Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 7

Seawal jam 4 pagi lagi ummi telah bangun demi menyiapkan keperluan Dian. Dia juga telah menyewa sebuah teksi untuk membawa mereka nanti. Majlis pendaftaran yang bermula jam 10.00 pagi membuatkannya lebih kalut kerana dia tak mahu Dian terlambat pada hari pertamanya.

“Dian buat apa lagi tu? Kenapa tak siap lagi? Dah pukul berapa dah ni? Tu tengok jam tu, dah dekat pukul 8.00 tapi kenapa Dian tak siap lagi?” tuturnya yang sudah mula bimbang.

“Baru pukul 8, awal lagi. Dian kan daftar sesi petang. Janganlah risau sangat. Ke ummi dah bosan asyik tengok muka Dian je hari-hari, tu yang nak Dian cepat-cepat pergi.” balasnya merajuk. Sedih kerana ummi macam tak sedih nak berpisah dengannya, sedang hatinya merana tak tentu hala, sampai rasa nak muntah pun ada.

“Kesitu pulak perginya budak ni. Cepatlah pakai baju. Lepastu periksa semula barang-barang yang nak dibawa tu, jangan sampai ada yang tertinggal. Pak Jamal janji datang pukul 9. Dia tunggu kat kedai Mak Andak nanti.”

“Bekal tu jangan lupa susun dalam beg. Ummi nak mandi dulu, Dian cepat siap.” arah ummi tak mahu mereka ketinggalan.

“Baiklah mak encik.” balas Dian acuh tak acuh.

“Tengok tu, nak main-main lagi. Cepat!” gesa ummi semula sebelum melangkah ke bilik mandi dan Dian segera bergerak mengikut arahan.

Entah kenapa tiba-tiba hatinya jadi tawar pula. Bukankah dia yang beriya-iya sangat mahu melanjutkan pelajaran satu ketika dulu, tapi kenapalah perasaannya mula mendera tubuhnya ketika ini? Badan mula seram sejuk, dah tak tentu rasa.

Serentak dia beristigfar di dalam hati berulang kali, minta diberikan kekuatan dan ketenangan fikiran. Dia perlu lebih fokus, kalau tak susahlah nanti, bisiknya sendiri.

Dalam perjanjian biasiswa yang diterimanya itu, dia wajib mendapat keputusan yang cemerlang untuk setiap semester sehinggalah tempoh pengajiannya tamat kelak, dan seandainya dia gagal untuk memenuhi syarat tersebut, bantuan itu akan ditarik serta-merta. Dengan syarat yang seketat itu, dia takkan mampu untuk terleka walaupun seketika. Dia perlu menumpukan segala perhatian pada pelajaran, tak rela menghampakan impian semua untuk melihatnya berjaya. Segulung diploma, hadiah paling berharga itu akan dipersembahkan kepada ummi, bila masanya telah tiba nanti.

 

Selesai mendaftarkan diri, pelajar-pelajar diberi kunci bilik sementara masing-masing. Semua mahasiswa diarahkan untuk daftar masuk ke bilik asrama, sebelum program suaikenal dimulakan secara rasminya lewat petang nanti. Masa sudah semakin suntuk. Kini tibalah waktunya untuk berpisah dengan ummi, tapi mungkin kerana tak pernah berenggang, hatinya betul-betul rasa walang.

“Dian tinggal ya. Ummi balik dulu. Jangan lupa makan bekal yang ummi buatkan tadi. Ummi tengok ramai kawan-kawan kat sini, Dian mesti tak sunyi nanti.” tutur ummi. Dian hanya tertunduk mendengarnya. Airmatanya berguguran semula, tanpa dipaksa, tak tahulah kenapa.

“Tengok menangis lagi. Dian ni manja sangat. Malulah kalau kawan-kawan nampak. Dian kan dah besar. Dian kata nak berjaya dan inilah permulaannya. Dian kena sabar dan jangan sesekali tinggal solat. Ummi percaya, bila Dian dah dapat kawan, balik rumah pun dah tak ingat dah. Entah-entah ummi pun Dian lupa.” tambahnya lagi. Dian yang mendengarnya jadi geli hati.

“Ummi ni, takkanlah sampai boleh lupa. Ummi je yang Dian ada. Ummi doakan Dian ya.” balasya sebelum menyalami tangan ummi tercinta.

“Dian tak payah minta. Sepanjang masa ummi doakan kesejahteraan anak-anak ummi. Dian tu, belajar rajin-rajin. Ingat pesan ummi. Jangan tinggal solat.” pesannya lagi, sama seperti selalu kerana sembahyang itu tiang agama. Bagaimana mungkin kita mampu mendirikan sebuah mahligai tanpa tiang dan asas yang kuat.

Dia tak mahu Dian terleka dan berpaling pada jalan yang tak diredaiNYA kerana Dian kini yang akan menentukan hala tujunya sendiri, sedang dia takkan dapat mengawasi anaknya itu lagi. Itulah yang paling ditakutinya, sambil didalam hati tak henti berdoa agar Dian mendapat cahaya dariNya.

“Satu lagi. Jangan lupa makan bekal yang ummi sediakan tadi. Nanti ajak kawan-kawan makan sekali. Ummi buat banyak karipap tu, Dian kongsilah dengan kawan-kawan sebilik. Ummi tak sempat nak jumpa, Pak Jamal dah lama tunggu, kesian pulak ummi tengok. Dian jaga diri baik-baik, ingat pesan ummi tadi.” ulangnya lagi.

“Hmm. Tapi yang mana satu?” soalnya pula.

“Semua. Paling penting, jangan tinggal solat.” tegasnya lagi.

“InsyaAllah ummi. Dian janji.” balas Dian pasti.

 

Upacara suaikenal memakan masa sampai ke tengah malam. Hampir pukul 12 malam barulah mereka dibenarkan untuk kembali ke bilik masing-masing. Esok seawal jam 5.30 pagi mereka sudah diarahkan untuk berkumpul semula di gelanggang bola tampar yang terdapat di aras bawah sebelum sama-sama menuju ke masjid untuk menunaikan solat subuh secara berjemaah.

Ini baru permulaan dan mereka perlu menempuh banyak lagi dugaan. Akak-akak fasilitator yang bertugas nampak garang dan menakutkan. Muka garang dan ketat sepanjang masa, samada saja buat-buat ataupun memang dah tersurat, tak tahulah yang mana satu, tapi syukurlah bukan semua. Ada juga yang baik hati dan lembut dalam pertuturan, tak penat menunjuk dengan penuh kesabaran.

Pengalaman pertama dia berada di asrama, terasa begitu asing baginya kerana ummi tiada. Suasana bilik yang sunyi membuatkannya sukar untuk melelapkan mata. Lisya, Habibah dan Norin telah lama hilang melayan badan yang kepenatan, cuma dia yang sukar untuk menyertainya. Baru saja mahu terlayang dia teringatkan karipap yang disediakan ummi awal pagi tadi. Pantas dia bangun untuk mendapatkannya.

Dengan bantuan lampu pada telifon bimbit, dia menyelongkar harta yang paling berharga itu, pemberian ikhlas seorang ummi, makanan kegemarannya, karipap bilis yang takkan dapat dibelinya di mana-mana. Malangnya, karipap yang cantik paras rupanya itu telah berubah bentuk menjadi karipap lenyek setelah cuba menyelamatkan diri di dalam beg pakaian yang sarat dengan muatan.

Perlahan-lahan dia mencapai botol air mineral di atas meja sebelum meninggalkan bilik dengan berhati-hati, tak mahu mengganggu ketenteraman rakan-rakan yang lain. Setelah berfikir-fikir dia akhirnya menuju ke tangga yang terdapat di hujung koridor blok asrama berkenaan.

Satu demi satu karipap itu dimakan kerana dia tak rela usaha ummi itu dibazirkan. Dengan rupa seperti itu, pasti tiada siapa yang mahu berkongsi dengannya, tapi takpa, dia kan ada. Dia akan berusaha untuk menghabiskannya. Bisiknya di dalam hati sambil ditemani wajah ummi yang tak pernah lekang daripada ingatan. Kesungguhannya dan senyumannya sentiasa dibawa ke mana-mana. Hidup terasa sukar untuk dilalui, tapi dia berjanji untuk menguatkan hati.

Dalam usahanya itu dia akhirnya tersedak. Cepat-cepat mulutnya ditekup dengan tangan, tak mahu kehadirannya di situ diketahui sesiapa. Kalau terjumpa dengan akak fesi yang bertugas, pasti dia akan dimarahi kerana meninggalkan bilik pada waktu-waktu seperti itu.

Airmata yang cuba ditahan akhirnya jatuh juga. Dia tewas pada kerinduannya terhadap ummi. Homesick, mungkin itu apa yang dapat menjelaskan keadaannya ketika itu. Penyakit rumah yang tiada penawarnya dan hanya dapat diubati dengan masa.

“Ummi…” tuturnya sayu dalam esak tangis yang perlahan. Dia tak mahu menahan diri lagi. Sejak petang tadi dia berusaha untuk menyembunyikan kedukaan, sekarang tibalah masanya untuk dia menzahirkan perasaan. Biar kering empangan yang sarat dengan muatan, biar pergi kesedihan akibat hidup berjauhan kerana dia perlu melepaskan semuanya saat itu.

Esok dia berjanji untuk membuka lembaran baru, dengan coretan-coretan kehidupan yang bakal dilaluinya sepanjang tempoh 3 tahun yang mendatang. Semua rasa kasih dan rindu itu akan disimpan di dalam hati, buat jadi ubat bila diperlukan nanti.

 

Ummi telah selesai menyarung pakaian riadahnya, namun Dian masih liat untuk membuka mata. Segera ummi beredar ke tingkap dan membuka tabir seluas-luasnya, membenarkan cahaya pagi masuk menerangi kamar yang kegelapan.

“Dian cepatlah. Ummi dah siap dah ni. Tadi dia yang beriya sangat nak pergi, sekarang dia pulak yang tak siap-siap lagi.” tuturnya namun masih tiada respon daripada Dian.

“Tak elok lepas subuh tidur balik. Anak dara apa namanya macam ni? Takpalah, kalau macam tu biar ummi pergi sendiri.” tutur ummi merajuk. Bukannya selalu mereka dapat peluang seperti itu. Dian meregangkan badan sebelum bergolek ke kiri untuk mengelakkan cahaya, namun matanya masih dipejamkan juga.

Waktu cuti semester adalah waktu yang mereka ada, itupun biasanya tak lama, cuma seminggu dua, sebelum Dian sibuk dengan aktiviti persatuan dan program-program yang dijalankan. Kalau balik hujung minggu pun, bukannya selalu dapat bersama, kerana dia bekerja. Hari Isnin bila cuti, Dian dah masuk kuliah semula.

“Ummi dah siap ke?” soalnya pula. Perlahan-lahan matanya dibukakan sebelum digosok-gosok dengan tangan.

“Dah siap dah ni. Dari tadi lagi ummi dah siap.” balasnya pasti.

“Mana? Tu stokin tak pakai lagi.” balas Dian yang sudah sedarkan diri. Kepenatan menyiapkan projek akhir masih lagi terasa, tapi dia tak mahu menjadikan itu sebagai alasan untuk mengabaikan ummi kerana waktu bersama ummi sentiasa dinanti dan tak mungkin akan disia-siakan pergi.

“Tinggal pakai stokin je ni. Dian tu langsung tak siap apa-apa pun lagi.” balas ummi membela diri.

“Dian sekejap je. Ok nak lawan? Dian akan buktikan pada ummi. Sekarang kita tengok, siapa yang siap dulu.” tuturnya sebelum pantas mencapai seluar sukan biru gelap yang terdapat di dalam gubok pakaian tak ketinggalan baju kemeja hitam yang ada berdekatan.

Ummi yang melihat turut sama-sama kekalutan sambil tangannya masih tercari-cari stokin yang diletakkan di dalam almari pakaian. Dian tersenyum gembira kerana pasti ummi akan kalah kepadanya sama seperti selalu.

“Dian siap dulu.” tuturnya yang sedang menyarungkan tudung. Ummi memandang tak percaya.

“Tadi kata dah siap, tengok sekarang siapa yang siap dulu. Ummi kalah.” tambahnya suka hati. Ummi mencebik, tak sangka dia boleh dikalahkan dan dalam pada itu, dia masih mencari-cari stokin tersebut kerana seingatnya di situlah tempat ianya diletakkan.

“Ummi cari apa lagi tu? Ummi cari ni kan?” tutur Dian sambil menghulurkan stokin di tangan.

“Mana aci, Dian main tipu. Patutlah ummi cari tak jumpa. Mengelat betul budak ni.” tutur ummi geram. Dian ketawa kegembiraan. Itulah suasana yang dirinduinya selama ini. Masa bersama ummi, masa yang tak ternilai juga tak terganti.

“Seronoknya dapat kacau ummi macam ni. Ummi mesti bosan kan tinggal sorang-sorang. Tapi ummi tunggu ya, tinggal beberapa semester je lagi. InsyaAllah bila Dian dah habis study dan mula kerja, ummi takkan tinggal sorang-sorang dah, kita boleh duduk sama-sama macam sekarang.” balasnya sebelum mendakap ummi erat.

“InsyaAllah. Apapun yang jadi, ummi harap Dian akan tetap teruskan pengajian. Ummi ada ke, tak ada ke, ummi nak Dian tahu yang doa ummi sentiasa ada dengan anak-anak ummi.” balasnya sambil menepuk-nepuk belakang Dian perlahan.

“Hai, kenapa ummi cakap macam ni? Macam pelik je bunyi. Ummi nak pergi mana pulak?” tuturnya tak percaya pada apa yang baru didengari, sebelum dia merungkaikan pelukan sambil dalam hati dia mula menyedari sesuatu.

“Ummi, ummi jangan cakap yang ummi dah terpikat pada Pak Tajul tu pulak. Dia ada buat apa-apa kat ummi ke masa Dian tak ada?” tambahnya lagi sedikit tak puas hati. Serentak wajah Pak Tajul segara muncul di fikiran. Bukannya dia tak tahu dah lama lelaki itu mengulang ummi, minta hajatnya dipenuhi untuk mengambil ummi menjadi isteri. Jangan jadi pulak sudah, bisiknya di dalam hati sambil tepat menandang muka ummi.

“Adeh, adeh…sakit ummi, sakit.” ucap Dian sambil mengetap gigi setelah telinganya dipiat sebegitu rupa.

“Dian ni dah tak ada benda lain yang nak difikir?” balas ummi marah.

“Iyalah, bukan dia ke yang selalu kacau ummi. Dah lama dah Dian nampak, bila datang kedai dia asyik tengok ummi je. Korek biji mata tu baru tahu.” balas Dian yang sudah masam mencuka sambil mengusap-ngusap telinga.

“Jadi ke tak ni kita nak pergi? Sejak tadi kita masih kat sini.” tutur ummi sedikit kecewa bila persoalan tentang Tajul dibangkitkan semula.

“Jadi, jadi. Jom kita pergi, tapi Dian nak ummi janji dulu. Ummi janji jangan tinggalkan Dian. Dian tak nak tinggal sorang-sorang.” ucapnya.

“InsyaAllah ummi akan cuba…” balasnya. Dian yang mendengar gembira tak terkata.

“tapi ummi tak boleh nak pastikannya nak.” tambah ummi perlahan dan hanya mampu didengari oleh dirinya sendiri sebelum mereka keluar dengan berpimpinan tangan.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati