Home Novel Komedi/Romantik Komedi Antara Mawar Dan Kaktus
BAB 36
BAB 36

Tuan Iskandar bergitu berselera malam itu apabila dihidangkan Ikan Baung Masak Tempoyak hasil air tangan isterinya. Sudah lama dia tidak merasai ikan air tawar. Tak sangka kepulangan Irfan dari Terengganu membawa pulang ikan dari Tasik Kenyir hasil dari tangkapan Irfan bersama keluarga Lisa.

Irfan tersenyum gembira melihat tahap keseleraan Tuan Iskandar. Betul kata orang, kalau ke Tasik Kenyir kalau tak memancing maka tak seronoklah. Pelbagai jenis ikan dapat dikail mereka hari itu. Antaranya Ikan Baung, Sebarau, Ikan Lampan Sungai, dan juga Ikan Kelah.

“Ya Allah... Sedapnya! Kalau macam inilah gayanya, bolehlah kita sekeluarga pergi sendiri ke Tasik Kenyir. Bukan main banyak Irfan bawa balik ikan Tasik Kenyir ni...” Tuan Iskandar menambah lagi nasi ke dalam pinggan.

“Boleh… Nanti kita pergi sama-sama,” kata Irfan bersungguh-sungguh. Dia tidak akan menolak jika diberi peluang sekali lagi untuk bertandang ke Tasik Kenyir.

“Mama, papa... Lepas makan nanti, ada hal yang ingin Irfan bincangkan dengan papa dan mama...”

“Lain macam sahaja bunyi Angah?” tanya Iffa sambil mulutnya meratah Ikan Kelah yang digoreng.

“Budak-budak tak boleh masuk campur... Ini hal orang dewasa sahaja,” kata Irfan sambil tangannya mencubit ikan goreng di dalam pinggan Iffa.

“Ok...” Iffa mengalah.

Irfan menanti kedatangan Puan Elinna ke ruang tamu dengan penuh debar. Irfan sudah bertekad dengan keputusan ini. Dia pasti Puan Elinna dan Tuan Iskandar tidak akan membantah. Irfan melihat air muka tenang Tuan Iskandar yang sedang memberikan sepenuh perhatian terhadap permainan catur yang dimainkan bersama Iffa. Irfan duduk berseorangan sambil matanya menatap syiling kapur rumahnya. Televisyen yang dipasang langsung tidak menarik perhatiannya. Fikiran Irfan kembali mengimbas bagaimana keputusan ini berjaya dibuat.

Semuanya bermula setelah mereka pulang dari Tasik Kenyir. Irfan meminta kebenaran untuk melihat album yang tersusun rapi di atas rak di dalam bilik Adam Mikhail.

“Adam, boleh abang tengok album-album ni?” pinta Irfan seusai solat Maghrib.

“Eh, kenapa pula tak boleh... Tengoklah... Ini album keluarga kami. Daripada Adam dan Kak Lisa kecil lagi...”

“Daripada kecil? Baguslah, gambar-gambar ni masih ada... Boleh buat kenangan suatu hari nanti,” kata Irfan sambil tangannya mencapai salah satu album dari rak.

“Abang tengoklah... Adam nak keluar sekejap... Nak pergi rumah kawan...”

“Malam-malam macam ni?”

“Dekat sahaja... Sebelah rumah tu... Isyak nanti Adam balik...”

“Ok... Abang tengok tau album-album ni?” Irfan meminta kebenaran sekali lagi.

“Tengoklah...”

Adam Mikhail telah pun keluar dari bilik. Irfan kembali duduk disejadah sambil tangannya mula membelek album yang diambil. Helaiannya diselak perlahan-lahan. Sekali-sekala bibir Irfan menguntum senyuman melihat telatah lucu yang berjaya dirakam.

Setelah habis melihat satu album, Irfan mengambil satu lagi album. Satu persatu helaian dibelek dengan cermat. Kali ini Irfan menatap sekeping gambar dengan perasaan yang terkejut dan tidak percaya. Helaian album dilihat sepantas yang mungkin dan berulang kali.

“Ya Allah!” Irfan masih lagi menatap gambar budak perempuan bersama seorang budak lelaki sambil ditangan kanak-kanak tersebut memegang aiskrim. Air mata Irfan mula bergenang. Perasaan bersyukur dan terharu mula mambalut tangkai hatinya. Tanpa berlengah lagi sujud syukur terus dilakukan Irfan menyatakan bertapa bersyukurnya dia kepada Tuhan Yang Maha Mengetahui.

“Irfan?” panggil Puan Elinna setelah melihat anaknya masih termenung jauh.

“Ya, ma...” Irfan mula menyedari kedatangan mamanya.

“Abang, Iffa... Dah-dahlah tu main catur... Jom makan buah ni.” Puan Elinna menunjukkan buah-buahan yang sudah siap dipotong yang diletakkan berhampiran mereka.

Irfan mengambil potongan buah kiwi lalu mengunyahnya. Perasaan berdebarnya mula merajai segenap jasadnya.

“Hah, Irfan… Apa yang kamu nak beritahu... Macam penting sahaja?” tanya Puan Elinna tidak sabar mengetahui apa yang ingin diperkatakan oleh anaknya.

“Irfan nak kahwin...” Irfan memandang wajah kedua orang tuanya.

“Apa Irfan? Papa macam tak berapa nak dengar tadi...” Tuan Iskandar seakan tidak percaya dengan apa yang diperkatakan oleh Irfan sebentar tadi.

“Irfan nak kahwin, pa...”

“Alhamdulillahhh…” Puan Elinna dan Tuan Iskandar mengucap syukur.

“Dengan siapa Angah?” tanya Iffa sedikit terkejut.

“Dengan Kak Lisa,” jawab Irfan malu-malu.

“Jururawat yang merawat papa tu ke Angah? Yang jadi model butik mama tu ke?” bertalu-talu soalan keluar daripada mulut Iffa.

Irfan hanya mengangguk.

“Tapi mama, papa... Lisa tak tahu pun pasal ni... Irfan nak papa dan mama pergi pinangkan Lisa untuk Irfan...”

“Lisa tak tahu? Macam pelik sahaja bunyinya Irfan?” Tuan Iskandar mulai curiga dengan permintaan Irfan.

“Ya, Lisa tak tahu... Dan apa yang pasti, Irfan mahukan Lisa sebagai isteri Irfan. Papa dan mama tolong pinangkan ya?” Irfan berkata lembut.

“Nak tolong pinangkan tu boleh Irfan, tapi Lisa ni dah ada orang punya atau belum?”

Irfan hanya mendiamkan diri. Tiba-tiba sahaja fikirannya teringatkan Dr.Haikal. Adakah hati Lisa milik jejaka tampan yang baru dikenalinya itu? Irfan harus bertindak cepat.

“Kenapa diam?” Puan Elinna bersuara setelah agak lama Irfan mendiamkan diri.

“Macam ni papa, mama... Apa yang Irfan tahu, belum ada sesiapa yang miliki Lisa... Tentang kekasih, Irfan tidak tahu... Nanti papa dan mama bincanglah dengan mak dan ayah Lisa... Irfan rasakan Lisa adalah jodoh Irfan. Hati Irfan kuat memperkatakan hal itu… Irfan sendiri pun tak tahu kenapa. Bila Irfan tengok Lisa, hati Irfan rasa tenang... Itu sahaja... Irfan pasti, papa dan mama juga sukakan Lisa kan?”

“Lisa itu baik orangnya... Papa tak nafikan... Tapi, sebaiknya Irfan bincanglah dahulu dengan Lisa. Kan itu lebih elok...”

Irfan tidak merasakan idea papanya adalah yang terbaik. Kalau Irfan bebincang dengan Lisa berkaitan hal ini, Irfan pasti Lisa akan menolaknya mentah-mentah. Biarlah hajat hatinya disampaikan oleh kedua orang tuanya. Biarlah mengikut tata dan tertib adab Melayu, Islam pun menganjurkan berbuat seperti itu.

“Wah, romantiknya Angah!! Macam inilah baru gentleman... Berkenan terus jumpa mak dan ayah si perempuan… Terus masuk meminang... Kalau Iffa, Iffa terus terima sahaja! Ini baru betul, tak menambah dosa bercouple...

“Amboi Iffa… Barang-barang nak bawa pergi asrama esok dah habis kemas?” tanya Puan Elinna.

“Alaa mama nii… Jangan sebutlah pasal asrama tu... Iffa tak sukalah...” Iffa menarik muncungnya. Malas betul hatinya mahu pulang ke asrama.

“Mama,papa... Tahun depan Iffa bertekad... Iffa tak nak tinggal di asrama… Tahun depan, Iffan nak tinggal dirumah... Bukan seronok pun tinggal di asrama tu...”

“Dah... Jangan nak mengarut... Sekolah tu sekolah bagus tau... Pergi naik atas... Kemas apa yang patut...”

“Yalah... Selamat malam...” Iffa bersalaman dengan papa dan mamanya sebelum naik ke atas. Topik hangat yang sedang diperbualkan itu terpaksa ditinggalkan memandangkan barang-barang keperluannya belum dikemaskan. Esok awal-awal pagi lagi dia harus bertolak ke sekolah. Mujurlah sekolah Iffa memberi kelonggaran kepada pelajar untuk pulang ke asrama pada awal pagi dengan syarat tidak melebihi pukul 7.00 pagi.

“Angah, all the best!!” Iffa menepuk bahu Irfan.

“Dengan Angah tak nak salam?”

“Oppss... Lupa...” Iffa kembali melangkah untuk bersalaman dengan Irfan.

Pemergian Iffa, membolehkan topik ini dibincangkan dengan lebih serius.

“Bila Irfan nak mama dan papa pinangkan Lisa?” Puan Elinna berkata serius.

“Bulan depan?” jawab Irfan yakin.

“Maknanya lagi dua minggu?”

“Eh, tak cepat sangat ke tu?” Tuan Iskandar bersuara. Dirasakan tindakan Irfan terlalu terburu-buru.

“Kita kena cepat papa... Nanti takut diambil orang… Irfan pasti, papa dan mama tidak akan menolak untuk berbesan dengan emak dan ayah Lisa… Irfan jamin!” Irfan mengukir senyuman.

“Jaminan apa yang boleh Tuan Peguam boleh berikan? ”

“Errr... Jaminan pinangan kita tidak akan ditolak...”

“Kalau ditolak macam mana?” Tuan Iskandar cuba menduga.

“Kita cuba dahulu... Kalau tak berjaya, lain cerita... Sekarang ini, kita mesti fikirkan tentang hal-hal positif sahaja,” kata Irfan lagaknya seperti pakar motivasi.

“Kenapa Irfan tak berbincang dengan Lisa terlebih dahulu? Kalau Lisa tak cintakan Irfan macam mana? ” Puan Elinna berkata risau.

“Cinta? Biarlah kami semai semasa kami dah berkahwin nanti ma... Lagipun sejak pertama kali berjumpa dengan Lisa, hati Irfan seperti tercuit untuk mengenalinya lebih mendalam... Mama tahu kan, Irfan selama ini mana layan perempuan…”

Puan Elinna dan Tuan Iskandar berpandangan. Berita tentang keinginan Irfan untuk berkahwin sudah begitu bermakna buat mereka berdua tetapi apa yang merisaukan hati mereka adalah bagaimana jika pinangan itu ditolak? Mereka bimbang Irfan akan kecewa dan terus merajuk daripada berkenalan dengan wanita. Riak wajah Irfan yang begitu yakin pinangannya akan diterima menambahkan lagi kegusaran di hati tua mereka.

“Nanti kalau mama dan papa mahu pinangkan Lisa, mama dan papa bawa gambar ni...” Irfan menghulurkan sekeping gambar lama. Gambar seorang budak lelaki bersama budak perempuan yang memegang aiskrim yang baru diambil di dalam album gambar lamanya ditatap lembut oleh Tuan Iskandar.

“Kenapa dengan gambar ni?” tanya Tuan Iskandar.

“Papa dan mama tidak cam, siapa budak perempuan tu?” Irfan tersengih.

“Tak… Siapa ni?”

“Nanti, mama dan papa akan tahu… Gambar inilah yang akan memperkukuhkan fakta kenapa pinangan kita akan diterima...”

“Apa? Mama tak fahamlah Irfan... Fakta? Ingat ini kes di dalam mahkamah ke...” Puan Elinna mengerutkan mukanya.

“Bila mama dan papa pergi ke rumah Lisa, mama dan papa akan faham apa maksud gambar ni...”

Puan Elinna dan Tuan Iskandar berpandangan sekali lagi. Kali ini anaknya cuba bermain teka-teki dengan mereka.

“Baiklah… Tapi ibubapa Lisa sudah tahu ke pasal Irfan nak hantarkan rombongan meminang ni?”

“Rombongan? Ramai ke yang nak pergi ma? Mama dan papa pergi berdua sahajalah...”

“Kalau macam tu, itu namanya merisik...”

Irfan termenung sekejap.

“Ma, bukan ke merisik dan meminang adalah perkara yang sama?”

“Tak sama Irfan... Ada bezanya disitu. Merisik merupakan satu langkah permulaan untuk pasangan mendirikan rumahtangga. Amalan ini menjadi kebiasaan bagi pihak lelaki untuk bertandang ke rumah keluarga perempuan yang bakal dijadikan teman hidupnya... Amalan ini biasanya dilakukan sendiri oleh ayah atau ibu pihak lelaki atau menghantar wakil untuk berkunjung ke rumah keluarga perempuan yang menjadi pilihan pihak lelaki. Tujuannya ialah untuk bertanyakan perihal anak perempuan keluarga tersebut sama ada sudah dipinang, atau samaada sudah mempunyai pilihan lain atau belum… Kalau Lisa belum ada pilihan lain, barulah kita boleh meneruskan hasrat kita untuk meminang Lisa… Setelah dinyatakan hasrat kita untuk menjadikan Lisa sebagai isteri Irfan, barulah pihak perempuan akan membuat keputusan samaada pinangan kita diterima atau ditolak… Biasanya, ibubapa pihak perempuan tidak akan memberi jawapan yang muktamad kepada pihak yang datang meminang kerana mengikut adat, mereka sepatutnya diberi tempoh untuk memberikan jawapan atau dipanggil bertangguh. Sebenarnya, adat bertangguh ini mencerminkan budaya Melayu yang amat berhati-hati dalam menentukan jodoh. Pada masa tempoh bertangguh ini juga ibubapa pihak perempuan akan berbincang dengan anak perempuan mereka samaada mahu menerima atau tidak pinangan tersebut... Jika pinangan kita diterima, barulah tarikh pertunangan akan dibincangkan dan ditetapkan... Selepas itu, barulah kita hantarkan rombongan meminang... Faham tak sayang?”

Irfan cuba memahami maklumat yang baru disampaikan Puan Elinna.

“Maknanya, kita tak boleh pinangkan teruslah ma?”

“Boleh tu boleh... Tapi kita merisiklah dahulu, selepas tu barulah dinyatakan hasrat untuk meminang… Biasanya kita akan duduk berbincang dan berkenalan antara keluarga lelaki dan perempuan, menyatakan tujuan merisik, cuba mendapatkan persefahaman antara kedua-dua belah pihak, kemudian barulah kedua-dua belah pihak berhak membuat keputusan samaada mahu menerima, menolak atau membatalkan hasrat yang diutarakan.”

“Membazir masalah kalau macam itu ma... Maknanya nak pergi banyak kalilah ke rumah pihak perempuan?”

“Amboi dah tak sabar nak kahwin anak mama ni rupanya...”

Tuan Iskandar ketawa kecil melihat reaksi Irfan.

“Bukan macam tu maksud Irfan... Kita kan tinggal jauh... Nak ulang-alik macam ni macam tak praktikal sahaja...” Irfan cuba berdalih.

“Nakkan anak orang, berusahalah sikit...” Tuan Iskandar bersuara dengan nada sedikit menyindir.

Irfan hanya tersengih. Malu dengan kata-kata papanya.

“Kalau meminang macam mana pula ma?” Irfan bertanya lagi. Mamanya memiliki butik perkahwinan, jadi sudah pasti mamanya serba sedikit tahu tentang adab-adab yang harus dilakukan.

“Kalau meminang kita akan datang sekali lagi untuk melangsungkan upacara peminangan atau biasanya kita dengar sebagai majlis pertunangan. Biasanya pihak perempuan akan bersedia untuk menyambut kedatangan pihak lelaki.”

“Haa… Kalau macam tu, papa dan mama pergi merisik Si Lisa tu... Kalau tak ada orang punya, papa dan mama terus pinangkanlah… Jimat masa... Tak payah ulang-alik… Lepas tu telefon sahajalah, tanya samaada pihak perempuan bersetuju atau tidak… Kalau setuju, kita terus hantarkan rombongan untuk bertunanglah! Kalau nak lagi cepat kita bertunang selepas tu terus kahwin!” Irfan membulatkan matanya sambil melemparkan ideanya yang dirasakan wajar.

“Kenapa tergesa-gesa sangat Irfan? Terus kahwin? Maknanya Irfan nakkan majlis pertunangan dan majlis akad nikah dilakukan serentak? Macam tu?” Puan Elinna cuba mendapatkan kepastian.

“Irfan rasakan itu yang terbaik...”

Tuan Iskandar dan Puan Elinna hanya mendiamkan diri. Diam kerana berfikir dengan idea yang dicadangkan Irfan.

“Perkara macam ini, kita tidak boleh fikirkan sebelah pihak sahaja… Kita juga mesti dapatkan persetujuan daripada pihak perempuan… Tak apalah, kita pergi merisik dahulu, kalau Lisa masih belum berpunya, kami akan pinangkan untuk Irfan… Tentang tarikh bertunang atau berkahwin tu kita bincangkan kemudian manalah tahu kalau hasrat kita ditolak...”

“Mama ni... Cakap macam tu pula... Tak apa, Irfan yakin 100% pinangan kita tidak akan ditolak. Dijamin! Silap-silap kedua-dua belah pihak terus mahu melangsungkan perkahwinan tanpa berbincang dengan Lisa… Hahahaha…” Irfan ketawa senang hati dengan keyakinan yang digambarkan dengan setiap kata-katanya.

“Amboi… Ketawa-ketawa juga… Cincin dah ada ke?” Tuan Iskandar menegur.

“Betul tu Irfan... Cincin dah ada ke?”

“Cincin? Bukan ke baru nak merisik?” Irfan hairan dengan pertanyaan kedua orang tuanya.

“Merisik pun pakai cincin tau,” jelas Puan Elinna.

“Sekejap-sekejap... Maknanya, banyaklah perempuan dapat cincin? Ermm… Merisik satu, bertunang satu dan berkahwin satu… Tiga cincin semuanya?” Irfan cuba mengira cincin yang bakal Lisa perolehi.

“Betul tu... Itulah salah satu keuntungan menjadi orang perempuan,” jawab Puan Elinna sambil mengjungkitkan keningnya pada Tuan Iskandar.

“Cincin belum adalah ma... Nak cari yang mahal ke?”

“Suka hati Irfanlah nak cari yang macam mana... Tapi untuk merisik ni biasanya orang akan guna cincin belah rotan sahaja…”

“Cincin belah rotan? Apa tu?” Irfan tidak faham.

“Alaa... Cincin yang tak ada batu permata tu... Bulat semata-mata...”

“Ooo… Nak pakai emas ke?”

“Eh, mestilah... Irfan mampukan...”

“Ok, nanti Irfan carikan...”

“Saiz cincin tu mesti tepat tau dengan jari Lisa... Kalau ketat tak dapatlah Lisa memakainya,” pesan Puan Elinna.

“Saiz? Macam mana aku nak tau? Pegang tangan Lisa pun tak pernah,” fikir Irfan.

“Nanti, Irfan usahakan ya ma...”

“Jangan pula Irfan potong jari Lisa nak ukur saiz nanti,” kata Tuan Iskandar.

“Hahaha... Abang ni... Ada ke patut cakap macam tu...”

“Eh, manalah tahu... Anak kita ni bukan betul sangat pun...” Tuan Iskandar teringatkan peristiwa bagaimana awal perkenalan Lisa dan Irfan suatu ketika dahulu. Bukan main bersungguh Irfan merebut telefon yang berada ditangan Lisa sehinggakan Lisa naik berang semata-mata mahu mendapatkan nombor telefon Lisa.

“Tak kan Irfan nak potong jari Lisa, pa... Nanti hilang jari isteri Irfan... Mama, papa... Kalau boleh, rahsiakan dulu perkara ni daripada pengetahuan Lisa… Biar dia dengar sendiri hajat hati Irfan daripada kedua orang tuanya,” pesan Irfan dengan penuh berharap.

“Kiranya nak buat kejutanlah ni?” tanya Tuan Iskandar bersungguh.

“Lebih kurang macam itulah... Takut nanti Lisa segan dengan Irfan...”

“Baiklah... Kami akan rahsiakan...”

“Eh, Irfan dah beritahu Lisa tentang pelancaran rekaan baju pengantin terbaru butik mama?” Puan Elinna menukar topik.

“Belum la ma… Irfan lupalah... Bila ya?”

“Sabtu minggu depan... 8.30 malam... Perkarangan butik kita...Irfan ni... Nasib baik mama tanya tau… Kan tak pasal-pasal model untuk baju pengantin tak dapat datang... Tahu-tahu sahajalah, jururawat ni bukan senang nak dapatkan cuti...”

“Maaflah mama... Nanti Irfan hantar mesej dekat Lisa...”

“Aik? Hantar mesej sahaja? Tak nak call?” Tuan Iskandar mencelah.

“Jimat,” kata Irfan.

Serentak selepas itu mereka ketawa kecil.

“Oklah mama, papa... Irfan naik atas dulu... Baju nak pergi kerja esok Irfan belum seterika,” kata Irfan sambil bersalaman dengan kedua orang tuanya. Sudah menjadi kebiasaan mereka adik-beradik untuk bersalaman sebelum masuk beradu.

“Ok sayang... Lepas ni adalah orang tolong seterikakan,” usik Puan Elinna.

“Aminnn…” Irfan tersenyum meleret.

Puan Elinna dan Tuan Iskandar melihat langkah Irfan menaiki tangga dengan senyuman bahagia di wajah.

“Abang, tiba-tiba pula saya rasa tak sabar nak bermenantu ni! Kalau macam ni saya nak reka baju khas untuk perkahwinan anak kita,” Puan Elinna cuba membayangkan rekaan yang sesuai untuk Lisa dan Irfan.

“Awak ni... Belum apa-apa lagi awak dah pasang angan-angan... Kita ni belum merisik Si Lisa lagi… Kalau dia dah berpunya, meloponglah awak nak bermenantukan dia,” nasihat Tuan Iskandar.

“Abang ni… Tak sangka, Irfan terpikat dengan Lisa kan? Saya memang dah suka lama dekat budak tu... Tapi tak sangka pula Irfan pun sukakan dia... Abang tahu macam mana mereka boleh berkenalan?”

Tuan Iskandar menceritakan segalanya kepada Puan Elinna. Detik pertemuan yang diceritakan sendiri oleh Irfan kepadan Tuan Iskandar diceritakan kembali kepada Puan Elinna. Maka, meloponglah mulut Puan Elinna mendengar setiap kelakuan anaknya.

“Katak Irfan hadiahkan pada Lisa? Siapa yang ajar dia tu?”

“Entahlah... Saya pula tolong balutkan riben pada kotak hitam putih tu... Nasib baik katak tu tak keluar! Fuh!”

“Hahaha... Abang pun satu... Yang pergi usik hadiah anak kita tu kenapa?”

“Bukan usik... Tolong cantikkan...”

“Irfan, Irfan... Kalau macam inilah gayanya, agak-agak Lisa nak tak dekat anak kita tu?! Risaulah saya...”

“Entahlah... Tapi kan, siapa yang tak nak anak kita tu... Kacak, pandai, peguam pula tu… Kadang-kadang sahaja tu perangai dia gila-gila sikit...”

“Nasib baik ada paras rupa... Bolehlah coversikit perangai kebudak-budakkan tu,” kata Puan Elinna.

Puan Elinna dan Tuan Iskandar berharap segala impian anaknya akan tertunai. Semoga dibuka hati Lisa untuk menjadi sebahagian daripada keluarga mereka.

Previous: BAB 35
Next: BAB 37

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.