Home Novel Komedi/Romantik Komedi Antara Mawar Dan Kaktus
BAB 34
BAB 34

“Fatin ini dah melampau! Dia ingat kita ini apa?” Datuk Abdul Hamid bercekak pinggang menghadap isterinya Datin Faridah.

Syafiq Rayyan hanya diam membisu di sofa memerhatikan amarah orang tuanya.

“Abang, saya call tak dapat ni...” Sudah berkali-kali Datin Faridah cuba menghubungi anak perempuannya. Namun, tidak berjaya dihubungi. Tanda risau jelas terpancar pada wajah Datuk Abdul Hamid dan Datin Faridah.

“Yang kamu ni pun satu Rayyan! Dah 1 bulan kamu balik dari London baru kamu nak cakap yang kakak kamu dah kahwin dan mempunyai anak!” Puan Faridah meninggikan suara.

“Kenapa kamu baru cakap Rayyan? Beritahu papa!” Datuk Abdul Hamid kesal dengan tindakan anak lelaki sulongnya. Walaupun Fatin hanyalah anak tirinya, dia telah menganggap anak tersebut sebagai anaknya sendiri disebabkan jarak usia antara Rayyan dan Fatin hanya satu tahun. Datuk Abdul Hamid telah membesarkan Fatin sejak dari Fatin berusia satu tahun. Ketika Datin Faridah kehilangan suami pertamanya, dialah yang mengambil tugas untuk melindungi wanita ini.

“Maafkan Rayyan, papa, mama...” Rayyan memerhatikan wajah risau kedua orang tuanya. Segala kisah mengenai kakaknya diceritakan kepada Datuk Abdul Hamid dan Datin Faridah. Rayyan tidak dapat merahsiakan hal ini daripada kedua orang tuanya demi kebaikan kakaknya sendiri. Rayyan tidak sanggup melihat kakaknya hidup susah di bumi orang.

“Sekarang ini kita perlu cari ayah kepada cucu-cucu kita ni... Dia mesti bertanggungjawab!” kata Datuk Abdul Hamid tegas.

“Fatin ini pun satu, kenapa dia tak beritahu yang dia dah mengandung… Kalau tak, pasti suaminya takkan ceraikan dia,” marah Datin Faridah.

“Macam yang Rayyan beritahulah mama, Kak Fatin tak tahu yang dia dah mengandung semasa minta cerai tu ma... Selepas diceraikan, bekas suaminya telah pulang ke Malaysia dan selepas tu Kak Fatin baru dapat tahu yang dia mengandung. Kak Fatin dah cuba hubungi bekas suaminya, tapi tak dapat…”

“Macam inilah budak sekarang! Kahwin suka hati sahaja. Asal-usul pun tak tahu! Apa yang penting, cinta! Hebat sangat ke cinta tu sampaikan orang tua diketepikan! Sepatah kata pun dia tak beritahu yang dia nak kahwin!” Datuk Abdul Hamid melepaskan rasa amarahnya.

“Papa, kalau papa bising macam ni pun, tak guna... Semua dah jadi... Apa orang kata? Nasi sudah menjadi bubur?”Adam Mukhlis bersuara dari tingkat atas. Suasana bising dibawah mengganggu tumpuannya untuk melukis. Akhirnya tembelang kakaknya sudah pecah. Sudah lama Adam Mukhlis merahsiakan hal ini.

Sebenarnya, Adam Mukhlislah orang pertama yang mengetahui kakaknya sudah berkahwin. Kak Fatin dan Adam Mukhlis tidak pernah ada rahsia antara mereka. Hubungan mereka lebih akrab berbanding dengan Rayyan. Ini kerana Rayyan seorang yang tidak pandai menyimpan rahsia serta lebih tegas dan angkuh perwatakannya. Entah kenapa, Adam Mukhlis tidak begitu serasi dengan Rayyan. Adam Mukhlis seperti dapat rasakan ada aura tegang diantara mereka. Sejak dari kecil mereka tidak serapat hubungan antara dia dan Kak Fatin.

“Dah, budak bawah umur jangan masuk campur hal orang tua...” Syafiq Rayyan bersuara.

“Mentang-mentang aku masih sekolah... Ingat engkau tu dah cukup dewasa sangat ke? Baru 25 tahun, dah berlagak!” Balas Adam Mukhlis.

“Kamu berdua ni... Tak habis-habis... Bergaduh sahaja kerja... Dari kecil sampailah besar panjang macam ini,”kata Datuk Abdul Hamid.

“Entahlah ma... Adam rasa, macam Abang Rayyan ni, macam bukan abang Adam!” lancang mulut Adam bersuara.

“Adam!!!! Jaga mulut kamu tu!” lontaran kata-kata pedas Adam begitu menyakitkan hati Datin Faridah.

“Mama belalah Abang Rayyan! Apa yang Adam buat semuanya salah! Abang Rayyan sahaja yang betul!” panas hati Adam apabila mamanya sentiasa memenangi Abang Rayyan apabila mereka bertengkar.

“Sudahlah tu Faridah… Masalah Fatin pun belum selesai, jangan ditambah pula masalahnya. Kalau Adam merajuk, susah kita dibuatnya...” Datuk Abdul Hamid masih ingat bagaimana Adam Mukhlis melarikan diri dari rumah apabila dimarahi isterinya Faridah. Isterinya terlalu garang kepada Adam Mukhlis tetapi tidak bagi Syafiq Rayyan. Datuk Abdul Hamid sendiri dapat melihat perbezaan kasih sayang yang diberikan. Syafiq Rayyan begitu dimanjakan manakala tidak bagi Adam Mukhlis. Datuk Abdul Hamid sendiri tidak berkenan dengan pembahagian kasih-sayang yang diberikan oleh isterinya walaupun mereka semua ini adalah anak kandung Faridah.

Adam Mukhlis masuk ke dalam bilik. Malas dia mendengar bebelan mamanya. Jika terus mendengar hanya menyakitkan hati dan perasaan ditambah pula dengan muka berlagak Abang Rayyan. Antara papa dan mamanya, Adam lebih akrab dengan papanya. Papanya begitu teliti dalam pembahagian kasih-sayang. Papanya dirasakan lebih adil berbanding mamanya.

Fikiran Adam Mukhlis kini memikirkan hal Kak Fatin yang sangat dirindui.

“Tak apalah Kak Fatin... Mungkin ada hikmahnya rahsia Kak Fatin dah terbongkar... Kak Fatin tak boleh terus bersembunyi... Mungkin inilah masanya Kak Fatin keluar dari tempat sembunyi yang Kak Fatin bina sendiri,” Adam Mukhlis menatap foto Fatin Natasya di hujung mejanya. Semoga segalanya berjalan dengan baik.

Lisa memerhatikan gelagat Irfan dan Adam Mikhail yang sedang leka berbual di sebuah pondok. Entah apa yang dibualkan. Lisa memerhatikan sahaja gelagat mereka sementara menanti ketibaan bot yang sudah ditempah. Sesekali mereka membelek joran memancing yang dibawa mereka manakala Puan Raudah dan Surianti tidak habis-habis lagi menyusun barang-barang agar senang diangkut masuk ke dalam bot. Ayahnya mungkin ke tandas.

Lisa melontarkan jauh pandangannya ke arah Tasik Kenyir. Tasik yang terbentang luas itu sungguh mendamaikan. Kicauan burung-burung dan ungas hutan setia manjadi halwa telinga kepada pengunjung yang bertandang ke situ. Sesekali mata Lisa beralih ke arah kaunter. Kelibat ibu muda yang bekerja di dalam pondok kaunter tersebut begitu menarik perhatian Lisa. Lisa mula menapak ke arah kaunter tersebut. Sengaja mencari teman berbual.

“Dik, agak-agakkan lambat lagi tak bot ni?” Lisa cuba memulakan perbualan.

“Bot nak ke mana tu...”

“Tak ke mana pun... Bot rumah... Berkampung atas tasik ni...”

“Owh... Bot rumah... Insya-Allah sekejap lagi sampailah tu... Akak dah lama tunggu ke?” tanya adik yang menjaga kaunter risau.

“Tak adalah... Baru sampai sahaja ni.” Padahal pada hakikatnya Lisa sudah tahu waktu ketibaan bot berkenaan. Sengaja dia bertanya. Apa yang lebih menarik perhatian Lisa, adalah bayi yang sedang disusui oleh ibu muda tersebut.

“Dik, berapa bulan ni?” Lisa tersenyum mesra.

“4 bulan kak...”

“Owh, 4 bulan... Comelnya!”

“Akak tengok adik ni muda lagi... Kahwin muda ya?” sengaja Lisa meramahkan diri menyelidiki perihal ibu muda tersebut. Mata Lisa dikerling ke arah bakul yang berisi termos air panas dan bekas yang berisi susu tepung.

“Hahaha... Nampak muda?Ya ke? Umur saya 21 tahun... Kiranya kahwin muda jugalah...” Ibu muda tersebut tersenyum mesra. Sesekali dia menarik keluar botol susu yang diminum bayinya. Mulut bayinya dilap dengan kain bersih.

“Adik guna susu apa tu? Tak bagi susu badan ke?” ringan mulut Lisa bertanya.

“Saya bagi susu tepung... Malulah nak bagi susu badan dekat tempat awam macam ni...”

Lisa agak terkejut dengan kata-kata ibu muda tersebut. Nampaknya ibu muda ini masih kurang pengetahuannya mengenai kebaikan susu ibu kepada bayi.

“Baru habis pantang adik terus kerja ke?”

“Aahh... Terus kerja kak... Saya ni bukan orang senang... Suami saya bawa bot dekat tasik ni... Lagipun kerja dekat sini duduk dalam kaunter ni sahaja... Tak banyak bergerak...”

Lisa mengangguk faham. Bagus juga dia bekerja. Lagipun kerjanya taklah begitu berat.

“Maaf ya dik... Akak nak bagi nasihat sikit ni... Adik tak kisahkan?” perlahan Lisa menuturkan bicara.

“Eh, boleh... Tak ada masalah...” Ibu muda tersebut masih tersenyum.

Lisa mula melabuhkan punggungnya di bangku yang disediakan berdekatan dengan ibu tersebut.

“Apa yang adik tahu mengenai susu ibu?” Lisa menatap lembut wajah ibu muda yang berada dihadapannya.

Wanita tersebut hanya mendiamkan diri.

“Ermm... Susu untuk menyusukan bayilah,” katanya perlahan.

“Ok macam ni... Saya Lisa... Saya bekerja sebagai seorang jururawat. Izinkan saya memberi tunjuk ajar tentang kepentingan susu ibu ni...”

“Boleh... Tak ada masalah... Lagipun saya tak ada masa nak ke klinik untuk dengar ceramah tentang penjagaan bayi... Kalau akak nak tolong bagikan nasihat, saya sudi sangat-sangatlah mendengarnya.” Bayi yang dipangku diletakkan ke dalam buaian. Buaian mula diayunkan bagi mengulit anaknya.

“Sebelum tu, boleh akak tahu adik bersalin dimana?”

“Saya bersalin dirumah sahaja kak... Tak sempat ke hospital... Nasib baik mak bidan ada...”

Lisa mengangguk faham. Mungkin sebab inilah ibu muda ini kurang pengetahuan mengenai kepentingan susu ibu. Kalau melahirkan bayi di hospital, sudah pasti pelbagai nasihat kesihatan akan diberikan berkaitan ibu dan anak.

“Sebenarnya kan dik, susu ibu ni digalakkan diberikan kepada bayi selama 6 bulan dan diteruskan sehingga anak berusia 2 tahun. Manakala makanan pelengkap perlu dimulakan semasa anak berumur 6 bulan. Maknanya disini, selama tempoh 6 bulan tu, bayi tak boleh diberikan makanan lain selain susu ibu. Air masak pun tak boleh diberikan kepada bayi. Ini disebabkan pada masa ini, perut bayi masih belum matang dan perutnya lebih sesuai menerima susu daripada ibunya sendiri disebabkan susu ibu mengandungi zat-zat yang diperlukan oleh badan mereka. Selepas 6 bulan, barulah bayi boleh diperkenalkan dengan makanan lain secara beransur-ansur.

“Ya ke? Air masak pun tak boleh?” tanya ibu muda kepelikan.

“Ya, tak boleh selagi bayi berusia 6 bulan ke bawah... Ini kerana air masak ini berisiko merencatkan tumbesaran bayi. Perut bayi sangat kecil. Apabila perut bayi telah dipenuhi air, bayi akan merasa kenyang dan kurang berminat untuk menyusu susu ibu.”

“Oh, macam tu... Saya selalu berikan air masak pada anak saya...”

“Tak boleh buat macam tu dik... Bahaya tau...”

“Banyak faedahnya susu ibu ni dik... Antaranya, ia membantu mengecutkan rahim ibu, mengurangkan risiko barah payudara dan ovari, penghadaman yang mudah untuk bayi, mengandungi antibodi (bahan pencegah penyakit) khas untuk bayi, dan ia mengurangkan risiko alahan kepada bayi. Selain itu, susu ibu ni dapat menjimatkan wang. Yalah kan, kita dah tak perlu nak beli susu formula dan sudah pasti kita tak perlu mengeluarkan wang. Lagipun susu ibu ni, kiranya macam susu segeralah... Tak perlu nak bancuh-bancuh... Semuanya dah siap...”

“Ermm... Memanglah banyak kebaikannya... Tapi saya malulah nak meyusukan bayi dekat tempat macam ni...”

“Ok, akak bagi adik panduan. Tak semestinya adik perlu menyusukan bayi tu terus dari badan adik... Adik boleh botolkan susu badan tu...”

“Maksud akak, saya perlu perahkan susu tu?”

Lisa mengangguk.

“Tapi, tahan lama ke susu yang diperah tu?”

“Boleh tahan sampai 6 bulan tau... Tapi kalau nak sampai 6 bulan tu, peti sejuk mestilah -20 ͦ C... Kita kena bekukan.”

“Lama juga kan,” kata ibu muda ini sedikit teruja.

“Untuk kegunaan harian biasanya susu ni kalau diperah ia akan bertahan lebih kurang dalam 4 jam pada suhu sekitar 25 ͦ C- 37 ͦ C... Kalau bilik berhawa dingin antara 15 ͦ C – 25 ͦ C susu dapat bertahan selama 8 jam. Senang cerita, susu badan ini akan bertahan mengikut suhu persekitaran. Kalau suhu kurang dari 15 ͦ C, susu boleh bertahan selama 24 jam.”

“Tapi untuk adik ni, adik cuba cara ni... Masa awak dekat rumah, awak perahkan susu ni... Kalau nak senang boleh guna pam susu yang ada dijual difarmasi.”

“Mahal tak pam tu kak?”

“Saya pun tak pasti sebab ia bergantung pada jenama... Tapi kalau difikirkan balik, awak melabur untuk sekali ini sahaja... Lepas ni, awak dah tak perlu beli susu formula lagi... Susu formula sekarang bukannya murah... Mahal-mahal dik... Lagipun susu ibu ni lagi banyaknya khasiatnya untuk bayi.”

“Betul juga kata akak... Saya ni bukannya orang senang... Selepas perah tu nak buat macam mana lagi?”

“Pastikan bekas yang digunakan bersih tau... Semuanya mesti dilakukan dalam keadaan yang bersih. Yang kotor haruslah dibersihkan terlebih dahulu. Sesudah susu diperah, adik mesti letakkan susu tersebut di dalam bekas yang bertutup. Selepas diletakkan didalam bekas, susu tersebut mestilah ditulis tarikh dan masa perahan dibuat di setiap bekas simpanan susu. Kemudian boleh diletakkan di dalam tempat dingin beku di dalam peti ais. Tapi janganlah pula adik letakkan susu tu bersama-sama dengan ayam dan ikan... Susun susu-susu tu dalam satu bekas dan cuba jangan campurkan kedudukannya dengan bahan mentah di dalam peti sejuk. Nanti tak pasal-pasal lain pula perisanya nanti...” Lisa tersengih.

“Hahaha... Dapat perisa ikan lagi tu.” Ibu muda tertawa kecil.

“Dekat rumah adik, peti sejuk berapa pintu?”

“Satu pintu sahaja kak...”

“Kalau peti sejuk satu pintu, susu akan bertahan selama lebih kurang dalam 2 minggu… Kalau peti sejuk dua pintu, susu boleh bertahan selama 3 bulan...”

“Kenapa ada perbezaan macam tu kak?”

“Mungkin disebabkan suhu di dalam peti sejuk tu. Kalau dua pintu, tempat dingin beku dan tempat dingin berasingan. Kita hanya membuka salah satu sahaja pintu tu untuk mengambil barang dalam satu-satu masa. Jadi, suhu didalam tempat dingin beku tu dapat dikekalkan. Kalau peti sejuk satu pintu, tempat dingin beku dan tempat dingin adalah sekali. Jadi tekanan suhu akan terganggu apabila kita membuka pintu untuk mengambil barang. Itu pandangan saya. Mungkin ada lagi sebab-sebab lain.”

“Kalau nak guna susu tu macam mana?”

“Kalau nak guna, keluarkan susu tu dari peti sejuk. Macam adik ni, sediakan satu bekas tahan sejuk. Semasa adik nak datang kerja, letakkan susu yang diambil dari peti sejuk dan masukkan ke dalam bekas tahan sejuk. Bolehlah adik bawa datang kesini. Masa nak gunakan tu, rendamkan sahaja susu yang dibekukan ni dalam air suam. Nanti ia akan cair dan susu ni boleh terus diberikan kepada bayi. Ingat, susu ibu ni tidak boleh dimasak... Nanti segala khasiatnya akan musnah. Setakat ni, awak faham tak...”

“Faham kak...”

“Ermm... Lagi satu, susu yang tidak habis digunakan tidak boleh disimpan balik tau... Struktur susu tu sudah tidak sesegar semasa ia baru dicairkan.”

“Maknanya kalau tak habis, saya buangkan macam tu sahajalah?”

“Nampak gayanya macam itulah… Membazirkan? Untuk mengelakkan pembaziran ni, adik perhatikan berapa banyak anak adik ni boleh minum susu dalam satu-satu masa. Ambil sukatan yang mampu dia diminum... Alaa, kan dekat botol susu tu ada dia tulis berapa ml… Haa, dekat situlah awak boleh tahu berapa banyak susu yang boleh diminum oleh bayi... Semasa buat simpanan susu tu, sukatlah berapa ml yang biasa anak adik minum, selepas itu barulah boleh dibekukan. Jadi apabila ia dicairkan, ia mampu dihabiskan oleh bayi...”

Ibu muda tersebut mengangguk tanda faham sambil tangannya menulis tip yang diberikan di sebuah buku nota kecil.

“Anak adik ni, lahir cukup bulan tak?” tanya Lisa untuk kepastian.

“Alhamdulillah... Cukup bulan...”

Lisa mengangguk perlahan. Senyuman diukir diwajahnya sementara menunggu ibu ini siap menulis. Jam tangannya dilihat. Jam sudah menunjukkan 3.00 petang. Lisa menjengukkan kepalanya ke arah jeti. Dari jauh, dapat dilihat bot yang ditempah sudah tiba. Cepat-cepat Lisa berdiri mencari kelibat Puan Raudah dan juga yang lain.

“Mana mereka ni?” Lisa cemas.

Kemudian, Lisa terpandangkan sekumpulan manusia sedang menuruni bukit yang bertangga. Banyak barang yang dibawa.

“Itu pun mereka... Ingat dah tinggalkan aku...” Lisa melepaskan nafas lega.

“Adik, nampaknya akak dah kena pergi ni... Bot dah sampai... Ada apa-apa soalan lagi tak?”

“Bot dah sampai? Oklah... Ermmm...Tak ada soalan rasanya... Alhamdullilah, saya faham setakat ini... Terima kasih banyak-banyak tau kak...”

“Sama-sama...” Lisa tersenyum manis.

Sebelum beredar Lisa sempat menghulurkan sedikit wang sebagai hadiah kepada bayi yang dilahirkan. Sebelum beredar, satu ciuman hinggap di atas dahi bayi kecil yang sedang lena di dalam buaian. Ibu muda itu begitu berterima kasih dengan tunjuk ajar yang diberikan. Hati Lisa senang dapat membantu. Itu pun sebahagian daripada tugasnya. Tanpa melengahkan masa, Lisa memohon diri untuk beredar. Lambaian tangan memisahkan mereka.

Lisa memperbetulkan beg galasnya ketika menuruni anak tangga yang agak curam. Gugusan pulau ditengah tasik seperti memangil-manggil Lisa agar terus mempercepatkan langkahnya. Dari ketingggian bukit ini, pemandangan didepan mata begitu sayup mata memandang. Tasik buatan yang terbesar di Asia Tenggara ini sungguh mendamaikan. Alam semulajadi ini patut dikunjungi pada mana-mana insan yang sukakan kehijauan.

“Pergi ke mana tadi? Merata kami cari tadi,” tanya Puan Raudah risau.

“Maaflah mak... Lisa ada dalam pondok kaunter tadi… Lisa berikan panduan pada ibu tu bagaimana cara nak menyimpan susu badan dalam peti sejuk...”

“Owhh, patutlah… Ingatkan ke tandas... Tapi kami tengok tak ada pula...”

Lisa hanya tersengih.

“Barang-barang semua dah angkut dah?” tanya Lisa untuk kepastian.

“Dah… Semua dah angkut dah... Semua orang penat bawa turun barang... Kak Lisa sedap sahaja melenggang kangkung,” kata Adam Mikhail tidak berpuas hati dengan kakaknya.

“Tak apa Adam… Jangan risau... Nanti bila balik nanti, kita suruh dia angkat semua barang-barang ni.” Irfan cuba menyakat Lisa.

“Ini? Nak suruh Lisa angkat semua? Memang taklah kan…” Lisa menaikkan matanya ke atas. Gaya ala-ala gedik.

“Eh, buat apa lagi dekat jeti tu… Jomlah naik bot ni,” panggil Encik Hamid dari dalam bot. Panggilan dari Encik Hamid itu melonjakkan kegembiraan hati masing-masing. Tidak sabar hati mereka untuk menjelajah Tasik Kenyir. Apa yang menarik, mereka akan berkampung di atas air iaitu mereka akan bermalam di dalam bot. Bunyinya agak seram, tetapi pengalaman ini pasti menyeronokkan.

Barang-barang diangkut ke dalam bot dengan berhati-hati agar tidak jatuh ke dalam tasik. Pasti tasik ini sangat dalam! Ikan-ikan didalam tasik ini juga dikatakan besar-besar. Lisa melangkah memasuki bot yang menyerupai rumah dengan berhati-hati agar tidak tergelincir. Boleh dikatakan struktur binaan bot ini memang menyerupai rumah. Cuma rumah ini mempunyai enjin untuk mengemudinya di atas air. Ini agak unik. Didalamnya turut disediakan tilam dan bantal serta kelengkapan lain. Macam rumah sendiri.

Bot perlahan-lahan bergerak meninggalkan jeti. Sedikit taklimat diberikan oleh penjaga bot sebagai panduan mereka semua.

“Cantik tempat ni Lisa... Aku suka!” kata Irfan perlahan sambil matanya melihat tasik yang dipenuhi dengan pulau-pulau kecil.

“Dekat sini banyak pulau! Kalau saya dapat bina rumah dekat pulau ni kan seronok... Ada bot sendiri…” Lisa mula berangan-angan. Melihat kehijauan tasik yang tenang ini membuatkan hati Lisa terpaut.

“Memang banyak pulau! Tadi aku baca dekat jeti, tasik ni adalah tasik buatan yang terbesar di Asia Tenggara dan mempunyai 340 buah pulau! 340 buah pulau tu Lisa… Kalau ada duit, bolehlah beli satu pulau tu…”

“340 buah pulau?” Lisa teruja. Matanya masih tidak puas menatap gugusan pulau dihadapannya. Lisa mula berangan-angan untuk memiliki sebuah pulau di sini.

Previous: BAB 33
Next: BAB 35

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.