Home Novel Komedi/Romantik Komedi Antara Mawar Dan Kaktus
BAB 46
BAB 46

Lisa merenung setiap jenis pokok Mawar yang menghiasi taman ibu mentuanya. Taman yang dilihat sangat kemas dan teratur. Hati Lisa sangat merindui pokok-pokok bunganya yang sudah hampir tiga bulan tidak dilawatinya. Kembang lagikah Mawar merah pemberian Dr.Haikal? Lisa termenung seorang diri. Entah kenapa, dia rasa begitu bosan tinggal disini. Tuan Iskandar tiada dirumah, Puan Elinna pun tiada dirumah. Masing-masing sibuk ke tempat kerja. Abang iparnya pula telah kembali ke Australia. Lisa pula telah berhenti kerja. Lisa berhenti disebabkan dia menyambung pelajaran ke peringkat ijazah. Ini semua atas galakan Irfan. Katanya sambung belajar itu sangat bagus dan dapat meningkatkan taraf diri. Mentang-mentanglah dia sibuk berulang alik ke Australia. Dalam moodbelajarlah katakan… Sampai Lisa pun berjangkit dengan mood belajar Irfan.

Paip getah di atas tanah diambil Lisa. Sudah tiba masanya untuk pokok-pokok ini disiram. Satu persatu pokok disiram Lisa. Lisa leka melakukan hal itu.

Deruan kereta Puan Elinna yang memasuki perkarangan banglo berjaya menguntum senyuman pada bibir Lisa. Akhirnya, mamanya dah pulang. Adalah juga teman untuk berbual.

“Alahai, rajinnya menantu mama... Awal hari ni balik? Kelas tak banyak ke?” tanya Puan Elinna ramah sambil menarik kerusi taman untuk duduk.

“Tak banyak, ma... Satu kelas sahaja hari ni... Itu pun pagi tadi...”

“Oh, ya ke... Eh, Irfan belum balik lagi?” Puan Elinna hairan biasanya pada waktu begini Irfan sudah terpacak di hadapan rumah. Ini keretanya pun tiada.

“Belum lagi, ma...” Lisa meneruskan semburan air pada pokok dihadapannya. Hairan juga Lisa, agaknya kemanalah suaminya pergi.

“Ayah kamu pun belum balik lagi ni... Kemanalah ayah kamu pergi...” Puan Elinna mengeluarkan telefon pintar dari tas tangannya.

“Tengahhari tadi papa ada balik ke rumah sekejap... Katanya hari ini dia perlu ke Melaka. Ada hal kerja katanya. Mungkin malam ini baru balik. Papa dah cuba call mama... Tapi tak dapat...”

“Tadi mama offtelefon... Mama meeting... Kalau macam tu kita makan luar hari nak tak? Dah lama mama tak makan malam dekat luar...”

“Lisa dah masak ma,” kata Lisa sedikit rasa bersalah. Kempunanlah mamanya nak makan di luar.

“Lisa dah masak... Kalau macam tu tak apalah... Sebenarnya mama malas nak masak... Kalau menantu mama ni dah tolong masakkan, mama makan sahajalah...” Puan Elinna tersenyum.

“Masak biasa-biasa sahaja ma... Tak tahulah sedap ke tak...”

“Eh, mestilah sedap...”

Tiba-tiba hon kereta dibunyikan dari luar pagar. Kereta meluncur perlahan masuk ke perkarangan rumah.

“Itu pun suami kamu Lisa,” kata Puan Elinna sambil melihat menantunya yang masih menyiram pokok.

Lisa hanya tersenyum.

“Sayang, mari sini cepat,” panggil Irfan setelah keluar dari kereta.

“Sekejap...” Lisa menutup pili air. Puan Elinna juga turut melangkah menuju ke kereta Irfan. Apa hal dengan anaknya hari ini.

“Dah bersedia belum?” tanya Irfan sebaik sahaja Lisa menghampirinya.

“Bersedia apa?” Lisa hairan. Puan Elinna lagilah hairan.

“Jom... Lisa, mama jom kita ke bonet kereta sekarang...”

Mereka bertiga menapak ke belakang kereta dengan hairan manakala Irfan sudah tidak sabar untuk menunjukkan apa yang dibeli untuk isterinya.

“Inilah dia...” Irfan membuka bonet kereta.

“Kaktus?!” Lisa dan Puan Elinna berkata serentak.

“Ya, kaktus...” Irfan tersenyum di birai bonet.

“Banyaknya... Membazirlah macam ni,” kata Lisa kesal dengan keborosan suaminya. Namun, hatinya tetap suka dengan pemberian pokok tersebut. Kalau Irfan hadiahkan rumput sekali pun, Lisa tetap suka. Bukan kerana Irfan yang memberikannya, tetapi kerana dia memang cintakan tumbuh-tumbuhan yang pelbagai bentuk dan jenis. Ciptaan Allah memang unik!

“Tak membazir pun... Ok, mulai esok, abang dah tak nak tengok Lisa duduk termenung depan Pokok Bunga Mawar mama... Abang nak tengok sayang perhatikan pokok-pokok kaktus yang abang belikan ni... Sebab bunga kaktus ni kecil... Jadi, sayang kena perhatikan...” Sengaja Irfan membeli kaktus ini sebegitu banyak. Sampai penuh bonet keretanya. Bukan Irfan tidak tahu atas sebab apa Lisa menerima lamarannya. Disebabkan sikap dingin yang dilakukan Lisa terhadapnya, Irfan mengambil keputusan untuk bertanyakan kepada Huda manalah tahu jika Lisa ada menceritakan sesuatu padanya. Rupa-rupanya atas penjelasan Huda, perkahwinan mereka terjadi adalah disebabkan Lisa membuat hajat antara Mawar dan Kaktus pokok mana yang berbunga dahulu. Maka, lelaki itu akan menjadi pilihan Lisa. Irfan tidak marah, tetapi bersyukur kerana Allah membungakan pokok kaktus yang dihadiahkan kepada Lisa di saat Lisa membuat hajat itu. Inilah yang dinamakan takdir yang sudah tersurat.

“Tapi, banyak sangat ni...”

“Dalam banyak-banyak kaktus ni, pasti ada yang berbunga… Semoga sayang sedar, kaktus pun berbunga cantik... Cantik daripada Mawar merah...”

Lisa merasakan sedikit kelainan daripada ayat yang keluar dari mulut
Irfan. Entahlah Lisa rasakan Irfan sedikit menyindir. Apa salah Mawar merah?

“Mama, Antara Mawar danKaktus... Mama rasa siapa yang menang?”

“Antara Mawar danKaktus? Dua-dua pun boleh menang... Sebab dua-dua pokok berduri... Masing-masing ada pertahanan diri... Tapi, Mawar lagi menyerlah kecantikannya,” jelas Puan Elinna.

“Tapi, Mawar manja... Kaktus lasak... Kaktus kalau tak disiram dua minggu pun masih bertahan hidup. Mawar? Kalau tak siram dua hari pun dah layu… Jadi, kaktuslah yang menang... Kan sayang?” Irfan mencuit bahu Lisa. Biar Lisa tahu, Kaktus pemberiannya lebih mampu bertahan lama daripada Mawar.

Puan Elinna berfikir sejenak. Betul juga kata-kata Irfan fikirnya.

“Betullah tu Irfan... Tak terfikir pula mama sebelum ni... Tahu-tahulakan Mawarkan cantik... Mana-mana mata yang memandang pasti akan tergoda dengan kecantikannya...”

“Cantik diluar tak semestinya dapat bertahan lama kan ma?”

“Apa-apa sahajalah Irfan... Jom kita angkat kaktus ni... Kita letak dekat sana...” Hairan betul Puan Elinna dengan kiasan Irfan petang ini. Sebelum ini tidak pernah pun mengambil tahu hal-hal pokok. Tiba-tiba hari ini muncul dengan kiasan-kiasan yang boleh dikatakan agak bernas.

Puan Elinna berlalu daripada mereka berdua dengan membawa pokok-pokok kaktus di suatu penjuru rumah.

“Sayang, begitulah cinta dan kasih abang pada sayang... Kukuh bertahan walau apa pun rintangannya dan hubungan kita akan sentiasa ceria seumpama cerianya kumbang melihat kaktus mekar di taman... Abang berharap perkara ini akan terjadi...” Irfan berlalu meninggalkan Lisa disitu. Kaktus dibawa dengan berhati-hati agar tangannya tidak tercucuk duri. Biarlah isterinya memikirkan apa yang diperkatakan tadi. Dalam maksudnya. Kaktus ini sebagai lambang cinta mereka.

Lisa faham apa yang dimaksudkan Irfan. Tapi, hatinya masih tidak terbuka untuk Irfan. Sudah dicuba berkali-kali namun dia gagal. Cintanya pada Dr.Haikal terlalu kuat. Dia tidak dapat membuang perasaan itu. Cinta yang hadir untuk Irfan tidak berjaya menapak ke dalam hatinya.

Apabila cinta Irfan hadir ke dalam hatinya, cintanya pada Dr.Haikal mampu membunuh perasaan itu. Cinta Irfan diracun dalam hatinya sendiri. Walaupun hubungan mereka nampak baik, tetapi mereka tidak dapat melihat dari hati ke hati. Maksudnya disini, Irfan masih tidak dapat menembusi hati Lisa dan begitulah juga dengan Lisa. Tiada perasaan sayang hadir dalam hatinya untuk Irfan.

Perlahan-lahan Lisa mengangkat kaktus keluar dari bonet. Ada kaktus yang telah berbunga. Cantik sekali. Lisa tersenyum melihat indahnya bunga kecil ini.

Irfan mendengar dengan teliti perbualan Lisa melalui telefon. Tumpuannya untuk mengemas baju-baju untuk ke Australia esok hari sedikit terganggu. Matanya dikerling ke bilik kecil yang berada di dalam biliknya. Bilik yang dibuat Lisa sendiri dengan membuat dinding-dinding daripada susunan almari. Disebalik almari itu ada sebuah katil bujang dan satu meja kecil untuk Lisa mengulangkaji pelajaran. Selama tempoh mereka berkahwin, walaupun mereka tinggal di dalam satu bilik, tetapi mereka tidak pernah tidur sekatil. Ini adalah permintaan Lisa, Irfan terpaksa menghormatinya walaupun dia adalah ketua untuk perkahwinan ini.

Perbualan Lisa menarik perhatian Irfan untuk menapak ke bilik kecil Lisa. Lentok bahasa Lisa yang lembut dan manja mencetuskan api cemburu di hati lelakinya.

“Ehemm...” Irfan berdehem di muka pintu. Lisa yang duduk menghadap buku sedikit terkejut.

“Oklah awak... Saya ada kerja ni... Assignmentbelum siap lagi,” bohong Lisa.

“Ok, buat elok-elok... Assalamualaikum..,” kata Dr.Haikal melalui telefon.

“Waalaikumussalamm...” Lisa mengerling kelibat Irfan di muka pintu yang masam mencuka air mukanya.

“Siapa tu? Bukan main cair lagi tahi telinga abang mendengar perbualan sayang.”

“Awak, Dr.Haikal dah balik Malaysia!” Lisa berkata teruja.

“Boleh tak sayang panggil abang, abang... Kita kan dah kahwin tak payahlah berawak saya... Apa, Dr.Haikal dah balik?” Irfan mengerutkan muka.

“Aaah... Dia dah balik... Semalam sampai... Boleh tak saya jumpa dia?”

“Tak boleh!” Irfan berkata tegas.

“Tapi, dia nak jumpa...”

“Saya kata, tak boleh!”

“Tak kira, saya nak jumpa juga dengan dia! Mesti dia nak tanya pasal Pokok Mawar yang dia hadiahkan kepada saya tu...”

Pokok Mawar? Pasti Dr.Haikal juga akan bertanya tentang lamarannya pada Lisa. Hati Irfan resah. Esok dia dah nak bertolak ke Australia. Siapa yang mampu memantau pergerakan isterinya?

“Sayang dah kahwin. Jadi, buatlah cara orang yang dah berkahwin...”

“Saya nak rahsiakan perkahwinan kita daripada pengetahuan Dr.Haikal. Jika betul niat Dr.Haikal mahu memperisterikan saya, saya tak akan teragak-agak untuk minta cerai dengan awak.” Lisa membelek buku dihadapannya. Malas lagi menatap wajah Irfan. Fikirannya hanya memikirkan Dr.Haikal.

Bagaikan sebilah pisau ditusuk ke hati Irfan saat ini. Sanggup insan yang disayanginya berkata sebegitu. Apa yang masih tak sempurna pada penglihatan Lisa tentang dirinya.

“Awak ingat, kawan-kawan awak tak akan beritahu ke yang awak dah berkahwin?”

“Dr.Haikal dah tak kerja di hospital tu lagi... Untuk tahun ni dia akan bekerja di pusat universiti untuk membuat penyelidikan... Jadi, tak akan ada sesiapa yang boleh berjumpa dengan Dr.Haikal dan membocorkan rahsia ini...”

“Saya tak akan sesekali ceraikan awak. Sayang kena ingat tu... Abang sayang isteri abang lebih dari nyawa abang sendiri... Sayang tanggungjawab abang yang Allah telah berikan. Abang tak akan sesekali berpaling daripada tanggungjawab ini,” kata Irfan. Mujurlah hati Irfan masih lagi mampu bersabar dengan kata-kata Lisa saat ini. Berani dia minta cerai semata-mata mahu bersama Dr.Haikal. Sampai hati isterinya berkelakuan sebegitu rupa. Hatinya bagaikan direntap setelah mendengar permintaan berani Lisa.

Lisa memasukkan earphonepada lubang telinganya. Lagu dipasang sekuat-kuatnya. Dia tidak mahu hatinya cair mendengar ungkapan Irfan. Irfan memang baik pada dirinya, tetapi hatinya untuk orang lain. Lisa tidak boleh menangkis perasaan ini.

“Buruk sangatkah diri abang di mata Sayang?” Irfan memandang Lisa dengan perasaan yang sedikit kecewa. Tiada respon diberikan.

Lisa pura-pura kusyuk dengan buku dan laptopnya. Irfan memandang isterinya dengan perasaan sayu. Kakinya menapak perlahan-lahan kembali ke katilnya untuk mengemas baju-bajunya dengan mata yang berair. Hatinya cukup terasa dengan kelakuan Lisa. Apa yang akan dilakukan Lisa selama tempoh pemergiannya selama tiga bulan? Irfan keluar dari bilik, dia menghubungi seseorang.

Keesokkan harinya,

“Siapa tu?” tanya Lisa sebaik sahaja Irfan habis berbual dengan seorang lelaki di luar pintu masuk KLIA. Sejak dari mula Irfan berjumpa dengan lelaki itu, lelaki itu tidak henti-henti memandang Lisa.

“Oh, itu kawan abang, Nazri namanya... Sepatutnya dia pun pergi Australia hari ni... Tapi disebabkan ada masalah, terpaksalah dia tunda minggu depan,” bohong Irfan.

Sebenarnya lelaki yang dilihat Lisa adalah lelaki yang diupahnya untuk memerhatikan setiap pergerakan Lisa diluar, sepanjang Irfan tiada di sini. Lelaki ini diarahkan untuk melaporkan setiap pergerakan Lisa setiap hari dengan menghantar gambar-gambar Lisa melalui e-mel.

“Kenapa awak tak perkenalkan kepada saya?”

“Nazri ada hal... Ini pun dia singgah sekejap sahaja sebab nak serahkan dokumen ni... Abang kena tolong daftarkan dia untuk slot kursus yang baru ni...”

“Ooo... Mama dengan papa mana ni?” Lisa mencari kelibat mentuanya di dalam puluhan orang yang berada disekelilingnya.

“Tadi mama cakap nak pergi tandas... Papa temankanlah tu kut... Jomlah kita duduk dekat sana dulu,” ajak Irfan sementara menunggu mama dan papanya.

Serahan bagasi akan dilakukan sebentar lagi selepas Puan Elinna dan Tuan Iskandar muncul seketika nanti. Memandangkan mereka tiba awal di lapangan terbang, Irfan mengajak Lisa duduk terlebih dahulu di tempat yang disediakan. Sebelum datang ke lapangan terbang, Irfan awal-awal lagi telah check-insecara dalam talian dirumah bagi mengelakkan kesesakan atau kejadian terlepas waktu check-in.Jadi, dia tidak akan tergopoh-gapah setibanya di sini. Masa yang ada digunakan sebaiknya untuk berbual dengan Lisa.

Irfan mengambil tempat di bangku yang disediakan. Lisa duduk bersebelahan dengan Irfan.

“Sayang, nanti bila abang tak ada dekat sini, sayang masih nak jumpa juga ke dengan Dr.Haikal?”

“Rasanya macam itulah... Saya minta izin dengan awak tau... Sebab awak masih suami saya jadi saya minta izin dengan awak...”

“Kalau abang tak izinkan, sayang tetap pergi jumpa kan?”

“Tepat sekali jangkaan awak!” Lisa tersenyum melihat Irfan. Namun wajah sugul suaminya mematikan senyuman Lisa.

“Baiklah, abang izinkan isteri abang berjumpa dengan Dr.Haikal. Kalau abang tak izinkan, sayang tetap pergi jugakan... Disebabkan abang sayang pada isteri abang, abang tak nak isteri abang berdosa dan mendapat kemurkaan Allah. Jadi, abang izinkan... Pergilah... Tapi, jaga batas-batasnya. Ingat sayang tu masih isteri abang dan akan menjadi isteri abang buat selama-lamanya.” Irfan tersenyum kelat memandang wajah Lisa. Dia terpaksa mengizinkan walaupun hatinya agak berat untuk membenarkanya.

“Ya ke? Terima kasih, awak!” Lisa agak terkejut dengan keizinan yang diberikan suaminya. Satu ciuman hinggap di pipi Irfan. Terpana Irfan mendapat ciuman pertama daripada isterinya.

“Oppss! Maaf, saya tak sengaja... Saya gembira sangat tadi...” Lisa rasa bersalah. Dek kerana terlalu teruja dengan kebenaran yang diberikan Irfan, Lisa tidak berfikir panjang.

Irfan hanya tersenyum. Dia mengerti.

“Gembiralah awak kan? Dapat jumpa buah hati?”

“Gembira tu memang ada... Tapi, saya rasa berdebar sangat-sangat... Tentu Dr.Haikal akan tanya perihal lamarannya...” Lisa tersenyum bahagia.

Pedih rasanya hati Irfan apabila Lisa masih memikirkan perihal lamaran Dr.Haikal sedangkah sekarang Lisa telah bergelar isteri kepadanya.

“Sayang, tiada ruang ke dalam hati sayang untuk abang? Hurmm?” Irfan bertanya sebak. Tidak pasti sama ada sebak disebabkan terguris dek kerana kata-kata Lisa atau sebak dek kerana hanya tinggal beberapa minit sahaja lagi dia akan masuk ke dalam dan tidak akan bertemu dengan isterinya berbulan lamanya.

Lisa terdiam apabila melihat wajah sedih Irfan. Dia tidak berani berkata apa-apa lagi.

“Awak, papa dengan mama mana ni?” Lisa bangun daripada duduknya cuba beralih topik.

Irfan menyeka air matanya yang menitis. Dinginnya Lisa terhadap dirinya. Entah apa salahnya, Irfan pun tidak tahu.

“Haaa... Itu pun papa dengan mama.,” tunjuk Lisa. Lisa menelan air liur sebaik sahaja melihat air mata Irfan tumpah.

“Awak, awak ok tak ni?” Lisa rasa bersalah.

Irfan lekas bangun lalu menolak troli menuju ke arah papa dan mamanya. Air mata yang mahu mengalir laju cuba ditahannya.

“Papa, mama... Rasanya Irfan dah kena masuk ni...” Irfan melihat jam tangannya yang menunjukkan tepat pukul 9.30 pagi.

“Dah nak masuk?” Puan Elinna melihat jadual penerbangan yang terpapar di skrin.

Irfan mengangguk.

“Kalau macam tu marilah kita ke kaunter serahan bagasi,” ajak Tuan Iskandar. Mereka memulakan langkah. Irfan berjalan bersama papanya sementara Lisa ditinggalkan berjalan di belakang bersama Puan Elinna. Irfan masih berkecil hati saat ini terhadap isterinya. Boleh isterinya masih mengutarakan hal itu saat dia akan tinggalkan negara ini.

Setelah serahan bagasi dibuat tibalah masanya untuk Irfan masuk ke dalam. Irfan bersalaman dengan Puan Elinna dan Tuan Iskandar.

“Irfan, dekat sana tu nanti jaga diri... Jangan nak menggatal... Ingat, awak tu dah kahwin.,” pesan Puan Elinna sambil tersenyum melihat menantunya di sisi.

Irfan hanya tersenyum dan mengangguk. Kalau boleh, nak sahaja Irfan tujukan ayat Puan Elinna ini kepada Lisa.

“Sayang, sebelum abang terlupa, dekat atas almari tu ada bungkusan hadiah tau... Nanti tolong serahkan kepada Huda dan Ustaz Saiful ya... Beritahu mereka, maaf abang tak dapat datang... Tapi, abang akan doakan kebahagian mereka dari jauh... Semoga majlis berjalan dengan lancar... Lagi dua bulan kan mereka nak kahwin?”

“Aahh... Lagi dua bulan... Ok, nanti saya berikan.” Lisa bersalaman dengan Irfan. Kemas genggaman tangan Irfan seperti tidak mahu berpisah dengannya. Kalau diikutkan hati Irfan, mahu sahaja dia memeluk isterinya di sini. Tapi, perkara itu pasti tidak diizinkan Lisa. Irfan faham sangat.

Pemergian Irfan ke Australia sedikit pun tidak meninggalkan kesan di dalam hati Lisa. Hatinya begitu teruja untuk bertemu dengan Dr.Haikal. Hatinya kini 90% telah berubah arah. Cinta Dr.Haikal yang didamba sebelum ini kini bakal digenggaminya. Cinta yang berputik untuk Irfan, Lisa rasakan ia telah diracun dengan cinta Dr.Haikal. Entah kenapa, hatinya bagaikan disihir untuk terus mengejar cinta Dr.Haikal. Lisa tahu dia berdosa, tapi perasaannya sepertinya tiada untuk Irfan ketika ini dan dia tidak boleh menangkis perasaan itu.


Previous: BAB 45
Next: Bab 50

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.