Home Novel Komedi/Romantik Komedi Antara Mawar Dan Kaktus
BAB 45
BAB 45

Lisa melihat Irfan sedang enak berbaring di tilam empuknya. Tersenyum-senyum melihat ke arahnya. Geram sungguh Lisa melihat Irfan. Rasa mahu dihempuk-hempuk sahaja. Malam ini dia mahu tidur di mana kalau Irfan yang bersaiz besar ini telah melingkari keseluruhan katilnya. Lisa berlalu masuk ke dalam bilik air. Dia harus memikirkan sesuatu. Gigi digosok, muka dicuci dan wuduk diambil. Masker muka ditampal ke keseluruhan wajahnya. Sejuknya! Selesa sekali. Kemudian, Lisa keluar dari bilik air.

“Awak,”panggil Irfan. Lisa berpaling.

“Oppss... Apa sayang pakai ni? Ini malam pertama kita, sayang tampal benda tu dekat muka sayang?”

“Tak ada maknanya malam pertama... Dah, turun dari katil saya!” Lisa bercekak pinggang.

“Kita kongsilah... Kan kita dah kahwin...” Irfan tersengih-sengih. Dia pasti Lisa takut pada dirinya.

“Tak ada nak kongsi-kongsi... Saya kata saya nak tidur di atas katil saya! Awak tidurlah dekat mana-mana yang awak suka...” Lisa berkata tegas lagak seperti seorang guru memberikan amaran kepada anak muridnya.

“Habis tu saya nak tidur dekat mana?” Air muka Irfan berubah. Tiada lagi senyuman. Nampaknya Lisa memang bertekad. Kononnya mogoklah tu rancangannya tidak menjadi untuk membatalkan perkahwinan mereka berdua.

“Suka hati awaklah nak tidur dekat mana... Kecuali katil ni... Faham?”

“Saya nak tengok, awak dah tak ada atas katil ni apabila saya masuk ke dalam bilik ini nanti...” Tiba-tiba sahaja tekak Lisa terasa haus. Dia harus ke dapur.

“Saya keluar dulu...” Lisa menunjukkan isyarat amaran kepada Irfan. Terpinga-pinga Irfan melihat amaran sebegitu daripada isterinya. Biar betul? Minah gangster ke ni?

Lisa berlalu ke dapur. Biliknya terasa bahang sekali walaupun sudah dipasang penghawa dingin. Air yang di ambil dari peti sejuk diteguknya perlahan-lahan.

“Eh, Lisa... Tak masuk bilik lagi?” Huda tersenyum penuh makna di belakang Lisa. Huda juga terasa haus malam ini.

“Aku dahaga ni... Panaslah dalam bilik tu... Aku tidur dengan engkau eh?”

“Tak boleh! Kau jangan nak mengada-ngada... Wei, apa benda yang kau pakai ni?” Huda mencabut masker muka yang dipakai Lisa.

“Arghh... Sakittt...” Lisa menjerit kesakitan disebabkan masker yang dipakai disentap dari mukanya.

“Engkau ni... Kenapa cabut... Mahal ni, tahu tak?”

“Oi, cik adik... Ini malam pertama kau... Cantiklah sikit depan Irfan tu...” Huda mencubit manja lengan Lisa.

“Katakan tidak kepada ini...” Huda memberikan isyarat pangkah kepada Lisa. Masker yang ditarik daripada muka Lisa sebentar tadi dicampakkan ke dalam tong sampah.

“Engkau nii…” Lisa menarik muncung mulutnya.

“Arhh... Tak ada...” Huda malas melayan rayuan Lisa.

“Semua orang dah tidur ke?” tanya Lisa.

“Agaknyalah... Iffa, Puan Elinna pun dah tidur...”

“Mereka tidur dalam bilik kau ke?”

“Ermm...” Huda mengangguk sambil meneguk air yang baru disambar daripada tangan Lisa.

“Alaa... Rosaklah rancangan aku... Kalau boleh aku nak tidur dalam bilik kau malam ni...” Lisa merengek meminta simpati.

“Hishh kau ni... Dah, aku malas bersubahat.” Huda segera berlari anak menuju ke biliknya. Lisa masih terkontang-kanting di dapur. Dia harus fikirkan sesuatu.

Kakinya melangkah perlahan-lahan menapak masuk ke dalam bilik.

“Eh, kenapa gelap pula ni...” Suis lampu dibuka.

“Irfan!!” terkejut Lisa melihat keadaan katilnya yang tidak bertilam.

