Home Novel Komedi/Romantik Komedi Antara Mawar Dan Kaktus
Bab 15
BAB 15

Irfan mula bersiap-siap untuk mencuci keretanya dipagi Sabtu. Seawal 7 pagi lagi dia telah memulakan kerja-kerja pembersihan. Matahari pun masih tidak muncul sepenuhnya. Sengaja dia memulakan kerja awal-awal pagi begini. Bukannya apa, Irfan tahu sekarang ini cahaya matahari akan perit mengenai kulit walaupun seawal 9 pagi. Penipisan lapisan ozon sudah agak kronik agaknya.

Keretanya nampak tidak terurus. Selama sebulan dia tidak pedulikan keretanya. Sibuk memanjang. Segala sampah-sarap di dalam kereta dikeluarkan.

“Sejak bila aku jadi pengotor macam ni? Betul ke aku ni? Banyaknya sampah,” ngomel Irfan seorang diri.

“Nasib baik aku tak ada bawa mana-mana perempuan… Kalau tak, malu aku…”

“Lisa? Bukan perempuan ke?” bisik hati Irfan.

“Alahh… Yang tu dah 3 minggu yang lepas… Kereta masih dalam keadaan terkawal.” Irfan senyum seorang diri.

Irfan meneruskan kerja-kerja pembersihan di dalam kereta. Tangannya mencapai sekeping kertas hijau pucuk pisang dan dimasukkan ke dalam plastik sampah.

“Ok, dalam dah siap… Cuci keretalah pula,” kata Irfan sambil menyanyi kecil.

Setelah 1 jam segala kerja pembersihan, pengemasan dan pencucian telah siap dikerjakan. Plastik sampah yang diletakkan di bangku taman tadi dibuka dan sampah-sampah yang dikeluarkan tadi di teliti semula. Bimbang jika terbuang benda penting dan masih berguna. Satu persatu diteliti Irfan lalu dia terpandangkan kertas hijau pucuk pisang. Kertas tersebut dikeluarkan dan dibaca.

“Ya Allah... Nasib baik aku tengok balik sampah-sampah ni.” Irfan teruja menatap kertas tersebut.

Senyuman lebar terukir dibibir Irfan. Meleret senyumannya sehingga ke tempat pembuangan sampah di diluar pintu rumahnya. Kertas tersebut ditatap sekali lagi dan kali ini dia berjaya menghabiskan pembacaannya.

“Patutlah dia marah hari tu.... Rupanya dia tak suka orang curi dengar perbualannya...” Irfan tersengih apabila teringatkan telatah gadis ini tempoh hari.

Dr.Haikal memandu kereta dengan perlahan untuk beratur keluar dari pintu pagar hospital. Pandangan mata Dr.Haikal sesekali beralih ke arah perhentian bas yang terletak diluar pagar hospital. Dr.Haikal pasti orang yang diperhatikannya itu merupakan staf yang bekerja bersamanya di wad. Selepas melepasi pagar hospital, Dr.Haikal memberhentikan kereta Honda Civicnya berhadapan dengan perhentian bas. Hon dibunyikan. Lisa kelihatan terpinga-pinga.

“Siapa pula ni?” Lisa memandang ke kiri dan kanan. Ternyata hanya dirinya disitu.

Cermin kereta diturunkan.

“Natasya! Nak pergi ke mana?” tanya Dr.Haikal.

Lega hatinya apabila pemilik kereta dihadapanya kini dikenali. Lisa bangun dari tempat duduk dan menghampiri kereta Dr.Haikal.

“Saya nak balik rumah… Tunggu bas atau teksi,” kata Lisa sambil tersenyum.

“Rumah awak dekat mana?”

“Jalan Tasik Perdana, doktor,”jawab Lisa.

“Oh, yer ke? Rumah teres dua tingkat tu ke?”

“Aahh… Rumah teres tulah…”

Dr.Haikal menepuk dahinya. Dia segera membuka pintu keretanya dari dalam.

“Masuklah… Saya hantarkan...”

“Eh, tak apalah Dr.Haikal… Bas dah datang tu,” kata Lisa sambil menunjukkan bas yang masih lagi merangkak dijalan raya.

“Mana bas?” Dr.Haikal memusingkan badannya ke belakang

“Eh, cepatlah Natasya. Nanti bas nak berhenti dekat sini… Saya hantar percuma, bas berbayar,” kata Dr.Haikal sejurus melihat sekumpulan pelajar jururawat menahan bas tersebut.

Pintu kereta ditolak lagi bagi meluaskan bukaan.

“Masuklah....”

Melihat kesungguhan Dr.Haikal, tidak sampai hati Lisa ingin menolak pelawaan tersebut. Tanpa berlengah lagi dia memboloskan diri masuk ke dalam kereta Dr.Haikal. Dr.Haikal tersenyum.

“Haaa… Macam itulah… Orang dah nak tolong hantarkan, terimalah,” kata Dr.Haikal.

Lisa turut tersenyum sambil menutup pintu kereta. Kereta Dr.Haikal terus memasuki jalan raya bagi memberi ruang kepada bas yang mahu mengambil penumpang.

“Doktor tak kerja ke hari ni?” tanya Lisa hairan. Kebiasaannya pada waktu macam ni doktor-doktor masih tidak pulang.

“Tak… Saya off day hari ni.... Ni pun datang sebab nak pulangkan buku dekat library hospital… Lupa nak hantar semalam. Bila tengok tarikh, hari ni juga nak kena pulangkan. Lewat pulangkan nanti dia caj.”

“Owhh... Rajin doktor...”

“Nak pandai kenalah rajin kan… Kereta awak mana?”

“Kereta saya masuk hospital.”

“Bengkel?” tanya Dr.Haikal untuk kepastian.

Lisa mengangguk.

“Kenapa boleh masuk hospital kereta awak tu, Natasya?”

“Patah kaki,” jawab Lisa separuh gelak.

“Patah kaki?? Maksudnya?”

“Semalam kawan saya pinjam.... Entah macam mana tayar belakang kereta tu termasuk dalam longkang… Terkehel tayar sebelah kanan. Tu yang bawa jumpa doktor tu…”

“Pandai awak berkias yer… Pergi kerja macam mana?”

“Kawan saya tolong hantarkan… Dah dia dah rosakkan kereta saya, jadi dia kena hantar saya kerjalah… Cuma balik dia tak dapat tolong sebab dia pun kerja…”

“Ooo yela kan... Dia pun kerja... Rumah tu awak tinggal blok mana?”

“Blok A doktor… Betul-betul menghadap tasik…”

“Blok A?? No rumah?”

“Ya, Blok A… Kenapa doktor nak tahu?”

“Kan saya nak hantarkan awak ni,” jawab Dr.Haikal.

“Oh,ya.... Lupa pula saya. Blok A no 3A Perdana…”

Dr.Haikal menepuk stereng kereta. Wajahnya kelihatan terlalu teruja.

“Soooooo…. Kita jiranlah Natasya!!”

“Maksud doktor?” tanya Lisa hairan. Dahinya dikerutkan.

“Rumah saya pun dekat Jalan Perdana… Blok B no 3B Perdana….”

Lisa menggerakkan jari telunjuknya seperti mahu meneka sesuatu.

“Maksud doktor, doktor tinggal di belakang rumah sayalah? Macam tu?”Lisa turut teruja.

Dr.Haikal menganggukkan kepalanya dengan bersungguh-sungguh. Akhirnya terburai ketawa mereka. Tak sangka rupanya mereka selama ini adalah jiran dekat.

“Nanti bolehlah saya minta lada yang awak tanam tu… Bukan main lebat lagi pokok tu berbuah. Kadang-kadang rasa juga nak pergi minta sebabnya lada dekat rumah saya tu selalu kehabisan stok. Tapi tak kenal pula siapa tuan punya pokok.... Segan!”

“Doktor nampak pokok lada saya?”

“Eh, nampaklah… Tapi tuan punya lada saya tak nampak…”

“Hahaha… Datanglah minta… Saya boleh beri… Kalau doktor nak ambil sahaja… Tapi jangan lompat pagar sudah…”

“Awak ingat saya apa? Nak skodeng awak?’

“Manalah tahu kannn.... Hahahaha... Taklah, maksud saya kalau jiran-jiran nampak tak ke ada cerita yang kurang enak didengar.”

“Ya, saya faham… Tinggal berapa orang dalam rumah tu?”

“Dua orang…”

“Tak mahal ke bayar sewa kongsi dua orang?”

“Sebenarnya rumah tu bapa kawan saya punya. Dia bagi kami tinggal secara percuma. Dia minta saya temankan anak dia. Sebabnya dia tak percayakan orang lain untuk tinggal dengan kawan saya tu… Kami dah kenal lama… Dah macam adik beradik.”

“Untunglah macam tu… Seronok je duit tu boleh buat shopping kan?”

“Biasa-biasa saja doktor… Gaji saya ni taklah semahal dan setinggi doktor…”

“Gaji tinggi pun tak guna Natasya… Banyak benda nak kena bayar… Bayar rumah, bayar kereta, bil-bil lain lagi.”

“Betullah orang cakap kan… Besar periuk maka besarlah keraknya….”

“Maksudnya?”

“Gaji besar, makin banyaklah kita nak beli, pakai dan akhirnya duit masih tak cukup dan terus berhutang…”

“Amboi… Sindir saya ke?” kata Dr.Haikal sambil memberikan tumpuan kepada pemanduan.

“Doktor terasa ke? Maaflah saya tak bermaksud macam tu… Peringatan untuk diri sendiri juga tu…”

“Betul juga kata awak tu… Jangan jadikan kita ni hamba duit sudah…”

“Betul-betul...”

Selepas 20 minit pemanduan, mereka tiba dihadapan rumah Lisa. Dr.Haikal terpegun melihat sekeliling rumah. Cermin kereta diturunkan.

“Ada masa juga dia tanam pokok-pokok ni… Banyak pula tu… Dahlah subur-subur, bunga pun lebat-lebat,” puji Dr.Haikal di dalam hati.

“Terima kasih doktor,” kata Lisa sambil melambai-lambaikan tangannya.

“Eh, bila masa pula dia keluar… Tiba-tiba dah ada depan pintu pagar rumah…”Dr.Haikal tersedar daripada ralit memerhatikan laman rumah Lisa.

“Ya,sama-sama.”Cepat-cepat Dr.Haikal membalas ucapan terima kasih daripada jururawatnya. Ternyata dia tadi sudah terleka melihat permandangan taman di rumah Lisa. Untunglah rumah Lisa menghadap tasik kerana ia menjanjikan suasana yang nyaman dek kerana kehadiran angin dari tasik datang menyerikan suasana.

Jam telah menunjukkan 5.30 petang. Aroma sambal udang memenuhi ruang dapur Lisa. Menu untuk makan malam hari ini ikan singgang, sambal belacan dan sambal udang. Lisa tidak sabar menunggu kepulangan Huda. Hari ini merupakan giliran Lisa memasak disebabkan dia berada dirumah disebelah petang. Mengingatkan dia masih belum menunaikan Solat Asar, Lisa segera menunaikan kewajipan tersebut.

Tidak lama kemudian, Huda pulang dari butik pengantinnya. Peti ais terus dibuka dan air sejuk dari peti ais terus dituangkan di dalam gelas lalu diteguknya.

“Lisa masak apa hari ni?” Huda membuka periuk dan kuali di atas dapur.

“Ikan Singgang Terengganu!!”

“Sambal udang! Banyak pula dia masak hari ni…”

“Lisa buat tak sambal belacan ni?” Cepat-cepat dia memeriksa peti ais.

“Wahhhh… Nasib baik ada sambal belacan…. Sambal belacan kau Lisa memang terbaik!!”

Huda sudah tidak sabar untuk makan. Dia sudah berkira-kira untuk naik ke atas untuk mandi dan solat. Selepas tu bolehlah makan!

“Assalamualaikummm… Natasyaaa! Assalamualaikummmm....” Kedengaran suara lelaki memberi salam dari arah belakang rumah.

“Siapa ni? Tak pernah nampak pun,” kata Huda sambil mengintai di celah tingkap.

“Assalamualaikummmmm….”

“Waalaikumussalam… Ya, kenapa?”

“Natasya ada?”

“Natasya? Tak ada…”

“Tapi, saya hantarkan dia tadi… Rumah inilah…”

“Natasyaa?” Huda mengerutkan dahinya.

“Owhhh… Lisaaa...”

“Lisa?” tanya Dr.Haikal kembali.

“Ya… Lisa Amira Natasya,” jawab Huda.

“Owh, ok… Dia ada?”

Belum sempat Huda memanggil Lisa, Lisa telah pun muncul.

“Eh, Dr.Haikal! Ya, kenapa?”

“Saya nak minta lada… Lada saya belum sempat beli lagi,” kata Dr.Haikal sambil menggaru telinganya.

“Owh… Bolehhh… Sekejap eh…”

Lisa mengambil gunting dan selepas itu dia membuka pintu pagar rumah.

“Ambillah doktor nak banyak mana,” kata Lisa sambil menghulurkan gunting kepada Dr.Haikal.

“Gunting ni nak buat apa? Saya boleh petik dengan tangan saja…”

“Eh, tak boleh doktor… Pokok pun nak kena berlembut macam kita berlembut dengan pesakit… Kalau petik macam tu saja, takut rosak batang pokok ni… Bunga-bunga akan gugur. Jadi, kita guna gunting. Kita gunting tangkai buah lada ni saja. Senang! Ditanggung beres…”

“Ok… Baiklah tuan empunya lada,” kata Dr.Haikal malu-malu.

Huda hanya memerhatikan gelagat kawan baiknya itu dengan pemuda kacak dihadapannya dari pintu dapur.

“Sejak bila mereka berkenalan? Laju Lisa dari aku.... Ustaz sebelah rumah ni pun aku belum dapat lagi, dia dah boleh kenal dengan pemuda ni… Wahhh… Wahhh…. Lisa… Lisaa… Kau tak bagi tahu aku pun kan? Siap nanti,” kata Huda di dalam hati. Gembira pun ada, selama ni kawan dia ni tak pernah nak berteman lelaki.

“Ok, terima kasih Natasya…”

“Sama-sama…”

“Eh, sekejap.... Tadi kenapa kawan awak tu tak kenal bila saya sebut nama Natasya?” tanya Dr.Haikal sambil memandang Huda.

Huda hanya mendiamkan diri. Bagaikan terkena renjatan elektrik apabila jejaka tersebut memandangnya.

“Aduh, kacaknya!!”

“Sebabnya, orang biasanya panggil saya Lisa.... Cuma dekat hospital orang panggil saya Natasya. Sebabnya dekat wad tu kan dah ramai nama Lisa,” jelas Lisa.

“Oooo… Kalau macam tu saya panggil awak Lisalah… Ok, thanks Lisa,” kata Dr.Haikal sambil menghulurkan gunting pada Lisa.

“Boleh… Tak ada masalah,” jawab Lisa sambil tersenyum manis.

“Eh, sekejap doktor… Saya ada buatkan sambal udang… Doktor makan tak?”

“Makan…” Baik berterus-terang kata Dr.Haikal di dalam hati.

“Saya isikan dalam bekas sekejap ya… Tunggu tau,” kata Lisa sambil berlalu masuk ke dapur.

“Hai, saya Haikal… Doktor ditempat Lisa bekerja… Nama awak?” Sengaja Dr.Haikal menegur rakan Lisa. Dari tadi dia asyik memerhatikan mereka macam nak diserangnya.

“Hai, saya Huda… Rakan serumah Lisa… Owh, doktor.... Tinggal dekat mana?”

“Belakang ni je,” kata Dr.Haikal sambil menunjukkan arah rumahnya.

“Selama ni tak pernah pula nampak doktor berbual dengan Lisa?”

“Ya… Saya pun baru tahu tadi selepas hantarkan Lisa... Rupa-rupanya kami jirann…”

“Itulah, masyarakat sekarang… Jiran sebelah, hadapan, belakang pun tak tahu siapa… Sibuk katakann…”

“ Itulah… Kronik dah penyakit kita ni… Masing-masing buat hal sendiri…” jawab Dr.Haikal.

“Ini sambal udangnya doktor… Tak tahulah sedap ke tidak,” hulur Lisa kepada Dr.Haikal.

“Pasti sedap doktor,” sampuk Huda.

“Terima kasih sekali lagi,” kata Dr.Haikal.

“Sama-sama…”

Selepas Dr.Haikal memasuki rumahnya, pintu dapur segera ditutup Huda.

“Amboi Lisa… Siap bagi sambal udang lagi,” usik Huda.

“Alahhh… Kau apa kurangnya… Siap bagi sup ayam dekat ustaz sebelah rumah… Aku lainlah… Dia rakan sekerja… Doktor hospital aku,” kata Lisa menyindir.

“Kau mana tahu pasal sup ayam tu?”

“Ustaz cakap… Dia tanya, siapa yang masakkan… Aku jawablah kau… Dia puji, tak sangka sedap betul! Ingatkan orang yang suka melawa macam kau ni tak tahu masak… Licin dia makan!”

“Biar betul!! Betul ke ni??” Huda teruja.

“Betul… Tak kan aku nak tipu… Suka tak?”

“Eh, mestilah suka…. Tak sia-sia aku masakkan sup ayam… Selama ni tak ada orang pun puji masakan aku…”

“Tipulah tak ada orang puji… Akukan selalu puji,” kata Lisa sambil membasuh gelas di dalam sinki.

“Kau? Kutuk adalah…” Huda mencebik.

“Bukan kutuk… Tapi penambahbaikkan…”

“Yelah tu…”

“Dah, cepat mandi… Perut dah lapar ni,” kata Lisa.

Hati Huda kembang setaman dek kerana terlalu gembira apabila ustaz kesukaannya menyukai masakkannya.

Previous: Bab 14
Next: BAB 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.