Home Novel Cinta Pertemuan Yang Terindah
Bab 40

HARI berganti hari. Kini hampir sebulan Armell meneruskan hidupnya dengan gelaran tunangan Huzzair Muammar. Dan sepanjang itu juga dia cuba berlagak biasa setiap kali berdepan dengan Hayy Mikael.

Huzzair sekarang lebih kerap berjumpa dengan Hayy Mikael. Kadang kala sampai ke rumah lelaki itu pun pernah. Lelaki itu pun sekarang tinggal bersama dengan Hans Raffael, adik kandungnya. Jadinya Hayy Mikael tidak duduk berseorangan.

Armell tahu, tindakan Huzzair yang sentiasa membawanya berjumpa dengan Hayy Mikael sebenarnya boleh melukakan hati lelaki itu. Namun apa yang dia boleh buat? Hanya mampu melihat Hayy Mikael terus terluka begitu. Sudah tiada jalan lain kerana hubungan dia bersama Huzzair sudah terlalu jauh. Terlalu jauh untuk dia berpatah balik.

Armell dapat melihat keikhlasan Hayy Mikael dimana lelaki itu tidak pernah langsung membangkitkan soal hubungan mereka selama ini yang pernah terjalin. Tidak pernah sesekali dia melihat Hayy Mikael mengambil kesempatan terhadapnya ketika Huzzair tiada bersama. Lelaki itu benar-benar hormatkan keputusan dia.

Adakah itu bermakna Hayy Mikael dah lupakan dia? Adakah Hayy Mikael tak cintakan dia lagi? Atau mungkin lelaki itu hanya berlagak biasa semata-mata ingin menutup perasaan sebenarnya? Ah! Kusut memikirkan tentang lelaki itu!

Armell duduk di balkoni biliknya. Bintang-bintang yang berkelipan di langit mengingatkan dia pada sesuatu.

Hayy Mikael.
Lelaki itu pernah menyanyikan dia sebuah lagu mengenai bintang. Lelaki itu sukakan bintang. Dan bintang itu adalah dia. Oh, tuhan! Kenapa hati selalu mengingatkan dia? Sepatutnya orang yang perlu diberi tumpuan sekarang adalah Huzzair. Bukannya Hayy Mikael yang sudah tiada kena mengena lagi dalam hidupnya. Ya, Huzzair!

Fikir pasal Huzzair, tiba-tiba ia menggamit kembali memori sewaktu dia pertama kali berjumpa dengan lelaki itu di satu majlis kenduri kahwin yang dilangsungkan 2 tahun yang lepas oleh Dato' Farid. Perkahwinan anak lelakinya iaitu Ayrel. Ayrel, jejaka yang dulunya hampir dijodohkan dengan dia. Dah ada anak dah pun mamat tu. Cepat betul masa berlalu.

"Eh orang tak makan banyak-banyak lah! Kata nak diet?" Marah Armell tatkala melihat Syarah yang dengan senang hatinya mencapai pelbagai jenis makanan yang terhidang di atas meja. Makan tak ingat dunia!

"Bila pula saya kata yang saya nak diet?" Syarah garu kening yang tidak gatal. Anak mata memutar ke atas menggeledah otak.

Armell mengeluh perlahan. Alasan! Alasan bila dah jumpa segala makanan depan mata.

"Awak tengok saya ya," Armell tarik senyum nipis. Tangannya bergerak mencapai sebatang sate ayam. Namun disaat dia menyentuh batang lidi itu, tiba-tiba ada tangan lain yang turut menyentuhnya.

"Hei, hei! Apa ni, jangan sentuh-sentuh lah." Kekura tangan lelaki itu Syarah ketuk dengan hujung sudu.

Laju Armell menarik tangannya menjauhi dari lelaki itu. Pandangan tidak senang dilemparkan ke arah lelaki yang bersut kelabu itu. Tampak sungguh kemas. Armell tahu, pasti lelaki ini bukan orang biasa-biasa kerana semua jemputan di majlis ini adalah kebanyakan dari kalangan vvip.

Sate ayam yang berada di dalam pinggan lain cuba dicapai namun sekali lagi tangannya disentuh lembut lelaki itu. Shit!

"What's wrong with you, sir?" Armell beranikan diri bertentang mata dengan lelaki itu. Darahnya cukup tersirap. Lelaki ini memang sengaja ingin menyentuhnya. Melampau!

"Hai," sapa lelaki itu dengan senyuman manis terukir dibibir.

Armell kerut dahi. Selamba badak je dia Haikan aku? Gatalnya!

Satu jelingan maut diberikan sebelum dia berlalu pergi dari situ.

"Oh hai, saya Syarah!" Balas Syarah mesra sambil tersenyum lebar. Siap sempat perkenalkan nama lagi. Melihat muka lelaki itu, macam dia pernah nampak aje sebelum ini. Dalam majalah ke? Ke dalam kaca tv?

Balasan Syarah itu tidak dihiraukan, sebaliknya mata lelaki itu liar mencari kelibat Armell yang telah pergi. "Itu kawan awak ke?"

Syarah toleh belakang memandang ke arah Armell yang sudah jauh darinya.

"Ah, ya. Kawan. Tapi bukan kawan. Err... Saya personal assistant dia. Ah lebih kurang lah tu." Ujarnya tergagap-gagap sambil tersengih sumbing.

"Dia dah ada boyfriend?"

"Maaf ya, saya kena pergi dulu. Nanti boss saya marahkan saya, susah. Sorry ya?" Perlahan-lahan Syarah meminta diri. Dapat dia lihat jelingan Armell yang nampak lain macam saja tadi. Silap hari bulan, kena pecat kang naya dibuatnya!

"Eh, jap jap jap!" Lelaki itu berlari masuk ke dalam rumah. Syarah hanya mampu berdiri dan melihat. Dahinya berkerut.

Selang beberapa saat, lelaki itu kembali dengan sekuntum bunga ros ditangannya. "Tolong bagi dekat kawan awak tu. Cakap kat dia, saya kirim salam."

Syarah angkat sebelah kening sebelum bunga ros itu beralih ke tangannya. "Em okay. Romantiknyerr.."

"Awak sembang apa dengan dia? Lamanya!" Marah Armell. Naik angin dibuatnya.

Syarah hanya tersengih busuk sejak tadi. "Nah! Mamat tu bagi dekat boss. Siap suruh saya kirim salam lagi! Sweet kan?" Bunga ros berwarna merah itu dihulurkan kepada Armell.

Armell terkejut. Segera matanya meliar mencari kelibat lelaki tadi. Nampaknya lelaki itu masih tercegat tidak berganjak dari tempat tadi. Huluran Syarah di ambil. "Oh, kirim salam ya? So sweet..."

Perlahan-lahan langkah diatur mendekati jejaka itu berserta senyuman yang tersungging dibibir. "Hai!" Sapanya mesra.

"Hai, saya Huzzair." Lelaki itu tersenyum lebar. Tak sangka agaknya gadis itu datang dan menegurnya.

"Kita datang sini nak makan kenduri kan? Bukan nak bercanda!"

Pap !

Setepek bunga ros itu melekat pada dada bidang milik lelaki itu. Huzzair sempat menyambut sebelum bunga ros itu jatuh mencium tanah. Dia terpanar seketika. Terpegun dengan kecomelan wajah gadis itu. Garang-garang pun tetap nampak comel dimatanya.

Armell kuak rambutnya kebelakang. Tak sangka hubungan dia dan Huzzair sudah sejauh ini. Tinggal nak kahwin saja lagi. Sejujurnya dari awal dia mengenali lelaki itu, dia tidak pernah mengetahui bahawa Huzzair adalah abang kepada Hayy Mikael.

Sehinggalah lelaki itu membawanya berjumpa dengan Mak Yam. Rasa kesal dan terkejut, hanya Tuhan saja yang tahu. Bukan dia seorang saja yang terkejut, malah wanita tua itupun terkejut saat melihat dirinya. Namun masing-masing tidak pernah membuka mulut dek semata-semata ingin menjaga hati dan perasaan Huzzair.

Saat di majlis pertunangannya, hanya Hans Raffel sahaja yang ada bersama. Hayy Mikael tidak ada ketika itu malah lelaki itu langsung tidak mengetahui bahawa dengan siapa abangnya bertunang.

Sepanjang itu, Armell menerima Huzzair sepenuh hati. Bayang-bayang Hayy Mikael sudah langsung tidak menerjah di dalam fikirannya. Sehinggalah dia berjumpa semula dengan lelaki itu sehingga membuatkan dia panasaran. Kenapa lelaki itu perlu muncul di saat hatinya baru sahaja ingin mencintai lelaki lain?

Adakah ini suratan ataupun kebetulan? Armell tiada jawapannya.


Previous: Bab 39
Next: Bab 41

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Farisya