Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 15

Mereka bersantai di sofa panjang selesai makan malam yang menyenangkan sebelum Azeem sibuk dengan tabletnya semula, memeriksa segala urusan yang harus dilakukan esok, termasuklah jadual musyuarat, tak ketinggalan perkara-perkara lain yang harus dilakukan. Dia mahu membuktikan pada opah yang dia mampu untuk mengambilalih syarikat dengan kebolehannya sendiri dan bukannya atas sebab kroni.

Aida mula memikirkan cara yang terbaik bagi memujuk Azeem menerima cadangannya untuk memperisterikan Diana, mangsa terbaik yang bakal dijadikan kambing hitam dalam usahanya untuk membolot kekayaan keluarga suaminya itu. Lebih selamat begitu jika dibandingkan dengan pilihan opah. Silap perhitungan dia pula yang akan ditinggal sendiri sambil menggigit jari.

Setelah sekian lama, rancangan mereka akhirnya mula membuahkan hasil dan Robert turut sama teruja mendengarnya. Robert, sepupunya, juga merupakan sahabat baik Azeem sejak dari zaman kolej, merangkap kekasih gelapnya sendiri. Sudah lama mereka mendambarkan untuk memperoleh kehidupan yang mewah dan Azeem dilihat menjadi jalan keluar mereka.

Cuma Azeem yang tidak menyedarinya, kerana lelaki itu telah berjaya dibutai dengan kecantikan dan layanannya yang penuh dengan kepura-puraan. Serentak dia tersenyum gembira setelah memikirkan kejayaan yang bakal diterima.

“Honey you dah fikir tentang cadangan opah tu?” tuturnya memulakan rancangan. Sengaja mahu memancing Azeem sebelum mempengaruhinya untuk menerima Diana. Azeem mengeluh, tabletnya ditangan segara diletakkan ke atas meja kerana minatnya hilang dengan serta-merta.

“Kenapa you boleh setuju dengan rancangan tu? Sayang, mana ada isteri dalam dunia ni yang sanggup berkongsi. Kita baru kahwin nak dekat 5 tahun, pasangan lain ada yang sampai berpuluh tahun kahwin baru dapat anak. Peluang kita ada lagi, tapi kenapa you cepat sangat mengalah? Mengapa you pun tak boleh sabar macam opah? I betul-betul tak setuju dengan rancangan ni!” balas Azeem geram. Dia tak sanggup menduakan satu-satunya isteri yang tersayang.

“I sanggup berkorban, asalkan you ada waris. I tengok opah serius sangat kali ni. You nak ke kalau semua harta tu jatuh ke tangan orang lain? Diberikan pada badan kebajikan macam tu je? Dah banyak kali opah ingatkan kita tentang hal ni dan I pasti kali ni dia betul-betul serius. Betul you sanggup lepaskan semuanya?” soalnya bertalu, sengaja mahu mempengaruhi keputusan Azeem.

Azeem terdiam. Sakit hatinya memikirkan rungutan dan ugutan opah yang tak pernah sudah. Sejak daripada kecil dia sudah dikawal ketat seperti itu. Hidupnya atas acuan dan aturan opah. Diri tak ubah seperti boneka yang beraksi tanpa kerelaan diri. Diarah dan dikerah sehingga dia rasa mahu lelah. Hanya Aidalah satu-satunya perkara yang tak dapat ditentukan oleh opah dan menjadi perkara terbaik yang pernah berlaku dalam hidupnya.

Aida, tempat dia mencurah segala kasih dan mujurlah ada kekasih hatinya itu. Wajahnya yang cantik dan sikap Aida yang manja telah menambat hatinya. Cinta pandang pertama, hanya itu yang boleh dikata dan ianya akan kekal sampai bila-bila. Dia takkan sampai hati untuk menduakannya semata-mata kerana harta. Serentak dengan itu tangan Aida diraih.

“Maksudnya, you lakukan semua ni untuk I? Untuk melindungi apa yang jadi hak I?” soal Azeem tak percaya. Dia semakin jatuh cinta kerana Aida sanggup berkorban deminya.

“Yes. Semua yang I buat, semuanya untuk you. Tapi boleh tak I minta satu daripada you?” soalnya dengan nada sayu. Sengaja mahu mempermainkan perasaan Azeem kerana dia tahu Azeem akan kalah seperti selalu.

“Apa dia sayang? Cakaplah. I janji yang I akan tunaikannya.” jawap Azeem yakin sambil mengucup lembut tangan itu.

“Please, izinkan I pilih bakal isteri you.” balasnya.

“No, no, I tak setuju. Kenapa you nak terlibat dalam permainan opah ni? I tak nak you sakit hati nanti.” ujar Azeem menghalang.

“Tak sayang, you silap. I takkan sakit hati, in fact I happy coz dapat pilihnya sendiri.” balasnya sebelum menyentuh dagu Azeem manja.

“Okey. Kalau itu yang you nak. I tak akan halang. Nanti I bagitahu opah tentang hal ni. Tapi sebelum tu? Boleh tak kalau I nak tahu siapa? Siapa dia?” soal Azeem kehairanan. Dia tidak menjangka Aida akan bersikap terbuka seperti itu. Serta-merta kasihnya pada si isteri semakin menjadi-jadi.

 

Majlis perkahwinan dilangsungkan secara serdahana dengan hanya dihadiri oleh saudara-mara terdekat. Azeem tak mahu perkahwinannya itu terlalu digembar-gemburkan kerana ada hati yang perlu dijaga. Dia tak sanggup melihat Aida bersedih. Takkan ada isteri di dunia ini yang sanggup berkongsi kasih. Mulut kata setuju tapi hati tiada siapa yang tahu. Opah dah tak dapat nak mengelak, demi seorang waris dia akhirnya menurut. Tak mahu terlalu berkeras, takut tak mendapat apa yang dihajat.

“Awak?” tutur mereka serentak. Sukar untuk dipercayai yang mereka bertemu lagi sejak pertama sekali bersemuka beberapa bulan yang lalu. Hati Dian mula sakit semula. Angkara lelaki di hadapannya itulah biasiswa yang diterimanya telah ditarik balik. Memang dasar lelaki tak ada belas kasihan. Alasan yang diberikan langsung tak dipedulikan.

Mereka saling berpandangan sesama sendiri sebelum Azeem menghadiahkan senyuman sinis ke arah Dian yang masih terkejut.

“Macam yang aku fikirkan. Perempuan kelas bawahan macam kau ni, memang sanggup buat apa saja kan? Shame on you. Nampak macam baik, pakai tudung konon, tapi sebenarnya kau lebih teruk.” tuturnya mengejek. Dian tetap sunyi. Mulutnya terkunci. Dia cuba untuk menahan sabar tak mahu terpengaruh dengan sindiran Azeem yang pedas dan tajam menikam.

“Awak tak layak nak mengadili saya kerana awak tak tahu apa-apa.” balas Dian tak rela maruahnya direndahkan begitu saja.

“Apa lagi yang aku tak tahu? Kau sanggup jual diri kau semata-mata kerana duit. Kau sendiri dah buktikannya dan aku tak nak ambil tahu yang selebihnya. Tapi bila aku fikir balik, lebih bagus macam ni.” tutur Azeem sambil merapatkan dirinya kearah Dian sebelum mata keduanya saling bertentangan.

“Sebab ada perempuan murah macam kaulah masalah aku selesai, tapi aku nak ingatkan kau satu perkara…” tuturnya sebelum mencengkam kejap lengan Dian.

“Kau jangan nak harap lebih-lebih sebab kau takkan dapat apa-apa.” bisik Azeem lagi sebelum meninggalkan Dian tercongok sendiri.

“Abang Azeem, kenapa kita kena jumpa dalam keadaan macam ni?” tuturnya perlahan setelah menyedari kebenaran. Adakah sudah suratannya tertulis begitu ataupun segalanya hanya sekadar kebetulan? Dia mati akal. Dia masih cuba untuk menerima kenyataan kerana keadaan rumah opah itu takkan dapat dia lupakan.

 

Dian hanya mampu tercegat melihat. Bilik pengantin yang dihias cantik tak lepas daripada matanya. Hiasan yang digunakan saling tak tumpah dengan dekorasi yang sering dipaparkan, cantik dan bercahaya, tapi kenapa dia tak rasa apa-apa. Tiba-tiba dia teringatkan ummi semula, sebelum tangisannya datang menyapa.

“Ummi…” tuturnya dalam linangan air mata sebelum dia jatuh terduduk ke lantai.

 

Sesekali dia melihat jam ditangan, dan sesekali kepalanya menjenguk lagi ke luar pintu. Dian mula kelihatan resah dan tak selesa. Waktu semakin suntuk, namun dia masih belum bersembahyang dan keadaan itu betul-betul membuatkan hatinya tak tenang. Nak bertanyakan pada Abang Azeem, bayangnya pun langsung tak dapat dipandang.

“Baik tanya dengan Nek Yam.” bisiknya sebelum berkira-kira mahu menutup pintu dan menuju ke dapur.

“Dah solat?” soal opah yang baru sampai. Mahu menguji cucu menantu barunya itu.

“Belum opah. Dian tak tahu arah kiblat. Dekat sini ke arah mana?” soalnya pula sambil mengerak-gerakkan tangan meminta bantuan. Opah tersenyum lebar mendengar.

“Dian ada bawak telekung? Kalau tak ada nanti opah ambilkan, takpun Dian solat dalam bilik opah je lah, lagi mudah.” cadang opah pula.

“Takpa opah Dian ada bawa telekung, cuma tak tahu arahnya ke mana? Boleh opah tunjukkan?” soalnya lagi yang sudah mula takut kelewatan. Walaupun dia gagal mengusahakannya dia awal waktu, dia tetap berusaha untuk menjalankan kewajibannya itu sebab kalau dah tergelincir, mulalah rasa bersalah tak sudah.

“Boleh, boleh. Biar opah tunjukkan.” balas opah gembira setelah sedar pilihan Azeem kali ini sangat berbeza daripada yang pertama.

  

Selesai majlis, Azeem bergegas ke bilik opah untuk memberitahu yang dia ingin kembali ke rumah dan tak mahu bermalam di situ.

“Opah, Azeem nak balik dulu.” tuturnya mematikan harapan opah yang setinggi gunung itu.

“Kalau Azeem balik, bilik pengantin macam mana? Siapa pulak yang nak guna? Azeem jangan lupa janji. Opah bukan sekadar nak Azeem kahwin, opah nakkan waris.” tuturnya mengingatkan. Dada Azeem berombak kencang mendengarnya serentak dia mendengus kasar.

“Apa gunanya segala harta yang ada kalau tak ada yang nak mewarisinya? Opah rasa kita dah berbincang tentang hal ni. Azeem jangan nak mula buat perangai. Dian tu pilihan Azeem. Lagipun opah tengok baik orangnya, apa lagi yang Azeem tak puas hati?” ngomel Syarifah Rahimah. Dia mahu Azeem memikul tanggungjawap untuk menguruskan soal perwarisan tersebut. Kalau nak tunggu Aida entah sampai musang berjanggut pun belum tentu akan ada hasil. Melihatkan budaya kehidupannya saja sudah cukup membuktikan yang wanita itu takkan mahu mengorbankan kebebasannya itu.

“Dah bertahun opah tunggu berita baik tu, tapi tetap jugak tak tiba-tiba. Opah harap kali ni opah tak perlu tunggu lebih lama. Semuanya terserah pada diri Azeem sendiri. Itupun kalau Azeem tak kisah sebahagian harta ni dihibahkan kepada mereka yang lebih layak.” tambahnya. Azeem bertambah tertekan kerana semua kata-kata opah berunsurkan arahan dan juga berupa ugutan.

“Sejak dulu lagi, opah selalu layan Azeem macam ni. Opah tak pernah pun fikir tentang perasaan Azeem, kehendak Azeem. Sekali pun tak pernah.” tuturnya kesal. Dia kesal dengan sikap opah yang hanya mementingkan diri sendiri. Seperti biasa, opah terlalu kuat untuk dikalahkan dan sekali lagi dia terpaksa tewas pada desakan.

 

“Hei, kau buat apa tu? Turun, turun, turun. Kau jangan nak berlagak macam puan besar pulak kat sini. Jangan cemarkan katil aku tu. Turun!”

“Kau tak layak duduk atas ni.” tuturnya marah. Serentak Dian tercegat semula, terkejut bila disergah begitu.

“Kau nak tahu sebab apa? Sebab kau hanya sesuai duduk kat situ, kat bawah tu.” tambahnya sebelum menudingkan jari ke arah penjuru bilik yang kosong.

“Tolong jangan nak menyemak depan mata aku. Pergi sana.” arahnya lagi. Dian tergesa-gesa menurut arahan kerana dia tak mahu mencetuskan pergaduhan.

“Nah ambil ni.” tuturnya lagi sambil membaling sebiji bantal yang tepat mengenai muka Dian. Senyuman sinisnya tadi muncul semula sedang Dian hanya mampu membalas dengan pandangan yang sayu. Sedih kerana dilayan seperti kudis yang jijik dan memudaratkan.

“Kau ingat baik-baik ya. Kalaupun ada apa-apa yang jadi selepas ni antara aku dengan kau, semua tu atas satu sebab yang kau sendiri dah tahu tentangnya. Kau jangan nak perasan lebih-lebih pulak nanti. Hati aku cuma ada satu dan kau takkan pernah dapat apa-apa.” tuturnya geram sebelum menghempaskan badannya ke atas tilam. Dia mahu berehat kerana badannya sudah terlalu penat.

Dian sedar hidup yang bakal dilaluinya akan bertambah sukar. Hidup di samping seorang lelaki yang tidak akan pernah menghargai diri, sama macam ummi. Air mata mula bergenang kerana hanya itulah satu-satu teman yang dimilikinya. Tiba-tiba dia teringatkan ummi kembali.

“Ummi…” rintihnya perlahan. Wajah ummi yang tersenyum terbayang di mata dan masih segar menemaninya sepanjang masa. Kesedihannya pantas terubat, kerana dia hanya perlukan kasih ummi dan itu sudah cukup baginya untuk menggembirakan hati. Perlahan-lahan bantal yang terdampar dicapai sebelum dia merebahkan dirinya di atas lantai. Pertemuan semula yang tak dijangka dengan perasaan yang jauh berbeza. Abang Azeem yang dikenalinya sudah berubah, dah tak sama macam waktu dulu.

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati