Home Novel Komedi/Romantik Komedi Antara Mawar Dan Kaktus
Bab 21
BAB 21

Irfan dan Lisa berpandangan sesama sendiri di dalam kereta. Lampu biru yang bergemerlapan menerangi segenap kawasan di hadapan mereka kini menimbulkan tanda tanya. Kereta yang dipandu Irfan mula dilajukan. Hati Lisa menjadi kurang enak. Terasa lemah sahaja badannya ketika ini.

“Awak, polis tu macam depan rumah saya sahaja kan?” Lisa menekup kedua belah tangannya ke mulut.

“Bukan kut… Rumah sebelah tu....” Irfan cuba menyedapkan hati Lisa.

“Rumah sebelah tu, rumah Ustaz Saiful…” Hati Lisa masih rasa tidak enak.

“Tak... Rumah sebelah lagi…” Irfan cuba lagi untuk menyedapkan hati Lisa.

“Rumah sebelah kosong… Mesti rumah saya tu…”

“Bertenang ok... Kita dah nak sampai ni,” Irfan memandang sekilas ke arah Lisa.

Tiba-tiba sahaja van ambulans memotong kereta mereka.

“Apa ni? Ambulans pula ni awak… Mesti ada orang cedera ni,” kata Lisa sebaik sahaja ambulans memotong kereta mereka.

Irfan hanya mendiamkan diri. Hatinya juga kurang enak. Pasti sesuatu telah terjadi berhampiran dengan rumah Lisa. Setelah sampai, kelihatan ramai orang mengerumuni rumah Lisa. Lisa dan Irfan keluar dari kereta dengan penuh tanda tanya.

“Awak, rumah sayalah! Huda!Huda awak!” kata Lisa panik. Tanpa berlengah lagi Lisa berlari meredah orang ramai.

“Cik, cik tak boleh masuk… Kami sedang buat kerja.” Seorang pegawai polis cuba menghalang tindakan Lisa.

“Tapi encik, ini rumah saya…”

“Rumah kamu? Tunggu sebentar ya....”

Pegawai tersebut berbincang dengan seorang pegawai yang lain. Mungkin membincangkan sama ada ingin membenarkan dia masuk atau tidak.

“Baiklah, cik boleh masuk tapi jangan usik apa-apa barang. Biarkan keadaan ini buat sementara. Kami ingin lakukan siasatan,” jelas pegawai polis tersebut.

“Lakukan siasatan? Apa yang terjadi? Mana Huda?” Persoalan itu terus membelenggu fikiran Lisa.

Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam rumah, terdapat beberapa tompokan darah yang masih basah di lantai. Terasa menggeletar tubuh Lisa ketika ini. Bukan dia tidak biasa melihat darah tetapi dia memikirkan pasti sesuatu yang buruk telah terjadi kepada Huda.

Lisa terus berjalan di dalam rumah mencari Huda. Keadaan rumah berselerakan dimana pasu-pasu bunga pecah, cermin pecah, kerusi terbalik sepertinya rumah digeledah. Belum sempat Lisa bertemu dengan Huda, polis telah mengeluarkan dua orang lelaki yang tidak dikenalinya dari arah dapur menuju ke pintu depan. Lelaki-lelaki tersebut kelihatan teruk dipukul. Pakaiannya seperti perompak. Kemudian, anggota kesihatan pula memasuki rumahnya dengan membawa pengusung.

“Ah, pedulikan! Mana Huda?!” Lisa bertambah panik.

Lisa kaku disitu. Hanya matanya sahaja digerakkan untuk mencari Huda. Bebola matanya menikam satu susuk tubuh yang duduk seorang diri di atas tangga. Tanpa berlengah lagi Lisa menerpa kearah Huda. Huda dipeluk seerat-eratnya. Lega hatinya tidak terkata.

“Kenapa ni?” tanya Lisa sambil mengusap wajah Huda yang pucat. Huda sepertinya masih terkejut dan bingung.

Lisa tidak jadi meneruskan pertanyaan kepada Huda apabila menyedari tubuh kawannya itu sedikit menggeletar. Kawannya itu dipeluk seerat-eratnya. Huda menangis teresak-esak di dalam dakapan Lisa.

Tidak lama kemudian, mata Lisa beralih melihat jasad yang diusung oleh anggota kesihatan dihadapan matanya.

“Ustaz Saiful?!” Lisa bangun dari duduk. Dia berlari anak mengejar anggota kesihatan yang sedang mengusung satu jasad. Lisa cuba memastikan tekaannya.

Lisa menekup mulutnya. Memang benar jasad tersebut adalah Ustaz Saiful. Perutnya telah ditusuk pisau. Baju Melayu biru laut yang dipakainya telah basah dengan cecair yang bewarna merah. Pandangan mata Ustaz Saiful kelihatan begitu lemah sekali mungkin kesan daripada kehilangan darah yang masih tidak berhenti mengalir.

Teman serumah Ustaz Saiful juga turut berada di situ membantu memasukkan Ustaz Saiful ke dalam ambulans.

“Kenapa ni Haziq?” tanya Lisa kepada rakan serumah Ustaz Saiful merangkap jirannya juga sebaik sahaja ambulans pergi.

“Ustaz Saiful ditikam semasa cuba menyelamatkan Huda… Maafkan saya, saya perlu ke hospital sekarang. Saya balik ke rumah dulu untuk mengambil kad pengenalan Ustaz Saiful,” kata Haziq tergesa-gesa.

Lisa memandang pemergian Haziq dengan fikiran yang masih bingung.

“Apa sebenarnya yang terjadi?”fikir Lisa.

Beberapa orang Pegawai Polis mula meminta keterangan daripada Huda. Lisa hanya memerhatikan Huda dari jauh. Lisa mula berpaling ke arah Irfan yang sedang bercakap dengan beberapa orang jirannya. Saat ini, Lisa memerlukan seseorang untuk menemaninya. Entah kenapa badannya turut menggigil ketakutan.

Irfan meminta diri sebaik sahaja gadis tersebut memanggilnya.

“Bertenang ya,” kata Irfan dengan wajah simpati.

Lisa memegang kedua belah tangannya yang dirasakan agak sejuk. Mata Lisa sekali lagi beralih kepada Huda yang masih lagi memberi penerangan kepada Pegawai Polis yang menyoal. Irfan dan Lisa duduk dibangku sementara menunggu Huda selesai memberikan keterangan kepada pihak polis. Di dalam rumah, anggota polis yang lain sedang melakukan siasatan.

“Tadi, saya nampak Ustaz Saiful diusung… Kenapa tu Lisa?” tanya Irfan.

“Haziq teman serumah Ustaz Saiful cakap, Ustaz Saiful ditikam semasa cuba menyelamatkan Huda.... Entahlah saya pun tak tahu cerita selanjutnya. Nanti kita tanya Huda,” kata Lisa risau.

Tidak berapa lama kemudian, anggota polis meminta untuk bertemu Huda dan Lisa selaku tuan empunya rumah.

“Kami sudah mengumpulkan bukti. Terima kasih kerana memberkas perompak tersebut. Kami mengesyaki merekalah perompak yang telah merompak beberapa buah rumah di kawasan ini tempoh hari,”jelas pegawai polis.

“Tapi kenapa kawan saya ditikam?”tanya Irfan.

“Mengikut keterangan saksi iaitu Huda dan Haziq, Ustaz Saiful telah pun menundukkan seorang perompak dan seorang lagi itu cuba mempertahankan diri. Jadi, Ustaz Saiful telah ditikam manakala perompak yang menikam Ustaz Saiful itu telah dihempuk Huda dengan pasu diatas kepalanya. Kemudian, secepatnya Haziq bertindak menolong mereka.”

“Kalau macam tu, rumah kami dah boleh dikemaskan belum?” tanya Lisa.

“Boleh, kami dah kumpulkan semua bukti. Jadi tak ada masalahlah untuk kamu mengemasnya.”

Lisa dan Huda tersenyum kelat.

“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada kamu semua. Kalau boleh kamu mesti lebih berhati-hati. Pastikan pintu-pintu dikunci sebaiknya,” tegas bicara Pegawai Polis.

“Faham, tuan,” kata Lisa.

“Bagus… Kalau macam tu kami bergerak ke balai dahulu.”

“Baiklah… Terima kasih, tuan.” Irfan bersalaman dengan Pegawai Polis tersebut.

Selepas pemergian polis berkenaan, semua jiran bersurai. Kini, tinggallah Lisa, Huda dan Irfan di perkarangan rumah berkenaan. Mereka duduk di bangku taman.

“Macam mana boleh berlaku ni Huda?”tanya Lisa sebaik sahaja melihat kawannya semakin baik emosinya.

“Selepas kau pergi tu, aku tutup lampu tingkat bawah.... Lepas tu aku naik ke tingkat atas siapkan rekaan. Dalam satu jam kemudian aku dengar Tuah bising dekat tingkat bawah.”

“Sekejap, Tuah?” celah Irfan.

“Kucing,” jawab Lisa tidak sabar menunggu cerita Huda.

“Owh....” Irfan menggaru telinganya yang gatal digigit nyamuk.

“Aku turunlah dekat bawah.... Pelik kenapa Tuah mengiau semacam. Lapar ke? Atau dia cari tuannya? Sampai separuh tangga aku nampak bayang-bayang hitam dari arah dapur. Bayang-bayang tu seolah-olah hendak menuju ke arah ruang tamu. Aku pun bergegas naik ke atas dan masuk kedalam bilik. Aku syak, tu pencuri! Pintu aku kunci.... Punyalah bodoh aku, handphone aku pula tertinggal atas meja dekat luar. Aku pun senyap-senyap keluar dari bilik. Engkau tahu, aku rasa masa tu macam nak tercabut nyawa! Nasib baiklah masa tu pencuri tu tak naik atas lagi tau!! Aku pun berlari masuk ke bilik. Pintu aku sendal dengan meja dan macam-macam lagilah. Aku call Ustaz Saiful....”

“Kenapa tak call aku?” tanya Lisa.

“Engkaukan jauh dari rumah.... Ustaz Saiful yang terdekat.”

“Aku call, Ustaz Saiful tak angkat… Banyak kali aku call dia tak angkat… Aku dah mula risau... Aku cuba memperingati teknik taekwando yang pernah kita belajar dulu. Nampaknya aku perlu hadapinya seorang diri. Lepas tu aku dengar seperti barang digeledah. Mereka sudah ada dibahagian atas!Apa lagi, aku cepat-cepat sembunyikan diri dalam bilik air... Tak lama kemudian Ustaz Saiful call. Fuhh… Lega… Kebetulan Ustaz Saiful dan Haziq tiada dirumah tapi mereka dalam perjalanan pulang. Mujurlah Ustaz Saiful dalam perjalanan pulang dari masjid dan sudah tiba di kawasan perumahan kita. Sebaik sahaja Ustaz Saiful sampai, dia call aku… Nasib baiklah perompak tu belum masuk ke dalam bilik aku. Kali ini aku bernasib baik kerana kunci pendua rumah kita ada dalam beg aku. Selama ni kan aku biasa letak atas almari dekat bawah tu… Aku campakkan kunci tu kepada Ustaz Saiful dari tingkat atas. Ustaz Saiful dan Haziq pun masuklah kedalam rumah secepatnya bimbang jika mereka mengapakan aku… Dalam beberapa minit kemudian, aku dengar pergelutan di tingkat bawah. Aku tanpa berlengah lagi keluar dari bilik. Aku cuba untuk memasang lampu. Sebaik sahaja lampu dipasang, aku nampak lelaki bertopeng sedang bergelut dengan Ustaz Saiful. Manakala Haziq berlari keluar untuk meminta bantuan orang ramai. Seorang perompak tu berjaya ditumpaskan Ustaz Saiful manakala seorang lagi terus menusukkan pisau pada Ustaz Saiful dan dia terus cuba untuk melarikan diri. Aku tanpa berlengah cuba mengejarnya dan terus menghentaknya dengan pasu. Maafkan aku, pasu kesayangan engkau jadi mangsa....”

“Pasu ibu aku tu?” tanya Lisa.

Huda mengangguk bersalah.

“Tak apalah benda dah nak jadi… Lepas tu apa yang berlaku?” tanya Lisa.

“Lepas tu pencuri tu cuba untuk menumbuk aku. Tapi sempat ditangkis oleh Haziq. Pencuri tu tewas dalam genggaman Haziq… Kemudian, orang ramai cuba untuk menolong Ustaz Saiful dan perompak tersebut diberkas. Salah seorang dari mereka telah menalefon hospital dan polis…”

“Seram aku mendengarnya Huda....” kata Lisa sambil menggosok belakang Huda. Nasib baiklah tidak terjadi apa-apa dengan kawan baiknya ini.

“Agaknya macam mana keadaan Ustaz Saiful sekarang ni,” kata Irfan.

“Saya call Ustaz Saiful sekejap… Tapi tak tahulah boleh dihubungi atau tidak,” kata Huda.

Huda cuba untuk menalefon Ustaz Saiful. Dicuba beberapa kali. Tapi kali ini ada suara lain yang menjawabnya.

“Assalamualaikum… Ini Haziq ke?”

“Ya, saya… Haziq bercakap. Doktor berikan handphone Ustaz Saiful kepada saya.”

“Macam mana keadaan Ustaz Saiful?”tanya Huda cemas manakala Irfan dan Lisa tekun mendengar perbualan Huda.

“Alhamdulillah... Ustaz Saiful selamat... Setakat ini Ustaz Saiful stabil. Cuma dia perlukan rehat… Dan sebentar lagi doktor akan menjahit luka tikamannya. Nasib baiklah tikaman tu tidak mengenai organ-organ penting,” jelas Haziq.

“Alhamdulillah… Terima kasih Haziq. Nanti kalau ada apa-apa berita beritahu Huda ya...”

“Insya-Allah.... Oklah doktor memanggil saya tu. Kalau ada apa-apa saya akan beritahu Huda... Assalamualaikum...”

“Waalaikumussalam.”

“Macam mana?” tanya Irfan risau.

“Haziq cakap, Ustaz Saiful stabil… Cuma dia perlukan rehat. Sebentar lagi doktor akan menjahit luka tikamannya. Nasib baiklah tikaman tu tidak mengenai organ-organ penting.”

“Alhamdulillah,” kata Lisa dan Irfan

“Haa… Lisa, kita nak kemaskan rumah tu bila?”tanya Huda.

“Sekaranglah… Sebab ada darah kan. Nanti darah tu mengering susah kita nak mencucinya nanti,”jelas Lisa.

“Darah? Lisaa... Aku tak boleh la tengok darah.... Engkaulah yang cucikan…”

“Aarhh... Tak ada... Sama-sama kita cuci…” Lisa bertegas. Dia pun agak seram untuk mencuci darah hasil daripada perbuatan jenayah. Nasib baik Ustaz Saiful tidak apa-apa.

“Irfan, awak nak balik dulu baliklah,” beritahu Lisa. Kasihan Irfan, esok nak bekerja.

“Risau pula aku nak tinggalkan kau berdua ni… Rumah Ustaz Saiful kosong, rumah sebelah ni pun kosong. Macam mana kalau ada apa-apa berlaku lagi?”

“Tak apa Irfan… Dr.Haikal ada dibelakang rumah,” kata Huda.

“Dr.Haikal oncall hari ni Huda,” beritahu Lisa. Ada benar juga kata Irfan.

“Habis tu macam mana?”tanya Huda.

“Aku temankan kau berdua....”

“Temankan? Habis tu awak nak tidur dekat mana?” Lisa sedikit terkejut.

“Dalam keretalah. Atau kau nak ajak aku tidur dalam rumah kau?” Irfan mengusik Lisa.

“Tak apa ke awak tidur dalam kereta?” tanya Lisa untuk kepastian.

“Boleh, tak ada masalah… Jomlah kita kemas rumah sama-sama... Dah dekat pukul 11.30 malam ni,” ajak Irfan.

Mereka bertiga memulakan proses pembersihan. Satu persatu perabot disusun semula dan serpihan kaca disapu dengan berhati-hati. Kesan darah dicuci sebersihnya dengan sabun pencuci.

Setelah beberapa jam…

“Alhamdulillah.... Siap pun. Penatnya,” keluh Huda setelah beberapa jam mereka bergotong-royong membersihkan rumah.

Mereka bertiga duduk di sofa melepaskan penat. Kipas ligat berpusing. Malam ini terasa panas sekali.

“Haus tak?”tanya Lisa.

“Haus juga,” kata Huda.

“Jom Huda, temankan aku pergi dapur buatkan air. Takutlah nak pergi sendiri.”

“Jom,” ajak Huda dan terus bangkit dari sofa.

Irfan teringat ikan pari bakar di dalam kereta. Dia terus keluar dari rumah untuk mengalihkan keretanya agar lebih dekat dengan rumah Lisa. Kereta diletakkan betul-betul dihadapan rumah Lisa. Selesai mengalihkan kenderaan, Irfan mengambil ikan pari bakar dan di bawa keluar dari keretanya.

“Kita duduk diluarlah. Panaslah dekat dalam rumah ni…” Lisa mengibas wajahnya dengan kertas.

“Ok juga… Ini ikan pari bakar untuk Huda.”

“Waa.... Macam tahu-tahu sahaja perut ni dah lapar kan? Malam ni belum sempat pun makan... Jomlah kita makan sama-sama...” kata Huda sambil menghidu bungkusan ditangannya.

“Tak apalah... Kami dah makan tadi.... Kenyang pun lagi,” kata Irfan.

“Terima kasih tau...”

“Sama-sama....”

Huda membuka bungkusan makanan. Tanpa berlengah lagi dia terus menyuapkan nasi goreng cina berlaukkan Ikan Pari Bakar ke dalam mulutnya. Terasa nikmat sekali. Ditambah pula dengan minuman Milo Ais. Fuhhh… Kalau perut dah lapar, bagi apa pun semuanya sedap...

Irfan dan Lisa mengunyah perlahan-laham biskut di dalam mulut. Sesekali mereka mengerling pada Huda yang sedang menikmati makan malamnya.

“Wongggg!!”

“Wongggg!!”

Irfan terkejut.

“Apa benda tu?” Irfan mengintai disebalik pasu.

“Katak,” kata Lisa selamba sambil menghirup Milo Ais ditangan.

“Wongggggg!!”

“Katak apa bunyi macam tu? Kuat benar bunyinya....” Irfan bertambah hairan.

“Katak yang awak hadiahkan itulah....” Lisa merenung wajah Irfan. Perasaan geram mulai menguasai dirinya apabila teringatkan peristiwa semasa dia menerima hadiah pemberian Irfan.

Irfan hanya mampu tersengih. Hairan, kenapa katak ini dibela. Tak sangka! Ingatkan Lisa akan membuangnya.

“Nasib baik saya tak sakit jantung tau!!” Lisa menjegilkan matanya.

“Hehehe… Kau marah ke?” tanya Irfan takut.

“Tak pun… Bolehlah saya ceriakan taman saya ni. Kalau diperdengarkan sedap juga suara katak ni. Ini mesti nak hujan malam ni. Biasanya macam itulah.... Kalau katak ni berbunyi mesti akan hujan… Ada baik juga katak ni… Terima kasih sebab hadiahkan katak ni...”

“Aik... Dia ni memang berterima kasih atau hanya menyindir?” fikir Irfan.

“Sama-sama....” jawab Irfan acuh tidak acuh.

Huda cuba menahan ketawanya. Irfan dah terkena. Padan muka! Ada ke patut hadiahkan katak!

“Awak pasti ke nak temankan kami malam ni? Hari nak hujan ni....”

“Mestilah.... Tak kan aku nak tinggalkan kamu berdua. Bimbang juga kalau ada apa-apa berlaku lagi... Tapi malam ini sahaja tau.”

“Kalau macam tu saya alihkan kereta saya… Saya letakkan kereta saya dekat luar pagar dan lepas tu awak masukkan kereta awak ni dekat dalam. Memang nak hujan ni… Kalau tak, katak ni tak berbunyi,” terang Lisa.

Irfan bangun untuk mengalihkan keretanya bagi memberi ruang kepada kereta Lisa untuk berundur keluar. Kereta bertukar tempat. Kini, kereta Irfan berada didalam pagar rumah manakala kereta Lisa berada diluar rumah. Disudut taman, Huda memberikan sedikit isi ikan kepada Tuah. Lapar agaknya Tuah ni.

“Eh, macam kenal kucing ni,” kata Irfan sambil memandang Lisa.

“Mestilah… Inikan kucing yang awakk…” ayat Lisa tergantung. Sengaja membiarkan Irfan menyambungnya

“Yang saya pukul tu?” Irfan menaikkan keningnya.

“Haa… Mengaku pun pukul kucing…”

“Alah.... Kau pun apa kurangnya… Sampai lebam perut aku kau tumbuk.”

“Itu untuk bayaran dendam Tuah,” kata Lisa sambil mendukung kucing kesayangannya.

“Tuah? Tuah, Abang Irfan minta maaf ya… Pukul Tuah hari tu. Itulah Tuah nakal sangat sampai calarkan kereta yang abang pinjam,” kata Irfan sambil menggosok kepala Tuah.

Huda di kerusi tidak dapat mengawal tawanya lagi. Dia ketawa terkekek-kekek. Geli mendengar ayat Irfan.

“Haa.... Sebagai bayarannya, Tuah minta Abang Irfan belikan stok makanannya setiap bulan. Whiskas ataupun Friskis.... Itu makanan kegemaran Tuah tu… Meowww,” ajuk Huda mewakilkan Tuah.

“Amboi.... Lebih-lebih pula Tuah ni,” kata Irfan sambil ketawa menampakkan keramahannya.

“Lisa pun nak minta maaf juga… Sebab dah tertumbuk perut awak tempoh hari...”

Irfan agak terkejut dengan permintaan maaf daripada Lisa. Akhirnya… Dia meminta maaf! Biar betul? Hatinya yang terbeban dengan perasaan sakit hati dengan perbuatan Lisa akhirnya berakhir juga. Hati terasa tenang dan tiada lagi perasaan dendam.

“Samalah... Aku pun nak minta maaf...” Irfan tersenyum.

“Baguslah macam tu... Bukan main susah lagi kau nak meminta maafkan?”

Lisa hanya tersenyum.

“Eh, aku nak tumpang solat sekejap boleh?” tanya Irfan sebaik sahaja melihat Huda selesai makan.

“Boleh....” jawab Huda.

Hari sudah lewat malam dan ada tanda-tanda hujan akan turun. Seusai solat Irfan terus memasuki keretanya. Matanya terasa berat sekali. Jam sudah menunjukkan 2.15 pagi. Diluar, hujan turun renyai-renyai dan mungkin akan lebat sebentar lagi kerana katak sedang galak berbunyi. Tidak tahu sama ada memanggil hujan atau memanggil pasangan untuk berteman. Irfan menguap. Dia memperbetulkan kedudukan kerusi kereta. Tingkap kereta sedikit dibuka. Irfan teringat tentang pintu pagar. Dia tidak pasti sama ada sudah berkunci atau tidak. Irfan keluar sebentar dari kereta lalu menuju ke arah pintu pagar. Ternyata sudah berkunci.

Dimuka pintu Lisa berdiri dengan membawa selimut.

“Awak, ini selimut dan bantal,” hulur Lisa kepada Irfan.

“Terima kasih....” Irfan menyambut huluran Lisa.

“Ada lagi… Sekejap...” Lisa berlalu masuk ke dalam rumah.

Sementara menunggu Lisa, Irfan memasukkan selimut dan bantal ke dalam kereta.

“Ini dia.... Air masak, Air kotak Laici dan makanan ringan.... Manalah tahu kalau awak tak boleh tidur atau lapar kan nanti, bolehlah makan…”

“Hahahaha… Macam-macam… Kalau macam ni, gemuklah saya esok pagi. Apa pun terima kasih....”

“Kalau tak ada apa-apa saya masuk dululah,” kata Lisa.

“Kunci pintu tu,” pesan Irfan.

“Hati-hati tidur dekat luar tu,” kata Huda dari belakang sambil memegang Tuah.

Pintu rumah ditutup. Lampu diluar rumah masih terpasang. Jadi tidaklah Irfan kegelapan. Dia pun takut juga untuk tidur diluar rumah. Manalah tahu kalau perompak lain datang balik ke... Fuhh.... Seram....

Malam ini, Lisa dan Huda tidur sebilik. Sebelum mereka tidur sempat lagi mata mereka mengintai Irfan di bawah. Nasib baiklah Irfan sudi temankan mereka untuk hari ini. Badan terasa letih sekali. Sudah tiba masanya untuk mereka tidur.

Telefon Huda berbunyi.

“Hello Huda.... Maaf meganggu.... Awak dah tidur ke?”

“Baru nak tidur.... Kenapa Haziq?”

“Saya nak beritahu, Ustaz Saiful dalam keadaan kritikal… Dia banyak kehilangan darah dan darah yang dimasukkan tidak boleh diterima oleh badan Ustaz Saiful. Jadi, Ustaz Saiful mengalami kekejangan dan doktor sahkan dia dalam keadaan tidak stabil. Bila-bila masa sahaja Ustaz Saiful boleh pergi.... Boleh tak Huda tolong ambilkan mak dan ayah Ustaz Saiful di kampung? Tak jauh.... Cuma setengah jam perjalanan. Saya dah beritahu mak dan ayah Ustaz Saiful. Tapi mereka tidak ada kenderaan untuk datang.”

Huda mengucap panjang. Tak sangka perkara ini boleh berlaku. Ada air hangat yang mengalir dipipinya yang putih bersih.

“Boleh, nanti Huda pergi ambilkan mak dan ayah Ustaz Saiful.... Nanti tolong hantarkan alamat kampung Ustaz Saiful.... Oklah Huda akan gerak sekarang.” Huda sebak.

“Terima kasih Huda... Hati-hati tau....” Haziq memberi pesan.

“Baiklah... Assalamualaikum.”

“Waalaikummussalam....”

Huda menangis semahu-mahunya.

Bahunya digoyang-goyangkan Lisa agar Huda berhenti menangis. Ada ke patut Lisa menggoyangkan bahu untuk memujuk. Sakitlah…

“Sabarlah Huda... Macam mana kita nak gerak kalau kau terus menangis macam ni… Bertenang ok…”

Semakin kuat Huda menangis.

Tiba-tiba sahaja mukanya terasa sejuk.

“Huda! Huda! Huda!” jerit Lisa.

Terasa nafasnya sesak. Tidak mendapat oksigen yang sepatutnya. Kali ini ibu jari kakinya ditarik dan terasa amat sakit sekali.

“Huda! Huda!”

Huda membuka matanya. Tuala basah dimukanya dibuang dengan tangan.

“Kenapa ni.... Kau mengigau eaa?” tanya Lisa.

Huda mengerutkan dahinya. Dia berfikir sebentar. Cepat-cepat telefon disisinya dicapai. Dia memeriksa jika ada panggilan daripada Haziq. Ternyata rupanya dia hanya bermimpi. Hanya panggilan dari Haziq ketika memberitahu keadaan Ustaz Saiful stabil tertera di telefonnya.

“Aku bermimpi Ustaz Saiful nazak Lisa,” kata Huda sambil memeluk bantal bentuk hati.

“Dahlah tu… Mimpi sahaja tu... Nah minum air masak ni,” hulur Lisa.

Lisa turun dari katil setelah menenangkan Huda. Langsir tingkap diselak. Lisa mengintai Irfan dibawah.

“Lena nampaknya dia tidur,” bisik hati Lisa.

Jam menunjukkan pukul 4.30 pagi. Lambat lagi waktu untuk Subuh. Lisa dan Huda menyambung kembali tidurnya.

