Home Novel Komedi/Romantik Komedi Antara Mawar Dan Kaktus
BAB 44

BAB 44

Lisa melangkah keluar dari kereta. Tiupan angin pagi mula menerpa lembut pada wajahnya yang mula nampak serinya. Masjid Kristal yang tersergam indah kini berdiri gah di hadapan mata Lisa dan tetamu yang lain. Deruan air pancut dihadapan masjid menyejukkan mata memandang. Terbitnya mentari pagi itu mempamerkan kilauan masjid yang mampu mententeramkan hati Lisa. Senyuman nipis diukir diwajahnya. Seusai Solat Subuh pagi tadi, hati Lisa lebih tenang dan telah menerima hakikat yang dia akan hidup bersama Irfan.

Ketibaan rombongan kereta Irfan, menambah debar dihati Lisa. Tangan Huda dipegang bagi mendapatkan sedikit kekuatan.

“Kau takut ke?” Huda bertanya lembut.

“Tak takut... Aku berdebar Huda...” Lisa menatap wajah Huda. Puan Raudah dan Encik Hamid mula mendapatkan Puan Elinna sekeluarga sementara Lisa masih berdiri di tepi kereta sambil ditangkap gambar oleh fotografer yang telah ditempah Irfan.

Huda hanya tersenyum sambil mengeratkan lagi genggaman tangan.

“Kacaknya,” bisik hati Lisa sebaik sahaja Irfan keluar dari kereta.

Senyuman yang indah dihadiahkan Irfan kepada Lisa. Cantiknya Lisa pagi ini, sungguh memikat kalbu.

Lisa berbalas senyuman. Senyuman yang paling bahagia cuba diukir. Dari jauh, Irfan mampu mengagak bahawa Lisa tidak akan mengelak untuk menjadi isterinya yang sah. Senyuman Lisa mampu menghilangkan debar di hati Irfan yang sangat kronik sejak semalam.

Beberapa orang fotografer yang ditugaskan untuk mengambil gambar dan video majlis perkahwinan mereka mula mengambil tugas masing-masing. Mujurlah Irfan telah memilih fotografer yang perlu dipilih oleh mereka tempoh hari. Kalau tidak, tiada gambarlah mereka nanti.

Alunan selawat mula berkumandang. Irfan melangkah terlebih dahulu ke dalam masjid sementara diikuti Lisa dari belakang.

“Bismillahirrahmanirrahim… Berkatilah perkahwinan kami Ya Allah,” bisik hati Irfan sebaik kakinya melangkah masuk pintu masjid. Seni bina masjid yang indah, sedikit sebanyak dapat mententeramkan hati Irfan yang sedikit berdebar. Sungguh, hati Lisa berdegup kencang saat ini. Langkah diatur sebaik yang mungkin memasuki ruang masjid yang sangat indah. Tatapan mata Irfan yang sudah duduk ditempat yang disediakan mampu meyakinkan Lisa bahawa inilah jodohnya. Perihal Dr.Haikal, Lisa tolak ke tepi... Mungkin betul kata Huda, Irfan adalah jodohnya dan Lisa tidak boleh melawan ketentuan Ilahi.

Sedikit tazkirah diberi oleh juru nikah sebelum akad nikah berlangsung. Lisa dan Irfan menghayati dan akan mengingati panduan ini untuk melayari bahtera rumah tangga yang akan dibina beberapa minit sahaja lagi nanti. Adam sebagai wali Lisa turut mendengar penjelasan yang diberikan oleh juru nikah dengan teliti. Semoga kakaknya akan bahagia bersama Irfan.

Suasana mula sunyi seketika sementara juru nikah memulakan upacara ijab dan qabul. Tangan Irfan dan juru nikah bertautan. Lisa gementar disuatu sudut.

“Bismillahirramanirrahim... Wahai Tuan Muhammad Harith Irfan bin Tuan Iskandar, aku kahwinkan dan aku nikahkan dikau akan Lisa Amira Natasya bt Abdul Hamid yang telah berwakilkan oleh walinya kepada saya supaya menikahkannya dengan dikau dengan maskahwin sebanyak 30 dinar emas tunai...”

“Aku terima akan nikahnya dengan maskahwin seperti yang tersebut itu.”

“Sah?” juru nikah memandang kedua orang saksi.

“Sah…”

“Sah, Alhamdulillah...”

Irfan berpaling kepada Lisa yang sedang menyeka air matanya. Senyuman dihadiahkan kepada isterinya. Mata mereka bertautan. Lisa hanya membalas senyuman nipis sambil menyeka air matanya dengan tisu. Sesudah Irfan melafazkan lafaz nikah, Lisa rasakan hatinya cukup terharu. Hatinya begitu tersentuh. Dari suatu sudut Lisa memandang kasih terhadap suaminya.

Doa selamat dibacakan dengan penuh syahdu. Sebuah masjid lagi telah dibina dan semoga ia akan kukuh buat selama-lamanya.

“Tahniah, sayang..,” peluk Puan Raudah.

“Terima kasih...” Lisa tersenyum manis.

Puan Elinna turut memeluk Lisa.

“Selamat datang ke dalam keluarga kami...” Puan Elinna tersenyum mesra.

“Terima kasih, ma...”

Irfan berjalan mendekati Lisa dengan senyuman yang paling kacak yang pernah Lisa lihat. Lisa turut membalas senyuman Irfan.

“Jom,” ajak Irfan.

Lisa menuruti Irfan di suatu sudut. Mereka sama-sama mendirikan solat sunat selepas akad nikah. Ini adalah untuk pertama kalinya Irfan menjadi imam Lisa. Di belakang, Lisa yakin Irfan akan menjadi suami yang baik kepadanya. Solat sunat dua rakaat didirikan dengan penuh kekusyukan dan dituruti dengan Sujud Syukur selepasnya. Seusai solat, Lisa bersalaman dengan Irfan. Lama kucupan tangannya. Setitis air mata gugur.

Sesudah bersalaman, Irfan meletakkan tapak tangannya pada ubun-ubun kepala Lisa. Lisa menundukkan pandangannya.

“Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Ya Allah, daku memohon kepada-Mu kebaikannya dan kebaikannya yang Dikau ciptakan padanya, dan daku berlindung kepada-Mu daripada keburukannya dan dari keburukan yang Dikau ciptakan pada dirinya...” ubun-ubun Lisa dikucup Irfan lalu mata Lisa dipejam rapat. Hatinya cukup tersentuh. Setitis dua gugur jua air matanya. Cahaya daripada kamera tidak putus-putus berhenti menyinar bagi merakam detik manis ini.

“Terima kasih sayang kerana sudi menjadi isteri abang,” bisik Irfan sambil matanya menikam lembut ke dalam anak mata Lisa yang sedikit berlinangan dengan air mata. Lisa terkedu dengan ucapan Irfan. Tiada lagi bahasa kau dan aku? Lisa hanya mengangguk perlahan. Tiada kata yang boleh keluar dari mulutnya saat ini. Bagaikan di alam mimpi. Pada mulanya tidak mahu berkahwin dan sekarang Irfan berhadapan dengannya sebagai seorang suami, bukan lagi sebagai seorang musuh, kawan biasa atau tunang... Tapi, sebagai seorang suami! Betulkah? Ya, ini realiti Lisa! Realiti!

“Ini cincinya...” Puan Elinna mencelah. Irfan memandang mamanya. Senyuman paling bahagia terpancar pada wajahnya saat ini. Sejuk hati Tuan Iskandar dan Puan Elinna melihat kebahagian anaknya. Tuan Iskandar menepuk-nepuk bahu Hairul Ikhwan. Hairul Ikhwan faham benar apa maksud papanya. Tentu papanya mahu jawapan daripadanya bila dia mahu berkahwin. Wanda yang duduk bersebelahan dengan Iffa dikerlingnya. Moga ada jodoh antara mereka berdua.

Sebentuk cincin disarungkan pada jari Lisa. Cincin yang ditempah khas oleh Irfan untuk insan yang bernama Lisa Amira Natasya kelihatan bersinar dan bergemerlapan. Seutas gelang emas putih juga dihadiahkan kepada Lisa. Kini, giliran Lisa pula menyarungkan cincinnya kepada Irfan. Gementar tangannya, memegang jejari Irfan yang tidak pernah disentuhnya sebelum ini. Sekali lagi mereka bersalaman. Kali ini lebih lama atas permintaan fotografer. Senyuman bahagia jelas terpancar di wajah kedua-dua belah keluarga mempelai.

Majlis ringkas diadakan di rumah Lisa sementara menunggu majlis persandingan keesokan hari. Esok ramai tetamu akan hadir untuk meraikan majlis cinta mereka. Untuk hari ini, Irfan kembali dulu ke hotel dan akan datang keesokan hari pada majlis persandingan yang akan diadakan di rumah keluarga Lisa. Berat juga hati Irfan untuk meninggalkan isterinya tetapi Lisa tidak kisah. Selamat dirinya daripada berkongsi bilik dengan Irfan malam ini.

“Esok abang datang, ya...”

Kenapalah Lisa rasakan perkataan abang begitu janggal pada telinganya. Dia sendiri merasa kekok untuk menyebut perkataan itu.

“Oklah... Saya tunggu awak esok...”

“Ok, sayang... Jaga diri... Tidur biar cukup tau... Esok ramai orang nak tengok sayang... Kalau jadi mata panda, buruklah isteri abang. Maaflah abang tak boleh temankan sayang malam ni...”

“Ok...”

“Huh, tak teman pun tak apa… Hatiku lagi senang... Selamat..,” bisik Lisa di dalam hati.

Irfan menghulurkan tangan. Lisa mengangkat kedua belah keningnya. Hairan.

“Kenapa?” tanya Lisa.

“Salamlah...”

“Oh, ya... Lupa...” Tangan Irfan dicium Lisa.

“Mengada-ngadalah dia ni,” bisik hati Lisa lagi.

Selepas bersalaman Irfan dan keluarganya bertolak meninggalkan rumah Lisa dan akan kembali keesokan harinya.

Setelah semua orang melarang Lisa menolong mengemas apa yang patut, Lisa mengambil keputusan untuk masuk ke dalam bilik. Tudungnya dibuka lalu Lisa berbaring di atas katil. Kipas yang ligat berpusing dilihatnya.

“Betul ke ni aku dah kahwin?” Lisa melihat cincin yang tersarung kemas di jarinya. Macam tidak percaya.

“Irfan dah jadi suami kau Lisa...” Mukanya ditekup ke bantal. Menyesal sekarang pun dah tak guna. Rindunya pada Dr.Haikal bertamu lagi. Lisa keliru. Siapakah sebenarnya dihatinya? Irfan yang kini sudah bergelar suami pada dirinya atau Dr.Haikal yang dicintainya? Lisa tersepit. Perkahwinan ini pada mulanya dirancang dengan baik, tapi dek kerana kembangnya Mawar, hati Lisa beralih arah. Hatinya menunggu kepulangan Dr.Haikal. Tapi, apa yang dirancang tidak boleh dimusnahkan kerana Lisa perlu memikirkan orang diselilingnya yang begitu mengharapkan perkahwinan ini terjadi dan Allah juga tidak mengizinkan ia terjadi.

“Berdosakah aku kerana merindui lelaki lain selain suamiku?” Lisa beristighfar panjang. Ah, berdosanya dirinya! Lisa meraut wajahnya dengan telapak tangan. Jam didinding ditatapnya. Solat Zohor masih belum dilaksanakan. Lisa segera bangun untuk mengerjakan solat fardu itu. Lisa mahu memohon pada Allah, moga hatinya tidak beralih arah dan menjadi isteri yang taat dan setia pada suami.

Suasana meriah menghiasi majlis persandingan Lisa dan Irfan hari ini. Pertunjukan silat dan tari menari daripada persembahan kanak-kanak begitu menarik perhatian tetamu yang hadir. Ustaz Saiful di ruang makan tidak habis-habis melihat Huda diatas pelamin sebagai pengapit Lisa. Cantik sungguh tunangnya. Ustaz Saiful membalas senyuman Huda sebaik mata mereka bertembung.

Maria dan rakan-rakan sekerja Lisa pula tidak melepaskan peluang untuk merakam aksi persembahan kanak-kanak comel ini. Mereka datang dari jauh semata-mata untuk meraikan majlis cinta Lisa dan lain tidak bukan mereka juga mahu melancong ke negeri ini. Maria akui Lisa dan Irfan begitu sepadan duduk di atas pelamin itu bersama-sama. Maria tidak cemburu tapi hatinya tumpang bahagia. Dia pun hairan kenapa perasaan itu tidak ada lagi pada dirinya.

Tiba-tiba mata Maria beralih pada wajah yang begitu dikenalinya. Setiap kelakuan lelaki itu menarik perhatian Maria untuk memerhatikannya lebih dekat. Lelaki itu sibuk menambah lauk untuk tetamu yang hadir. Apa yang kurang di tempat hidangan, lelaki itu akan menambahkannya agar cukup untuk para tetamu.

Maria menghampiri lelaki itu.

“Hai,” sapa Maria.

“Hai,” lelaki dihadapan Maria cuba mengecam Maria. Sepertinya wajah ini begitu biasa pada penglihatannya suatu masa dahulu.

“Muaz kan? Maria... Ingat lagi tak?” Maria mengukir senyuman.

“Maria!! Ya... Ingat-ingat... Awak apa khabar sekarang?” Lelaki ini teruja melihat Maria. Tak sangka gadis yang tergilakan dirinya suatu ketika dahulu muncul kembali.

“Macam inilah... Sihat... Awak buat apa dekat sini?” Maria melihat baldi kecil yang disaluti dengan kuah gulai yang dibawa Muaz.

“Oh... Inikan sepupu saya... Jadi saya tolonglah apa yang patut...”

“Sepupu??” Bulat mata Maria mendengarnya. Terkejut.

“Ya... Saya anak saudara emak Lisa...”

“Oh, patutlah...”

“Patutlah apa?”

“Patutlah awak berdua rapat selama ni... Saya fikir awak sukakan Lisa...”

Muaz hanya tersenyum. Dia sendiri tahu kisah perbalahan antara Maria dan Lisa tetapi dia malas masuk campur tentang hal perempuan.

“Papa!” jerit seorang kanak-kanak lelaki kecil.

“Ya, sayang… Papa dekat sini...”

“Papa, Amir nak ayam,” renget anak kecil dihadapan Maria.

“Anak awak?” Maria sedikit terkejut.

“Aaah... Anak sayalah ni... Itu isteri saya...” Mata Maria beralih kepada apa yang ditunjukkan Muaz. Jelas dimata Maria seorang perempuan cantik yang sedang sarat kandungannya.

“Oh, jadi awak dah berkahwinlah...” Maria tersenyum. Alahai, melepas lagilah dirinya nak memikat Muaz. Mujurlah dia masih ada Rayyan.

“Dah... Dah kahwin... Maria?”

“Insya-Allah tak lama lagi...” Maria menyentuh lembut dagu anak Muaz yang kelihatan begitu comel dimatanya.

“Papa… Nak ayam...”

“Ok... Nanti papa ambilkan... Salam dengan auntie... Ini kawan papa tau...”

“Hai, auntie...” Tangan Maria dicium.

“Oklah saya pergi dululah... Nanti menangis pula Si Amir ni...”

“Ok... Kirim salam dekat isteri awak... Cantik orangnya...”

“Insya-Allah... Nanti saya akan sampaikan.”

Maria memandang kemesraan antara Muaz dan anaknya. Kini, barulah Maria tahu Muaz merupakan sepupu Lisa. Mungkin ini apa yang mahu dijelaskan Lisa suatu ketika dahulu tetapi Maria menolak untuk menerima penjelasan Lisa. Dia terlalu beremosi ketika itu.

Acara merenjis telah dimulakan. Maria tidak akan melepaskan peluang untuk merenjis Lisa dan mengucapkan tahniah kepada musuhnya. Mungkin istilah musuh perlu ditukar kepada kawan. Selama ini Maria telah salah faham terhadap Lisa. Dia patut meminta maaf.

Previous: BAB 43
Next: BAB 45

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.