurang macam itulah... Hehe...”

“Nasib baik kita dah bertunang tau... Kalau tak, saya tolak awak dalam tasik ni...”

“Eh, jangan…”

“Hahaha... Tahu takut... Awak pinjam cincin sahajakan? Kenapa pulangkan dengan rantai?”

“Ini sebagai tanda maaf disebabkan aku lewat pulangkan cincin kau dan tanda terima kasih kerana sudi menerima pinangan aku...”

Lisa tersenyum. Dia sendiri pun tidak sangka akan menerima pinangan Irfan.

“Kenapa awak pinang saya?” Lisa bertanya lembut.

“Sebab, pertama kali kita jumpa, aku nampak kelainan dalam diri kau... Tak macam gadis-gadis lain yang tergedik-gedik mendekati aku. Tapi kau, bila aku semakin mendekati kau, semakin kau menjauhi... Bukan setakat menjauhi, malah menyakiti... Hahahaha...”

“Menyakiti?” Lisa bertanya separuh terkejut.

“Ialah... Perut lebam… Kaki lebam…”

Lisa ketawa terkekek-kekek apabila Irfan memperkatakan hal tersebut.

“Pandai kau gelakkan aku...” Irfan turut ketawa bersama.

“Kau? Apa sebab kau menerima pinangan aku?”

Pertanyaan tersebut mematikan ketawa Lisa.

“Errr…”

“Tak sangka kau pun sukakan aku... Aku ingatkan kau sukakan Dr.Haikal...”

Lisa hanya tersenyum kelat. Hati Lisa juga mengakui dia juga sukakan Irfan namun sukanya pada Irfan tidaklah setanding dengan sukanya dirinya pada Dr.Haikal.

“Kenapa kau terima pinangan aku?” pertanyaan itu diulang setelah ia masih belum dijawab Lisa.

“Sebab, kaktus dah berbunga!” Jawab Lisa spontan.

“Kaktus berbunga?” Irfan hairan.

“Ermm... Sebabnya, bila seseorang perempuan dah dipinang oleh lelaki yang baik, dia harus menerima pinangan tersebut,” jawab Lisa ringkas malas bersoal jawab dengan peguam yang sudah pastinya banyak persoalan yang bakal diungkitkan. Pada hakikanya disebabkan kaktus telah berbunga.

“Oh, macam tu... Dr.Haikal tak marah?” Irfan sengaja menduga.

“Dr.Haikal tidak tahu pun kita dah bertunang... Dia kan ada di London...”

“Oh, aku lupa...”

Lisa hanya mendiamkan diri. Bagaimana agaknya kalau Dr.Haikal tahu dia dah bertunang dengan Irfan? Ah, pedulikan Dr.Haikal... Dia tidak pernah pun mengungkapkan kata-kata cinta pada diri kau Lisa...

“Lisa, maaf kalau aku tanya... Memandangkan kita akan kahwin tak berapa lama lagi, boleh aku tahu tentang keluarga kau... Aku dapat tahu Pak Cik Hamid yang aku jumpa tu bukan ayah kandung kau...” Irfan menuturkan ayat dengan penuh hati-hati agar tidak mengguris hati Lisa.

Lisa berpaling ke arah Irfan. Tiba-tiba hatinya terasa bergetar. Sudah lama tiada orang bertanya tentang kedua ibu bapa kandungnya. Memori yang disimpan jauh di dalam lubuk ingatannya terpaksa diselongkar kembali.

“Boleh...” Lisa tidak akan berahsia dengan Irfan memandangkan mereka akan hidup bersama tidak lama lagi.

“Ya, memang ayah Lisa yang awak jumpa tu bukan ayah kandung saya. Dia adalah bapa angkat saya...”

“Tapi, macam mana boleh berbintikan nama yang sama?”

“Kalau awak nak tahu, ayah saya pun bernama Abdul Hamid... Abdul Hamid bin Abdul Jabar... Manakala ayah angkat saya bernama Abdul Hamid bin Mohammad...”

“Ibu kau?...”

“Ibu saya bernama Rohayu binti Razak Ali...” Lisa tersenyum kelat.

“Sekarang ibu dan ayah awak dimana...”

Lisa tertawa kecil. Dirasakan begitu kelakar dengan soalan Irfan. Mereka namanya sahaja telah pun bertunang, tetapi latar belakang pasangan masih tidak diketahui dan seakan-akan baru bermula sesi perkenalan.

“Awak tak rasa kelakar ke?”

“Kelakar apanya?” Irfan hairan.

“Kitakan dah bertunang... Tapi, awak masih tak tahu latar belakang saya... Awak tak takut ke, kalau saya datang dari keluarga yang bukan baik-baik...”

“Itulah, kelakar juga rasanya... Selama ni kita sibuk bergaduh sahajakan... Jadi, tak ada masa pula nak bertanyakan perihal latar belakang masing-masing...”

“Awak tak takut ke kalau saya ni bukan orang baik...”

“Takut apanya… Aku akan terima kau seadanya,” jawab Irfan ikhlas.

Hati Lisa terharu dengan ungkapan Irfan. Tuluskah cinta dia pada aku?

“Ermm... Mana mereka sekarang?”

“Ibu saya dah lama meninggal... Selepas melahirkan Adam... Meninggal dalam kebakaran...” Lisa menunduk sayu. Matanya mula berair.

“Kebakaran?” Irfan sedikit terkejut.

“Rumah saya terbakar semasa saya baru sahaja masuk darjah satu...”

Irfan memutarkan ingatannya sekitar usianya di bangku sekolah rendah. Selaku ketua pelajar ketika itu, Irfan bertanggungjawab untuk memperkenalkan peraturan-peraturan yang ada disekolah ketika itu kepada pelajar yang baru berpindah kesitu. Ya, ketika itu Lisa sangat sedih dan suka menyendiri dan tidak banyak bercakap. Perkara ini berlarutan hampir tiga bulan sehinggalah Lisa naik berang apabila Irfan selalu mengusiknya agar mengukir senyuman sehingga menyebabkan kedua ibu bapa mereka dipanggil ke sekolah.

“Maknanya semasa darjah satu kau dah kehilangan ibu kau?”

Lisa mengangguk perlahan. Air matanya diseka dengan jari agar tidak gugur membasahi pipinya.

“Selepas ibu saya meninggal, saya tinggal bersama ibu dan ayah angkat saya sekarang... Kami berhijrah ke Selangor setelah peristiwa tersebut berlaku.

“Maaf aku dah mengungkit kisah sedih kau...” Hati Irfan tidak senang apabila melihat gadis dihadapannya ini mula mengalirkan air mata.

“Nak sapu tangan?” Irfan menyeluk saku seluar.

“Maaf, saya tak guna sapu tangan orang lain... Bekas awak lap peluk awak, awak nak bagi saya?” Lisa agak terkejut dengan huluran sapu tangan yang diberikan Irfan.

“Hello… Aku tak guna lagi tau!”

“Tak nak... Yarkk... Kotor,” kata Lisa jijik.

“Tak nak sudah... Jangan meleleh hingus tu sampai ke baju sudah...” Irfan memasukkan kembali sapu tangan ke dalam poket.

“Berlagak betul Minah ni... Hingus dah nak meleleh, disedup lagi... Pengotor betullah...” Irfan bebisik perlahan.

Lisa tidak menghiraukan kata-kata Irfan. Biarlah, dia rela menyedup hingusnya sendiri daripada menggunakan sapu tangan orang lain yang entah apa bekas dikesatnya.

“Habis tu, ayah kau?” Irfan menyambung kembali perbualan tersebut.

“Ayah? Entahlah... Katanya dah tak ada...” Lisa bangun dari duduknya. Kakinya mula mengatur langkah menuju ke tepi tasik. Irfan menuruti langkah Lisa.

“Entahlah?” Irfan hairan.

“Saya pun tak pernah melawat kuburnya...” Lisa mula mengutip batu-batu kecil di tepi tasik.

“Maksud kau?” Irfan berdiri disisi Lisa.

“Semasa saya dapat tahu abah dah tak ada, saya masih kecil dan ibu masa itu sedang sarat mengandungkan Adam. Itu pun kami dapat tahu daripada surat yang dikirimkan seseorang... Kami teringin sangat hendak melawat kuburnya... Disebabkan keadaan ibu yang bila-bila masa sahaja akan bersalin, kami tidak dapat meneruskan niat tersebut...” Lisa mula melontarkan batu-batu kecil ke dalam tasik. Riak permukaan tasik yang tenang sebentar tadi mula berubah dan beralun.

“Seseorang? Kau tahu siapa?”

“Tak tahu... Ibu sepertinya berahsia daripada pengetahuan saya. Mungkin disebabkan saya masih kecil dan tidak mahu saya tersalah anggap pada abah.”

“Kenapa perlu hantar surat untuk memberitahu perihal ayah kau?”

“Abah bekerja di Selangor... Sementara pula, saya dan ibu berada di Terengganu... Tiap-tiap bulan ayah akan kirimkan wang kepada kami dan setiap bulan jugalah ibu akan mengutuskan surat buat ayah. Nak ditalefon, abah ketika itu tidak memakai telefon dan ibu sendiri pun tidak mempunyai telefon. Namun, surat yang dikirimkan ibu tidak berbalas sehinggalah saat kematian ibu. Ibu berharap abah akan pulang setelah memberitahu dia telah hamil. Setelah berusaha mengutuskan surat berkali-kali, abah tetap juga tidak pulang. Abah hanya mengirimkan wang semata-mata di dalam sampul surat. Sepatah kata pun tidak dikirimkan hinggalah hari dikhabarkan abah telah meninggal dunia akibat kemalangan... Sejak abah dikhabarkan telah meninggal dunia, tiada lagi kiriman wang daripadanya... Sebelum kematian ibu, ibu agak terkilan kerana tidak dapat menunjukkan zuriat lelaki mereka yang diinginkan sangat oleh abah…” Lisa semakin rancak melemparkan anak batu ke tasik. Hiba di dadanya terasa begitu berat sekali. Rindu pada ibu dan abah tercinta sungguh menusuk kalbu. Kali ini air matanya gugur semahu-mahunya dihadapan tunangnya.

Irfan panik.

“Err... Lisa, kau ok?”Irfan mula gelabah. Apa yang harus dilakukan?

“Entahlah awak... Saya sedih sangat...” Lisa memberhentikan kata-katanya. Sebak di dada dirasakan begitu menyesakkan.

“Kalau macam tu, aku tak akan tanya lagi perihal keluarga kau... Tengok kau menangis macam ni buat aku rasa bersalah...”

“Ibubapa saya pergi dalam keadaan yang tragis... Ibu saya mati rentung didalam api kebakaran bersama adik kembar Adam... Nasib baiklah sewaktu kejadian Adam dibawa ibu angkat saya ke klinik… Kalau tak, mesti saya tinggal sebatang kara. Wajah ibu saya pun saya tak dapat lihat awak tahu tak... Hati mana yang tidak sedih kalau ibu yang dikasihi meninggal didalam keaadaan yang begitu memeritkan... Saya baru sahaja kehilangan abah... Tiga minggu kemudian ibu saya pula pergi bersama adik yang baru lahir...”

“Kalau kau rasa berat untuk bercerita, kita tamatkan dekat sini sahaja... Okay? Aku faham perasaan kau... Hanya orang yang terpilih sahaja yang akan mampu menghadapi ujian seberat ini sewaktu kecil...”

“Tak apa... Awak patut tahu semua ini... Walau berat macam mana pun dugaan yang diberikan, saya percaya pasti ada hikmah disebalik ini... Pasti akan ada sinar kebahagian dipenghujungnya. Dengan adanya dugaan ini, ia dapat mengajar hati saya agar terus tabah dalam menghadapi setiap dugaan dan rintangan dalam hidup saya...”

Irfan mengangguk perlahan. Senyuman nipis diukirkan di bibir merahnya. Rasa kagum tentang gadis ini semakin menyelubungi hati lelakinya. Disebalik senyuman ceria diwajah Lisa rupanya ada luka dalam yang telah mencederakan hatinya sejak kecil. Hari ini lukanya berdarah kembali. Irfan mula rasa bersalah kerana tidak memahami Lisa sejak dari kecil. Kalaulah Irfan tahu Lisa sedang merawat hatinya ketika itu, pasti Irfan tidak akan menganggu dan mengacau Lisa.

“Lisa, maafkan aku... Maafkan aku kerana aku tidak menjadi teman yang baik ketika kau menderita. Kalaulah aku tahu awak-awal, pasti aku tidak akan terus membuat lukamu berdarah…” bisik hati Irfan sambil merenung wajah Lisa dari sisi. Lisa tersenyum kelat. Air matanya telah berhenti mengalir.

“Lisa, sejak dari mula aku mengacau kau sejak hari itulah juga hati aku mula menyukaimu. Walaupun ketika itu kau marah, aku suka melihatnya... Sebab itulah aku gatal sahaja mengacau kau... Tapi, aku anggap itu hanyalah cinta monyet... Dan aku tidak mahu membuang masa memikirkan hal itu...” kata-kata itu hanya diungkapkan di dalam hatinya sahaja. Irfan tidak berniat untuk memberitahu Lisa tentang hubungan mereka ketika kecil.

“Haaa… Dekat sini pun kamu berdua!” sergah Huda dari belakang. Peluh didahinya dilap dengan tuala. Lisa dan Irfan berpaling ke belakang.

“Kau rupanya Huda... Ustaz Saiful mana?” tanya Irfan.

“Tuuu…” Huda menunjukkan jari telunjuknya ke arah orang menjual aiskrim.

“Bukan main seronok kamu berjoggingdengan encik tunang yer?” usik Lisa.

“Eh, mestilah... Engkau apa kurangnya... Berdating dengan encik tunang…” Huda mencubit manja lengan Lisa.

Lisa dan Irfan hanya tersenyum sambil memandang antara satu sama lain.

“Hai... Aduh, penatnya jogging,” kata Ustaz Saiful menghampiri mereka semua sambil membawa satu beg plastik aiskrim.

“Eh, nak sihat kan,” kata Lisa.

“Fikir nak sihatlah ni Lisa... Kalau tak, tak kuasa nak joggingni...”

“Nah, ambillah seorang satu… Semuanya sama jenis sahaja... Nanti kalau lain-lain ada pula yang dengki nanti...” Ustaz Saiful menghulurkan aiskrim seorang satu.

“Terima kasih,” ucap Irfan sambil menerima huluran Ustaz Saiful.

“Sama-sama... Jemputlah makan... Hahaha…”

Petang itu mereka menikmati aiskrim bersama-sama. Dirasakan persahabatan ini sungguh bermakna sekali. Apa yang pasti, persahabatan ini akan diakhiri dengan ikatan perkahwinan tidak lama lagi. Lisa dan Irfan bakal menamatkan zaman bujangnya terlebih dahulu dan selepas itu Ustaz Saiful dan Huda akan menjejaki langkah mereka memasuki gerbang perkahwinan.

Previous: BAB 39
Next: BAB 41

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.