Home Novel Komedi/Romantik Komedi Antara Mawar Dan Kaktus
BAB 38
BAB 38

Lisa mengira detik enam petang di taman mini miliknya. Lagi 10 minit jarum jam tangannya akan akan bergerak ke arah angka itu. Pasti Irfan akan sampai tidak lama lagi. Jejaka ini amat menepati masa. Sementara menunggu kelibat Irfan, Lisa meneliti sepohon pokok yang dihadiahkan Dr.Haikal kepada Lisa.

“Lambatnya pertumbuhan pokok ni... Pokok apa ni ya? Pokok Mawar ke ni?” Lisa cuba mencari jawapan untuk soalan yang telah lama bersarang di dalam fikirannya.

Lisa meneliti satu persatu daun pokok yang telah dimakan ulat. Hanya urat daun sahaja yang tinggal. Tunas yang baru tumbuh juga kelihatan telah diserang oleh serangga tersebut . Disebabkan daun-daun yang ada diserang ulat, Lisa tidak dapat mencari jawapan untuk persoalan yang ada dalam fikirannya. Kesibukan Lisa sejak kebelakangan ini, membataskan tumpuannya terhadap pokok yang ditanam.

Lisa bangun dari duduk. Kainnya dikibas membuang rumput kering yang melekat dibawah kainnya. Dari kedudukan itu, Lisa dapat melihat kedatangan kereta
Irfan dijalan yang lurus. Lisa mengerling jam ditangannya. Tepat enam petang! Tanpa berlengah Lisa segera mengunci pintu rumah memandangkan Huda masih tidak pulang dari tempat kerja. Huda ada memberitahunya semalam bahawa dia akan pulang lewat pada hari ini.

“Hai!” kata Irfan selepas menutup pintu keretanya.

“Hai...”

“Dah lama tunggu?”

“Kan baru pukul enam ni... Janji pukul enam kan... So, saya tak menunggulah,” kata Lisa sambil menutup pintu pagar rumahnya.

“Lisa, sekejap... Jangan kunci lagi pintu tu,” kata Irfan sambil kakinya terus melangkah ke pintu sebelah kereta. Lisa tidak jadi meneruskan niatnya.

Pintu kereta dibuka lalu bakul yang dipenuhi dengan pokok-pokok kaktus kecil dikeluarkan. Irfan memperbetulkan riben ditepi yang sedikit senget. Gubahan pokok kaktus ini ditempah khas oleh Irfan daripada nurseri kawan baik Puan Elinna khas untuk Lisa.

“Nah, untuk kau...” Irfan menghulurkan bakul yang bersaiz sederhana itu kepada Lisa.

“Wahh…Untuk saya?” Lisa sukakan pemberian tersebut.

“Banyaknya koleksi kaktus… Eee... Comelnyaa!” Lisa geram melihat kecomelan kaktus-kaktus kecil yang digubah indah didalam bakul rotan.

Lisa melihat sekeping nota kecil terselit didalam bakul tersebut.

Kau Ibarat Kaktus

“Apa? Saya ibarat kaktus?” Lisa tidak senang dengan istilah tersebut.

Irfan menunjukkan jari agar Lisa memusingkan kertas tersebut. Lisa melakukan apa yang disuruh.

Kaktus walaupun berduri,

Ia juga akan mengeluarkan bunga,

Kau walaupun sukar untuk ku hampiri,

Tetapi dalam hatiku putik cinta mula berbunga. - Irfan

Lisa memandang Irfan. Lelaki itu berwajah serius. Tiba-tiba ada bahang panas yang menyerbu ke arah mukannya. Lisa malu. Dia tidak tahu apa yang harus diperkatakan. Mungkin sekarang dia berada di awan-awangan. Apakah maksud Irfan? Adakah Irfan jatuh cinta pada dirinya?

“Kau ok tak ni?” Irfan tersengih dihadapan muka Lisa.

“Err... Saya happysangat dapat hadiah ni... Dah lama tau saya nakkak koleksi kaktus ni,” jawab Lisa cuba membendung perasaan diawan-awangan sebentar tadi.

“Kau faham tak apa yang aku tulis tu?” Irfan tidak puas hati apabila jawapan lain yang keluar dari mulut Lisa.

“Faham...”

“Apa yang kau faham?”

“Ialahkan... Saya inikan garang... Tak cantik… Suka sakitkan awak... Suka pukul awak… Sebab tu awak ibaratkan saya macam kaktus!” jawab Lisa acuh tak acuh. Sebenarnya hatinya geram bila diibaratkan seperti kaktus. Tak boleh ke ibaratkan dirinya seperti mawar. Mawarkan berduri juga!

“Ayat yang last tu?” tanya Irfan tersengih-sengih.

“Ayat last?” Lisa kembali melihat nota tersebut.

Kaktus walaupun berduri,

Ia juga akan mengeluarkan bunga,

Kau walaupun sukar untuk ku hampiri,

Tetapi dalam hatiku putik cinta mula berbunga.

“Hati awak dah kena serang kut!”

“Apa yang serang?!”

“Duri kaktus! Dahlah saya masuk kedalam letakkan kaktus comel ni! Terima kasih!! Saya suka sangat dengan hadiah ni!”

“Ok… Sama-sama...” Irfan senang hati.

Perjalanan kereta tidak selancar yang diharapkan mereka berdua. Lebuh raya menuju ke Serdang kini sesak dengan susunan kenderaan yang memanjang. Biasalah waktu kemucak begini jalan raya akan sesak.

Irfan menoleh ke arah Lisa.

“Kau nak tahu tak apa maksud ayat yang aku tulis tu?” tanya Irfan lembut.

Lisa teragak-agak untuk menjawab ya. Jika dia mengatakan ya, Lisa bimbang dia akan terjerat dengan situasi ini. Lisa hanya mendiamkan diri.

“Kau dengar tak apa yang aku tanya ni?”

“Dengar…”

“Habis tu kenapa tak jawab?”

Lisa masih mendiamkan diri. Situasi itu tidak menyenangkan dirinya. Lisa takut dia akan terjerat dengan perasaan Irfan.

“Eh, Lisa kau jangan nak perasan boleh tak? Manalah tahu lain maksud Irfan! Kau yang lebih-lebih ni,” detik hati Lisa.

“Aaah... Mungkin aku yang perasan kut!” Lisa berbisik di dalam hati.

“Apa maksud kata-kata yang awak tulis tu... Saya tak berapa nak faham,” kata Lisa perlahan sambil matanya terus dihalakan ke arah jalan raya yang sesak. Telinganya seperti menidakkan untuk mendengar kata-kata Irfan. Lisa takut jika Irfan mengatakan dia telah jatuh cinta pada dirinya! Jika cinta Irfan muncul, Lisa bimbang cintanya terhadap Dr.Haikal yang tidak berapa kukuh itu akan pudar disebalik tembok cinta Irfan.

“Betul nak tahu ni?”

“Eh, awak ni! Tadi tanya sangat tu kenapa!” Lisa bengang.

“Woww! Bertenang okey... Bertenang… Memang betullah kau ni kaktus! Tak boleh usik sikit! Nasib baiklah kaktus pun berbunga… Boleh juga merawat hati yang terkena duri-duri tajammmm...” Irfan menjegilkan matanya pada Lisa.

“Eh, dia ni… Apa kaitan dengan aku!” jerit hati Lisa.

“Awak nak beritahu tak ni...” Lisa kembali mengendurkan suaranya.

“Dah tak ada mood nak beritahu!”

“Tak nak beritahu sudahh… Kuatkan sikit radio tu... Dengar radio lagi baiklah daripada mendengar kiasan awak yang entah apa-apa tu...” Lisa lega apabila Irfan tidak jadi menjelaskan apakah maksud kiasan yang ditulis.

“Hai, nasib engkaulah Irfan jatuh cinta dengan dia ni...” Hati Irfan berkata-kata.

Irfan mengerling Lisa disebelah.

“Eh,dia ni... Buat muka selamba pula... Aku sekeh kan!” getus hati Irfan geram.

Tiket pertunjukan air panjut muzikal telah pun dibeli. Pertunjukan itu akan bermula pada jam 8.00 malam. Buat masa sekarang, mereka berdua menunaikan solat Maghrib di surau yang disediakan oleh Pusat Membeli-belah The Mines sementara menunggu jam 8.00 malam. Seusai menunaikan solat Maghrib mereka berdua terus menuju ke Mines Wonderland iaitu tempat dimana pertunjukkan air pancut berirama dipersembahkan.

Setelah beratur panjang, mereka berdua berjaya memasuki tempat pertunjukkan. Para pengunjung yang lain kelihatan mencari tempat yang sesuai untuk melihat pertunjukkan air panjut muzikal ini. Irfan dan Lisa mengambil tempat ditengah-tengah orang ramai memandangkan mereka berdua merasakan tempat itu adalah tempat yang strategik untuk melihat pertunjukkan ini.

“Saya tak pernah tengok benda ni depan mata tau... Mesti seronok kan?” tanya Lisa sambil menunggu beberapa minit lagi pertunjukkan akan bermula.

“Sangat-sangat seronok! Ini pun baru kali kedua aku datang ke sini. Kali pertama, aku datang dengan Iffa. Itu pun dia yang paksa aku temankan dia... Kalau tak, aku tak tahu ada tempat menarik macam ni...”

“Nasib baik adik awak ajak... Kalau tak, tak sampailah saya dekat sini...” Lisa ketawa kecil.

“Eh, dah nak mula ni… Tengok tu lampu dalam air tu dah nyala,” kata Irfan. Lampu disekitar juga dimalapkan.

Seiringan selepas itu, air di dalam kolam tegak berdiri setinggi 5 meter sebaik sahaja muzik pembukaan dikumandangkan. Bunyi tepukan tangan pengunjung mula gamat memenuhi ruang yang malap. Muzik yang tadinya perlahan dikumandangkan kini diperkuatkan memenuhi ruang pertunjukkan. Perlahan-lahan air pancut yang tadinya diterangi cahaya kilaun emas itu bergerak mengikut lentok lagu yang lembut berkumandang. Cahaya yang menerangi pancutan air juga bertukar warna berselang-seli mengikut rentak tarian air dan muzik yang berkumandang. Kombinasi warna dan tarian air pancut yang lemah-gemalai itu sungguh memukau dan sangat berseni. Rentak muzik yang berbeza-beza menampilkan rentak tarian air pancut yang berbeza. Rentak muzik yang lembut akan menampilkan tarian air yang lembut dan mengasyikkan manakala rentak lagu yang rancak akan menampilkan rentak tarian air yang rancak dan bertenaga. Penonton yang menonton bagaikan terpukau dengan keindahan seni yang dipersembahkan di depan mata.

“Wah, cantik sangat! Kalau saya tengok sepuluh kali pun mesti tak puas... Kita tengok sekali lagi boleh?” tanya Lisa sebaik sahaja pertunjukkan selama 10 minit itu tamat.

“Boleh tu boleh... Tapi next time ok?”

“Laa... Kenapa?”

“Kita kan nak sambut kejayaan kau jadi model kan? Jadi, kita kena pergilah dari sini...”

“Betul ke? Ingatkan awak bergurau sahaja hari tu... Susah-susah sahaja...”

“Apa sahaja untuk kau!”

“Kalau macam itu jomlah kita pergi...” Lisa bangun dari tempat duduk.

“Jom...”

“Baik pula dia ni pada aku... Hati-hati Lisa… Lelaki bukannya semua boleh percaya...” Lisa memasang syak wasangka terhadap Irfan. Tiba-tiba sahaja Irfan berkelakuan baik terhadap dirinya semenjak pulang dari Terengganu. Lisa sendiri pun hairan. Tetapi kebaikan Irfan itu seakan-akan memukau hatinya untuk lebih mengenali perwatakan jejaka ini.

Mereka berdua berjalan masuk kembali ke dalam tempah membeli-belah The Mines. Sebelum sampai ke dalam Pusat Membeli-belah The Mines mereka perlu menyusuri taman yang sungguh indah. Suasana malam Mines Wonderland sungguh indah dengan limpahan cahaya lampu yang menarik. Laluan berjalan kaki dilatari dengan cahaya-cahaya yang terang dan berwarna-warni. Dari jauh dapat dilihat air pancut utamanya yang juga kelihatan begitu klasik dengan dikelilingi kuda batu yang memancutkan air.

“Wah,cantiknya bot tu! Siap ada party lagi tu,” kata Lisa sambil menunjukkan bot yang menyusuri sungai kecil dibawah jambatan laluan mereka.

“Dah, kita jalan cepat sikit...” Irfan tersenyum melihat mulut Lisa yang sudah sedikit ternganga. Terpegun agaknya.

“Cantiknya tempat ni awak!” Dekat dalam sana tu ada lagi tempatnya...”

“Kalau nak masuk yang tu, kena beli tiket lain... Kalau sempat nanti kita masuk ke dalam...”

“Ya ke ni?”

“Kalau sempat!” Irfan berkata sedikit tegas. Dia takut Lisa memasang angan-angan untuk berkunjung ke dalam.

Kini, mereka telah pun sampai ke dalam Pusat Membeli-belah The Mines. Irfan menarik lengan baju Lisa agar berjalan sedikit pantas.

“Kita nak ke mana ni jalan laju-laju,” tanya Lisa sambil menarik tangannya daripada terus ditarik Irfan.

Sesampai sahaja di sebuah kaunter kecil, Irfan berhenti di situ.

“Kau duduk dulu, aku beratur sekejap,” kata Irfan sambil menunjukkan bangku di dek kayu.

Lisa hanya menurut apa yang disuruh Irfan. Lisa mengambil tempat di dek kayu. Suasana disekeliling dilihat Lisa dengan penuh minat. Tempat membeli-belah itu boleh dikatan unik disebabkan didalamnya terdapat sebuah laluan air yang menempatkan bot-bot yang membawa pengunjung bersiar-siar. Laluan air ini kelihatan sedikit sibuk dengan perjalanan bot yang keluar dan masuk mengambil penumpang.

Ketika terleka dengan suasana sekeliling, tiba-tiba sahaja Irfan duduk bersebelahan dengan Lisa sambil memegang tiket. Lisa memerhatikan wajah bersih Irfan yang hanya tersenyum tanpa berkata apa-apa. Irfan sendiri pun tidak sabar untuk melihat apa yang telah ditempah dua hari lalu. Tiket yang ditulis Sunset Dining Cruiseditatap sekali lagi.

“Tiket apa tu?”tanya Lisa.

“Tiket wayang,” jawab Irfan.

“Wayang? Sejak bila pula tiket wayang ada dijual dekat bawah ni... Bukan dekat atas ke?” Lisa sedikit hairan. Walaupun ini adalah pertama kalinya dia menjejakkan kakinya kesini, tetapi dia tahu panggung wayang berada di tingkat atas iaitu berhampiran dengan laluan tempat solatnya sebentar tadi.

“Ada, dia jual dekat sini... Persediaan untuk pelanggan yang malas nak naik atas...”

“Ada ke macam tu?” Lisa cuba mengintai apa yang ditulis di cermin kaca kaunter.

“Jom!” Irfan berdiri cuba menghalang apa yang mahu dilihat Lisa.

“Nak pergi mana?”

“Kau tak lapar ke?”

“Eh, mestilah… Belum makan ni!” Lisa tersengih-sengih.

“Jom ikut aku...” Irfan mula melangkah.

“Eh, awak! Kedai makan dekat sanalah... KFC dengan Mc Donald pun dekat atas tu... Nak buat apa tepi air tu?” Lisa hairan ada ke patut nak makan pergi tepi dek tu. Tadi katanya nak tengok wayang.

“Ikut sahajalah...”

Lisa menghampiri Irfan yang berada di tepi dek.

Setibanya Lisa di sisi Irfan, dari situ Lisa dapat melihat sebuah bot yang dihias indah menghampiri mereka berdua.

“Awak, cantiknya bot tu,” puji Lisa. Dari sini Lisa dapat melihat hiasan dalam bot yang dilengkapi langsir bewarna krim bersalut benang keemasan dan juga sebuah meja makan. Seorang pelayan juga berada di dalam bot tersebut.

“Kalau cantik, jom kita naik...” Irfan mengenyitkan mata.

“Nah...” Irfan menunjukkan tiket yang tertulis Sunset Dining Cruisekepada Lisa.

Kemudian Irfan menunjukkan tulisan yang tertera pada bot tersebut. Lisa memerhatikan apa yang ditunjukkan Irfan. Lisa menekup mulutnya.

“Biar betul awak ni?” kata Lisa.

“Betullah…” Irfan tersenyum lebar. Irfan tahu, Lisa menyukainya.

Sebaik sahaja bot Sunset Dining Cruiseberlabuh di tepi dek, pelayan di dalam segera membuka pintu bot. Senyuman mesra dilemparkan kepada Irfan dan Lisa. Sebaik sahaja tiket diserahkan, Irfan dan Lisa melangkah masuk ke dalam bot dengan berhati-hati agar tidak terjatuh ke dalam air yang dipenuhi dengan ikan yang besar-besar. Enjin bot juga dimatikan ketika menyusuri laluan ini agar tidak mencederakan ikan-ikan yang dibela khas oleh pusat membeli-belah.

Suasana di dalam bot boleh dikatakan sangat romantik dengan alunan muzik jazz yang dikumandangkan perlahan. Lampu yang menerangi keseluruhan bot berwarna keemasan menampilkan susana yang cukup mewah. Satu set meja makan juga disediakan ditengah-tengah bot beserta dengan alas meja yang cantik dan kemas. Pelayan lelaki yang segak dengan uniformnya berkelakuan profesional sambil menunjukkan meja yang disediakan. Irfan menarik kerusi untuk Lisa duduk. Sebaik sahaja mereka mengambil tempat, bot perlahan-lahan meninggalkan dek. Lisa menunjukkan muka yang sangat teruja. Dari laluan air ini mereka berdua dapat melihat pengunjung sedang menjamu selera di kiri dan kanan pusat membeli-belah. Ada juga beberapa mata yang memandang mereka berdua berada di dalam bot yang sebegini cantik. Lisa mengalihkan pandangan matanya daripada terus melihat diluar bot. Lisa terasa sedikit segan apabila ramai yang mula memerhatikan mereka sebaik sahaja bot mereka melalui bawah terowong dimana terdapat ramai pasangan kekasih yang melepak di situ. Lisa memandang Irfan yang sejak dari tadi memerhatikan wajah Lisa yang teruja.

“Kenapa awak pandang saya?”

“Kenapa? Tak boleh?” Irfan memandang keluar bot sambil tersenyum. Sunset Dining Cruiseyang mereka naiki mula menderukan enjin sebaik sahaja melepasi kawasan laluan air yang dipenuhi dengan ikan-ikan. Bot terus bergerak membelah tasik yang luas. Tiupan angin mula menjengah masuk ke dalam ruang makan. Terasa nyaman sekali. Walaupun berada ditengah-tengah tasik pada waktu malam begini ia sedikit pun tidak membosankan. Aneka replika haiwan terutamanya swan putih yang berada di pinggir tasik dihias indah dengan lampu sepertinya replika itu adalah berpuluh-puluh patung kristal yang bergemerlapan.

Lisa dan Irfan berdiri di tepi bot sambil menghadap tasik. Mereka berbual-bual dengan pelbagai cerita yang dikongsi bersama-sama. Pelayan dan pemandu bot begitu memberikan privasi kepada mereka berdua. Sementara Irfan dan Lisa berada di tepi bot, pelayan mengambil ruang untuk menghidangkan makanan untuk mereka berdua setelah bot berhenti ditengah-tengah tasik.

Irfan berjalan menuju kearah pelayan yang berada didepan bot. Irfan mahu meminta sesuatu daripada pelayan itu.

“Maafkan saya, boleh saya minta kertas lukisan yang saya telah tempahkan tu?” tanya Irfan perlahan tanpa didengari Lisa yang masih berada di tepi bot melihat panorama indah di depan mata.

“Ya encik... Ini dia kertas lukisan dan juga alatan melukis.” pelayan yang bertugas menghulurkan barang permintaan Irfan.

Water colourni saya tak nak guna... Saya hanya nak gunakan pensil, pemadam dan kertas ni sahaja...” Irfan memilih salah satu pensil yang disediakan.

“Baiklah encik... Silakan...”

Irfan membawa kertas lukisan yang diminta tadi bersama dan duduk di sebuah meja kecil yang disediakan di hujung bot.

“Kertas apa tu?” tanya Lisa.

“Ini haa... Teringat pula anak pak cik aku ada minta aku lukiskan lukisan untuk dia... Aku ni bukan pandai melukis pun... Bila tengok angsa-angsa kristal ni, tiba-tiba datang ilham… Hahaha...” Irfan mereka cerita. Padahal dia ada agenda tersendiri.

“Berapa tahun umur anak pak cik awak tu?”

“Err... 6 tahun! Budak-budak ni kalau kita dah janji dengan dia, kalau tak tunaikan lagi selagi itulah dia menuntut apa yang kita dah janjikan tu...”

“Betul tu… Apa yang awak nak lukis?” Lisa duduk bersebelahan bangku Irfan sambil menatap kertas lukisan yang masih kosong.

“Rasanya aku nak lukis angsa kristal tu dengan ikan besar tu...” Irfan menunjukkan jari telunjuknya keluar.

“Ok juga tu...”

Irfan mula melakar objek yang berada di depan matanya. Setiap lakaran dilakukan dengan penuh teliti. Irfan bukanlah pakar dalam bab melukis begini, tetapi untuk lukisan asas dia masih mampu lakukan itu dengan baik.

Irfan memerhatikan Lisa yang sedang asyik menangkap gambar dengan kamera DSLR milik Irfan. Perlahan-lahan Irfan cuba membuka mulut untuk meminta sesuatu daripada Lisa.

“Err... Lisa, boleh aku pinjam cincin kau tu?

“Awak nak buat apa dengan cincin ni?”

“Aku nak terapkan bulatan ni...”

“Kenapa tak gunakan duit syiling sahaja?” Lisa mendekati Irfan yang masih duduk menghadap kertas lukisan yang sudah bercorak.

“Aku tak ada duit syilinglah...”

“Saya ada... Sekejap eh...” Lisa mula melangkah ke meja makan untuk mengambil tas tanggannya yang diletakkan di kerusi.

“Alamak... Apa aku nak kelentong ni… Aku nakkan cincin kau tu Lisa…Macam mana aku nak ukur saiz cincin kau kalau kau tak beri aku pinjam cincin kau tu,” kata Irfan perlahan.

“Nah, ini duit syilingnya...” Lisa menghulurkan sekeping duit syiling 50 sen.

“Besar sangat ni…”

“10 sen boleh?”

“Kecil sangat…” Irfan pura-pura menganggarkan saiz bulatan yang dimahukan.

“Itu sahaja yang saya ada...”

“Kalau macam itu, aku pinjam cincin kau dululah...” Irfan memandang cincin yang tersarung kemas pada jari Lisa.

“Cincin ni?” Lisa memandang cincin yang ada di jarinya.

“Bolehlah...”

“Ok... Tapi jangan hilangkan tau...” Lisa menanggalkan cincin yang berada di jarinya.

Irfan tersenyum puas. Akhirnya rancangannya menjadi. Irfan menyambut huluran cincin yang di berikan Lisa. Saiz cincin tersebut cuba dipadankan dengan saiz bulatan yang ingin dilakukan.

“Saiz ni sesuai...” Irfan menganggukkan kepalanya perlahan-lahan berulang kali.

“Cantik juga lukisan awak ni,” puji Lisa ikhlas.

“Aku rasa, kita dah boleh makan ni... Nampaknya makanan dah disediakan tu...”

“Eh, tak nak habiskan ke lukisan tu dulu...”

“Nanti aku habiskan dekat rumah. Cincin ni aku pinjam dulu tau!”

“Dekat rumah mesti dah ada duit syilingkan?”

“Tapi, aku dah lukis satu bulatan dengan cincin kau ni... Nanti kalau guna duit syiling tak sama saiz pula nanti...” Irfan mulai risau. Jika Lisa tidak membenarkan dia meminjam cincin ini, maka susahlah Irfan untuk mencari saiz cincin yang sesuai untuk Lisa.

“Ermmm... Macam tu pula… Oklah, saya bagi awak pinjam. Tapi ingat, jangan hilangkan!”

“Ok, aku janji... Dahlah tu... Jom kita makan. Nanti sejuk pula makanannya…” Irfan mula bangun dari tempat duduk sambil menggulung kertas lukisannya. Cincin yang dipinjam daripada Lisa disimpan di dalam sebuah bekas kecil lalu dimasukkan ke dalam poket seluarnya. Bekas tersebut sudah dibawanya awal-awal lagi dari rumah. Akhirnya perancangannya untuk mendapatkan cincin Lisa akhirnya berjaya. Nanti senanglah dia hendak membeli cincin merisik untuk Lisa dan seterusnya cincin bertunang dan juga berkahwin.

Ketika Lisa dan Irfan mula menduduki meja makan, pelayan yang bertugas menghampiri meja lalu meminta keizinan untuk menyalakan lilin pada kek yang di tulis “Tahniah, Lisa...”.

“Terima kasih awak untuk semua ni... Saya happy sangat malam ni...”

“Sama-sama...” Irfan tersenyum sambil tangannya menyuakan makanan ke dalam mulutnya.

Previous: BAB 37
Next: BAB 39

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.