Home Novel Komedi/Romantik Komedi Antara Mawar Dan Kaktus
BAB 24
BAB 24

Puan Elinna dan Tuan Iskandar menunggu kedatangan Irfan di balkoni rumah. Mereka tidak sabar ingin mengetahui siapakah bakal model butik mereka merangkap calon menantu untuk keluarga. Angin malam begitu mendamaikan jiwa. Sesekali mereka menghirup secawan susu panas sambil berbual kosong.

“Haa.... Irfan! Cepatlah beritahu siapa model butik kita.... Ada gambar tak?” tanya Puan Elinna tidak sabar.

“Kalau ya pun awak ni… Bagilah budak ni duduk dulu.” Tuan Iskandar bersuara.

Irfan mula menarik kerusi mengambil tempat.

“Itu kerusi Iffa!!”jerit Iffa sambil berlari menuju kearah mereka.

Rambut Iffa ditarik Irfan sekadar mengusik adiknya sebaik sahaja Iffa datang berlari secara mengejut dan cuba untuk merebut kerusi yang Irfan ingin duduki.

“Aduhh!” satu tamparan hinggap dibahu tegap Irfan.

“Heyyy… Tumpah air mama ni nanti…”

Mereka berdua berhenti mengusik sebaik sahaja permaisuri rumah sudah bersuara.

Irfan terpaksa mengalah.

“Macam mana dengan model kita Irfan?”

“Settle....”

“Settle? Kontrak dah dipersetujui ke?”

Irfan mengangguk perlahan sementara senyuman bersulamkan lesung pipit terukir di wajah.

“Siapa?!!” mereka bertiga serentak bersuara. Tidak sabar untuk mengetahui siapakah gerangan gadis tersebut.

Irfan mengangkat keningnya. Telefon pintarnya dikeluarkan. Gambar yang ditangkap bersama Lisa di restoren tempoh hari ditunjukkan kepada mereka bertiga.

“Jururawat tu ke?” bulat mata Puan Elinna bertanyakan soalan. Hatinya berbunga.

Irfan mengangguk lagi. Dia tahu mamanya berkenan dengan model baru tersebut.

“Wah… Sedondon Angah dengan jururawat tu. Tengoklah lesung pipit mereka berdua ni… Sepadan betul! Mesti gambar kahwin cantik nanti…” Iffa teruja menatap foto tersebut.

“Gambar kahwin?” Irfan mengerutkan dahi.

“Aah... Kan mama ada cakap, carikan model untuk butik merangkap calon menantu untuk keluarga jugakan?” kata Puan Elinna.

“Maaa... Apa ni…” Irfan memandang mamanya yang turut serta melihat foto mereka berdua. Tuan Iskandar tidak membantah jika itu pilihan anak terunanya memandangkan Tuan Iskandar senang dengan sikap jururawat berkenaan.

“Hari tu kan mama dah pesan,”kata Puan Elinna.

“Tapi tak janjikan…” Irfan resah.

Tuan Iskandar dan Puan Elinna ketawa besar. Anak terunanya sudah takut.

“Oklah.... Tapi mama dan papa suka tau jururawat ni. Kalau Irfan nak minta pinangkan, esok mama dan papa akan terus pergi melamar!”

“Boleh ke maa… Terengganu tu jauh…” sekadar mematahkan kata-kata mamanya yang sudah tidak sabar menerima menantu.

“Apa susahnya.... Tempah tiket flight… Setengah jam dah sampai… Hahahaha…”

Mereka bertiga ketawa besar. Hanya Irfan mendiamkan diri memerhatikan gelagat mereka bertiga. Irfan menatap fotonya bersama Lisa. Senyuman mereka nampak begitu ceria dan sangat bahagia.

“Adakah memang dia pasangan aku?” Irfan berteka-teki.

Dr.Haikal memerhati gerak-geri Lisa di dalam wad. Sekejap ke hulu sekejap ke hilir sambil membawa dulang berisi ubat suntikan. Dr.Haikal cuba mencari waktu yang sesuai untuk berbicara dengan Lisa namun keadaan wad yang begitu sibuk menghalang mereka berdua untuk bersua.

Sementara menunggu waktu yang sesuai, Dr.Haikal memberikan sepenuh perhatian terhadap pesakit yang memerlukan rawatan dan pemantauan yang rapi. Menjadi seorang doktor haruslah mempunyai sikap bertanggungjawab terhadap pesakit. Ramai pesakit yang perlu dirawat dan semakin hari semakin ramai pesakit yang bertandang ke hospital.

Tugas ini bukanlah dipikul oleh seorang yang bergelar doktor sahaja tetapi jururawat juga turut memikul tanggungjawab ini malah jururawatlah yang sentiasa bersama pesakit dan menguruskan semua keperluan pesakit. Tidak dinafikan ramai masyarakat yang memandang rendah dengan kerjaya jururawat. Tanpa jururawat, doktor tidak akan mampu menguruskan kesemua pesakit di dalam satu-satu masa. Tanpa doktor, jururawat juga tidak boleh melakukan perawatan. Begitulah pentingnya peranan kedua-dua jawatan ini di hospital. Pesakit pula bermacam-macam ragam. Cuma hati yang cekal dan tabah sahaja dapat menangani masalah ini.

Suasana wad sedikit kecoh dengan suara jeritan amarah seorang wanita. Dr.Haikal dan ketua jururawat bergegas ke arah datangnya suara itu untuk meninjau keadaan.

“Kamu jangan sebarangan! Suami saya ni akan menjalani pembedahan sebentar lagi!! Kalau ada apa-apa berlaku kepada suami saya, saya tidak akan teragak-agak untuk menyaman awak!! Faham tak jururawat bodohhh!!”

“Puan… Saya dah buatkan benda yang betul. Tidak salah… Lagipun ini arahan daripada doktor dan saya tidak lakukan apa-apa kesalahan pada suami puan,” kata Lisa tegas.

“Kenapa ni?” tanya ketua jururawat sementara Dr.Haikal berada di sisi pesakit.

“Ini jururawat bodoh catatkan waktu yang berlainan pada catatan gula dalam darah suami saya....”

Ketua jururawat memeriksa catatan yang sudah dilakukan oleh Lisa.

“Ini kenapa? Sekarang baru pukul 9.15 pagi tapi awak telah catatkan Counting Blood Sugar (CBS) pada pukul 9.30 pagi?” tanya ketua jururawat tegas sambil matanya melirik ke arah jam loceng milik pesakit.

“Sister, saya dah catatkan waktu yang betul. Saya ikut jam saya dan waktu jam puan ini yang lewat 15 minit. Jam diluar pun sudah menunjukkan pukul 9.30 pagi. Pesakit ini perlu diperiksa CBS setiap setengah jam dan saya sudah melakukannya sejak dari pukul 7.30 pagi tadi. Mana mungkin saya terlewat atau terawal mengambil CBS pesakit ni.” Lisa cuba mempertahankan diri apabila diperkatakan sebegitu oleh isteri pesakit berkenaan. Pesakit tersebut hanya mendiamkan diri disebabkan lumpuh namun isterinya dari mula dia bertugas sudah memaki hamun dirinya.

Ketua jururawat melihat jam yang digantung pada bajunya. Ternyata jam sudah menunjukkan 9.35 pagi.

“Dr.Haikal, sekarang sudah pukul berapa?” tanya Ketua Jururawat untuk kepastian.

“9.35 pagi sister...”

“Puan, maafkan kami, jam puan telah lewat 15 minit. Jadi kami telah mengikut waktu yang betul… Diharapkan puan akan memperbetulkan jam puan,” jelas ketua jururawat.

“Apa yang kau tahu jururawat bodoh!! Sekolah pun monkey school… Dah silap cuba nak bela dirikan?? Suami saya nak dibedah nanti! Perkara ni bukan boleh dibuat main-main!!”

“Puan, gula didalam darah suami puan di tahap yang normal iaitu di antara 3.5 - 5.5 mmol/L. Puan jangan risau.... Kami sudah catatkan waktu dan keputusan yang betul,” jelas Dr.Haikal.

“Aaarrggh!!! Saya tidak kira, sekarang saya nak minta doktor lakukan pemeriksaan gula dalam darah suami saya setiap 15 minit. Saya risau kalau tahap gula didalam darahnya akan merosot.”

“Puan, jika kami melakukan pemeriksaan setiap 15 minit ia akan menyakitkan suami puan… Tidak perlu untuk kami lakukan pemeriksaan setiap 15 minit memandangkan untuk waktu sekarang tahap gula didalam darah suami puan adalah didalam tahap yang normal dan stabil… Cuma beberapa hari yang lepas sahaja tahap gula didalam darah suami puan merosot dan berada di paras yang tidak normal dan berbahaya kepada beliau,” jelas Dr.Haikal.

“Doktor saya nak minta doktor berikan air gula kepada suami saya… Cepat masukkan ke dalam salur darah dia!! Masukkan 4 botol air gula,” kata wanita berkenaan serius. Sambil menggaru kepalanya yang kusut masai. Selama 4 hari dia menunggu suaminya disitu hanya baju itulah yang dipakainya. Tidak bertukar ganti.

Dr.Haikal, ketua jururawat dan Lisa saling berpandangan sesama sendiri. 4 pint Dextrose 10% diminta oleh isteri pesakit untuk dimasukkan kedalam badan pesakit? Sekarang siapa doktor ni?

“Puan, kadar gula didalam darah suami puan ditahap yang normal dan....”

“Ini arahan!! Kau apa tahu jururawat??!! Belajar pun bukan tinggi!!” isteri pesakit menyampuk sebelum sempat Lisa menghabiskan ayat.

“Puan jangan menghina kami… For your information jururawat sekarang pun sudah belajar ditahap ijazah dan master. Kami bukan jururawat zaman perang Jepun dan Komunis! Zaman sudah berubah puan… Buka mata, buka minda bukannya sempitkan pemikiran tu…” ujar Lisa geram namun nada masih dapat dikawal.

Isteri pesakit masih tidak berpuas hati. 4 pint Dextrose 10% masih diminta untuk dimasukkan kedalam badan suaminya. Sudah berapa kali Dr.Haikal cuba menjelaskan keadaan jika air gula diberikan secara berlebihan ia akan membahayakan pesakit dan boleh membawa maut. Hampir sahaja tercetus pergaduhan besar diantara Dr.Haikal dan isteri pesakit.

“Puan, sekarang siapa doktor ni?!” tanya Dr.Haikal tegas.

“Doktorlah doktor!!” kuat nada suaranya.

“Jadi, kalau saya doktor ikut arahan saya!! Bukan puan yang memberikan arahan kepada staf kami… Kami akan lakukan yang terbaik untuk suami puan memandangkan ini sudah tanggungjawab kami.” Nada Dr.Haikal sedikit menurun.

“Saya peduli apa?Saya bayar bil hospital ni!!” wanita berkenaan masih tidak berpuas hati.

“Ya, memang puan bayar… Tapi kami yang melakukan kerja dan perawatan. Sudah tugas kami menyelamatkan nyawa pesakit disini dan bukannya membahayakan nyawa pesakit. Dan lagi satu puan jangan cuba memaki hamun isteri saya,” tegas dan bersahaja nada suara Dr.Haikal sambil jari telunjuknya menunding ke arah Lisa.

“Ini isteri doktor? Oklah saya tidak akan memaki hamun isteri doktor....” wanita berkenaan sedikit takut.

Berkerut dahi Lisa. Sejak bila aku kahwin dengan Dr.Haikal? Ketua jurururawat juga turut tersentap dengan kata-kata doktor muda dihadapannya ini.

Masalah berjaya diselesaikan secara baik dan berhemah. Dr.Haikal, Lisa dan Ketua jururawat berpendapat mungkin isteri pesakit tersebut terlalu risau dan terlalu melindungi suaminya. Mungkin wanita berkenaan juga mengalami tekanan emosi. Bukan kali ini sahaja pasangan berkenaan berada di hospital ini, malah pada minggu lepas dan minggu sebelum ini mereka sudah berada dihospital ini cuma berlainan wad. Kali ini giliran Wad Mawar menerima kunjungan pesakit ini. Dari cerita pengalaman jururawat yang menjaga suaminya sebelum ini, wanita berkenaan suka mengarah doktor dan jururawat. Lagaknya seperti seorang doktor pakar. Mungkinkah beliau doktor pakar yang sudah bersara? Sebenarnya tidak.... Hehehe.... Setelah disiasat beliau bekerja sebagai seorang peniaga dan tidak pernah terlibat dengan bidang kesihatan atau perubatan… Sejak dari saat itu tutur bicaranya lembut sahaja dengan Lisa namun dengan jururawat lain dia masih memaki hamun tanpa menghiraukan perasaan orang lain. Takkanlah Dr.Haikal nak mengaku semua jururawat yang dimaki hamun wanita berkenaan sebagai isterinya? Mungkin wanita berkenaan takut untuk memaki hamun Lisa disebabkan bimbang kalau Dr.Haikal akan turut memarahinya.

Previous: Bab 23
Next: BAB 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.