Home Novel Komedi/Romantik Komedi Antara Mawar Dan Kaktus
BAB 41


BAB 41

Lisa melihat kad perkahwinan berwarna hijau lumut yang berada ditangannya. Kad itu dilipat lalu dimasukkan perlahan-lahan ke dalam sampul yang turut bewarna hijau lumut. Lisa melirik ke arah jam. Jam menunjukkan 2.15 petang. Kelibat Maria dicari. Hanya Maria seorang sahaja rakan setugasnya yang belum mendapat kad jemputan. Suasana wad yang tenang serta waktu bertugas yang telah tamat memberi ruang untuk Lisa mengedarkan kad perkahwinannya yang bakal berlangsung 3 minggu lagi.

“Mana Maria ni... Tak kan dah balik... Beg masih ada…” Lisa melirik ke dalam almari Maria.

“Macam mana ni... Nak letakkan dekat almari dia ke?” Lisa berfikir.

Lisa melangkah kearah almari Maria.

“Eh, nanti apa pula dia cakap letak macam ni sahaja... Macam tak ikhlas jemput dia… Tunggulah...”

Sementara menunggu Maria, Lisa mengemas almari simpanannya yang sudah lama tidak berkemas.

“Eh, kertas apa pula ni?” Lisa membuka lipatan kertas yang dijumpainya.

“Jangan lupa siramkan, bajakan dan berikan kasih sayang yang cukup kepada pokok yang saya hadiahkan kepada awak. Selepas pokok tu berbunga awak tukarlah pasu tu… Pasu yang saya berikan tu kan kecil...”- Dr.Haikal.

“Eh, Dr.Haikal? Bila dia letak ni? Macam mana aku boleh tak perasan?” Lisa membelek-belek kepingan kertas yang sudah berada ditangannya. Lisa cuba meneliti pada kertas tersebut jika ada dicatatkan tarikhnya. Namun, tiada.

“Jangan risau… Pokok yang awak bagi tu dah ada putik bunga tau! Penat saya jaga… Setahun lebih baru nak berbunga. Rupa-rupanya pokok ni nak selalu dicantas, dibaja dengan air basuhan beras, air basuhan ikan dan juga air basuhan ayam… Apa yang penting mendapat cahaya matahari yang banyak. Barulah keluar pucuk baru serta putik bunganya… Itulah, awak berahsia lagi pokok apa yang awak hadiahkan tu… Kalau tak senang saya merawatnya... Lain pokok, lain cara rawatan dan penjagaannya Dr.Haikal…” Lisa tersenyum.

Puas dia mencari petua-petua daripada internet yang membolehkan pokok mawar hadiah daripada Dr.Haikal berbunga. Akhirnya petua itu diamalkan dan nampaknya ia membuahkan hasil.

“Hai Tasya... Tak balik lagi ke?” tegur Maria daripada belakang.

“Haaa… Ini pun kau... Kau pergi mana, aku tunggu kau dah lama ni,” bebel Lisa. Kertas yang ditulis Dr.Haikal dilipat kembali.

“Apa hal kau cari aku?” Maria menjeling. Malas dia melayan Lisa.

“Nah…” Lisa menghulurkan kad perkahwinannya.

“Kad apa ni?”

“Bukalah…”

Maria memuncungkan mulutnya ala-ala ikan emas. Tangannya sengaja digedikkan ketika membuka kad yang berada dihujung jari.

Perkataan yang tertera dibaca dengan teliti. Bagaikan tidak percaya apa yang dibacanya. Maria mengulangi pembacaan. Terasa sesak nafasnya membaca kad undangan daripada Lisa.

“Lepas ni kau dah tak boleh mengata aku tak ada orang nak... Ok?? Jemput datang tau...” Lisa tersengih. Ah, padan muka! Kali ini, aku kahwin dulu daripada kau Maria... Itulah, mengata aku lagi...

“Tengoklah kalau aku dapat cuti...” Maria menyimpan kad undangan tersebut dalam tas tangannya.

“Oklah, aku pun dah lambat ni... Aku pergi dululah Maria,” kata Lisa dan terus meneruskan langkah.

“Ok...”jawab Maria sambil mengerling pemergian Lisa.

Sebaik sahaja Lisa keluar dari bilik, Maria cepat-cepat menutup pintu. Kad undangan Lisa dikeluarkan semula dari tas tangan.

“Eh, dia kahwin dengan siapa ni?” Mata Maria meneliti setiap butir perkataan.

“Harith Irfan? Siapa ni? Lelaki yang ambil Lisa dekat hotel tu ke?” Maria mengetap bibir geram.

“Ah, tak mungkin! Tak kan ada orang sekacak lelaki tu nakkan Lisa tu...”

“Eeeeee…” Maria menghentakkan kakinya. Geram!

“Kenapa kau selalu dapat yang elok-elok Lisa?” Cemburu mula menguasi hati Maria. Kenangan ketika di universiti beberapa tahun dahulu mula merajai setiap ruang pemikiran Maria.

Permusuhan antara Maria dan Lisa tercetus setelah satu kejadian yang menimpa diri mereka ketika hari konvokesyen senior-senior universiti. Saat itu, Maria beria-ria menunggu senior pujaan hatinya keluar dari dewan konvokesyen. Dirinya disolek secantik yang mungkin untuk tatapan pujaan hatinya. Sejambak bunga ros dipegang kemas menanti saat-saat keluarnya senior yang telah menambat hatinya sejak hari orentasi lagi.

Sebaik sahaja wajah yang dinanti-nantikan itu keluar dari dewan, Maria berasak dengan orang ramai untuk mendekati jejaka tersebut. Sebaik sahaja tiba berdekatan dengan jejaka tampan itu, hati Maria direntap sekeras-kerasnya. Mesra sungguh pujaan hatinya dengan Lisa. Apa yang lebih menyakitkan hatinya adalah jejaka tersebut telah menghadiahkan sejambak bunga yang diperolehinya kepada Lisa! Geram sungguh hatinya! Apa hubungan antara Lisa dan dia! Maria membencinya!

Sejak dari itu, Maria istiharkan perang dingin. Walaupun selepas itu, Lisa ada datang menemuinya untuk menjelaskan spekulasi yang menimpa dirinya, Maria tidak mengendahkannya. Setelah titik benci menitik di dalam hatinya, titik itu sukar untuk dipadamkan dan mungkin akan kekal selama-lamanya. Kad undangan yang diterima ini, menambahkan sedikit sebanyak titik-titik benci yang sudah lama menghuni hatinya. Kad undangan ditangan diramas lalu dimasukkan ke dalam tas tangannya sebelum kakinya melangkah keluar dari bilik yang mulai dirasakan bahang kepanasannya.

*********************************************************************

Huda dan kakitangan Butik Elis menatap pasangan merpati sejoli di hadapan mereka. Puan Elinna tersenyum bahagia melihat kebahagian Irfan. Dari riak wajah mereka berdua Huda tahu Lisa dan Irfan sudah pasti tidak sabar mahu melihat rekaan baju pengantin mereka yang direka khas oleh Huda dan kakitangan Butik Elis. Seperti yang dijanjikan Lisa berjaya meletakkan Huda sebagai sebahagian daripada rakan kongsi Butik Elis. Huda diperkenalkan Lisa kepada Puan Elinna. Dengan sedikit ujian yang dilakukan oleh Butik Elis, Huda berjaya melepasi ujian tersebut. Apabila memasuki butik ini barulah Huda tahu kenapa butik ini dinamakan Butik Elis. Butik Elis dinamakan sempena gabungan pangkal nama Puan Elinna dan Tuan Iskandar.

“Dah bersedia?” tanya Huda.

“Dah... Cepatlah Huda... Aku dah tak sabar ni,” kata Irfan.

Encik Fuad menepuk tangan sebagai tanda isyarat supaya Jayjay mengeluarkan model patung yang telah dipakaikan pakaian pengantin yang telah siap dijahit. Sesaat selepas itu lima persalinan baju pengantin dikeluarkan Jayjay bersama pekerja butik secara beratur kemas. Patung yang beroda itu dihadapkan ke hadapan Puan Elinna, Irfan dan Lisa.

“Wowww!!” jerit Irfan.

Lisa dan Puan Elinna bagaikan tidak percaya apa yang berada dihadapan mereka sekarang. Tidak sangka, campur tangan Huda dalam rekaan baju pengantin untuk Irfan dan Lisa menghasilkan satu kreativiti yang begitu menakjubkan. Tidak sia-sia Lisa memperkenalkan Huda pada butik ini.

“Ya Allah…. Cantiknya…. Siapa yang design ni?” tanya Puan Elinna sambil melihat setiap perincian yang ada pada baju pengantin anaknya.

“Ini semua kebanyakan idea Huda Puan... Saya yang dah lama berkecimpung dalam bidang ini pun belum berhasil menghasilkan baju sebaik ini,” kata Encik Fuad sambil menaikkan ibu jarinya kepada Huda.

“Huda? Bagusnya…” Puan Elinna tersenyum bangga melihat Huda.

“Eh, mana ada puan... Ini semuanya gabungan idea kami semua... Bukan saya buat seorang sahaja tau... Kalau saya buat seorang sahaja, sudah tentu tak terhasilnya baju sebegini...” Huda menyangkal kata-kata Encik Fuad. Sebetulnya baju ini adalah gabungan idea semua pihak. Huda hanya menambah apa yang patut.

“Apa pun idea Huda lebih menonjol... Cuba puan tengok perincian di bahagian lengan baju tu... Itu semuanya idea Huda...”

Puan Elinna meneliti perincian yang dimaksukkan Encik Fuad. Memang diakui perincian ini sangat kemas dan nampak mewah.

“Apa pun saya ucapkan terima kasih kepada semua… Tanpa kamu semua, maka tidak siaplah baju pengantin anak dan bakal menantu saya ni...” Puan Elinna menepuk perlahan bahu Irfan sementara matanya melirik ke arah Lisa.

“Eh, Lisa... Kenapa diam?” tegur Puan Elinna melihat mulut Lisa sedikit ternganga.

“Saya tak sangka... Baju pengantin saya secantik ni... Macam puteri raja...” Lisa menyeka air matanya. Terharu sungguh hatinya.

“Alaa… Janganlah menangis… Hahahahaha….” Huda memeluk Lisa ke dalam dakapannya.

“Terima kasih semua kerana merealisasikan impian saya,” ucap Lisa setelah pelukan dileraikan.

Irfan yang melihat hanya tersengih. Tak sangka hati Lisa begitu tersentuh hari ini.

“Sekarang, apa kata kamu berdua cuba baju-baju ini...” Encik Fuad memberikan cadangan.

“Haa... Betul tu... Cepatlah cuba sekarang... Mama nak tengok...”

Lisa dan Irfan berpandangan antara satu sama lain. Busana yang bercirikan kemelayuan itu sungguh menepati citarasa mereka berdua. Rona pastel menampilkan pesona penuh kelembutan dan sejuk mata memandang. Baju gaun dan juga tuksedo untuk majlis resepsi mereka berdua nanti juga nampak begitu segak dan cantik. Rekaan ala-ala Inggeris, begitu sempurna dari pandangan Lisa dan Irfan. Dapatlah mereka merasa menjadi raja dan permaisuri walaupun hanya untuk sehari. Kali ini mereka berdua berhajat untuk menjadi raja sehari sebaik yang mungkin kerana inilah pengalaman menjadi raja untuk pertama kalinya dan insya-Allah juga untuk yang terakhir kalinya.

“Jom,” ajak Irfan.

“Ok, sekarang kamu berdua cuba baju untuk akad nikah dahulu ya...” Jayjay mengedepankan patung yang disarungkan baju akad nikah. Rona putih kain tersebut tampak begitu bersih dan suci. Secuci ikatan perkahwinan yang bakal dibina 2 minggu lagi.

Satu persatu busana pengantin bertukar ganti dipakai Irfan dan Lisa. Dari dalam cermin, mereka berdua dapat melihat diri mereka yang berpakaian indah. Bagaikan tidak sabar untuk menanti hari bahagia ini. Taupan mata mereka kali ini lebih lama dan penuh maknanya. Dari pandangan mata, mereka berdua dapat membaca apa yang tersirat di dalam hati dan mereka tahu mereka mengharapkan perkahwinan ini akan berjalan dengan lancar dan bahtera yang mereka bina ini akan berkekalan sampai bila-bila. Insya-Allah.

Previous: BAB 40
Next: BAB 42

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.