Home Novel Cinta Pertemuan Yang Terindah
Bab 31

SUDAH tiga hari berlalu Armell bertunang dengan Hayy Mikael. Majlis pertunangan juga serba ringkas sahaja. Keluarga Hayy Mikael, Mak Yam dan Hans Raffael datang menghantar cincin tanda dan semuanya selesai. Hans pulang ke tanah air pun semata-mata ingin meraikan pertunangan abangnya. Dan sehari selepas itu, dia terus pulang ke Australia.

Hari ini, mereka terpaksa balik ke Austaralia untuk jangka masa kurang daripada seminggu kerana ada perkara mustahak yang Hayy Mikael ingin selesaikan. Dan bila balik sahaja di Malaysia nanti, mereka akan terus bernikah. Itu janji Hayy Mikael pada Tan Sri Hazahar.

"Balik sorang je ke bro? Cik Tunang mana?" soal Arash lalu menghenyakkan punggung disebelah sahabatnya yang sedang menghadap skrin laptop.

"Cik Tunang ada dekat rumah sewa dia dengan kawan dia lah. Takkan aku nak bawak dia ke hulur ke hilir kut. Bukannya isteri aku lagi." jawab Hayy Mikael selamba tanpa memandang wajah Arash. Masanya terlalu berharga untuk dibazirkan semata-mata nak pandang wajah tak berapa kacak Arash itu.

"Macam mana dengan mak ayah dia? Okay?"

Hayy Mikael segera toleh memandang Arash.

"Kalau tak okay, takde lah pulak istilah Cik Tunang tu..."

"Bukanlah, maksud aku... ayah dia tu okay ke dengan kau? Maklumlah, Mell tu kan dari keluarga VVIP... Jad..."

Belum sempat Arash ingin menghabiskan ayat, Hayy Mikael terlebih dahulu mencelah. "What? Kau fikir ayah dia tak terima aku?" Hayy Mikael ketawa suka. "Come on lah Rash... pengaruh drama kau ni." ujarnya seraya menggeleng perlahan.

Arash gosok dagu. "Mana nak tahu kan... hati orang ni, kita tak boleh tahu."

"Takde lah... ayah dia okay je dengan aku. Mak dia pun baik." 

"Hurm... kalau macam tu, bagus lah."

Hayy Mikael hanya sekadar mengangguk. Jari-jemarinya masih laju menari diatas papan kekunci laptop.

"Eh tapikan, kau tak nak bagitahu dulu ke dekat mak ayah dia pasal kau?" 

Soalan Arash itu serta-merta membuatkan tangannya berhenti menaip. Mata yang tadi sedang fokus memandang skrin laptop kini sudah beralih merenung pada permukaan meja kaca. Liur ditelan payah. Dia takut sebenarnya. Takut jika perbuatannya ini akan melukakan hati orang yang paling dia sayang. 

"Sebagai sahabat kau kan, aku nak beri nasihat. Aku rasa ada baiknya kau terus terang je dengan keluarga Armell. Tak dengan keluarga dia pun, dengan dia pun dah cukup dah. Makin lama kau simpan benda ni, aku takut makin berat masalah kau kena tanggung nanti." kedengaran Arash berbicara lagi.

Hayy Mikael menarik nafas yang terasa sesak. Kepala ditoleh memandang Arash. "Okay tell me, macam mana aku nak jelaskan pada dia?"

"Cuba slow talk dengan diaAku rasa dia faham dan kalau dia marah dekat kau sekalipun, she'll be fine juga nanti. Aku tau dia pun cintakan kau."

"Aku tak nak kehilangan dia. Aku tak nak hilang dia, Rash..." ujar Hayy Mikael sambil menggeleng perlahan.

"Then, tell her the truth!"

"No!" lantang suara Hayy Mikael menengking. "Aku tahu kalau aku cerita perkara sebenar, dia akan tinggalkan aku. Armell akan bencikan aku..." dan suaranya kembali perlahan dan mengendur.

Arash menarik nafas panjang. Wajah sahabatnya yang kendur itu direnung lama. "I know, you love her so much. Love her to the moon and back, right? I know everything Hayy! I see your effort, how hard you try to get her. Tapi dengan menipu dia? Aku tak rasa yang kau sayangkan dia." ujar Arash sinis. Sengaja ingin memprovokasi Hayy Mikael.

"Jaga mulut kau, Arash..."

"Sudah lah tu, Hayy... Aku bukan nak gaduh dengan kau pun. Cuma... berterus terang je la. Kalau kau tak beritahu pun, lambat laun bila dia jadi isteri kau nanti, dia akan tau juga." 

Hayy Mikael menyepi seketika. 

"Lebih baik dia tahu dari mulut kau sendiri sebelum dia tahu dari mulut orang lain. Aku takut ada yang terlepas cakap. Sebab bukan aku sorang saja yang tahu pasal benda ni. Hans, Evelyn. So kau kena hati-hati."

Setelah lama mendiamkan diri, akhirnya Hayy Mikael menggeleng laju. Halkumnya jelas kelihatan turun dan naik menandakan liur ditelan. "Aku tak ready," dan dia terus bangun dari duduk dan menghilang ke dalam bilik.

Arash hanya mampu memerhati tubuh Hayy Mikael yang sedang berjalan masuk ke dalam bilik. Satu keluhan dilepaskan.



Bella menghenyakkan punggungnya di atas katil Armell. "Mell, aku nak tanya kau sikit ni."

"Apa?" Armell sudah menutup novel di tangan.

"Papa kau terima ke Hayy tu jadi menantu dia?"

Armell tarik senyum. Dah agak itu soalan yang Bella nak tanya. Sesiapa saja kawan-kawannya pun akan bertanya juga soal itu. Rata-rata teman rapatnya pun sudah tahu siapa Tan Sri Hazahar. Demand bukan main tinggi tu!

"Kena la hadap beberapa rintangan sikit, but so far papa aku terima dia."

Bella hanya sekadar mengangguk. "Iyalahkan, sebab aku tengok Hayy tu okay je. Tak ada kekurangan apa pun. Papa kau tu aje nak sangat cari yang perfect." Bella buat gaya menyampah.

"Kau jaga ya, aku hidup lagi ni."

Meletus terus tawa Bella. Tak sedar pula anak dara 'Tan Sri' tengah duduk dekat depan dia sekarang.

"Dah lah, Bella... sila keluar ya? aku nak membaca ni pun tak senang tau." ujar Armell separuh menghalau.

"Ooo halau?"

"Ha'ah."

"Kau kan, sejak-sejak dah jadi tunang orang ni, makin berlagak dengan aku ya?"

Baru saja Armell ingin membalas, saat itu juga loceng pintu berbunyi. Mereka berpandangan antara satu sama lain. "Siapa tu?" 

Armell jongket bahu. Tidak banyak berbicara, terus kaki dihayun menuju ke arah pintu utama. Daun pintu dibuka dan tersembul wajah Hayy Mikael yang tercegat dihadapannya. 

Lelaki itu hanya mengenakan seluar jeans hitam dan juga baju hoodie berwarna biru. Tampak ringkas. Satu senyuman terukir di wajah Hayy Mikael. "I rindu tunang I." ujar lelaki itu. Suaranya kedengaran garau dan sedikit serak basah. Seksi betul suara.

Boleh pengsan dia tengok lesung pipit di kedua-dua belah pipi Hayy Mikael. How cute, Hayy...

"Mengada tau you ni. Baru sehari tak jumpa apa yang rindunya?" 

"Rindu pun salah ke?"

"Memanglah tak salah. Tapi rindu tu, bunyi dia teruk sangat!"

Hayy Mikael ketawa suka. "Jom keluar, I rasa nak minum caramel latte buatan Mr Hans lah."

"Wow! Sedapnya..." Armell telan liur. Dengar Hayy sebut je, tiba-tiba mengidam nak minum latte.

"Jom lah!"

"Tapi I tak siap lagi ni..." Armell mencebik.

Hayy Mikael gerakkan bola mata memandang Armell dari atas hingga ke bawah. Mata Hayy Mikael terhenti pada baju Armell. Baju tee lengan pendek berwarna putih yang dikenakan gadis itu direnung seketika. "Tak payah siap. Macam ni pun dah cantik."

"Betul? Kalau macam tu jom lah." baru sahaja Armell ingin melangkah keluar, laju lelaki itu menghalang.

"Eh, wait! Sebelum tu, tolong pakai jaket yang you biasa pakai tu. Sebab I tak sanggup you jadi perhatian orang ramai nanti. Baju tee yang you pakai tu, agak menggoda nafsu kaum lelaki macam I ni..." ujar Hayy Mikael mengusik.

Armell sepetkan mata. Geram juga dengan Hayy ni. Rasa nak sailang aje muka kacak dia tu! Satu keluhan kasar dilepaskan dan dia menghilang ke dalam bilik. Hayy Mikael yang memerhati hanya mampu tersenyum herot.


Previous: Bab 30
Next: Bab 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Farisya