Beberapa jam kemudian, Azan Subuh berkumandang. Lisa bingkas bangun dari katil. Lisa masuk ke dalam bilik air untuk mengambil wuduk. Selesai mengambil wuduk dia menunaikan Solat Subuh. Terasa tenang sekali di Subuh hari. Alhamdulillah masih diberikan nyawa untuk bernafas di bumi ini.

Selesai menunaikan solat, Lisa mencapai selendang yang sudah tersangkut di penyakut baju lalu disarungkan ke kepala untuk menemui Irfan dibawah.

“Huda aku turun bawah sekejap,” beritahu Lisa sebaik sahaja melihat Huda keluar dari bilik air.

“Ok…”

Di bawah Irfan sudah terjaga dari tidur. Dia menunggu Lisa membuka pintu untuk memulangkan selimut dan bantal serta menunaikan solat disitu.

“Awak dah bangun?” kata Lisa sebaik sahaja melihat Irfan sudah berdiri di luar kereta.

“Ia... Dah bangun.... Boleh aku tumpang solat?”

“Owh, boleh… Masuklah,” pelawa Lisa.

Sebaik sahaja Irfan memasuki rumah, Lisa membiarkan pintu terbuka luas. Bukan apa tidak manis orang lelaki datang ke rumah anak dara begini. Tapi tak mengapalah, dia bukan berdua pun tapi dia juga bersama Huda di rumah itu.

“Maaf, boleh aku pinjam kain? Sebab aku rasa seluar aku ni terkena najis. Rasanya aku dah terpijak tahi kucing....”

“Tahi kucing?” tanya Lisa hairan.

“Aah… Sebab tadi aku pergi duduk dekat bangku tu sementara tunggu kau bangun.... Lepas tu bau semerbak... Hahaha... Rupanya tahi kucing.”

“Owhh… Dekat situ memang kawasan Tuah tu... Maaflah... Sekejap saya naik atas ambilkan kain...” Lisa tahu Irfan marah.

Lisa bergegas naik ke atas.

“Alamak… Aku mana ada kain batik... Kalau ada pun satu sahaja... Itupun aku dah guna....” Lisa menggaru kepala.

Lisa berpaling kepada Huda.

“Hurmm… Huda? Dia lagilah tak ada kain batik. Bukan dia gemar pun pakai kain batik ni. Kain apa aku nak bagi ni? Kain pelikat lagilah aku tak ada.” Lisa membelek-belek pakaian didalam almarinya.

“Haaa... Yang ini bolehlah…”

Lisa keluar bilik cepat-cepat. Langkahnya terhenti.

“Eh, mana muat kain skirt labuh ni dia nak pakai… Buatnya terbetas semua benang!”

Lisa masuk kembali ke dalam biliknya. Kali ini dia mencapai kain yang tersangkut di rak kain.

“Maaf lambat.... Ini kainnya. Maaf saya tak ada kain pelikat atau batik.... Ini tuala. Awak masuklah dalam bilik tu... Saya ke dapur,” beritahu Lisa.

“Oklah... Terima kasih...”

Irfan menukar seluarnya didalam bilik yang teletak di tingkat bawah. Bilik air didalam bilik itu digunakan untuk mengambil wuduk. Selesai mengambil wuduk…

“Kain apa putih ni?” Irfan membelek-belek kain tersebut. Ada ke patut perempuan tak ada kain batik. Apa, ingat dah tinggal dekat bandar kain batik tak perlu pakai. Ini warisan nenek moyang kita. Sepatutnya diamalkan. Lagi manis dan sopan. Ala- ala kampung begitu…”

“Ooo.... Kain telekung sembahyang perempuan... Ermm… Pakai sahajalah...” Irfan menyarungkan kain tersebut lalu menunaikan solat.

Jam menunjukkan pukul 6.45 pagi. Irfan harus pulang sekarang bagi mengelakkan fitnah jiran-jiran terdekat Lisa dan juga kesesakan jalan raya. Lisa dan Huda begitu berterima kasih kepadanya. Sebelum pulang, sempat Lisa menyiapkan nasi goreng untuk sarapan dirumahnya nanti. Oklah juga, lagipun Puan Elinna tiada dirumah jadi adalah juga sarapan untuk dia makan pagi itu.

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.