Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 8

Musim pantas berganti dan sepantas itu jugalah sesi pengajiannya dirasai. Terasa baru sangat dia menduduki peperiksaan semester lepas dan kini dia harus mendudukinya lagi. Keseronokan menelaah pelajaran begitu jelas terasa bila ditemani rakan-rakan seperjuangan yang turut sama berkongsi tenaga.

Keadaan katil sesak dengan bahan-bahan projek akhir semester yang masih belum siap sepenuhnya dipandang, sebelum dia membuat keputusan untuk mengambil angin sebentar. Sudah semalaman mereka bersengkang mata dan dah tiba masa untuk badan mendapat rehat pula. Nora yang masih leka di meja dipandang sekilas sambil sebelah tangannya mencapai bantal sebelum dipeluk erat ke dada. Nota kecil hasil tulisan tangannya itu turut tak dilupa untuk dibawa.

“Nora, aku nak ke bawah.” tuturnya menyampaikan pesan.

“Ke bilik tv?” soalnya, sudah dapat mengagak tempat yang Dian tujui.

“Hmm. Aku nak sambung study kat sana. Sambil-sambil tu boleh tengok berita.” balasnya sebelum bergerak untuk mengorek tabung duit syiling yang ada di dalam meja.

“Mesti kau nak minum air gedegang kan?” soal Nora bila telinganya tertangkap bunyi duit syiling berlaga.

“Air gedegang…” balas Dian geli hati sebelum dia ketawa sambil menganggukkan kepala.

“Kenapa kau gelak? Betul apa. Mula-mula kau masuk duit, lepastu dia golek, akhir sekali gedegang, bunyi tin berlanggar dengan dinding.” balasnya Nora turut tersenyum sama.

“Aku pun nak. Dian nak tukar duit boleh?” pintanya pula.

“Mestilah boleh. Ambillah sendiri nanti kat dalam meja ni. Aku nak turun dulu. Kalau ada apa-apa hal kau carilah aku kat sana. Aku pergi dulu.” balasnya.

“Ok, roger.” jawab Nora sebelum meneruskan pekerjaan.

 

Rancangan buletin pagi yang disiarkan di kaca tv sedikit sebanyak memberikannya informasi. Ummi kata, penting untuk kita dengar berita supaya dapat tahu perkembangan dunia, tapi nampak macam tak ada banyak beza kerana berita hanya berkisar tentang sekatan dan peperangan saja. Lepas satu, satu negara yang diperkotak-katikkan. Alasan keganasan tetap juga dicanangkan untuk meraih sokongan terhadap penindasan yang dilakukan.

Kehilangan nyawa dan kehancuran harta benda menjadi makanan. Anak-anak kecil diuji dengan wabak kebuluran tak kurang juga yang mengalami kecacatan akibat kehilangan anggota badan dan yang paling menyedihkan, para ibu hanya mampu melihat anaknya mati di ribaan. Semuanya adalah akibat kerakusan manusia yang semakin hilang pedoman, bertuhankan keduniaan kerana telah melupakan kematian. Serentak dia mengesat air mata yang mengalir tanpa dipaksa.

“Ya-Allah, bantulah kami dan kurniakanlah kepada kami seorang penolong.” tuturnya sambil menadah tangan kerana hatinya sudah tak tertahan.

 

Badan yang keletihan rasa bertenaga semula sambil sebelah tangannya menyental mata yang masih keberatan untuk dibukakan. Selesanya bila dapat berbaring di situ kerana ia mengingatkannya pada rumah. Kesejukan pada lantai rasa mendamaikan dan mampu membuatkannya lama terlena. Nyaman, selesa memang betul-betul macam rumah, cuma ummi yang tiada, bisiknya di dalam hati. Serentak dia teringatkan ummi lagi. Sambil meregangkan otot dia memusingkan badan, sebelum dia akhirnya tersentak bila melihat apa yang ternampak.

“Astaghfirullah hal adzim…sejak bila kau ada kat situ?” tuturnya sambil mengurut dada menenagkan jantung yang terenjat sama tadkala terpandang kelibat Nora yang sedang memain-mainkan rambutnya.

“Dah lama dah. Dian kau kata nak study, tapi rupanya kau tidur kat sini. Kau tak takut ke tidur sorang-sorang kat dalam ni?” soalnya sebelum memandang kawasan bilik yang luas dan kosong itu. Sunyi sepi tanpa penghuni yang ada cuma mereka berdua.

“Memanglah mula-mula aku study, lepastu tidur ganti.” balasnya. Serentak dengan itu dia bangun sebelum duduk bersandar ke dinding. Sekali lagi dia meluruskan tangan yang rasa kekejangan.

“Buat apa nak takut sunyi. Sunyi kan best.” tambahnya pula.

“Sunyi kau kata best? Kau ni Dian memang peliklah. Nak?” tuturnya menawarkan air tin yang berada di tangan.

“Takpa kau minumlah. Aku dah minum tadi. Dah pukul berapa ni?” soalnya pula. Belum sempat memerikasa telifon bimbitnya, Nora terlebih dahulu memaklumkan.

“Dian dah dekat pukul 1. Dah berapa lama kau tidur?”

“Tadi macam baru pukul 10, betul ke kau ni? Takkanlah aku tidur lama sangat.” balasnya tak percaya sebelum segera memeriksa.

