Home Novel Komedi/Romantik Komedi Antara Mawar Dan Kaktus
BAB 25
BAB 25

Jam sudah menunjukkan pukul 2.00 petang. Dr.Haikal bergegas ke kaunter jururawat untuk mencari kelibat Lisa. Ada sesuatu yang ingin dikhabarkan sebelum Lisa bercuti selama 10 hari. Atas alasan apa Lisa bercuti, Dr.Haikal tidak mengetahuinya. Sepanjang Lisa bekerja disitu tidak pernah Lisa mengambil cuti walaupun demam kecualilah cuti itu diberikan kepadanya. 10 hari adalah tempoh cuti yang panjang. Mungkin disebabkan Lisa seorang jururawat yang jarang mengambil cuti, jadi ketua jururawat tidak teragak-agak untuk memberikan cuti tersebut.

“Haa… Lisa inipun awak. Ingatkan awak dah balik,” tegur Dr.Haikal sebaik sahaja tombol pintu bilik simpanan barang-barang staf dibuka. Stetoskop dibahunya digulung lalu dimasukkan ke dalam kot putih yang tersarung kemas dibadan tegapnya.

“Ada apa doktor?” Lisa hairan. Seperti ada sesuatu yang ingin disampaikan Dr.Haikal.

“Esok awak dah cutikan?”

Lisa menganggukkan kepala. Lisa sudah tidak sabar untuk bertolak ke Terengganu esok. Tidak pasti sama ada dia gembira untuk menjalani sesi pengambaran atau pulang ke kampung halaman.

“Jadi, hari ini adalah hari terakhir kita berjumpalah.” Nada suara Dr.Haikal sedikit sayu.

“Terakhir??” Lisa mengerutkan dahinya. Hairan.

“Nasib baik saya tahu tentang awak nak ke Terengganu ni. Mujurlah saya ada sedikit masa untuk memberitahu awak sesuatu yang selama ini awak tidak tahu.”

“Kenapa hari ini hari terakhir?”Lisa mula bertanya.

“Selasa ini saya akan berangkat ke United Kingdom untuk menyertai program penyelidikan bersama Profesor Ajib. Penyelidikan tentang sel-sel kanser. Mungkin mengambil masa 2 tahun, 3 tahun, 4 tahun atau lebih.... Tidak pasti lagi…”

Lisa sedikit tersentap. Maknanya dia akan berpisah dengan Dr.Haikal untuk tempoh yang agak lama. Hatinya sedikit sebak. Perasaan itu datang dengan sendirinya. Lisa menundukkan wajahnya. Cuba melindungi perubahan air mukanya.

“Saya ada sesuatu untuk awak! Hajatnya saya nak ajak awak keluar makan hari ni. Memandangkan awak akan pulang ke Terengganu esok pagi dan malam ini saya masih oncall, jadi tidak dapatlah saya meneruskan hajat saya tu. Jadi, saya sediakan sesuatu untuk awak.” Mata Dr.Haikal cuba menyatakan sesuatu. Namun perasaan itu tidak harus dinyatakan lagi memandangkan dia akan tinggalkan Malaysia entah untuk berapa tahun. Biarlah gadis ini bebas dan tidak terikat dengan dirinya. Biarlah waktu yang akan memberitahu tentang perasaannya terhadap gadis ini.

“Sesuatu untuk saya?” Lisa tersenyum dalam perasaan yang begitu berat. Dia sendiri keliru tentang perasaanya terhadap Dr.Haikal. Adakah ini cinta atau hanya perasaan sebagai kawan. Ada perasaan asing yang cuba untuk membelit tangkai hatinya dan perasaan itu sukar untuk dimengertikan. Dadanya terasa begitu sesak. Biarlah Dr.Haikal menuturkan bicaranya terlebih dahulu dan dia tidak akan sesekali bertindak seperti perigi mencari timba dan dikatakan syok sendiri. Pangkat dirinya tidaklah setanding dengan Dr.Haikal. Dia doktor yang bijaksana dan berkaliber. Dia hanyalah jururawat yang hanya memegang segulung diploma. Tengoklah sekarang Dr.Haikal layak ke United Kingdom untuk melakukan penyelidikan. Namun suatu hari nanti diri ini pasti akan menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Dr.Haikal mengeluarkan kunci dari poket seluarnya dan diberikan kepada Lisa. Lisa menyambut pemberian Dr.Haikal.

“Kunci apa ni?” Lisa memegang kunci tersebut. Nak kata kunci kereta, bukan. Kunci motosikal pun bukan.

“Kunci pejabat saya…” Dr.Haikal berterus terang.

“Kunci pejabat doktor? Untuk apa?” Lisa hairan.

