Home Novel Komedi/Romantik Komedi Antara Mawar Dan Kaktus
Bab 27
BAB 27

“Huda, tolong ambilkan makanan ringan atas meja tu!” jerit Lisa dari luar rumah. Beg yang hendak dibawa ke Terengganu semuanya telah diletakkan di luar agar tidak terlambat bertolak setelah Irfan datang menjemputnya nanti.

“Lisa, engkau ni nak balik kampung atau nak pergi berkelah ni?” tanya Huda sambil membawa bungkusan plastik yang dipenuhi dengan pelbagai jenis makanan ringan.

“Hahaha.... Macam engkau tak tahu aku kan. Nanti bolehlah makan dalam kereta.”

“Habis berhabuk kereta Irfan tu nanti,” nasihat Huda.

“Biarlah… Padan muka dia.”

“Engkau ni memang tak malu kan? Dahlah tumpang kereta orang!” Huda mengusik.

“Dia yang ajak. Bukan aku nak naik sangat pun.... Ini kau duduk rumah ni jangan lupa bagi Tuah makan.... Dan lagi satu, hati-hati. Kunci pintu tu sebaiknya.”

“Yalah… Nanti Ustaz Saiful tolong tengokkan aku. Kau jangan risaulah…” Huda menepuk perlahan bahu Lisa.

“Kau cantiklah hari ni Lisa....” puji Huda ikhlas.

“Terima kasih…”

Sedang mereka rancak bergurau senda kedengaran hon kereta dibunyikan.

“Irfan dah sampai....” Lisa mengerling jam tangannya. Tepat pukul 7.30 pagi. Selalu menepati masa. Sungguh berdisiplin!

“Assalamualaikum… Dah siap ke Lisa?”

“Waalaikumussalam… Dah siap dah. Tunggu nak angkut barang-barang sahaja,” kata Lisa sambil menunjukkan barang-barang yang sudah diletakkan diluar.

“Kalau macam tu aku angkat barang kau ni masuk ke dalam kereta dululah.”

“Yalah… Makanan tu letak depan. Nanti boleh makan,” kata Lisa.

“Banyaknya makanan… Nak berkelah dalam kereta aku ke?” bisik hati Irfan tetapi mukanya masih mengukir senyuman.

“Eh, nak ke mana ni?” sapa Ustaz Saiful dari sebelah rumah.

“Nak ke Terengganu,” jawab Lisa.

“Ustaz Saiful, tolong tengokkan Huda ya? Bimbang pula saya nak tinggalkan dia seorang diri di rumah.”

“Ya, saya akan tolong tengokkan…”

“Kau jangan risaulah Lisa.... Kan aku dah ajak pekerja butik aku tu tolong temankan aku…”

“Memanglah… Tapi Ustaz Saiful boleh tolong tengokkan?” tanya Lisa.

“Boleh... Tak ada masalah…” Ustaz Saiful tersenyum sebelum matanya beralih kepada Irfan yang menghampiri mereka.

“Eh, Irfan! Apa khabar? Terima kasihlah datang melawat hari tu,” sapa Ustaz Saiful sambil berjabat tangan dengan Irfan.

“Sama-sama.... Kawan Lisa, kawan saya juga. Macam mana dengan luka tu?”

“Alhamdulillah… Jahitan dah dibuka. Mujurlah ada kawan doktor dan jururawat. Mereka berdua inilah yang banyak membantu… Terima kasih juga untuk makanan yang berkhasiat yang dimasak Huda…” Ustaz Saiful menjeling Huda yang berada disebelah Lisa.

“Haa… Sebut pasal doktor ni… Lisa nak bagitahu yang Dr.Haikal akan bertolak ke United Kingdom Selasa ni.”

“Buat apa dia dekat sana?” tanya Ustaz Saiful.

“Katanya nak melakukan penyelidikan tentang sel kanser. Lama juga dia pergi.... Dalam 1 atau 2 tahun ataupun lebih daripada tempoh tu.”

“Laa… Kenapa baru cakap Lisa,” tanya Irfan kesal kerana tidak dapat berjumpa dengan sahabat yang baru dikenalinya itu. Dr.Haikal jugalah doktor yang telah merawat papanya suatu ketika dahulu.

“Saya pun baru tahu semalam Irfan…”

“Ooo.... Nanti kalau Ustaz Saiful atau Huda nak berjumpa dengan Dr.Haikal tolong sampaikan salam saya pada dia ya…”

“Ok.... Insya-Allah,” jawab Ustaz Saiful.

Irfan melihat jam ditangan. Jam telah pun menunjukkan pukul 7.45 pagi.

“Lisa, jomlah kita gerak. Nanti lama pula mereka tunggu kita.”

“Haa.... Jomlah,” kata Lisa sambil mengatur langkah.

“Eh, Huda.... Tolong siramkan pokok bunga ya… Lagi satu tolong siramkan pokok ni. Siram perlahan-lahan tau. Sebab pokok ni baru di semai.” Lisa menunjukkan pokok yang dihadiahkan Dr.Haikal.

“Baiklah, Puteri Bunga.... Patik akan siramkan pokok Tuan Puteri. Jangan risaulah....”

Irfan telah pun mendekati kereta. Dari luar pintu pagar dia dapat melihat Lisa membelai kepala Tuah dan mencium kucing tersebut sebelum ditinggalkan. Sayang benar dia kepada kucing. Sementara itu Ustaz Saiful menghampiri Irfan. Mereka berdua ketawa kecil apabila dua sahabat itu berpelukan sebelum berangkat. Macamlah nak tinggalkan Huda tu setahun lamanya.

“Hati-hati dijalanraya.... Jangan bawa laju-laju sangat,” pesan Ustaz Saiful sebaik sahaja Irfan dan Lisa memasuki kereta.

“Haa.... Lagi satu, jangan sepahkan kereta Irfan tu Lisa!” Geli hatinya apabila melihat Lisa telah pun membuka bungkusan plastik makanan walaupun kereta masih belum bergerak. Hantu makanan betullah kau Lisa....

Lisa hanya tersengih.

“Kami pergi dulu,” ucap Irfan sebelum memecutkan kereta Audi TT-RS Roadster kesayangannya.

Kini, kereta meluncur laju dijalan raya. Lisa tidak puas hati. Kaca mata hitamnya dikeluarkan dari tas tangannya lalu dipakai.

“Hurmm… Ingat engkau sahaja boleh pakai mata belalang? Aku pun adalah....” bisik Lisa di dalam hati. Geram hatinya apabila Irfan bercakap dengan dirinya tetapi Lisa tidak dapat melihat anak mata Irfan. Pantang benar kalau bercakap tidak melihat mata. Motif utamanya hanya untuk menutup malu apabila dipandang Irfan. Hatinya berdebar-debar apabila bersama Irfan. Kekacakan Irfan mampu untuk mencairkan hatinya saat ini.

Kaca mata hitam yang dipakai Irfan membuatkan Irfan bergitu bergaya dengan kemeja merah yang dilepaskan tanpa berbutang dan didalamnya dipakai T-shirt putih. Ala-ala gaya bintang Korea!

“Wahh.... Dia pun dah pakai kaca mata hitam,” tegur Irfan sebaik sahaja berpaling kepada Lisa.

“Silaulah.... Itu yang pakai ni. Cantik tak?” tanya Lisa sekadar berbahasa.

“Cantik! Ingatkan artis manalah tadi.” Irfan tersengih. Sedikit mengagumi gaya gadis disebelahnya. Sentiasa mengikuti gaya gadis Hijabista.

Lisa hanya buat-buat tidak dengar. Malu apabila dipuji. Signal kereta dinyalakan disebelah kiri menandakan kereta akan membelok ke kiri. Dari jauh dapat dilihat pekerja-pekerja untuk program ke Terengganu sedang mengangkut barang-barang ke dalam Toyota Alphad. Sebaik sahaja kereta berada di petak parking Lisa dan Irfan keluar dari kereta.

“Wahh.... Model-model kita dah sampai!” jerit mereka.

Lisa dan Irfan hanya tersenyum menambahkan kekacakan dan kecantikan mereka berdua.

“Ini ada apa lagi yang nak diangkut ni?” tanya Lisa cuba untuk menolong.

“Dah tak ada apa dah... Tunggu Puan Elinna berikan sedikit taklimat sahaja sebentar nanti. Dalam Pukul 8.30 pagi macam tulah. Sempatlah.... Kita gerak dalam pukul 9 pagi. Sekarang baru pukul 8.15 pagi. Masuklah dulu,” kata Jayjay selaku pembantu Encik Fuad.

“Ooo… Baiklah. Jom masuk dululah,” kata Irfan.

Sebelum kakinya sempat melangkah ke dalam butik, Irfan ternampak seseorang yang mungkin dikenalinya atau pernah dijumpai suatu ketika dahulu sedang makan di kedai makan bersebelahan dengan butik mamanya.

“Eh, Lisa.... Cuba kau tengok perempuan yang berambut panjang dengan baju warna ungu tu. Kau cam tak?”

“Mana?” Lisa mencari perempuan yang dimaksudkan Irfan.

“Itu… Yang bersama dengan lelaki T-shirt biru tu...”

“Aahhlah… Macam kenal…”

“Ikan Emas!!” sama-sama mereka menyebut nama keramat tersebut.

“Jom!” Irfan menarik lengan baju Lisa menuju ke arah kedai tersebut.

“Nak ke mana?” Lisa memperbetulkan lengan bajunya yang baru sahaja dilepaskan Irfan.

“Kita sarapan!”

Lisa tidak dapat menolak memandangkan kakinya telah pun menjejaki kedai makan tersebut. Irfan mengambil tempat betul-betul bersebelahan dengan meja makan Ikan Emas atau nama sebenar Maria. Lisa kurang selesa. Kaca mata hitamnya diperbetulkan.

Maria memandang pasangan yang baru sahaja mengambil tempat bersebelahan dengan meja mereka. Jejaka disebelah begitu kacak dan perempuan disebelah ini sepertinya amat dikenalinya.

Sebaik sahaja makanan sampai, Irfan membuka kaca mata hitamnya. Namun, Lisa masih lagi dengan dengan mata belalangnya.

“Eh, kau ni.... Kalau ya pun tanggalkanlah cermin mata kau tu. Nampak ke makanan tu?” kata Irfan perlahan.

“Eh, nanti dia nampaklah....” Lisa mengerling ke arah Maria. Bagaikan gugur jantungnya apabila melihat Maria merenung tajam ke arah dirinya. Dendam betul Maria pada dirinya. Ini semuanya gara-gara kes zaman universitinya dahulu.

Tanpa brek laju sahaja tangan Irfan menanggalkan kaca mata Lisa. Disebabkan tindakan tersebut, kaki Irfan disepak tanda protes. Maria disebelah dipandang Lisa selamba. Gadis itu memandangnya dengan senyuman sinis.

“Hai, Mariaa… Lama tak jumpa. Tak perasan awak ada dekat sini!” Laju mulut Lisa menyapa. Entah angin apa yang masuk ke dalam dirinya.

Jejaka dihadapan Maria memandang Lisa disebelah. Hatinya terpesona dengan kecantikan Lisa ditambah pula dengan hijab yang dipakai menampakkan keayuan seorang gadis Melayu. Jejaka disebelah hanya tersenyum. Namun, senyuman tersebut mematikan senyuman Lisa. Air muka Lisa berubah. Makanan dihadapannya cepat dijamah manakala Maria disebelah cepat sahaja bangun dari kerusi. Panas hatinya melihat Lisa. Sudah tentu buah hatinya terpaut dengan kecantikan Lisa ditambah pula Lisa berhijab. Gadis memakai hijab itulah yang diimpikan oleh Syafiq Rayyan. Tanpa berlengah lagi jejaka tersebut cepat sahaja ke kaunter untuk membayar bil makanan mereka sementara Maria telah pun keluar dari kedai tersebut. Lisa melihat wajah jejaka tersebut dengan ekor matanya. Ya, persis seseorang yang amat dirinduinya.

“Ehermmm...” Irfan berdehem. Hatinya sedikit cemburu melihat Lisa masih lagi memandang ke arah jejaka tersebut. Pada asalnya niat dihati untuk membuatkan Maria cemburu terhadap Lisa, namun hatinya pula rasa cemburu dengan pandangan mereka berdua.

Lisa memandang Irfan. Entah kenapa dengan lelaki dihadapannya ini. Sakit tekak ke?

Nada dering daripada telefon Irfan mematikan perbualan mereka berdua.

“Semua orang dah berkumpul… Cepat habiskan kuih ni,” kata Irfan sebaik sahaja panggilan dimatikan.

Diluar, Maria mengajak teman lelakinyaSyafiq Rayyan untuk menemaninya memasuki Butik Elis memandangkan baju-baju pengantin di situ begitu menarik perhatiannya. Syafiq Rayyan tidak menolak malah mengikuti langkah wanita pujaan hatinya. Sebaik sahaja melangkah masuk, foto model yang menggayakan persalinan busana pengantin yang dipampang di butik tersebut menarik minat Maria untuk ditelitinya.

“Maknanya, lelaki yang bersama Lisa itu adalah model butik ini?” teka Maria.

Belum sempat dia membuka mulut untuk mengajak Syafiq Rayyan keluar dari Butik Elis, Lisa dan Irfan telah melangkah masuk ke dalam butik. Mereka kelihatan begitu mesra. Maria menyorokkan diri disebalik model patung di butik tersebut sementara Lisa dan Irfan melangkah naik ke atas. Kelibat Syafiq Rayyan dicari. Namun, tiada....

“Ke mana pula dia ni?” Maria mencari kelibat buah hatinya. Sejurus itu matanya memandang Syafiq Rayyan sedang memilih selendang di suatu sudut bersama seorang pekerja butik. Untuk siapa, Maria tidak mengetahuinya. Cepat sahaja kakinya melangkah ke arah Syafiq Rayyan untuk mengajaknya pergi dari situ.

“Jom kita pergi,” ajak Maria sambil tangannya menarik lengan Syafiq Rayyan.

“Eh, sekejaplah… Kan Itengah pilih selendang ni.”

Sementara di atas, semua orang telah pun berkumpul. Puan Elinna begitu gembira melihat kehadiran Lisa. Tidak sangka anak terunanya memilih Lisa sebagai model butik dan secara tidak langsung merangkap sebagai calon menantunya. Walaupun sejujurnya Puan Elinna tidak mengetahui status sebenar perasaan Irfan terhadap gadis tersebut, namun naluri keibuannya dapat merasai anak lelakinya menyukai gadis ini.

Setelah taklimat yang diberikan Puan Elinna berakhir, mereka memohon diri untuk bertolak. Irfan bersalaman dengan Puan Elinna begitu juga dengan Lisa.

“Pastikan pengambaran berjalan dengan lancar ya?” Puan Elinna menggenggam kemas tangan anak terunanya sambil matanya menatap mesra mata Lisa. Senang hatinya melihat senyuman gadis ini. Sungguh menawan dan menyejukkan hati.

“Insya-Allah, ma,” kata Irfan.

Sebaik sahaja Lisa memasuki kereta, sempat lagi Puan Elinna berbisik pada telinga Irfan. Irfan hanya tersenyum namun hatinya berbunga.

Kereta Irfan mendahului perjalanan diikuti dengan kenderaan milik butik mamanya.

“Jaga baik-baik menantu mama ni. Kalau ada masa jumpalah emak dan ayahnya di kampung.” Irfan tersenyum nipis apabila teringatkan pesanan mamanya sebentar tadi. Lisa disebelah dipandang Irfan. Lena betul dia tidur. Irfan hanya tersenyum sambil matanya menumpukan perhatian di atas Lebuh Raya menuju ke Pantai Timur. Keretanya meluncur laju. Sesekali sistem GPS dikerlingnya.

Jam sudah menunjukkan 1.30 petang. Kini, mereka berada di Cherating, Pahang sambil menikmati makan tengah hari mereka. Perjalanan yang mengambil masa 5 jam lebih itu sedikit memenatkan. Namun, dek kerana hati tidak sabar untuk sampai ke Terengganu rasa penat itu ditolak ke tepi. Banyak bas ekspress yang berhenti menurunkan penumpang untuk menikmati makan tengahari dan menunaikan Solat Fardu Zohor. Angin pantai begitu mendamaikan ditambah pula dengan juadah makanan yang begitu menyelerakan. Sebelum meneruskan perjalanan mereka menunaikan Solat Zohor dijamak bersama Solat Asar memandangkan mereka ini sedang bermusafir.

“Ok, dah segar semua?” tanya Irfan kepada pekerja-pekerja pengambaran sebaik sahaja selesai menunaikan solat.

“Dah, segar! Terima kasih belanja kami,” ucap mereka.

“Sama-sama.... Sekarang siapa nak jalan dulu?” tanya Irfan.

“Encik Irfanlah....”

“Saya tak biasa jalan di sini. Ada GPS pun saya tak berapa yakin.”

“Apa nak susah.... Sayakan ada. Negeri saya, saya tahulah jalannya.... Sebut sahaja nak ke mana? Ditanggung beres!” Lisa bersuara.

“Hahahaha… Lupa pula aku anak Terengganu ada di sebelah. Jomlah kita gerak. Lisa, kau jangan tertidur pula.”

Lisa hanya tersengih menampakkan sususan gigi putihnya. Tanpa berlengah lagi, mereka meneruskan perjalanan. Kereta Audi TT-RS Roadster Irfan meluncur laju diikuti dengan Toyota Alphad di belakang.

“Yehaaa!!” mereka menjerit keriangan apabila memasuki gerbang sempadan Negeri Terengganu dan Pahang.

“Selamat datang ke Terengganu,” ucap Lisa kepada Irfan sambil matanya melihat sekeliling. Cuaca pun sangat baik. Redup dan tidak panas.

Kini, kereta mereka menyusuri Stesen Janakuasa Sultan Ismail iaitu stesen janakuasa gas terbesar di Malaysia, terletak di Paka dan dikendalikan oleh Tenaga Nasional. Paka pesat membangun hasil perlombongan petroleum dan gas asli di luar pantai Terengganu, berhampiran Kerteh. Perjalanan mereka nampak begitu teruja apabila ia berlatarkan Loji Penapis Minyak Terengganu yang besar dan panjang di kiri dan kanan jalan raya. Kelihatan api keluar menyala-menyala dari menara yang dikhaskan bagi memastikan loji tidak meletup. Gas terpaksa dibakar walaupun ia agak merugikan.

Bumbung kereta Irfan dibuka. Kaca hitam yang mereka gayakan menampakkan mereka sungguh bergaya dengan kereta mewah yang dinaiki. Sesekali Lisa memperbetulkan selendangnya yang ditiup angin.

“Wah, pantai! Dah lama aku tak tengok pantai Lisa,” kata Irfan sambil memperlahankan kereta. Kini, kereta mereka menyusuri pantai yang memanjang. Pohon-pohon kelapa seakan-akan melambai menyambut kedatangan mereka. Laut yang membiru dan jernih sungguh memukau mata yang memandang. Pantai yang putih bersih sungguh mempersonakan.

“Inilah Rantau Abang,” jelas Lisa disebelah.

“Rantau Abang tempat penyu bertelur tu?”

Lisa menganggukkan kepala.

“Nanti bolehlah makan telur penyu!” kata Irfan teruja.

“Tak bolehlah.... Penyukan dah nak pupus. Jadi, kita kena selamatkan penyu-penyu ni,” kata Lisa tidak setuju dengan cadangan Irfan.

“Alaa.... Satu biji tak kan tak boleh? Nak rasa… Macam mana rasa telur penyu Lisa?”

“Entahlah.... Saya pun tak pernah rasa.”

“Apalah orang Terengganu tak pernah rasa telur penyu… Rugilah.”

“Saya pencinta haiwan, okey…”

“Okey.... I know you....” Irfan tersenyum. Sengaja mengusik Lisa.

Sepanjang perjalanan menuju ke destinasi yang dituju, mereka melayani mata mereka dengan melihat keindahan laut yang luas membiru. Sungguh indah. Dari Dungun dan Marang mereka disaji dengan keindahan Laut China Selatan. Sesekali kelihatan bot-bot nelayan ditengah-tengah laut.

“Haaa… Berhenti.... Berhenti!” tiba-tiba Lisa bersuara setelah sekian lama membisu melayani keindahan pantai.

Irfan dengan serta-merta memberikan signal ke kanan apabila mendapat arahan daripada Lisa. Kereta mereka berhenti di bahu jalan.

“Jom,” ajak Lisa sambil membuka pintu kereta diikuti dengan Irfan.

“Nak ke mana?” tanya Irfan.

“Kita makan dululah.... Saya belanja.” Lisa melihat rakan setugas juga baru memberhentikan kereta di bahu jalan.

Irfan melihat disekeliling. Banyak gerai makanan yang disediakan. Lisa bergerak ke arah kenderaan Toyota Alphad.

“Haa… Turunlah. Kita makan dulu,” ajak Lisa.

“Makan? Macam tahu-tahu sahaja perut ni dah lapar....”

“Kalau macam tu, cepatlah…”

Mereka mengambil tempat disuatu sudut yang menghadap laut manakala Lisa pula sibuk memilih makanan yang akan dimakan oleh mereka petang ini.

“Kalau nak tahu, inilah Pantai Kelulut,Marang.... Nampak tak pulau tu?” tanya Lisa sambil tangannya menunjukkan kearah pulau di tengah laut.

“Haa… itu mesti Pulau Perhentian!!” jawab Jayjay dengan penuh yakin.

“Apa pulanya Pulau Perhentian. Pulau Perhentian dekat daerah Besut! Inilah pulau yang kita nak pergi tu…” Lisa mengangkat keningnya.

“Pulau Kapas?” tanya Jayjay.

Lisa menganggukkan kepala dengan senyuman terukir di wajah.

“Pulau kecil disebelah Pulau Kapas tu adalah Pulau Gemia.... Tempat untuk kita buat pengambaran nanti… Nanti kita akan ke Jeti Marang menunggu bot,” jelas Lisa sambil semua mata tertumpu ke arah pulau ditengah laut.

“Wah… Dah nak sampai dah kita.”

“Dah dekat dua jam kita jalan. Kalau dekat Kuala Lumpur ni dah boleh ke Melaka dah ni... Dah masuk negeri lain dah… Dekat Terengganu ni baru menjelajah daerah ke daerah dah dekat 2 jam?”

“Hahaha.... Itu belum habis lagi daerah kita jelajah ni. Kita baru jelajah daerah Kemaman, Dungun dan Marang. Masih ada lagi daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Besut, Jertih dan Setiu,” jelas Lisa.

Mereka mengiakan kata-kata Lisa.

“Ini yang dah tak sabar ni!” Mereka teruja apabila melihat makanan yang diminta telah tiba.

“Terima kasih, kak,” ucap Lisa sebaik sahaja makanan yang ditempah dihidangkan di hadapan mereka. Mereka memandang juadah yang terhidang dengan tidak terkata. Banyak! Juadah ikan celup tepung, udang celup tepung, sotong celup tepung dan keropok lekor yang terhidang nampak sungguh sedap. Asap nipis yang keluar daripada makanan tersebut menghadirkan aroma yang sungguh menyelerakan. Mereka menelan air liur.

“Haa... Apa lagi… Jemputlah makan,” kata Lisa.

Mereka menjamah makanan laut yang masih panas dengan penuh selera. Kerangupan tepung yang digoreng yang dicicah dengan colek ( cuka lada ) sungguh membangkitkan selera ditambah pula dengan minuman air kelapa segar. Angin laut menjadi penghibur setia untuk mereka ketika ini.

“Sedap ni Lisa,” kata Irfan sambil mengunyah sotong goreng. Matanya dipejam kononnya menghayati makanan yang sedang dikunyah. Lisa berpaling kepada yang lain. Mereka juga turut melakukan aksi yang sama iaitu memejam mata menikmati makanan yang dikunyah. Laju sahaja makanan laut yang baru dimasak ini diratah mereka.

“Mereka ni kenapa? Berpakat ke pejam mata macam tu,” bisik hati Lisa. Tanpa berlengah lagi Lisa mengelap tangannya dengan tisu dan selepas itu Lisa mengambil beberapa keping gambar mereka sebagai kenangan. Kelakar pula aksi spontan mereka ini ketika menikmati makanan. Penuh penghayatan.

“Dik, ini dia Satar yang diminta tadi.... Baru masak ni,” kata kakak pelayan gerai.

“ Terima kasih… Sedap makan panas-panas ni....” Lisa terus menjamah Satar yang baru siap dibakar.

“Apa ni?” Daus dan Raizal bersuara serentak.

“Tadikan kakak tu dah sebut... Satar... Satar…” Encik Fuad bersuara.

“Hahahaha.... Inilah satar,” jawab Lisa.

“Satar? Apa benda ni?” tanya Irfan yang sejak dari tadi duduk meratah ikan celup tepung.

“Inilah satar… Makanan ringan yang diperbuat daripada isi ikan dan kelapa parut. Ia merupakan masakan istimewa Terengganu. Terdiri daripada campuran ikan dan kelapa tumbuk, lada, halia dibalut dalam daun pisang berbentuk piramid. Setiap satu akan dicucuk seperti sate gergasi dengan batang buluh dan dipanggang atas bara api... Macam tu...” Lisa menunjukkan satar yang sedang dibakar.

Jayjay mula membuka pembalut daun pisang yang menyaluti satar lalu merasai makanan tradisi ini.

“Ermmm... Sedapnya… Fuhh.... Ada rasa pedas-pedas sikit. Dapat rasa isi ikan dengan isi kelapa....”

Melihat keterujaan Jayjay, mereka yang lain terus mencuba makanan yang dinamakan Satar ini. Mereka akui kesedapannya.

“Kalau hari-hari macam ni mesti seronokkan.... Makan makanan laut yang segar sambil menikmati angin laut. Tenang hidup!” kata Encik Fuad.

“Betul tu En. Fuad…” jawab Jayjay.

“Ada perbezaan tak rasa keropok lekor Terengganu dengan keropok yang dijual di Kuala Lumpur?” tanya Lisa.

“Banyak perbezaannya Lisa… Yang dekat Kuala Lumpur tu rasa tepung yang banyak daripada rasa ikan tapi keropok Terengganu ni rasa ikan yang banyak daripada tepung. Sos lada pun sedap! Awesome!” kata Raizal.

“Dekat Terengganu pun ada KLCC tau,” kata Lisa.

“Mana?” tanya Irfan bersungguh.

“Tu....” Lisa menunjukkan keropok di atas meja.

Mereka mengerutkan muka.

“Keropok Lekor Cicah Colek (KLCC)…” Lisa tersengih.

“Colek?” tanya Irfan.

“Colek tu loghat Terengganu dan Kelantan.... Kalau dekat Kuala Lumpur orang panggil sos lada, cuka lada macam itulah…”

“Ooo… Hahaha.... Kau jangan main-main Lisa.... Tak pasal-pasal Menara Petronas tu tertukar nama,” kata Jayjay.

“Bukan macam tu… Hahaha… Ini singkatan nama untuk keropok lekor cicah coleklah. Tidak ada mengena dengan yang lain.... Kebetulan sama.” Lisa ketawa kecil.

“Hahaha.... Boleh buat nama kedai ni,” kata Daus.

“Kedai KLCC.... Jom datang beramai-ramai…”

“Jom... Sekali cuba pasti mengigau-ngigau nak lagi....” Daus cuba menyambung ayat Jayjay.

“Engkaulah tu mengigau-ngigau Daus,” kata Jayjay.

Lisa memandang Irfan yang sedang ketawa. Aduh, kacaknya! Tetapi Lisa menahan perasaannya memandangan hatinya telah terpaut pada Dr.Haikal. Kalau macam inilah setiap hari kelakuan Irfan, balik dari pulau nanti berderet anak gadis minta nombor telefon. Irfan perasan dengan renungan mata Lisa tetapi dibiarkan sahaja. Biarlah Lisa tergoda padanya…

Previous: Bab 26
Next: BAB 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.