Home Novel Komedi/Romantik Komedi Antara Mawar Dan Kaktus
BAB 31
BAB 31

Pengambaran selama 3 hari sungguh memenatkan tetapi ia memberi pengalaman yang begitu bermakna buat Lisa. Hari ini adalah hari mereka menjelajah keseluruhan pulau. Pelbagai aktiviti dilakukan seperti aktiviti kayak dan snorkeling. Walaupun tidak tahu berenang, peluang keemasan ini tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.

Keheningan suasana sekitar Pulau Kapas pasti mampu memberi ketenangan kepada pengunjungnya. Melihat persisir pantainya yang memutih bak hamparan kapas sudah cukup mengujakan. Pengalaman berjalan berdua bersama Irfan merasai nikmat berkaki ayam di sepanjang pantai petang tadi telah dapat memperbaiki hubungan mereka yang sentiasa bercakaran antara satu sama lain. Sekali sekala Irfan dan Lisa berlari anak mengejar antara satu sama lain, momen ini cukup membahagiakan. Lisa tersenyum sendirian apabila teringatkan kenangan siang tadi.

“Lisa, senyum lebar nampak,” tegur Mimi.

“Ada orang buat Lisa terpikat ke?” Wanda mencelah sambil tangannya mengemas baju untuk dibawa pulang esok pagi.

“Siapalah yang Lisa terpikat tu?” tanya Lisa pura-pura tidak tahu.

“Siapa lagi... Encik Irfan kita itulah...” Mimi menepuk perlahan bahu Lisa.

Lisa hanya tersenyum.

“Tengok tu... Dia senyum lagi,” usik Wanda.

“Dahlah tu... Kemaskan barang-barang tu... Esok awal-awal pagi kita dah nak balik,” kata Lisa malu.

“Esok Lisa terus balik Kuala Lumpur ke?” tanya Wanda.

“Tak, esok Lisa balik ke kampung Lisa dahulu... Lisa masih ada baki cuti...”

“Seronoknya...”

“Kalau macam tu, jomlah singgah kampung Lisa,” pelawa Lisa ikhlas.

“Tak boleh... Sebab kalau boleh kami nak sampai cepat... Bawa kereta malam-malam jauh macam ni tak sedap juga... Kalau boleh nak sampai awal.”

“Alaa... Kampung Lisa dekat sahaja... Dalam 15 minit macam tu dah sampai dah.”

“Dekat sahaja ke? Ok, nanti kami bincang dengan Jayjay. Diakan pemandu kami semua... Kalau dia kata boleh, kami singgah... Tapi sekejap sahajalah...”

“ Ok, cantik!” Lisa menaikan ibu jari tangan kanannya.

Di kampung, emak dan ayah Lisa bersiap-siap untuk menerima kunjungan tetamu mereka hari ini. Masakan tengahhari disiapkan lebih awal agar tetamu dapat menikmati makan tengahhari sebelum mereka bertolak pulang ke Kuala Lumpur.

“Abang, jangan-jangankan Lisa dah bawa calon menantu kita sekali... Mana tahu kan?”

“Harapnya macam itulah… Kita ni pun dah tua,” kata Encik Hamid.

“Apa pula tuanya... Taklah tua sangat… Cakap sahajalah yang awak tu tak sabar nak menimang cucu kan,” kata Puan Raudah.

“Semestinya,” jawab Encik Hamid teruja.

“Pukul berapa budak-budak ni keluar dari pulau?” tanya Puan Raudah kepada suaminya.

“Entahlah... Lisa cakap dalam pukul 10.30 pagi macam itulah...”

“Agak-agak dalam pukul 11 lebih sampailah mereka tu... Jomlah cepat tolong saya ni...”

“Laa... Kan Surianti ada.... Saya dah suruh Adam tolong kaitkan buah rambutan depan rumah kita tu... Saya nak pergi tolong Adam ni. Nanti bolehlah mereka makan dalam perjalanan nanti...”

“Elok sangatlah tu... Buah rambutan tu dah tak terlarat kita nak makan. Banyak sangat buahnya... Tapi, tolonglah saya sekejap... Surianti orang gaji awak tu saya dah minta dia ke kedai beli lada kisar.”

“Yalah... Saya tolong... Tak larat nak makan awak kata... Nanti balik anak dara awak tu, habislah dia kerjakan buah rambutan tu.”

“Hahaha... Awak nasihatkan sikit Si Lisa tu... Jangan makan atas pokok rambutan. Nanti saham jatuh!” Puan Raudah berkata-kata sambil tangannya ligat membasuh beras.

“Nantilah saya nasihatkan dia... Dah besar panjang budak tu... Kalaulah arwah Rohayu dan Hamid ada, mesti mereka gembira tengok anak mereka dah besar,” kata Encik Hamid sayu.

“Nak buat macam mana umur mereka tak panjang... Sekurangnya kita dapat menjaga mereka berdua... Mujur nama awak dan arwah Hamid sama... Taklah rakan mereka perasan yang mereka berdua sudah tidak beribu dan berayah...”

“Itulah... Walaupun mereka tahu kita ni ibu dan ayah angkat, tapi mereka sangat patuh pada kitakan... Semoga ada hikmah disebalik penderitaan mereka di atas kehilangan ibu dan abah tercinta...”

“Mudah-mudah...”

“ Irfan, awak ok tak ni?” tanya Lisa cemas sebaik sahaja Irfan muntah-muntah sebaik sahaja tiba di Jeti Marang.

Encik Fuad menepuk perlahan belakang Irfan. Irfan masih mengeluarkan isi perutnya.

“Mabuk laut ni,” kata Encik Fuad.

“Masa datang hari tu, ok... Takkan hari ni mabuk laut pula,” kata Lisa risau.

“Eh, panas ni,” kata Encik Fuad sebaik sahaja menjamah dahi Irfan. Badan Irfan kelihatan sedikit menggigil.

“Aku demam,” kata Irfan perlahan.

“Demam? Macam mana nak balik ke Kuala Lumpur kalau demam?” tanya Daus.

“Aah... Bahaya ni kalau memandu seorang diri,” kata Encik Fuad risau.

“Habis tu macam mana?” Raizal berfikir.

“Haa... Apa kata kalau Irfan tinggal rumah Lisa buat sementara. Lagi pun, Irfan cuti panjang,” cadang Raizal.

“Rumah Lisa? Ermm... Nantilah kita tanya emak dan ayah Lisa,” kata Lisa kurang selesa.

Irfan duduk dibangku yang disediakan. Kepalanya begitu pening.

“Kalau tak boleh tumpang rumah kau, kau campaklah aku dekat mana-mana hotel dekat sini... Lisa, kau bawa kereta aku boleh? Aku rasa aku tak boleh memandu ni... Kepala ni rasa sakit sangat,” Irfan menghulurkan kunci kereta pada Lisa.

“Kalau macam tu kita ke klinik dahululah,” cadang Lisa.

“Tak payahlah... Nanti mereka ni lambat pula nak bertolak ke Kuala Lumpur... Lagipun aku dah telan ubat demam yang aku bawa.”

“Oklah... Jomlah kita gerak ke rumah Lisa...” Lisa mengukir senyuman nipis.

Tanpa berlengah lagi, mereka mengangkat barang-barang mereka menuju ke tempat letak kereta.

“Betul ke ni awak tak boleh memandu?” tanya Lisa curiga. Laju sahaja tangannya menyentuh dahi Irfan. Irfan agak terkejut dengan tindakan Lisa.

“Tak panas pun?” kata Lisa sambil merenung Irfan dengan tanda tanya.

“Kau ni nama sahaja jururawat! Tak semestinya kalau demam badan akan panas... Tengok sekarang ni, aku pakai baju sejuk. Aku sejuk tahu tak?!”

“Yalah... Sakit-sakit pun nak marahkan orang. Saya cucuk awak dengan jarum baru awak tahu...” Lisa menjeling ala-ala merajuk.

Irfan hanya tersengih. Dia menunjukkan isyarat tanda bagus kepada Encik Fuad dan yang lain tanpa Lisa melihat kelakuannya.

Lisa dan Irfan memasuki kereta lalu enjin kereta dihidupkan. Lisa memeriksa terlebih dahulu kedudukan butang signal,brek dan sebagainya. Maklumlah Lisa tidak biasa membawa kereta Audi TT-RS Roadster dan ini adalah pengalaman pertama dan dia tidak boleh main redah begitu sahaja. Kereta mengundur ke belakang. Lisa mula memulakan pemanduannya.

“Lisa, laju sikit boleh tak... Aku rasa macam nak muntah. Kalau laju, cepat sikit sampai...”

“Apa? Nak muntah?” cepat-cepat Lisa memberikan signal berhenti di bahu jalan.

“Haa... Cepatlah muntah... Kita tak boleh berhenti lama dekat sini...”

Irfan terus keluar dari kereta menuju ke longkang. Segala isi perut dikeluarkan. Bau longkang tersebut banyak membantu dirinya mengeluarkan isi perut.

“Hebat lakonan anak Puan Elinna ni,” puji Encik Fuad di dalam Toyota Alphad yang turut berhenti di bahu jalan.

“Hahaha… Tak pasal-pasal kita pun dapat dosa menipu,” tambah Raizal.

“Apa? Lakonan?” tanya Mimi hairan.

“Sebenarnya, Encik Irfan kita tu dah berpakat dengan kami sengaja nak kenakan Lisa. Lagipun, Encik Irfan cakap, Lisa adalah calon menantu kepada Puan Elinna…”

“Apa? Calon?” tanya Wanda sedikit terkejut. Selama ini tiada ura yang mengatakan mereka bercinta dan Encik Irfan bukanlah jenis lelaki yang melayan perempuan. Perempuan yang cuba berdamping dengannya semuanya ditolak mentah-mentah.

Raizal menganggukkan kepala.

“Ini baru calon... Bukan bakal menantu... Irfan kata dia nak bermalam di rumah Lisa... Kalau dah bermalam, maka senanglah Irfan menyiasat latar belakang Lisa. Kalau sesuai terus naik pangkat jadi bakal menantu! Cik Lisa tu cantik orangnya... Baik pula tu... Sesuai sangatlah mereka berdua,” kata Raizal beria.

“Nampaknya Encik Fuad kena bersiap-sedialah nak reka designbaju pengantin yang baru,” kata Mimi teruja.

“Eh, nanti kita semua tolonglah kuatkan fakta kenapa Encik Irfan harus tinggal di rumah Lisa,” pinta Daus.

“Ok... Tiada hallah,” kata Wanda.

“Eh, aku tengok Encik Irfan ni semakin menjadi-jadi pula muntah dia...”

“Apa taknya... Dah dia muntah tepi longkang macam tu... Itu mesti sebab dia tak tahan dengan bau longkang tu… Hahahaha… Kau tengok Lisa tu, dia pun tutup hidung... Rasanya, kalau Lisa tahu Irfan menipu, mesti dia tendang Irfan masuk ke dalam longkang tu! Hahahaha..,” Jayjay berseloroh.

“Hahahahaha...,” ketawa mereka bersatu.

“Ok, Dah-dah... Lisa datang…”

Cermin Toyota Alphad diturunkan. Sebaik sahaja cermin diturunkan, bunyi bising kenderaan diluar terus menerjah ke lubang telinga.

“Irfan ok tak Lisa?” tanya Wanda.

“Entahlah... Ok kut… Dalam 5 minit lagi kita sampai... Dah dekat ni dengan rumah Lisa... Ada air tak?” suara Lisa tenggelam timbul dengan bunyi bising kenderaan yang lalu-lalang.

“Ada... Nah.” Sebotol air mineral dihulurkan kepada Lisa.

Lisa menuju ke kereta dan air tersebut dihulurkan kepada Irfan yang kelihatan tidak bermaya.

Lisa meneruskan pemanduan. Tidak lama kemudian, kereta mula melalui jalan kampung. Permandangan sawah yang telah lama tidak diusahakan begitu menghijau dengan tanaman rumput yang sengaja ditanam sebagai makanan kepada lembu dan kuda. Kereta mula memasuki perkarangan banglo setingkat yang boleh dikatakan agak besar.

“Emak!!! Kak Lisa dah sampai!!” jerit Adam Mikhail, adik Lisa yang 7 tahun lebih muda berbanding Lisa dari perkarangan rumah.

Puan Raudah terus berlari keluar dari rumah. Hatinya begitu gembira melihat kepulangan Lisa.

“Apa khabar ayah?” Lisa bersalaman dengan Encik Hamid yang duduk dibangku mengikat buah rambutan.

“Baik...” Encik Hamid tersenyum lebar.

“Gemuk adik akak ni sekarang...” Adam, adik yang dikasihinya sejak dahulu dipeluk erat.

Setibanya Puan Raudah di halaman rumah, mereka berpelukan mesra. Pipi Puan Raudah dicium Lisa berkali-kali manakala Irfan dan yang lain keluar bersalaman dengan tuan rumah. Kemesraan Lisa bersama keluarganya sangat mencuit hati. Irfan meneliti wajah Puan Raudah dan Encik Hamid. Irfan tersenyum sendiri. Wajah yang penuh dengan kasih sayang. Namun hati Irfan sedikit gusar sepertinya dia mengenali wajah kedua orang tua Lisa.

“Mungkinkah Lisa... Ah, tak mungkin!” Irfan menepis andaian yang cuba bermain di mindanya.

“Yang mana satu Irfan ni,” tanya ayah Lisa.

“Saya,” jawab Irfan sambil wajahnya mengukir senyuman.

“Anak ni macam tak sihat... Demam ke?” tanya ayah Lisa.

“Aah... Dia demam pak cik,” jawab Wanda cuba menolong Irfan.

“Macam mana nak balik, kalau demam... Kuala Lumpur tu jauh,” tanya Puan Raudah risau. Lisa di sisi Puan Raudah hanya diam membisu. Biarlah emak dah ayahnya menguruskan Irfan. Rambutan di dalam bakul sudah dicapai Lisa. Lisa mendongakkan kepala ke atas.

“Wah, lebatnya buah,” Lisa sudah berkira-kira untuk memanjat pokok ini setelah tetamu yang hadir pulang.

“Boleh... Tak ada masalah mak,” Adam tersenyum.

“Apa yang boleh ni?” tanya Lisa yang sudah terlepas mendengar perbualan mereka.

“Abang Irfan tumpang bilik Adam,” jawab Adam gembira.

Wajah kacak Irfan mengukir senyuman sebaik sahaja Lisa memandang dirinya.

“Tumpang?” tanya Lisa yang masih tidak jelas dengan jawapan yang diberikan Adam.

“Dahlah... Jemput masuk ke dalam… Bersembang dekat luar pula kita ni... Dahlah panas... Jemput masuk semua,” pelawa Pak Cik Hamid.

Lisa terpinga-pinga diluar.

“Kak Lisa, Abang Irfan tu, teman lelaki Kak Lisa ke?”

“Eh,taklah... Jangan nak mengarut! Jom angkat beg Kak Lisa masuk kedalam,” kata Lisa sambil membuka bonet kereta.

“Sekali dengan beg Abang Irfanlah... Dia tumpang rumah kita sampai dia sembuh...”

“Emak dan ayah izinkan ke?” tanya Lisa tidak senang namun suara masih diperlahankan.

“Emak dan ayahlah tu yang pelawa... Tambah-tambah lagi Abang Irfan bawa kereta seorang diri macam ni... Bahaya pulang seorang... Lagipun diakan demam...”

“Alah... Bukannya susah pun... Rakan yang lainkan boleh tolong bawakan kereta dia tu...” Lisa masih tidak puas hati.

“Yang lain semua cakap tak pandai bawa kereta Abang Irfan ni... Tadi Kak Lisa ke yang pandu? Untunglah orang tu dapat bawa kereta mewah macam ni...”

“Dah, banyak cakap pula dia ni... Jom masuk ke dalam... Emak masak apa hari ni?”

“Tak tahu... Adam dari pagi tadi duduk dekat luar ni kait buah rambutan dengan ayah...”

“Nanti kita panjat pokok ni... Geram Kak Lisa tengok pokok ni. Lebat pula buahnya tahun ni...”

“Tak payah panjatlah Kak Lisa... Semuanya dah dikait...”

“Makan atas pokok baru seronok,” Lisa melangkah masuk ke dalam rumah.

“Beg Irfan dah bawa masuk ke?” sapa ayah Lisa.

“Dah... Ini dia. Adam bawa masuk ke dalam bilik dulu ayah,” jawab Adam manakala Lisa duduk bersama mereka diruang tamu.

“Ini kunci kereta awak...” Lisa memberikan kunci kereta kepada Irfan.

Encik Fuad dan yang lain hanya tersenyum dengan penuh makna.

Mereka berbual kosong sementara kaum perempuan menghidangkan makanan yang sudah siap dimasak. Setelah makanan dihidangkan, mereka menjamu selera sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur.

“Terima kasih, pak cik, mak cik, Lisa... Terima kasih kerana pelawa kami datang ke rumah,” kata Wanda mewakili yang lain sebelum berangkat pulang.

“Sama-sama... Jangan lupa singgah beli keropok dekat tempat yang kita singgah hari tu... Keropok dekat situ sedap tau,”pesan Lisa.

“Nanti kami borong semua...”

“Nah, ini plastik kosong manalah tahu nanti kamu nak buang kulit rambutan ni,” hulur Puan Raudah.

“Terima kasih... Manis buah rambutan ni mak cik... Tapi kasihanlah orang yang demam tu... Tak dapat dia makan rambutan... Nanti takut terkena batuk,” kata Raizal sekadar mengenakan Irfan yang sejak dari tadi memandang pokok rambutan yang berbuah lebat di halaman rumah Lisa. Terliur agaknya...

“Tak apa... Nanti ada jururawat yang tolong jagakan... Mesti cepat sembuh...” Tiba-tiba Adam mencelah.

“Elok sangatlah tu... Lisa, kau cucuk dia habis-habisan,” kata Mimi.

“Insya-Allah... Tak ada masalah... Itu kerja senang.” Lisa tersenyum sinis.

Irfan hanya berpura-pura tidak mendengar perbualan mereka. Hatinya senang kerana perancangannya berjalan dengan lancar.

Setelah bersalaman, mereka masuk ke dalam Toyata Alphad yang sudah bersedia untuk memulakan pemanduan. Kini, tinggallah Irfan di rumah Lisa.

“Awak, masuk ke dalamlah... Panas dekat luar ni,” kata Lisa lembut.

Puan Raudah dan Encik Hamid hanya tersenyum. Mereka tertanya-tanya adakah mereka berdua mempunyai hubungan yang istimewa? Pasti pengambaran baju pengantin yang digayakan pasangan ini tempoh hari nampak begitu ekslusif. Tidak sabar hati tua mereka mahu melihat gambar baju pengantin yang digayakan Lisa meskipun bukan pakaian pengantin untuk Lisa dalam erti sebenar.

Lisa masuk ke dalam rumah dan terus ke dapur. Segala pinggan mangkuk, Lisa letakkan ke dalam sinki. Sudah menjadi kebiasaan di dalam rumah ini untuk tidak menyerahkan semua tugas di dalam rumah ini 100% kepada orang gaji. Tuan rumah turut membantu menyelesaikan tugas-tugas ini. Orang gaji pun manusia dan mereka menganggap Surianti sebahagian daripada keluarga ini.

“Kak Surianti, tolong Lisa bagi kucing-kucing makan...”

“Sudah dibagi tadi...”

“Oh ya ke? Kalau macam tu, Kak Surianti tolong tiarapkan pinggan yang dah kering inilah...” Laju sahaja tangan Lisa membasuh pinggan di dalam sinki.

“Ini semua biar Kak Surianti basuhlah... Cik Lisa kan baru sahaja sampai...”

“Tak apalah... Kak Surianti tolong Lisa tiarapkan pinggan tu...”

“Baiklah...”

Di ruang tamu, Irfan berbual dengan Pak Cik Hamid. Sesi memperkenalkan diri bermula. Puan Raudah hanya mengeleng kepala melihat telatah suaminya. Ramah tak bertempat.

“Abang, kan budak tu demam... Bagilah budak tu rehat,” kata Puan Raudah.

“Lupa pula abang... Nampak sihat pula budak ni...” Pak Cik Hamid meneliti air muka Irfan.

“Alamak... Pak Cik ni cam ke... Habislah aku kena halau nanti.” Irfan mulai risau.

“Kalau macam tu, tidurlah dalam bilik... Adam! Oo Adam…”

“Mana anak awak ni Raudah?”

“Ada, dalam bilik tu... Kemas bilik agaknya...”

“Eh, tak apalah pak cik, mak cik... Tak payah susah-susah... Saya kalau demam saya tak boleh tidur petang-petang macam ni... Nanti makin teruk demam saya ni...”

“Haa... Kalau macam tu, ayah urutkan Irfan ni,” kata Lisa sebaik sahaja keluar dari dapur.

“Haa... Boleh... Kalau Irfan nak tahu, pak cik ni pakar mengurut... Biasanya kalau dekat kampung ni, kalau ada orang demam pak cik pergilah mengurut... Biar lancar perjalanan darah... Cepat sikit sembuh demam tu.”

“Eh, tak apalah pak cik... Susahkan pak cik sahaja.”

“Tak ada susahlah... Jom solat dulu... Lepas tu kita mengurut dekat bawah pokok rambutan tu...”

Irfan tidak dapat membalas kata-kata Encik Hamid.

“Lisaa... Mana pula Lisa ni?” tanya Pak Cik Hamid sebaik sahaja panggilannya tidak bersahut.

“Lisa dah masuk dalam bilik... Nak solat agaknya... Kenapa, bang?”

“Saya nak suruh Lisa ambilkan minyak mengurut tu...”

“Tak apa, nanti saya ambilkan,” kata Puan Raudah. Itulah kerja sampingan suaminya. Sejak mempunyai pekerja sendiri di ladang kelapa sawit, suaminya mempunyai banyak masa lapang. Masa lapangnya diisi dengan mengurut orang yang memerlukan khidmatnya tanpa mengambil upah. Cukuplah sekadar membantu.

“Abang Irfan... Masuklah bilik saya tu... Maaflah bersepah sikit,” kata Adam menjemput Irfan menggunakan biliknya.

“Tak apa... Biasalah tu, orang bujang,” kata Irfan walaupun pada hakikatnya dia tidak suka bilik yang bersepah. Tapi, tak kanlah dia nak menegur. Inikan rumah orang...

Irfan melangkah memasuki bilik Adam.

“Tak adalah bersepah pun... Kemas!” puji Irfan.

“Kalau abang nak tidur, tidur sahajalah atas katil Adam ni... Abang rehatlah... Untuk arah kiblat, ikut arah sini... ” Adam menunjukkan arah kiblat.

“Ok, terima kasih...”

“Abang, bilik air dekat sini tau...” Adam menunjukkan bilik air yang agak tersorot didalam biliknya. Kalau tidak diperhatikan betul-betul, memang tidak nampak kerana ia terlindung disebalik almari yang sengaja diletakkan di situ.

Irfan menggangguk tanda faham. Adam keluar dari bilik bagi memberikan privasi kepada tetamunya.

Di dalam bilik, Irfan mengeluh sendirian.

“Mengurut? Matilah aku... Mesti pak cik tahu aku ni tak demam. Tapi, nasib baiklah kaki aku ni sakit sebab terlebih jalan... Bolehlah coverdemam aku ni...” Irfan mulai risau.

Irfan mula mengambil wuduk untuk Solat Fardu Zohor. Seusai menunaikan solat, Irfan berbaring di katil. Entah macam mana, matanya terus terlelap. Mungkin perutnya terlalu kenyang. Angin dari sawah yang terbentang luas menerjah masuk ke dalam kamar memberikan satu suasana yang begitu nyaman serta mengulit lena di siang hari.

“Adam, mana Abang Irfan?” tanya Pak Cik Hamid yang telah lama menunggu di beranda rumah.

“Ada dekat dalam bilik... Tidur agaknya...”

“Tidur? Tadi janji nak mengurut...”

“Sekejap ayah... Adam panggilkan...”

Adam menyelak langsir yang menutupi daun pintu. Begitu lena Irfan melelapkan mata. Adam memberanikan diri mengejutkan Irfan yang lena tidur dikatilnya.

“Abang... Abang Irfan...” Adam menggoyangkan sedikit bahu Irfan.

Irfan tidak memberikan sebarang respon. Adam masih cuba mengejutkan Irfan berkali-kali.

“Biarlah dia tidur Adam. Biasalah tu orang demam... Biar Abang Irfan rehat... Jom, kita keluar... Asar nanti, kita kejutkan dia balik. Tidur lepas Asar takut semakin menjadi-jadi demamnya,” kata Encik Hamid di muka pintu.

“Baiklah, ayah...” Adam meninggalkan Irfan dan sejurus selepas itu pintu bilik ditutup. Sebaik sahaja pintu bilik ditutup, Irfan membuka matanya.

“Fuhhhhhh... Selamat...” Irfan masih lagi dalam pembaringan. Dia tidak akan bangun dari katil, bimbang jika Adam atau Encik Hamid kembali menerjah masuk ke dalam bilik.

Previous: BAB 30
Next: BAB 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.