“Ya-Allah. Betullah dah dekat pukul 1, dah nak Zohor. Kau dah makan belum?” soalnya sambil mengemas kertas nota ringkas yang bertaburan.

“Mestilah belum, yang lain semua dah tunggu kat atas nak pergi makan sama-sama. Jomlah makan.”

“Ok, ok. Jom, jom. Sorilah, aku memang tak boleh bila masuk sini, kalau dah baring mesti tidur sebab sejuk. Kalau tidur atas katil aku tak dapat nak lena sangat.” serentak dia bangun dan merapikan pakaiannya.

“Itu lagi satu yang aku pelik. Dian kau tak sakit badan ke tidur macam tu?” soal Nora kerana kalau dia, pasti dah tak tertahan.

“Tak.” balasnya pantas dan Nora makin bertambah kehairanan.

 

“Korang, jangan lupa projek kita ke Genting hujung minggu ni. Aku tak nak ada siapa-siapa yang tak jadi. Kalau ada yang tak pergi tak best la nanti. Takada sorang mulalah rasa macam ada yang kurang.” tutur Yatt ketika mereka beriringan ke dewan makan.

“Aik, kan dia yang nak belanja. Buat apa tanya kami pulak. Takut kami tak pergi, tapi betulke jadi?” soal Jan yang berada di sebelahnya sekadar mahu kepastian.

“Mestilah jadi. Ayah aku dah siap tinggalkan kad untuk guna nanti, tapi dia kata jangan guna lebih, kalau guna lebih-lebih dia tak jadi belanja.” balas Yatt sambil tersenyum suka.

“Lama ke ayah dengan mak kau kat sana?” soal Dian pula.

“Diaorang kata tak tahu lagi, seminggu dua atau lebih. Lagipun kakak aku bersalin anak pertama, merangkap cucu pertama dalam keluarga, anak saudara pertama aku. Sedihnya, aku nak ikut tapi kita kena periksa.” jawabnya sambil mencebikkan muka, sedih tak dapat mengikut mereka ke luar negara.

“Iya la tu sedih tak dapat ikut. Aku tahu kau suka kan sebab dapat hadiah berjalan.” sampuk Nora pula.

“Mana ada suka. Pandai-pandai je kau ya, tuduh-tuduh aku.” balas Yatt menidakkan sebelum dia akhirnya tersenyum keriangan.

“Ha, aku dah cakap. Kau seronak kan dapat pergi jalan-jalan.” tutur Nora lagi selepas menyedari dugaannya berasas.

“Gila tak seronok, ayah aku bagi pakai 2.” ucapnya sambil ketawa.

“2 apa? Dua ribu?” soal Nora Jan tak percaya serentak Yatt membenarkannya.

“Ayah aku cakap maksimum 2, kalau lebih tolak duit belanja. Tapi 2 tu banyak sangat, insyaAllah tak habis. Kita kan berlima je. Satu bilik pun dah cukup rasanya. Duit yang lebih kita buat belanja.”

“Ayah dengan mak aku bagi kebenaran pun lepas aku jual nama korang semua. Asalnya ayah aku tanya nak hadiah apa tahun ni sebab dia nak beli siap-siap lepas tahu tak dapat nak sambut sekali dan kena ke UK sambut cucu. Aku pun apa lagi, aku juallah nama korang.”

“Aku cakap, aku nak pergi Genting dengan kawan-kawan. Mula-mula tu dia senyap, lepastu dia kata ok. Mak aku pun setuju. Aku pun apa lagi, yabedabedu.” tuturnya sambil tersenyum suka.

“Tapi dia pesan, elok-elok kat jalan. Jangan bawak kereta laju-laju. Lepastu yang paling penting jangan lupa baca doa.”

“Doa apa? Doa makan?” gurau Dian pula.

“Bukan doa makan, doa masuk naik kenderaan.” balas Yatt disambut deraian ketawa oleh semua.

 

Di malam yang hening dia duduk bertafakur kesorangan memikirkan segala perjalanan kehidupan. Tentang usia mudanya dulu, kemana telah dihabiskannya. Tentang alam rumahtangga yang dipenuhi dengan liku, dan tentang kehidupannya kini. Satu demi satu kenangan terbit tanpa perlu dipaksa. Tiba-tiba dia bergerak menuju ke almari kain sebelum kembali semula ke tikar sejadah dengan sehelai baju t-shirt putih yang sedia berada di tangan.

Lama baju itu ditatap sebelum dia teresak-esak menahan sebak, serentak baju itu dikucup dan di bawa ke dada.

“Ummi rindu abang…ummi rindu Razif.” tuturnya melepaskan kerinduan yang tersimpan sejak sekian lama. Kerinduan pada anak yang tak tahu bagaimana keadaannya setelah lama mereka tak bersua. Serentak dia menadah tangan berdoa, mengiringi kehidupan anak-anak yang dikashi.

“Rabbana waj alna muslimaini laka wamin dzurriayatinaa ummatan muslimatan laka wa arinaa mana sikanaa watub alaina innaka anta tawwabur rahim.”

“Wahai tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang islam yang berserah diri kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami, ummat islam yang berserah diri kepadaMu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami, sesungguhnya engkaulah yang Maha Penerima taubat lagi maha mengasihani. Amin, ya rabbal alamin.” tuturnya sebelum sujud dan beristigfar sambil menghina diri dihadapan Allah tanda kemuliaan hidup seorang insan yang bergelar hamba.  

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati