Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 28

Bulan berganjak pergi, tapi keadaan ummi masih begitu, diam dan bisu tanpa sebarang tanda-tanda positif, namun Dian tetap setia menanti di sisi. Dia sudah mula belajar untuk menerima kerana sudah hampir setahun keadaan itu berlarutan, namun jauh di sudut hatinya masih ada kuntuman harapan. Harapan untuk melihat ummi yang tercinta sedar semula dan harapan untuk bergembira bersama seperti dulukala.

Dian menyusuri koridor tingkat 2 hospital berkenaan menuju ke bilik ummi. Langkah kakinya terpaksa disusun lebih berhati-hati kini kerana dia tak mahu tersadung lagi. Kepalanya terpaksa ditundukkan untuk memastikan perkara itu tak berlaku. Perut yang semakin membesar sedikit-sebanyak menyukarkan pergerakannya.

Beberapa hari kebelakangan ini, matanya semakin sakit dan pedih. Sakit kepala? Tak payah cakap la, rasa macam migrain pun ada. Bila keadaan itu berlaku pasti dia perlukan sedikit masa untuk kembali tenang. Makan ubat pun dah tak ada guna sebab dah tak beri kesan apa-apa.

Dalam jangka masa beberapa bulan saja medan penglihatannya jadi semakin mengecil. Dia tahu, setiap saat yang bakal berlalu bakal menjadi saat-saat terakhir untuknya menikmati pemberian Illahi, mata dan cahaya, tapi itu takkan dapat mematahkan semangatnya untuk terus hidup. Dia masih ada ummi dan Allah yang sentiasa memerhati. Walaupun kita serba kekurangan, DIA akan sempurnakan kita, selagi kita ada bersamaNya. Amin, tauhidnya di dalam diri.

Kata doktor, ummi masih koma kerana trauma pada kepala ummi telah mengakibatkan kecederaan pada bahagian otak yang menjalankan fungsi jaga tak dapat menjalankan tugasnya. Kata doktor lagi, koma yang disebabkan oleh kecederaan otak boleh membawa kesan besar terhadap pesakit kerana ia membabitkan bahagian yang mengawal fungsi tubuh.

 

“Doktor, kenapa sampai sekarang ummi saya masih tak sedarkan diri lagi? Bila dia akan sedar?” soal Dian pada Dr.Rajan semasa rondaan pesakit dijalankan.

“Susah untuk saya jawap soalan cik Dian tu. Seperti yang saya dah jelaskan sebelum ini, dalam kes-kes koma, agak sukar untuk kami membuat ramalan. Ada kes yang hanya ambil masa berjam atau makan berhari tak kurang juga ada yang ambil masa berbulan-bulan dan bertahun-tahun untuk pulih.”

“Secara amnya, tahap koma boleh dibahagikan kepada 3 samaada koma ringan, serdahana atau teruk. Dalam kes mak cik, akibat hentaman yang kuat pada kepala, Sistem Pengaktifan Reticular(RAS) telah rosak teruk dan tak dapat berfungsi dengan baik lagi.”

“Jujur saya cakap yang saya tak boleh nak membuat andaian. Apa yang boleh kita lakukan sekarang adalah untuk menunggu.” terang Dr. Rajan yang turut sama menyatakan kesedihan terhadap apa yang Dian alami.

“Kami dah lakukan ujian untuk menilai tahap koma. Ujian rangsangan sakit yang dilakukan juga negatif dan berdasarkan penilaian tahap koma yang kami jalankan, mak cik tergolong dalam bacaan 8. Itu saja yang saya dapat rumuskan.” tambahnya lagi.

“Apa maksud doktor?” soal Dian tak memahami apa yang diperkatakan.

“Apa yang boleh kita buat sekarang hanyalah berdoa.” balasnya perlahan sambil memandang Dian dengan pandangan yang Dian sendiri tak mudah mentafsirkannya, sebelum dia akhirnya terdiam. Sukar untuknya menerima keadaan itu. Kehadiran ummi amat besar maknanya pada diri malah sayangnya pada ummi tak akan berganti dan dia takkan dapat membayangkan hidupnya tanpa ummi.

 

Sesampainya di wad, Dian nampak Kak Syuhada baru saja selesai membersihkan ummi. Satu senyuman dihadiahkan kepada jururawat bertugas yang sudah amat dikenalinya itu.

“Assalammualaikum.” tutur Dian mendoakan kesejahteraannya.

“Waalaikumussalam.” balas Kak Syuhada menghargai, salam yang diberi.

“Kak Adah, terima kasih sebab tolong ummi Dian.” tuturnya lagi menghargai bakti yang dihulur.

“Sama-sama. Tak ada apalah tu, lagipun memang dah kerja akak. Baru sampai ya? Akak ingat Dian dah tak datang sebab dah dekat masa kan? Bukan Dian kata minggu depan?” tuturnya tak percaya. Dengan perut begitu, Dian tetap datang menunggu.

“InsyaAllah hujung minggu depan. Lagi dua minggu macam tu, itulah yang doktor cakap pada Dian, tapi tak tahulah betul ke tak.” balasnya dengan senyuman. Biarpun caranya tak kena, tapi perasaannya tetap ada. Sayangnya pada anak yang berada didalam kandungan membuatkan dia lebih menghargai erti sebuah ikatan perkahwinan.  

Perkahwinan bukanlah sekadar mainan kerana ia turut melibatkan perasaan dan rasa tanggungjawab pada khalifah yang bakal dilahirkan. Serentak diusap-usap perutnya lembut, menghargai kurniaan Illahi.

“Tak susah ke Dian datang hari-hari macam ni? Dian tak penat? Dari bawah jalan sampai sini, kaki Dian tak sakit?” soalnya. Dian hanya menggeleng-gelengkan kepala sambil tersenyum sama.

“Dulu masa akak mengandung anak akak yang sulung, masa tu rasa penat betul. Apa taknya kena ulang alik dari depan sampai hujung, kaki tak payah cakap la, lenguh. Bila balik kena minta urut, tapi akak tengok Dian steady je lagi. Tak penat?” soalnya tak percaya. Selebihnya dia kasihan pada Dian. Daripada perut tak nampak apa, sampai dah tak boleh nampak jari kaki sendiri masih sanggup berulang-alik untuk menemani ummi. Bibirnya tak tekang dari membacakan ayat-ayat suci dari qalam yang satu. Sedikit sebanyak perbuatan Dian itu turut mengajarnya erti berserah pada Allah.

“Tak, Dian tak penat kak, dan Dian takkan pernah rasa penat, InsyaAllah. Lagipun Dian duduk dekat-dekat sini je. Kalau tak dapat jumpa ummi sehari rasa macam tak seronok, macam ada je yang kurangnya.” tuturnya dalam senyuman sebelum wajah ummi yang dikasihi dikucup berkali-kali.

“Hmm, dah wangi dah ummi Dian. Terima kasih kak sebab tolong segarkan ummi Dian ni.” tuturnya lagi. Jasa kakitangan yang telah merawat ummi amat dihargai dan hanya Allah yang mampu membalas. Kak Syuhada gembira mendengarnya. Penghargaan yang diterima membuatkan dia lebih bersemangat untuk menjalankan tanggungjawap yang telah diamanahkan.

“Sama-sama. Dian ni, berapa kalilah dia nak berterima kasih. Tadi kan dah cakap.” tuturnya pula. Dian hanya tersengih mendengarnya, tapi dia takkan pernah kurang untuk mengucapkan, terima kasih, terima kasih dan terima kasih untuk segalanya, bisiknya di dalam hati.

“Akak, sebelum Dian terlupa. Boleh tak Dian nak minta sikit lagi jasa baik akak. Sikit je.” tuturnya merayu. Kak Adah mengerutkan keningnya tak tahu.

“Apa dia?” soalnya pula.

“Kalau Dian tak dapat datang lagi nanti untuk lawat ummi, boleh tak Dian call akak untuk update perkembangan ummi? Dian tak boleh kalau tak tahu tentang ummi. Kalau boleh setiap masa Dian nak temankan ummi, tapi nanti bila bersalin mesti dah tak dapat nak jumpa ummi macam sekarang.” terangnya.

“Dian takut sangat kalau ada apa-apa jadi pada ummi masa Dian tak ada kat sini.” tuturnya perlahan. Wajah Kak Adah dipandang penuh mengharap, berharap agar permintaannya diterima.

“Boleh, tak ada masalah. Bagi sini handphone Dian.” arahnya.

Semasa proses berpantang dia tak akan dapat untuk melawat ummi dan masa yang paling ditakutinya itu sudah semakin menghampiri. Kurang lebih dua minggu dari sekarang dan hanya itu masa yang dia ada, jika berlaku lebih awal macam mana? Hatinya mula jadi tak tenang bila memikirkannya.

“Tu nombor akak. Kalau Dian nak tahu tentang ummi, Dian call je akak. Dian tak payah fikir banyak sangat. Hal ummi biar kami yang uruskan. Jaga diri tu elok-elok sebab dah dekat sangat dah ni. Dah sarat, entah-entah esok Dian bersalin.” balasnya sambil tersenyum.

“Akak, tak nak cakap macam tu. Cakap tu kan doa. Dian tak sedia lagi.” balasnya terkejut kerana dia sudah mula kecut perut.

“Akak bergurau je, Dian ni lah. Takut ke?” soalnya pula sambil ketawa suka. Segera Dian menganggukkan kepala.

“Takpayah takut. InsyaAllah, tak ada apa-apa sebab akak dah rasa. Banyak-banyak doa pada Allah, insyaAllah segalanya akan dipermudah. Sambil-sambil tu, jangan lupa banyakkan baca surah Al-Fatihah.” tuturnya lagi memberi panduan.

“Surah Al-Fatihah?” soal Dian kembali.

“Surah Al-Fatihah, ibu segala surah. Amalkan, insyaAllah segalanya akan mudah, tapi kenalah yakin pada Allah.” jawapnya pula. Serentak Dian mengangguk-anggukkan kepala.

“Takpalah, akak keluar dulu. Ada lagi beberapa katil yang kena dikemaskan. Nanti ada masa kita sembang lagi. Assalammualaikum.” tuturnya sebelum berlalu pergi.

“Waalaikumussalam. Terima kasih kak.” balas Dian dengan senyuman, gembira kerana rancangannya berjalan seperti yang diharapkan.

“Sama-sama.” tutur kak Adah membalas sambil membawa bersama baju dan cadar yang baru ditukarkan.

Wajah ummi yang terhidang di hadapannya dipandang tak berkelip. Wajah ummi nampak lebih kecil hari ini berbanding beberapa bulan yang lepas. Tubuh ummi sudah semakin susut malah pipinya juga sudah mula cengkung. Dian tahu ummi sengsara, tapi dia tak boleh nak buat apa-apa. Cuma doa yang dapat dititipkan pada yang Maha Esa agar urusan ummi dipermudahkanNya. Entah sampai berapa lama lagi dia berpeluang untuk menatap wajah itu. Tanpa dipaksa senyumannya sebentar tadi mati, diganti dengan perasaan hiba yang semakin mencengkam di hati.

“Ummi…nanti kalau Dian tak dapat nak datang tengok ummi, ummi janganlah marah Dian ya. Dian janji dengan ummi, bila Dian dah sihat dan dah kuat sikit, cepat-cepat Dian datang sini tengok ummi.” tuturnya sambil menggenggam tangan ummi kemas.

“Ummi tahu kan yang Dian sayang sangat dengan ummi. Sayang…sangat, dan Dian akan sentiasa sayang ummi…sebab ummi lilin cinta Dian.” tuturnya lagi sebelum mendakap tubuh itu. Hanya Allah yang mengetahui hatinya. Sedangkan sehari tak berjumpa bagaikan bertahun terasa, inikan pula berminggu-minggu lamanya.

“Kau kena bertahan Dian.” bisiknya perlahan.

“Selama ni, ummi yang terangkan hidup Dian. Ummilah cahaya dalam hidup Dian. Ummi yang suluh jalan Dian bila Dian dalam kegelapan. Dian takut sangat kalau ummi tak ada, ummi bangunlah ya. Dian perlukan ummi untuk terangkan semula hidup ni.” tuturnya sebelum mengucupi pipi itu.

“Ummi kena tunggu Dian, sebab ummi kan dah janji. Dulu ummi janji nak tunggu Dian kan? Ummi janganlah mungkir janji…” tuturnya lagi dalam linangan air mata. Herhenjut-henjut bahunya menahan tangis menggambarkan kesedihan hati.

“Ummi tolonglah bangun ya…tolonglah jangan padam.”

“Allah, bantu ummi. Dian sayang ummi.” rayunya dalam esakan yang sukar untuk ditahan. Hanya pada Allah tempat dia memohon bantuan, kerana hanya Dialah sebaik-baik penolong.

 

Azeem yang baru pulang dari pejabat merebahkan dirinya di sofa di ruang tamu. Dian yang menyedari kepulangannya datang menghampiri untuk menghidangkan air seperti biasa dan Azeem pantas menghirupnya tanpa banyak kata. Dalam hati dia rasa bahagia kerana layanan Dian bebeza dengan layanan yang diterimanya daripada Aida. Dia mula membandingkan keduanya lagi sebelum dia tersenyum sendiri. Dian yang memerhati pantas jadi sangsi.

“Abang Azeem, kenapa?” soalnya tadkala melihat senyuman di wajah Azeem.

“Tak ada apa-apalah. Terima kasih untuk air ni.” balasnya sebelum bangkit untuk menuju ke bilik, terkejut kerana fikirannya seperti berjaya dibaca Dian.

“Aku lupa nak bagitahu. Esok aku kena pergi ke Langkawi untuk lawatan kerja. Ada peluang projek baru kat sana. Dalam beberapa hari ni aku tak ada. Kalau kau nak apa-apa, bagitahu pada Aida.” tuturnya yang sudah berada di mata tangga.

“Aku dah pesan pada dia untuk tengok-tengokkan kau atau kau call opah terus, Pak Sahak ada, dia boleh tolong ambilkan. Aku tak nak kau keluar sorang-sorang lagi dalam keadaan macam ni.” tutur Azeem meninggalkan pesan.

“Tak pun macam nilah, kau kemas-kemas barang, aku hantar kau ke rumah opah, lagi senang. Kau dah minta cuti kan?” soal Azeem pula. Serentak dia menoleh semula ke arah Dian.

Mungkin lebih mudah begitu kerana dia lebih yakin dengan opah. Dia tak sampai hati mahu meninggalkan Dian sendiri setelah cadangan opah untuk mengambil orang gaji ditolak Dian pada saat-saat akhir.

“Dian tak sempat nak apply cuti tadi. Ingat esok baru nak pergi. Takpa Dian boleh lagi. Lagipun Abang Azeem pergi tak lama kan? Nanti kalau ada apa-apa Dian telefon Aida. Abang tak payahlah risau.” balasnya untuk mengelakkan diri. Kalau Abang Azeem tahu apa yang sebenarnya terjadi, pasti teruk dia dimarahi. Tapi salah ke? Rasanya tak, sebab itu masalah dia, dan dia tak rasa perkara itu mahu dikongsi bersama.

“Belum lagi? Hish kau ni, kau tu kan dah sarat sangat.” jawapnya kesal kerana dia menyangka Dian telah menguruskan semuanya. Dian segera menundukkan kepala, takut dipanah jelingan mata Azeem yang nampak berapi. Serentak Azeem melepaskan keluhan berat.

“Ikut kau lah, tapi ingat, kalau nak ke mana-mana jangan pergi sendiri, ajak Aida temankan.” tambah Azeem sebelum terus mendaki anak tangga menuju ke bilik. Dian lega kerana sekali lagi dia berjaya menyelamatkan dirinya.

 

Azeem masih tak dapat melelapkan mata. Perlahan-lahan dia memusingkan badannya ke arah Dian yang sudah lama terlena sebelum wajahnya berubah. Sudah acap kali perkara seperti itu terjadi, Dian menangis lagi? Adakah Dian begitu tertekan hidup bersamanya sampai terbawa-bawa ke dalam mimpi? Duganya di dalam hati dan serentak dengan itu dia dihambat perasaan bersalah itu semula.

Lama wajah itu ditatap sambil ditemani perasaan simpati yang mula memenuhi ruang hati. Bergerak-gerak bibir Dian seperti ingin menyatakan sesuatu. Perlahan-lahan air mata itu diseka dan pipi Dian disentuh mesra sebelum dia berkira-kira mahu mengucupnya.

“Abang…abang Razif.” bisik Dian perlahan, tapi sudah cukup untuk didengarinya. Azeem bungkam. Hatinya mula panas. Terasa sakit hatinya saat mendengar Dian mengungkap nama lelaki lain walaupun hanya didalam mimpi. Maksudnya selama ini apa? Dian telah mempunyai kekasih hati dan tangisan itu adalah tanda ingatannya pada yang dirindui?

Azeem pantas bangun daripada perbaringan sebelum meninggalkan Dian ditemani perasaan yang dia sendiri sukar untuk jelaskan. Marah, kesal, benci, sakit hati semuanya bersatu, sebelum tiba-tiba dia tersedar yang dia tak mempunyai hak untuk berperasaan begitu, kerana hati Dian memang takkan pernah ada untuknya.

Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati