Home Novel Cinta Pertemuan Yang Terindah
Bab 50

TANGAN naik meraba kepala sendiri yang sudahpun berbalut. Berkerut dahi menahan rasa.

Sakit !

Ya, itu dirasainya sekarang. Terkelip-kelip matanya memandang segenap sudut ruangan bilik. Satu persoalan pertama yang muncul dikepalanya, dia berada dimana sekarang? Rasa terlalu asing dengan bilik itu. Serba putih. Bau ubat mula menusuk rongga hidung.

Baru dia sedar bahawa dia rupa-rupanya tidak keseorangan. Kepala menoleh memerhati tubuh wanita yang sedang duduk dikerusi. Selepas itu, bergerak pula ke arah tubuh lelaki tua yang sedang berdiri di sebelah wanita itu.

"Mell," sapa Puan Sri Nora. Senyuman nipis terukir dibibirnya.

"Where am I, ma?" Soal Armell perlahan. Nada suaranya jelas kedengaran tidak bermaya.

"Hospital. Mell dah tak sedarkan diri dua minggu. Doktor jangka satu bulan, tapi alhamulillah, Mell sedar lebih awal dari jangkaan doktor."

"Tadi pun kamu dah sedar. Tapi tak lama lepastu kamu pengsan." Sampuk Tan Sri Hazahar.

Mendengar keadaan dirinya itu membuatkan keningnya tercantum. Tidak sedarkan diri dua minggu? Bermaksud dia koma? Tapi kenapa?

"Ke.. kenapa?"

Puan Sri Nora menarik nafas dalam. Tangan Armell digenggam. "Mell kemalangan. Petang masa Mell baru balik office." Terang Puan Sri Nora.

Armell pandang siling di atas. Cuba mengingati apa yang terjadi. Namun bila dipaksa berfikir, kepalanya kembali berdenyut. Pantas tangan naik memegang kepala. Sakit!

"Jangan paksa ingatan tu. Doktor dah pesan, kamu kena banyak berehat dan jangan fikirkan apa-apa. Kosongkan minda, ya?" Nasihat Tan Sri Hazahar prihatin.

Dan sekali lagi Armell baru tersedar bahawa ada seorang lagi lelaki yang sedang berdiri disebelah kiri katilnya. Lelaki itu mengukir senyuman manakala Armell mengerutkan dahi. Cuba mengecam wajah lelaki asing itu.

"Siapa awak?"

Dengan itu, jelas kelihatan riak terkejut pada wajah lelaki itu. Armell semakin pelik. Makin bertambah kerutan di dahinya. Sumpah dia tak ingat siapa lelaki yang berdiri disebelahnya ini. Kawan papa ke? Takkan kawan papa muda macam ni?

"Who are you?" Soalnya lagi bila lelaki itu tidak menjawab.

Sekarang, bukan sahaja lelaki itu yang terkejut, malah Tan Sri Hazahar dan Puan Sri Nora juga turut terkejut dengan reaksi Armell terhadap Huzzair.

"Mell, dia tu tunang Mell. Huzzair. Mell tak ingat ke?" Soal Puan Sri Nora perlahan.

Armell geleng kepala. Wajah lelaki bernama Huzzair itu dipandang pelik. Tak! Dia tak kenal lelaki ini. Huzzair? Siapa Huzzair? Dan mama cakap dia dah bertunang dengan lelaki ini? Sejak bila dia bertunang dengan Huzzair? Kepala digeleng laju. Menidakkan kenyataan itu.

"Tak. Siapa Huzzair? Mell tak pernah bertunang! Mama, papa, siapa dia ni?"

"Awak tak ingat saya?" Kali ini lelaki itu pula yang menyoal.

Armell kalih memandang Huzzair. Entah buat keberapa kali kepala menggeleng tanda dia memang tidak mengingati siapa lelaki ini. "Tak. Awak siapa?"

"Saya Huzzair. Tunang awak." Lembut pandangan Huzzair terhadap Armell.

"Tak. Saya tak ingat. Saya tak ingat awak dan saya tak ingat langsung yang saya pernah bertunang dengan awak." Nafi Armell.

"Awak tunang saya, Iman. Tu, cincin tunang awak." Huzzair kerling cincin yang berada di atas meja.

Bergerak mata Armell memerhati sebentuk cincin perak yang cantik berada di atas meja. Kening tercantum sekali lagi. Cuba memaksa ingatannya untuk mengingati kenyataan itu. Kenyataan bahawa dia sudahpun bertunang. Namun, hampa bila usahanya itu berakhir dengan denyutan dikepala.

"Ah, sakit!" Mata dipejam rapat.

"Stop, Armell. Jangan fikirkan lagi." Kata Tan Sri Hazahar bila melihat anaknya itu sedang menahan kesakitan dikepala.

Klak!

Bunyi tombol pintu dipusing menarik perhatian semua yang berada di dalam bilik itu. Satu susuk tubuh lelaki sasa perlahan berjalan masuk menghampiri katil bersama senyuman nipis yang terukir dibibir. Matanya sayu memandang tubuh Armell yang sedang terbaring.

"Hayy? Awak... Hayy?" Seru Armell sebaik sahaja melihat wajah Hayy Mikael yang berdiri disebelah Huzzair.

Hayy Mikael mengangguk. "Ya, saya Hayy."

Armell diam seketika. Dan satu senyuman tak bermaya dihadiahkan kepada lelaki itu. "Awak tunang saya?" Soal Armell perlahan. Serak basah kedengaran suaranya.

Hayy Mikael terkejut. Dan segera dia menggeleng. "Eh bukan! Saya cuma kawan awak."

"Ta.. tapi... Mama cakap saya pernah bertunang?"

"Ya betul, Mell. Tapi bukan dengan Hayy. Tunang Mell, Huzzair." Jawab Puan Sri Nora.

"Hayy... Hayy tunang Mell, kan?"

Hayy Mikael menggeleng. Sayu melihat gadis itu merenungnya begitu. Dia rindukan renungan itu. "Tak... Saya bukan tunang awak, Mell."

"Betul, awak tunang saya. Saya tau, saya pernah bertunang dengan awak."

"Armell, lelaki yang kamu bertunang tu, Huzzair. Bukan Hayy." Tegas Tan Sri Hazahar.

Armell kerut dahi. "Tak. Mell bertunang dengan Hayy. Mell masih ingat lagi, papa. Mell tunang Hayy dan Hayy, tunang Mell!" Keras suara Armell membantah. Sakit hati bila Puan Sri Nora dan Tan Sri Hazahar asyik menyebut nama Huzzair dalam bicaranya. Dia tak suka!

"Mell ni dah kenapa? Tu cincin tu. Cincin tu Huzzair yang bagi. Huzzair tu tunang kamu! Kenapa nak ingat Hayy pula? Hayy ni dah kahwin, suami orang, Mell." Jelas Tan Sri Hazahar. Juga keras nada suaranya membalas.

"Kalau betul Mell ni tunang Huzzair, kenapa Mell tak ingat pun siapa Huzzair? Bukan setakat tak ingat, malah tak kenal langsung pun papa."

"Mell... Huzzair ni abang saya. Awak bertunang dengan abang saya dah hampir tiga bulan. Tunang awak, yang ini. Bukan saya." Jelas Hayy Mikael memperbetulkan sangkaan Armell. Bahu Huzzair ditepuk.

Armell menggeleng laju. Rasa nak menangis pun ada bila tunang sendiri tak mengaku tunang. "Tak... Saya tak kenal dia. Kenapa semua orang asyik bercakap pasal dia? Saya tak kenal dia!"

Huzzair mengeluh lemah. Luluh hatinya melihat keadaan Armell begitu. Lagi luluh bila gadis itu langsung tidak mengenali dirinya.

"Iman, saya rasa awak kena banyak berehat. Awak tenangkan fikiran awak dulu. Ya?" Tutur Huzzair lembut. Cuba memujuk hati Armell.

"See? Saya memang tak kenal awak dan saya rasa awak pun dah salah orang ni. Mana ada orang panggil saya Iman selain pekerja di Hans CoffeeHouse? Atau, awak salah seorang pekerja kat sana yang saya tak kenal?" Duga Armell seraya mengecilkan mata. Cuba menganalisis wajah lelaki bernama Huzzair itu.

Hayy Mikael jelas terkejut. Macam mana gadis ini boleh mengingati memori sejauh itu sedangkan Huzzair sendiri yang rapat dengannya pun dia langsung tak ingat?

Huzzair terdiam.

"DOKTOR, kenapa dengan anak saya doktor?" Soal Puan Sri Nora sebaik sahaja Doktor Syazwani selesai memeriksa Armell. Dan sekarang mereka berada diluar bilik memandangkan Armell memerlukan rehat yang cukup tanpa sebarang gangguan.

Doktor yang dikenali sebagai Syazwani itu menarik nafas dalam lalu dihela perlahan.

"Kecederaan pada kepala Cik Armell menyebabkan pembengkakan dan pendarahan pada bahagian otak. Kecederaan itu menyebabkan gangguan pada ingatan Cik Armell. Hentakan kepala Cik Armell semasa kemalangan terlalu kuat. Itulah faktor utamanya." Terang Doktor Syazwani.

"Tapi doktor, kenapa orang lain dia ingat, tapi saya dia tak ingat? Saya sorang je dia tak ingat, doktor. Kenapa?" Soal Huzzair. Ada nada kecewa di dalam suaranya.

"Encik Huzzair, keadaan yang di alami oleh Cik Armell ini dinamakan Selective Amnesia. Dari perbualan saya bersama Cik Armell tadi, saya dapati perkara terakhir yang dia ingat ialah pada hari pertunangan dia bersama Encik Hayy." Ulas Doktor Syazwani lalu menoleh sekilas memandang lelaki yang berada di sebelah Huzzair.

Hayy Mikael tergamam.

Huzzair telan liur. "Tapi... Masa tu saya belum kenal dengan Armell lagi."

Doktor Syazwani mengangangguk. "Ya, itu sebab Cik Armell tak kenal siapa Encik Huzzair." Balasnya.

"Anak saya masih ada peluang untuk sembuh ke, doktor?" Soal Tan Sri Hazahar pula.

"Bergantung. Ada memakan masa beberapa minggu sahaja, ataupun beberapa bulan. Dan yang paling teruk adalah seumur hidup."

Huzzair mengeluh berat. Hayy Mikael yang berada disebelah hanya mampu merenung wajah kecewa lelaki itu yang sudah tidak dapat dibendung itu. Lantas, lengan Huzzair ditarik menjauh dari situ.

"Huzzair, aku janji dengan kau, aku akan tolong Armell supaya dia ingat pada kau. Aku janji." Kata Hayy Mikael sungguh-sungguh.

Huzzair hanya diam.

"Aku tolong kau, ya?" Bahu abangnya ditepuk perlahan. Cuba memujuk.

Huzzair menggeleng lemah. "Tak apa, Hayy. Aku tak nak sesiapa yang tolong dia untuk ingat pasal aku."

Hayy Mikael kerut dahi. "Apa maksud kau ni?"

Huzzair menghela nafas berat. "Aku nak dia ingat sendiri tentang aku. Sampai dia berjaya ingat semua pasal aku tanpa pertolongan daripada sesiapa pun. Biarlah dia anggap aku macam orang asing sekalipun. Aku tak kisah."

Hayy Mikael menggeleng. "She is your fiancè! Tunang kau, Huzzair! Tiga bulan lagi majlis kau kan?"

Huzzair senyum tawar. "Apa makna kahwin kalau dia sendiri pun tak ingat aku? Dia ingat kau, Hayy. Dia masih anggap yang kau tunang dia. Kau layan lah dia macam dulu. Gembirakan hati dia."

"Tak. Aku takkan buat macam tu." Hayy Mikael geleng kepala. Dia bukan jenis yang suka mengambil kesempatan dalam kesempitan.

Hayy Mikael ketap gigi. Penumbuk digenggam sehingga timbul segala urat dilengannya. Dada berombak manahan amarah yang tiba-tiba tersirap. Wajah bertukar dingin dan beku. Kenapa sewaktu dia ingin belajar melupakan, di saat itu juga Armell menginginkan dirinya?

Wajah Huzzair direnung tajam.

"Aku tak cintakan dia lagi." Putus Hayy Mikael.

Previous: Bab 49
Next: Bab 51

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Farisya