Home Novel Komedi/Romantik Komedi Antara Mawar Dan Kaktus
Bab 3
BAB 3

Diluar hospital, kelihatan jururawat Natasya berlari anak bersama payung berwarna merah jambu sedondon dengan baju uniformnya. Hujan yang turun lebat itu sedikit sebanyak telah membasahi uniform yang dipakai.

Sesampai sahaja di depan pintu hospital, jururawat Natasya terus menutup payung yang digunakan lalu meletakkan payung tersebut di tempat yang disediakan. Selepas memberi salam kepada pengawal keselamatan yang bertugas di situ, dia terus melangkah ke dalam hospital sambil melihat jam yang digantung bersama tag namanya. Jam menunjukkan 1.30 petang. Dia terus melangkah kearah lif untuk naik ke tingkat Wad Mawar. Dia harus cepat agar sampai 15 minit lebih awal sebelum waktu bertugas iaitu pukul 2 petang. Setelah pintu lif terbuka, jururawat Natasya bersama-sama staf yang lain terus melangkah masuk ke dalam lif. Angka lif terus bergerak. Jururawat Natasya sentiasa peka dengan perubahan angka lif tersebut.

Sebelum melangkah ke dalam wad, Jururawat Natasya membaiki tag namanya yang tertulis Jururawat Natasya di depan cermin yang disediakan. Kelihatan tudungnya sedikit senget dan dia terus memperbetulkan tudung yang dipakai agar nampak kemas. Cermin itu dipandang dengan senyuman manis. Nafasnya ditarik lalu dihembuskan perlahan-lahan agar aura positif dapat singgah ke dalam jiwanya.

“Selamat bertugas staffnurse (SN)Lisa Amira Natasya!” Dengan senyuman yang masih menguntum di bibir, Lisa melangkah menuju ke Wad Mawar. Langkahnya nampak begitu bersemangat.

Senyuman yang terukir telah memperlihatkan lesung pipit manis dipipinya. Secara tidak langsung, wajah tersebut telah mempamerkan kecantikan semulajadi yang dimiliki. Itulah rutin harian Lisa sebaik sahaja masuk bekerja. Cermin itu wajib dipandang setiap kali mahu melangkah masuk ke dalam wad. Bagi Lisa, cara ini mampu meningkatkan keyakinan dirinya untuk memulakan tugas pada hari itu. Betullah apa orang kata, senyuman mampu memberikan satu impak semangat yang luar biasa. Segala aura positif dengan serta-merta mampu meresap ke dalam jiwa untuk nampak lebih berkeyakinan.

Tanpa Lisa ketahui, setiap hari ada mata yang selalu mengintainya disebalik cermin tersebut. Senyuman yang Lisa lemparkan pada cermin tersebut, telah menambat hati seseorang di sebalik cermin. Tapi siapa? Lisa tidak mengetahuinya.

*****************************************************************

Irfan telah memasuki kafeteria hospital yang agak lengang daripada orang ramai. Makanan yang dijual setiap satu diperhatikan Irfan. Sesekali dia melihat telefon pintarnya, bimbang jika mamanya ada menghantar mesej. Setelah melihat makanan yang ada disitu, tiada apa yang berkenang dihati. Perutnya masih terasa kenyang. Irfan berjalan menuju ke bahagian jualan air lalu Irfan memesan minuman yang diminta Puan Elinna dan untuknya dia memesan teh panas.

Dalam beberapa minit sahaja, minuman yang diminta siap dihidang. Bebola mata Irfan memerhati ke sekeliling mencari tempat duduk yang sesuai. Penjuru kafe yang menghadap kolam ikan menjadi pilihan Irfan kerana tempat tersebut tidak dipenuhi orang.

“Bismillahirahmanirrahim....” Minuman di dalam cawan dihirup.

“Ermm, lega rasanya tekak ni....”

Riak air kolam yang agak kacau itu diperhatikan Irfan. Kelihatan Ikan Koi berenang ke sana ke mari bersama rakan sejenisnya. Semuanya gemuk-gemuk belaka. Terleka sebentar Irfan memandang pergerakan ikan comel itu. Air di atas meja kembali dihirup Irfan. Dia termenung seketika memandang rintik-rintik hujan menghiasi cermin-cermin kafe yang lut sinar.

Fikiran Irfan mula teringatkan peristiwa pagi tadi. Album gambar di dalam telefon pintarnya dibuka.

“Mee goreng kau lemparkan pada kereta aku?? Perempuan ni memang berani! Nanti kau, kau tak kenal lagi siapa aku.... Berani pula dia tumbuk aku??” Hati Irfan mula terasa panas.

“Moga hujan yang turun dah mencuci kereta aku tu… Terima kasih Ya Allah....” Irfan memandang hujan lebat diluar.

Telefon pintar yang berdering mematikan lamunanya seketika.

Tertera di skrin telefon pintarnya perkataan MY MUM.

“Assalamualaikum, ma.”

“Waalaikumussalam. Irfan, papa dah balik ke bilik dah ni....”

“Ok,ma… Irfan pun dah nak habis minum ni.”

“Yalah… Jangan lupa limau ais mama tu tau.”

“Ya, ma.... Irfan dah belikan ni.”

“Oklah Irfan... Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

Irfan segera menghabiskan baki minuman yang ada. Jam tangan dikerlingnya, nampaknya jam sudah menunjukkan pukul 1.45 petang. Irfan bingkas bangun dan segera mengatur langkah.

Setiba sahaja di bilik Mawar 25, Irfan melihat mama dan papanya sedang rancak berbual. Nampak kebahagian di wajah mereka. Hati Irfan begitu senang melihat suasana sebegitu.

“Papa, macam mana hari ni? Sihat?” tanya Irfan sambil melemparkan senyuman pada papanya.

“Macam inilah Irfan… Tapi hari ni papa rasa lebih baik daripada semalam,” kata Tuan Iskandar sambil menepuk bahu anak terunanya.

Tanpa mereka sedari, Jururawat Natasya sedang memerhatikan gelagat pesakitnya.

“Ma, Irfan dah belikan limau ais ni. Ada dalam peti ais tu.”

“Bila? Mama tak perasan pun Irfan letakkan dalam peti ais tu.”

“Macam mana nak perasann… Dah berbual dengan kekasih hati. Kalau macam ni gayanya, pencuri masuk pun tak sedar, ma… Hahahaha...,” ketawa Irfan.

“Perli mama la tu… Irfan tak dapat pasangan lagi… Nanti dah dapat baru tahu...”

“Nah, ini airnya…”Sengaja Irfan menukar topik.

“Owh, terima kasih… Nah, ini untuk abang.” Puan Elinna menghulurkan air kepada suaminya.

“Oklah mama… Irfan nak ke tandas sekejap ya. Papa, guna tandas sekejap ya.”

Setelah itu, Tuan Iskandar terus minum air minuman kegemaranya itu.

“Tok tok tokkk…” Kedengaran pintu bilik diketuk. Jururawat cantik mula melangkah masuk ke dalam bilik Mawar 25.

“Maaf Tuan Iskandar, tuan tidak dibenarkan minum air sejuk. Nanti batuk Tuan Iskandar lambat pulih. Selain itu, makanan pedas dan berempah juga tidak dibenarkan makan buat masa ini. Makanan-makanan ini semuanya akan menggalakkan batuk,”jelas jururawat Natasya dengan nada tegas tetapi senyuman masih terukir di wajah.

“Eh, suami saya tak ada masalah batuk nurse. Lagipun ini minuman kegemaranya... Saya rasa tak salah kalau dia minum.” Puan Elinna hairan, sejak bila suamiya batuk? Elok sahaja dia tengok.

“Maaf puan, tetapi didalam rekod kami, Tuan Iskandar akan megalami batuk yang teruk, terutamanya pada waktu malam. Tidak salah untuk minum jus limau ni, tapi seeloknya minumlah air limau suam. Ini kerana, air suam dapat mencairkan kahak dan dapat melegakan batuk yang dialami,” terang Jururawat Natasya.

“Yalah… Terima kasih ya nurse.” Puan Elinna tersenyum mesra.

“Kalau macam tu saya beredar dulu. Jika ada apa-apa pertanyaan boleh ke kaunter jururawat ya...”

Pintu bilik dibuka lalu Jururawat Natasya melangkah keluar dari bilik tersebut.

“Eh, awak ni!” marah Puan Elinna sambil mencubit lengan suaminya.

“Kenapa?” tanya Tuan Iskandar terkejut.

“Kenapa tak cakap awak batuk?”

“Habis tu, minuman kegemaran saya dah ada depan mata saya. Takkan saya nak tolak kan,” Tuan Iskandar tersenyum nakal.

“Ermmm.... Kalau macam tu tak bolehlah abang makan gulai kari saya. Mesti jururawat tu terhidu kari sayakan? Sebab tu dia terus nasihatkan abang supaya tidak makan makanan pedas dan berempah.”

“Patutlah saya bau kari... Rupanya awak yang bawa....”

“Ingatkan nak makan sama-sama dekat sini,” kata Puan Elinna.

“Tak apalah... Saya berpantang. Bila sembuh nanti saya boleh makan lagi...”

“Kreeeeettttttttttttttttttt…” Pintu tandas dibuka, maka keluarlah jejaka yang memasuki tandas tadi. Siapa lagi? Irfanlah....

“Irfan lapar tak? Kalau lapar, makanlah gulai kari mama ni.... Papa tak dapat makan. Papa batuk. Ini pun minum limau ais dah kena warning.

“Siapa warningpapa?”

Nurse…”

Nurse?Berani dia warningpapa. Kenapa tak beritahu Irfan. Cantik tak?”

“Hurmmm… Dia dah mula dahh… Dah, cepat! makan gulai kari mama ni.”

“Ok, sedap ni… Papa tak kisahkan makan depan papa ni? Siap ada sambal belacan lagi...” Irfan memerhatikan lauk yang baru di buka Puan Elinna.

“Papa, ok je...,” jawab papanya sambil tersenyum.

Setelah selesai makan, Irfan dan Puan Elinna bersalaman dengan Tuan Iskandar dan meminta diri untuk pulang.

“Jaga diri ya, pa.... Malam nanti, kalau Irfan tak ada hal, Irfan akan temankan papa di wad ya?”

“Tak usahlah Irfan… Jaga mama kamu ni di rumah… Kasihan mama kamu ni seorang diri. Papa tak apa, ada nurse yang tolong tengok-tengokkan.”

“Betul ni?”

“Betul...,” jawab Tuan Iskandar sambil menahan batuk.

“Oklah, kami pulang dulu.”

“Yalah.... Bawa kereta tu hati-hati.”

“Ya, pa....”

Puan Elinna melambaikan tangan kepada suaminya sebelum pintu di tutup. Sejurus selepas itu, kelibat mereka hilang disebalik pintu tersebut. Kini, tinggallah Tuan Iskandar di dalam bilik tersebut seorang diri. Masa ini digunakan untuk menunaikan Solat Fardu Zohor.

Sementara itu, jururawat yang bertugas sibuk melakukan tugas masing-masing. Pada masa yang sama, kemunculan doktor muda yang segak dengan kot putihnya sedikit sebanyak telah mencuri pandangan jururawat di wad tersebut. Doktor muda ini mengenakan baju kemeja bewarna hijau lumut dan bertali leher hitam. Rambutnya disikat rapi dengan membuat belahan tepi. Stetoskop dibiarkan berjuntai di bahunya. Senyuman tidak lekang terukir dibibir.

“Selamat petang, nurse,” sapa Dr.Haikal kepada stafnya.

“Selamat petang,doktor.... Amboi, Doktor Haikal bukan main ceria hari ni,” usik ketua jururawat.

“Hahaha... Biasa-biasa sahaja... Macam mana pesakit saya hari ni? Ada sebarang masalah tak?” perbualan mula serius.

“Setakat ini, tiada pesakit yang semakin teruk masalahnya. Semua pesakit menunjukkan perubahan yang positif. Perawatan hari ini dijalankankan sepertimana yang telah dirancangkan.”

“Oh, ya doktor... Pesakit bilik Mawar 20 iaitu En. Fazil bin Mamat bernombor pendaftaran Mw 3421 098 telah dirancangkan untuk menerima 2 pint packed cellhari ini.Tetapi apa yang menjadi masalahnya, dia mengalami ketidakserasian dengan blood transfusiondimana suhu badannya meningkat secara mendadak dan kami dengan segera telah menghentikan tranfusi darah ini,” jelas ketua jururawat.

“Can I read the report?”

“Sure, doctor.”

Fail laporan pesakit bertukar tangan. Dr. Haikal mula membaca apa yang sudah dicatatkan.

“Baiklah, saya akan ke biliknya sekarang untuk membuat pemeriksaan selanjutnya.”

StaffnurseNatasya, sila ikut Dr.Haikal untuk membuat rondaan pemeriksaan pada pesakit,” arah ketua jururawat.

“Baiklah, sister.”

Maka bermulalah sesi rondaan di dalam wad tersebut. Semua pesakit ditanya kesihatan semasa dan rancangan perawatan diubah mengikut keperluan rawatan yang diperlukan oleh pesakit.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.