Home Novel Komedi/Romantik Komedi Antara Mawar Dan Kaktus
BAB 43
BAB 43

Lisa menghempaskan badannya di sofa. Tas tangannya dicampakkan begitu sahaja. Huda yang leka menghadap televisyen seperti tidak mengendahkan kehadiran Lisa.

“Huda, kau dah kemas barang belum?”tanya Lisa malas. Matanya dipejam rapat-rapat. Pening kepalanya sungguh merimaskan.

“Kemas barang nak ke mana?” Huda buat-buat tanya. Matanya dikerling kepada Lisa yang nampak kepenatan.

“Balik kampung akulah...”

“Buat apa nak balik kampung kau... Kau kan tak nak kahwin... Kan?” sindir Huda biar Lisa terasa.

“Huda!!!!” Lisa menjerit geram.

“Laa... Kenapa pula kau ni... Tak nak kahwin sudahlah... Tak payahlah nak memekakkan telinga aku!!” marah Huda. Geram sungguh Huda dengan perangai Lisa sejak kebelakangan ini. Kalaulah Dr.Haikal ada di sini, nak sahaja Huda bersemuka dengan Dr.Haikal. Dr.Haikal telah buat Lisa menjadi sasau sebegini!

“Kemaskan barang... Esok petang kita balik ke kampung aku...” Lisa bangun dari bersandar di sofa.

“Kau jadi kahwin eaa?” bulat mata Huda bertanyakan perihal tersebut.

“Setakat ni jadi lagi... Tapi, kalau aku dah pulang ke kampung nanti, aku tak jamin jadi atau tak...”

“Laa... Macam tu pula... Peninglah aku dengan kau ni...”

“Kau dah berterus terang belum pada Irfan?”

“Dah... Cuma Puan Elinna sahaja aku tak sampai hati untuk berterus terang...”

“Irfan tak kata apa-apa?”

“Dia tetap nak berkahwin dengan aku... Hati batu betullah tunang aku tu... Aku dah kata tak nak dekat dia, dia masih lagi terhegeh-hegeh nakkan aku...”

“Alaa... Kau pun apa kurangnya Lisa...”

Whatever... Malas aku layan kau... Banyak barang lagi aku tak kemas ni... Dahlah malam ni aku kerja malam! Penatnya!!!” jerit Lisa.

“Tak apalah... Esok pagi sempatlah kau kemas... Lagi pun kau akan cuti panjang kan... Baju pengantin kau, aku uruskan... Itu tanggungjawab aku... Kau jangan risau...”

“Ok, terima kasih… Tapi aku rasa ada baiknya kalau kau buat-buat lupa untuk bawa pulang baju pengantin aku tu... Nanti bolehlah aku bagi alasan aku tak nak kahwin...”

“Ah, tak ada maknanya Lisa... Kalau kita lupa nak bawa balik baju pengantin kau ni, aku jamin pakai kain batiklah kau masa akad nikah nanti... Yang penting ijab dan qabul kan? Baju manalah penting sangat!”

“Yalah...” Lisa mengalah. Lisa menguap kemalasan.

Lisa berlalu naik ke atas. Dibawah, Huda menjerit kesukaan disebabkan Lisa tidak berjaya membatalkan perkahwinan mereka di hadapan Puan Elinna. Mujurlah semua barang yang ingin dibawa ke kampung Lisa sudah habis dikemasnya. Mengalahkah orang yang nak kahwin! Lisa satu barang pun masih belum dikemasnya. Tak apa, Huda akan uruskan semua itu malam nanti. Kasihan bakal pengantin penat.

“Tak lama lagi, aku pula yang jadi pengantinnya...” tiba-tiba Huda teringatkan Ustaz Saiful. Tak sabar rasanya hati untuk hidup berdua bersama Ustaz Saiful. Bahagianya… Huda leka dalam khayalan yang mula menjalar ke dalam benak fikirannya. Selepas perkahwinan Lisa berlangsung, perkahwinannya akan menyusul selepas itu. Baju pengantin mereka berdua juga telah siap direka, cuma masih belum dijahit sahaja. Huda mengimpikan baju pengantinnya seindah baju pengantin Lisa dan Irfan. Huda telah mencurahkan idea yang terbaik kepada rekaan baju pengantin sahabatnya itu. Cuma harapan Huda, Lisa meneruskan perkahwinan ini. Kalau tidak punahlah harapan Huda untuk melihat sahabat baiknya memakai baju rekaannya.

Lisa melangkah masuk ke dalam rumah lalu menerpa ke arah Puan Raudah. Tangan Puan Raudah dicium.

“Mak, kenapa hari tu boleh masuk hospital?” tanya Lisa risau.

“Tak ada apalah... Darah naik sikit… Doktor yang risau lebih... Itu yang doktor masukkan mak ke dalam wad tu,” jawab Puan Raudah sambil bersalam dengan Huda rakan baik anaknya. Puan Raudah sudah menganggap Huda ini seperti anaknya sendiri. Hudalah teman rapat Lisa yang boleh diharap.

“Mana baju pengantin? Mak nak tengok?”

“Ada... Dalam kereta,” jawab Lisa.

“Laa... Kenapa tak bawa masuk... Dah, pergi ambil sekarang... Mak nak tengok...”

“Sekejap ya mak cik... Saya pergi ambil sekarang,” kata Huda sambil melihat muka Lisa yang sudah berubah. Muka yang ceria sebentar tadi telah bertukar suram.

“Mesti cantik baju anak mak ni... Tak sabar rasanya, mak nak tengok anak mak kahwin!” Puan Raudah menatap lembut anak mata Lisa. Lisa menjadi serba salah. Adakah untuk kali ini, dia masih tidak berjaya untuk berterus terang sebagaimana dia tidak mampu untuk berterus terang kepada Puan Elinna?

“Lisa… Sudah pulang kamu ya...” sapa Surianti yang putih berbedak sejuk di sebalik langsir pintu biliknya.

“Ya, baru sahaja sampai...” Lisa bersalaman dengan pembantu rumah emaknya.

“Putih, kamu malam ini,” usik Lisa.

“Ah, tampal bedak sejuk sahaja...” tersengih-sengih Surianti menjawab usikan Lisa.

“Emak, ayah dan Adam ke mana?” Lisa berpaling ke arah Puan Raudah.

“Ayah kamu dengan Adam masih disurau... Bincangkan tentang majlis kenduri kamu nantilah... Bermesyuarat dengan orang kampung...”

“Awalnya...” Dahi Lisa berkerut. Tak sangka perbincangan akan dilakukan sebelum Lisa memberitahu tentang niatnya untuk membatalkan perkahwinan bersama Irfan.

“Awal apanya... Seminggu sahaja lagi, Lisa... Mereka bincangkan tentang pembahagian tugas... Nanti taklah kelam-kabut semasa majlis berlangsung... Siapa yang nak memasak, siapa yang nak hidangkan lauk, siapa yang nak basuh pinggan… Nanti teratur sahaja kerjanya...”

Lisa hanya mendiamkan diri. Sesekali Lisa memandang muka Surianti yang sudah seperti kuih tepung gomok.

“Kak Surianti, jom tolong Lisa angkat beg...”

“Haa... Sebut pasal beg, kenapa Huda tak masuk-masuk lagi ni?” tanya Puan Raudah.

Lisa menjenguk keluar.

“Huda, kenapa tak masuk lagi?Kau buat apa?”tanya Lisa dari beranda rumah.

“Sekejap! Aku tengah bercakap dengan Ustaz Saiful ni... Kau datang ambil sendirilah baju ni!” jerit Huda dari luar rumah.

“Kau tak takut ke duduk dekat luar... Dahlah bulan mengambang tu…” Lisa menunjukkan bulan dilangit.

“Kau ni…” Huda mengerling.

“Lisaa!!!!! Hantu!!” sepantas kilat Huda berlari masuk ke dalam rumah. Nafasnya tercungap-cungap.

“Aku nampak hantu, Lisa... Ustaz Saiful! Ada hantu dekat sini! Nak baca ayat apa ni?!”

“Hahahahaha... Itulah kau... Aku cakap kau macam buat-buat berani...”

Laju betul Surianti berjalan ke kereta fikir Lisa. Entah bila dia keluar, Lisa pun tak perasan.

Puan Raudah yang berdiri di muka pintu sudah ketawa terkekek-kekek.

“Itu Kak Suriantilah Huda... Pembantu rumah... Entah mimpi apa dia pakai bedak sejuk malam ni...”

“Hah? Kak Surianti? Sejak bila mak cik pakai pembantu rumah? Dua tiga tahun lepas, Huda datang tak ada pun...” Huda memandang ke arah Surianti yang sedang berjalan membawa beg mereka masuk ke dalam rumah.

“Kamu takut ya?” Surianti menegur.

Bulat mata Huda melihat wajah Surianti yang putih berbedak di dalam limpahan cahaya yang suram-suram.

“Mak cik, lampu dekat luar ni rosak ke? Seramlah Huda...”

“Rosaklah sayang... Pak cik kamu kata esok baru nak dibaikinya...”

“Hello, Ustaz Saiful... Kejap lagilah Huda call balik.” Panggilan dimatikan.

Huda memandang geram ke arah Surianti yang masih tersengih-sengih melihat dirinya yang ketakutan sebentar tadi.

“Maaf, ya..,” kata Surianti.

Setelah mendengar perkataan maaf yang keluar dari mulut Surianti, legalah sedikit hati Huda.

“Sudahlah tu... Jom kita masuk... Emak tak sabar nak tengok baju pengantin anak mak ni...” Puan Raudah merangkul pinggang kedua-dua anak gadis ini masuk ke dalam rumah. Pintu utama ditutup. Sesi mempamerkan persalinan busana pengantin bermula. Hati Puan Raudah sangat berpuas hati dengan rekaan pakaian untuk majlis perkahwinan Lisa nanti. Dia sudah dapat membayangkan bertapa cantiknya anaknya nanti. Harapannya cuma satu. Biarlah Lisa bahagia dalam bahtera perkahwinan ini. Lisa sudah cukup menderita ketika kecil, dan biarlah perkahwinan ini mampu untuk merawat hatinya.

Lisa memandang biliknya yang telah dihias indah. Esok adalah hari perkahwinannya. Perasaan Lisa kini bercampur baur. Bersediakah dia untuk menjadi isteri Irfan? Dilihat inai di jari yang masih belum kering. Lisa termenung sendiri. Kunjungan Puan Elinna sekeluarga petang tadi menambah debar di hati. Apatah lagi menatap wajah Irfan yang tenang sahaja mukanya. Tatapan mata Irfan seperti mengharapkan Lisa meneruskan perkahwinan ini. Dalam tidak rela, Lisa teruskan jua. Satu persatu persiapan sudah dilakukan sehinggalah jarinya diinaikan.

“Dr.Haikal, kenapa tak call Lisa?” tanya Lisa sedih. Wajahnya yang dirasakan tiada seri pengantin dilihat begitu tidak bermaya di dalam cermin. Lisa memandang sedih cincin pemberian Dr.Haikal yang diletakkan di atas meja solek. Dalam saat-saat akhir ini Lisa mengharapkan Dr.Haikal menghubunginya untuk Lisa bertanyakan perihal lamaran Dr.Haikal.

Lisa melangkah duduk di birai katil. Harum biliknya sedikit pun tidak menenangkan perasaan Lisa yang masih berbelah bagi. Kepalanya diletakkan di atas bantal. Mata dipejamkan sementara tangannya diluruskan bagi mengelakkan jarinya yang berinai yang turut dibungkus dengan plastik tidak tertanggal.

“Aku kena lari malam ini! Mesti!” tiba-tiba sahaja Lisa bertekad. Telinga dipasang untuk mendengar pergerakan orang diluar. Suasana diluar kedengaran masih riuh dengan kehadiran orang kampung yang datang membantu menyediakan bahan-bahan untuk memasak esok hari. Lisa sedikit kecewa.

Kedengaran tombol pintu dipulas. Lisa cepat-cepat memejamkan mata pura-pura tidur. Pasti itu Huda.

“Permaisuri dah tidur rupanya... Patutlah senyap...” tersenyum Huda melihat gelagat kawannya itu.

“Tidur pun tak berselimut...” Huda menarik selimut untuk Lisa.

“Lisa, kahwin pun kau esok... Aku doakan kau bahagia untuk selama-lamanya... Lepas ni kau dah jadi milik Irfan... Ini maknanya kau akan tinggalkan akulah… Lepas kau kahwin nanti, mesti kau tinggal di rumah Irfan... Tak ada lagilah kawan yang boleh temankan aku...” Huda berkata sedih. Lisa yang mendengar terasa sebak. Namun, mata masih dipejamkan. Ya, selepas kahwin nanti, sudah tentu dia akan tinggalkan Huda seorang diri di rumah yang mereka duduki selama ini. Macam manalah nanti Huda meneruskan kehidupannya tanpa Lisa di sisi. Tiada lagi tugas bergilir-gilir memasak dan mengemas rumah. Semuanya akan dilakukan sendiri oleh Huda. Begitu juga dengan Lisa.

“Lisa, aku tidur dengan engkau malam ni ya... Lepas ni aku dah tak boleh tidur dengan engkau dah...” Huda menangis teresak-esak di sisi Lisa.

“Haishh... Dia ni menangis pula... Ini buat aku nak menangis juga ni,” bisik Lisa di dalam hati.

Huda berbaring di sisi Lisa dalam esakan kecil. Pasti dia akan sunyi selepas ini. Lengan Lisa dipeluk Huda. Rasanya tak sanggup untuk berpisah rumah dengan Lisa.

“Alamak! Dia pegang lengan aku... Macam mana aku nak lari nanti?” berkerut dahi Lisa di dalam samar cahaya lampu tidurnya.

“Ok, bertenang Lisa… Bertenang... Nanti lenalah Huda tu...” Lisa cuba menenangkan diri.

Matanya cuba ditenangkan agar tidak bergerak-gerak.

Huda memandang Lisa yang masih lena dikatil. Lena sebagai seorang bujang.

“Lisaaa... Lisaaa… Bangun Solat Subuh... Dah pukul 6.30 pagi ni...” kejut Huda lembut.

“Urmmm…” Lisa masih enak di dalam balutan selimutnya.

“Lisaa... Kau kan nak kahwin hari ni... Cepatlah bangun...”

“Kahwin??” Lisa membuka mata seluas-luasnya.

“Dah pukul berapa ni?”

“6.30 pagi...” Huda melipat telekung sembahyangnya lalu di sidai di birai katil untuk kegunaan Lisa nanti.

“6.30?? Ligat kepala Lisa berfikir... Macam mana dia boleh tertidur sampai pagi. Maknanya, rosaklah rancangannya untuk melarikan diri malam tadi. Aduh, macam mana ni?! Lisa panik. Cepat-cepat dia terjun dari katilnya. Lisa berjalan ke kiri dan ke kanan bagai orang sasau. Langsir di tingkap diselak. Hari masih gelap, tapi semua orang dah bangun!

“Eh, mengigau ke?” geli hati Huda melihat kelakuan Lisa di pagi hari.

Lisa tidak menghiraukan pertanyaan Huda. Inai di jari ditanggalkan.

“Eh, Lisa... Bersepahlah bilik kau nanti... Pergi buang inai dalam bilik airlah...” Huda menolak perlahan badan Lisa memasuki bilik air. Lisa hanya menurut.

“Kau, tak boleh sepah-sepahkan bilik kau... Nanti tak sempat nak kemas... Malam ini kan kau nak kongsi bilik dengan Irfan… Tak begitu Lisa?” Huda menutup pintu bilik air sementara Lisa masih terpinga-pinga.

“Kongsi bilik?? Ah, tidak!!” bagaikan nak gila Lisa seorang diri di dalam bilik air memikirkan hal itu. Inai di jari cepat-cepat ditanggalkan lalu jarinya di cuci sebersihnya. Merah jarinya dilihat begitu cantik. Cantik yang membawa seri tersendiri. Lisa terpegun. Harum inai menusuk ke rongga hidung sedikit sebanyak menambah rasa getar di hati. Bersediakah dia?

Lisa cepat-cepat mengambil wuduk malas melayan perasaannya yang tidak keruan. Apa yang pasti dia mahu berdoa sekusyuk yang mungkin seusai solat nanti. Andai ini takdirnya, Lisa akan teruskan untuk berkahwin dengan Irfan. Mungkin inilah jodohnya. Kalau tidak, sudah pasti dia berjaya lari malam tadi. Nampaknya Allah tidak mengizinkan Lisa berbuat begitu dengan melenakan Lisa selena-lenanya sehingga Subuh. Lisa hanya merancang, Allah yang menentukan. Mungkin bibit cinta yang baru bertunas untuk Irfan akan terus berkembang setelah ikatan halal ini dilaksanakan. Namun, Lisa bimbang jika putik itu akan mati diracun cinta Dr.Haikal yang dirasakan sudah kukuh didalam segenap lubuk hatinya.

Previous: BAB 42
Next: BAB 44

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.