“Apa, sayang... Dah malam ni... Terjerit-jerit macam mak nenek ni kenapa? Belum jadi emak, dah membebel-bebel...” Irfan masih berbaring di atas tilam empuk Lisa yang telah diletakkan di atas lantai.

“Apa awak buat ni!!!” jerit Lisa.

“Sayang kata, sayang nak tidur atas katil kan? Tidurlah... Abang nak tidur atas tilam ni... Jadi abang ambillah tilam ni...” Telinga Irfan telah bersedia untuk menerima amarah Lisa. Irfan pasti Lisa akan melenting tahap maksimun mendengar alasan yang diberikan oleh dirinya.

“Macam mana saya nak tidur kalau katil ni berlubang-lubang!!!! Letak tilam tu balikkk!!!!!” jerit Lisa sepenuh hati. Panas betul telinga dan hatinya mendengar alasan yang tak dapat diterima logik akal fikirannya.

“Tak nak…” Irfan terus berbaring di tilam empuk Lisa sambil membuat mimik muka mempersendakan Lisa.

“Biar dia rasa... Ingat aku ni apa?” bisik Irfan.

Tiba-tiba sahaja kakinya ditarik kuat.

“Turun saya kata! Turun!! Angkat tilam ni balik!”

“Sayang kata sayang nak tidur atas katil kan? Abang ambillah tilam ni...” Geli hati Irfan melihat lagak Lisa yang tidak terdaya menarik tubuhnya turun dari tilam.

“Katil tu, sekali dengan tilamlah... Mana ada katil tanpa tilam!!”

“Tilam..,” kata Irfan.

“Katil dan tilam!!”

“Tilam... Tilamm... Tilamm...”

“Katil dan tilamm... Katil dan tilamm! Katil dan tilamm!” Lisa masih lagi berusaha menarik tubuh Irfan agar turun dari tilamnya.

Pintu bilik diketuk. Lisa dan Irfan serentak berpaling ke arah pintu. Tangan Lisa dilepaskan dari menarik kaki Irfan yang sedikit pun tidak berganjak dari tilamnya.

“Eh, apa ni... Tilam, katil,tilam, katil ni?” sergah Puan Elinna dari muka pintu.

“Tak kunci?” terjegil mata Irfan pada Lisa.

“Entah, rasanya dah kunci tadi...” Lisa berkata perlahan. Irfan segera bangun daripada pembaringan.

“Ya Allah… Apa dah jadi dengan anak-anak kita ni Raudahhh!!” jerit Puan Elinna.

Tuan Iskandar serta yang lain menjeguk dari luar pintu. Aduh, Irfan lupa keluarganya juga turut bermalam disitu bagi mengeratkan lagi silaturrahim antara dua sahabat yang telah lama tidak bersua.

“Kenapa ni Irfan, Lisa?” Puan Raudah melihat persekitaran bilik pengantin anaknya. Habis tunggang-langgang.

“Errr... Tadi ada lipas... Lisa cakap ada masuk bawak katil ni... Lepas tu masuk celah tilam ni pula... Itu yang buat turun tilam ni,” kelentong Irfan. Lisa menganggukkan sahaja.

“Tahu takut,” bisik Irfan dekat dengan telinga Lisa. Kaki Irfan dipijak perlahan-lahan.

“Engkau tu ringan... Tak ada kesan pun...”

Lisa melarikan kakinya daripada kaki Irfan. Puan Raudah dan Puan Elinna serta yang lain sudah menerjah masuk kedalam biliknya.

“Banyak ke lipas? Mak tak pernah pun tengok lipas ada dalam rumah kita ni,” kata Puan Raudah hairan.

“Ada tiga ekor tadi mak...” Lisa menjeling kepada Irfan disebelahnya. Tak pasal-pasal dia pun turut menipu.

“Eh, banyak tu...” Puan Raudah tahu, Lisa amat gelikan serangga itu. Tak sangka pada malam bahagia sebegini serangga itu datang menghantui Lisa. Kasihan anaknya.

Huda diluar memberi amaran kepada Lisa. Tahu sangat ini adalah permainan Lisa.

“Nah, Abang Irfan...” Adam menghulurkan racun serangga kepada abang iparnya.

“Ok, terima kasih...”

“Dah, jomlah kita keluar... Lipas sahaja pun,” kata Adam. Semua yang ada disitu tergelak kecil. Mereka beransur keluar meninggalkan pasangan baru itu. Lisa menjenguk keluar. Setelah memastikan tiada siapa lagi di situ, pintu ditutup lalu dikunci.

“Hah, lipas sangat kan? Lipas kan? Semburlah bilik ni!” kata Lisa perlahan tetapi nada marahnya masih jelas.

Irfan buat-buat tidak mendengar bebelan Lisa. Tanpa berlengah lagi, Lisa menyembur racun serangga di keseluruhan biliknya.

“Kau ni nak bunuh aku ke??!! Irfan segera menerpa ke arah Lisa. Cuba menghalang tindakan Lisa. Kau, aku? Perkataan ini didengari lagi di gegendang telinga Lisa. Serius, Lisa memang tidak sukakan perkataan itu keluar dari mulut Irfan. Lisa lebih senang kalau Irfan membahasakan Sayang atau Abang.

“Uhukkk… Uhukkkk…. Uhukkk...” Mereka sama-sama batuk. Irfan menekup mulut Lisa lalu mengheret Lisa keluar bersamanya.

“Ni kenapa bodoh sangat ni?!” Irfan masih boleh memperlahankan suaranya. Kalau diikutkan hati mahu sahaja ditengking Lisa semahu-mahunya kerana melakukan satu tindakan yang bodoh.

“Saya nak suruh awak keluar dari bilik ni... Itu yang saya sembur racun ni!” Lisa berkata tegas.

“Kalau ya pun, tak payahlah nak halau abang macam lipas...” Hati Irfan sedikit terasa dengan tindakan isterinya. Irfan berlalu ke ruang tamu dalam limpahan cahaya yang suram-suram menerangi setiap ruang rumah. Malas lagi dia bertekak dengan Lisa. Selagi dia tidak mengalah, selagi itulah Lisa akan terus mempertahankan diri. Macam manalah dia boleh jatuh hati dengan Lisa?

“Misi berjaya... Yeahh...” Lisa menepuk tangan. Lisa menapak masuk ke dalam bilik.

“Uhukk...Uhukkk...Uhukkk...” Lisa berlari keluar kembali.

“Lisa, ini bukan Irfan sahaja yang tak boleh masuk bilik ni... Dengan engkau-engkau sekali tak boleh masuk tahu tak?” sesal Lisa. Patutlah Irfan kata dirinya bodoh. Memang bodoh pun!

Puan Raudah ke dapur seawal 6 pagi. Dia perlu awal tidak seperti biasa kerana hari ini banyak menu yang mahu dimasaknya. Almaklumlah, tetamunya ramai. Lampu di ruang tamu dipasang.

“Ya Allah… Siapa ni?” Puan Raudah menerpa ke arah dua insan yang sedang nyenyak tidur di atas sofa berasingan.

“Lisa?! Irfan?!” ternganga mulut Puan Raudah melihat pasangan baru ini tidur di ruang tamu.

“Kenapa Raudah?” tanya Puan Elinna yang baru sahaja keluar dari bilik sebaik sahaja mendengar jeritan sahabatnya itu. Telekung sembayang yang dipakainya diangkat ke bahu. Puan Elinna menuju ke arah Puan Raudah.

“Anak kita...” Puan Raudah berkata hairan.

“Ya Allah... Kenapa budak-budak ni tidur dekat sini? Irfannn... Irfannn…” Irfan dikejutkan Puan Elinna.

Lisa terjaga dari tidurnya. Begitu juga dengan Irfan.

“Kenapa tidur dekat sini?”

“Lipasss..,” jawab Irfan mamai-mamai.

“Lipas ma... Lisa takut nak tidur kalau ada lipas,” samput Lisa. Menipu di Subuh hari.

“Dah lari dah tu lipasnya...”

“Urmm... Dah Subuh ke? Lisa solat dululah...” Lisa bangun sambil membawa selimut dan bantal.

“Ialah...” Puan Raudah dan Puan Elinna turut meninggalkan ruang tamu meninggalkan Irfan di situ. Irfan turut bangun untuk mengerjakan solat. Dia mahu berjemaah dengan Lisa.

“Selimut? Bantal?” Irfan hairan. Seingatnya dia tidak membawa keluar selimut dan bantal keluar dari biliknya semalam. Bibirnya mengukir senyuman. Ini pasti Lisa yang meletakkannya.

“Sayang juga dia pada aku!” Irfan segera melangkah masuk ke dalam bilik.

“Sayang, tunggu abang sekejap... Kita solat berjemaah ya...” Irfan melihat Lisa sudah siap bertelekung.

“Ya... Cepat sikit...”

“Ya... Tunggu tau...” Irfan segera berlalu masuk ke dalam bilik air. Lisa diluar hanya tersenyum. Nampaknya Irfan tak marah pada dirinya. Alhamdulillah... Kena minta maaf lepas ni! Hehe…

Previous: BAB 44
Next: BAB 46

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.