“Di dalam bilik saya tu ada satu rahsia yang saya ingin beritahu awak yang selama ini awak tidak mengetahuinya… Di dalam bilik saya tu ada anak panah dan arahan yang telah saya tuliskan. Awak masuk ke dalam, kemudian awak mesti mengikuti arahan dan anak panah tu.... Nanti awak akan tahu apa rahsia yang saya ingin beritahu awak,” Dr.Haikal mengukir senyuman penuh rahsia.

Lisa cuba mentafsir kata-kata Dr.Haikal. Rahsia? Kepalanya bingung.

“Jangan pening-pening.... Sekarang awak pergi ke bilik saya.... Saya masih ada kerja yang ingin dilakukan... Saya pergi dulu,” kata Dr.Haikal lalu memusingkan badannya untuk pergi dari bilik tersebut.

“Oh ya… Kunci tu awak tinggalkan sahaja di atas meja saya… Nanti saya ambil.” Dr.Haikal berpaling semula lalu melangkah pergi menuju ke tempat simpanan fail pesakit.

Doktor pujaan hatinya, ada menyimpan rahsia? Lisa cuba meneka apakah rahsia yang ingin disampaikan Dr.Haikal. Ada harta karun ke? Mana mungkin.... Lisa tidak sabar untuk mengetahui rahsia tersebut.

Sebelum melangkah pergi meninggalkan wad, sempat Dr.Haikal mengucapkan selamat bercuti pada dirinya walaupun dari jarak yang agak jauh. Lisa hanya melambaikan tangannya kepada Dr.Haikal sebelum melangkah keluar dari wad. Kakinya terus melangkah menuju ke arah pejabat Dr.Haikal. Lisa memandang ke kiri dan ke kanan. Bimbang jika ada mata lain yang melihat dirinya memasuki pejabat doktor dan mengatakan dirinya telah menceroboh dan berniat jahat. Namun, tiada siapa disitu. Cermin disebelah pintu dikerling Lisa. Sempat lagi Lisa membaiki tudungnya yang sedikit senget.

Kemudian, Lisa memasukkan kunci pada pintu kayu coklat yang tertera nama Dr.Haikal ( Pegawai Perubatan ). Daun pintu mula ditolak. Lisa menapak kedalam lalu pintu ditutup. Anak panah dan arahan yang diperkatakan Dr.Haikal dicari.

Lisa tersenyum apabila memandang ke lantai. Kaki Lisa melangkah perlahan-lahan mengikuti anak panah yang diconteng menggunakan kapur bewarna putih. Anak panah itu menuju ke arah meja kerja Dr.Haikal. Terdapat satu notis dikerusi.

SILA DUDUK DI KERUSI INI.

Tanpa berlengah lagi, Lisa menarik kerusi beroda dihadapannya lalu melabuhkan punggungnya di situ. Matanya memandang meja kerja yang dihias dengan arca organ jantung serta sebuah komputer. Kemas susun aturnya. Kunci bilik yang diberikan tadi diletakkan di dalam kotak kecil yang terdapat di sebelah telefon pejabat Dr.Haikal.

Terdapat satu kertas yang dilekatkan dimeja yang ditulis:

SILA PANDANG KEHADAPAN.

Lisa memandang ke hadapan. Matanya memandang kearah pintu yang baru dimasukinya tadi. Kemudian matanya beralih kepada tingkap kaca transparen disebelah pintu tersebut. Terdapat satu notis.

DI SINI.

Lisa terpana. Jarinya ditekup ke bibir. Perlahan-lahan Lisa bangun dari kerusi lalu kakinya melangkah ke tempat yang dimaksudkan. Matanya tidak berganjak melihat beberapa orang jururawat lalu-lalang diluar. Lisa cepat-cepat membuka pintu bilik dan memandang cermin diluar, kemudian dia masuk kembali ke dalam bilik dan ternyata dia dapat melihat orang diluar!

“Maknanya…” Lisa menggigit bibirnya.

“Aaaahhhh... Cermin ni, cermin tipu!” Lisa menekup mukanya. Saat ini terasa mukanya seakan disumbat ke dalam mangkuk tandas. Manakan tidak… Selama ini dia telah melaram di hadapan cermin ini. Senyuman yang dilemparkan kepada cermin ini… Adakah Dr.Haikal telah melihatnya?

“Amboiiii, bukan main lagi dia senyum! Kalau saya jadi cermin tu, dah lama saya ikut awak balik. Untung cermin tu!” sergah Dr.Haikal.

“Eh, Dr.Haikal…Kenapa pula cermin tu untung?” tanya Lisa sedikit hairan.

“Ialah, mana tak untungnya! Tiap-tiap hari ada orang senyum padanya!”

Tiba-tiba dialog yang dibualkan suatu ketika dahulu bermain di fikiran Lisa. Lisa terduduk dilantai cuba mengawal perasaan malu yang mula menyelubunginya. Apa motif Dr.Haikal memberitahu rahsia ini? Sengaja mahu memalukan dirinya?

Pokok kecil yang berada didalam pasu plastik putih berdiameter 20 cm dan berketinggian 15 cm menarik perhatian Lisa. Lisa menghampiri pasu tersebut. Sekeping gambar yang terselit di dalam pasu tersebut dicapai. Bagaikan nak terkeluar biji mata Lisa apabila menatap wajah di dalam gambar tersebut.

“Gurauan apakah ini Dr.Haikal!!” Lisa malu! Gambar membaiki tudung dengan mulut muncung ala-ala duck faceditekup Lisa ke lantai. Sebaik sahaja gambar itu diterbalikkan ada satu notis dibelakang gambar tersesebut.

IZINKAN SAYA MENYIMPAN GAMBAR INI SEBAGAI KENANGAN. SALINAN INI UNTUK AWAK.=P

Malunya semakin menebal. Arrgghhhh!!!

“Pokok apa ni? Macam mana nak hidup pokok ni kalau diletakkan ditempat yang jauh daripada cahaya matahari? Dr.Haikal… Dr.Haikal...,” ngomel Lisa kesal dengan Dr.Haikal kerana tidak pandai menjaga kebajikan pokok yang dibela.

“Kertas apa ni?”Sampul bewarna putih dibawah pasu ditarik.

KEPADA : LISA

Sampul surat dibuka dan sekeping kertas putih dikeluarkan.

Assalamualaikum Lisa…

Inilah rahsia yang saya maksudkan. Awak jangan marah. Nasihat saya, awak haruslah berhati-hati apabila menatap cermin. Terutamanya ditempat awam. Awak tahukan sekarang ini banyak kes yang menjatuhkan maruah seorang perempuan?

Lisa menjerit geram. Kertas putih dilemparkan ke lantai. Dadanya berombak menahan marah. Kertas dilantai dicapai semula dan matanya beralih kepada isi surat yang belum dibacanya.

Awak nampakkan pokok bunga di dalam pasu ni? Pokok ini saya ikhlas hadiahkan kepada awak. Melalui pokok ini ada satu rahsia yang saya ingin sampaikan.... Hanya pokok ini sahaja yang dapat mengungkaikan rahsia yang saya maksudkan. Saya berserah kepada waktu untuk membongkarkan rahsia ini.

Pokok ini saya baru sahaja semai dan ia adalah pokok bunga pertama yang saya semai sepanjang hidup saya. Khas buat insan bernama Lisa Amira Natasya binti Abdul Hamid. Jaga pokok ini sebaiknya kerana pada bunga ini ada rahsianya. Saat pokok ini membesar dan berbunga awak akan tahu apa rahsianya. Saya yakin sejurus saya pulang dari United Kingdom nanti awak telah mengetahui apa rahsia yang ingin saya sampaikan. Saya menunggu jawapan dari mulut awak... JAGA POKOK INI SEBAIKNYA.

Salam perpisahan,

HAIKAL

Kini, matanya beralih pada pokok bunga yang dimaksudkan.

“Pokok apa ni?” Lisa meneliti dahan kecil yang kelihatan baru sahaja dipacak ke tanah.

“Daun pun tak ada… Batang semata-mata.” Lisa menyentuh lembut batang pokok yang telah di semai.

“Eh, ada duri… Pokok apa ya ada duri?” Lisa berfikir seketika.

“Pokok Limau Kasturi?” Lisa meneka. Lisa mencium jari yang telah memegang batang pokok tersebut. Tiada bau seperti limau.

“Pokok bunga kertas!” Lisa meneliti lagi dahan pokok yang telah disemai Dr.Haikal.

“Ermm.... Mesti bunga kertas ni. Nantilah aku fikir.” Lisa bangun dari lantai. Matanya melihat di sekeliling pejabat. Mengintai manalah tahu ada lagi anak panah yang diletakkan. Ternyata sudah tiada.

Lisa mengangkat pasu untuk dibawa keluar. Matanya beralih kepada tingkap kaca transparen di sebelah.

“Arrgghhhh!!”Lisa menjerit geram.

Pintu bilik segera dibuka lalu Lisa menapak keluar dari bilik tersebut. Cermin disebelah ditenung lagi.

“Ah, malunya!” kata Lisa.

Lisa melangkah laju menuju ke arah Wad Mawar. Dr.Haikal harus disekolahkan. Pasu bunga diletakkan di luar wad manakala kelibat Dr.Haikal dicari sebaik sahaja Lisa menapak ke dalam wad.

Sebaik sahaja menapak ke dalam wad, suasana wad bertukar menjadi kelam-kabut. Trolley emergency merah ditarik oleh rakan setugas Lisa menuju ke arah katil pesakit yang telah ditutup dengan langsir bewarna ungu lembut. Lisa berlari anak mengikuti langkah rakan setugas. Lisa menyelak sedikit langsir untuk melihat keadaan di dalam. Di situ, Dr.Haikal berusaha melakukan cardiopulmonary resuscitation (CPR) kepada pak cik yang sudah 2 minggu menjalani rawatan di wad tersebut.

Bunyi mesin mengesan denyutan jantung kedengaran begitu membingitkan telinga. Bunyi abnormal tersebut membuatkan semua hati resah. Mesin SPO2 juga menunjukkan kadar oksigen kurang di dalam badan dan turut membunyikan penggera. Jururawat yang membantu berusaha memberikan oksigen dengan menggunakan Bag Valve Mask. Aliran tranfusi gelafundin jugadialirkan kepada pesakit untuk meningkatkan intravascular volume disebabkan pesakit mengalami hypovolaemia. Hypovolaemia ialah penurunan jumlah darah yang beredar di dalam badan.

Pesakit tersebut hanya kaku di tilam dengan mata tidak tertutup rapat. Sesekali tubuhnya terhenjut-henjut menerima tekanan CPR yang dilakukan di bahagian dada. Untuk saat ini, bacaan Electrocardiogram (ECG) tidak menunjukkan tanda-tanda perubahan yang positif. Tekanan darahnya juga berada pada paras yang membimbangkan.

Lisa menutup kembali langsir. Matanya dipejam. Lisa melangkah perlahan meninggalkan katil tersebut.

“Eh, Lisa belum balik lagi?” sapa rakan setugas.

“Dah nak balik ni.... Ada barang tertinggal. Itu yang berpatah balik ni…” Lisa berbohong. Rakan setugasnya hanya tersenyum sambil menolak troli ubat ke dalam bilik prosedur. Dari luar tabir, kuat kedengaran suara Dr.Haikal membilang kiraan CPR. Begitulah suasana wad. Sekejap tenang, sekejap mencemaskan. Setiap masa kakitangan sentiasa berada didalam keadaan bersedia tidak kira dari segi mental, fizikal ataupun peralatan.

Pertemuan kali pertama diimbas kembali.

“Assalamualaikum, pak cik... Saya Jururawat Natasya.... Hari ini rekod kesihatan pak cik lebih baik dari semalam. Alhamdulillah… Sekarang ini sudah pukul 8.00 pagi. Jadi, masa untuk pak cik makanlah.... Saya tolong pak cik ya.... Lepas makan nanti saya berikan ubat pada pak cik....” Lisa memandang simpati pada wajah tua yang tidak sedarkan diri disebabkan ubat sedatif yang telah diberikan. Pernafasan pak cik ini dibantu dengan mesin ventilator manakala makanan hanya diberikan melalui tiub nasogastrik yang telah dimasukkan melalui hidung hingga ke perut.

Sebelum susu khas diberikan melalui tiub nasogastrik, Lisa membaca doa makan untuk pak cik dihadapannya. Sebaik sahaja doa makan habis dibacakan, linangan air jernih mengalir melalui hujung mata insan tua ini. Betullah orang kata, walaupun secara fizikal pesakit ini tidak sedarkan diri, tetapi dia masih mampu merasai dan mendengar apa orang sekeliling perkatakan. Jika kita berhadapan dengan pesakit yang koma, kita haruslah suntikkan kata-kata positif kepadanya ini kerana dia masih mampu untuk mendengar dan akalnya mampu untuk memproses setiap kata yang kita perkatakan. Malah pesakit ini mampu untuk mengenal suara insan yang selalu bersamanya ketika dia tidak sedarkan diri apabila mereka sedar dari koma nanti.

“Ya Allah, engkau selamatkanlah pesakit ini Ya Allah… Panjangkanlah umur pak cik ini Ya Allah… Ringankanlah sakit beliau Ya Allah...” Lisa berdoa di dalam hati sementara kakinya melangkah keluar dari wad. Bukan Lisa tidak mahu turut serta menolong pesakit tersebut, tetapi memandangkan bilangan staf yang berusaha menyelamatkan pak cik tersebut telah pun agak ramai, jadi Lisa rasa tidak perlu dia mengambil bahagian. Jika terlalu ramai ia akan membuatkan ruang menjadi sesak dan terlalu banyak tangan. Hanya doa Lisa titipkan untuk pesakitnya. Pasu bunga yang diletakkan diluar tadi diangkat untuk dibawa pulang.


Previous: BAB 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.