Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 42

Kedai makan Mak Andak dipenuhi dengan pelanggan seperti selalu. Udin berlari ke sana-sini demi memenuhi permintaan dan menjaga hati pelanggan, seperti moto yang telah di tetapkan, masa menunggu KO. Moto yang diperkenalkan oleh Udin sendiri, tapi nampaknya macam dah mula memakan diri, kerana tak mudah menguruskan pesanan dengan hanya berbekalkan seorang pelayan.

Kedai makanan pagi yang mengkhusus dalam masakan orang pantai timur itu tak pernah sunyi dengan pelanggan terutamanya pada waktu awal pagi. Menu pilihan semua pastinya nasi kerabu dengan lauk-lauk tambahan yang sukar untuk dibuat pilihan. Ada daging bakar, ikan goreng tepung, ayam goreng berempah dan banyak lagi sampai rambang mata dibuatnya. Kata bidalan, kalau sarapan kena makan macam raja, banyak dan mengenyangkan supaya dapatlah memberi tenaga tambahan.

Nasi dagang dengan regunya, gulai ikan tongkol sukar untuk ditolak. Kuahnya berlemak kerana direneh sampai naik minyak dan hanya peminat setianya saja akan tahu menghargai rasa yang dihidangkan ke dalam pinggan. Ditambah pula dengan sikap Mak Andak yang tak kedekut dalam penyajian, menjadikan gerai itu dikunjungi ramai dan turut membuatkannya terkenal. Kebanyakan pelanggan yang datang adalah penjawat-penjawat awam yang berkerja di kompleks bangunan kerajaan berdekatan. Memang nampak memenatkan, tapi berbaloi-baloi untuk diusahakan.

Kak Lela turut tak melepaskan peluang. Kalau dia kepingin untuk menyantap nasi kerabu, pasti warung Mak Andaklah yang dia tuju, dan kerana gerai itu jugalah dia dapat bertemu buat kali pertamanya dengan Dian yang sedang menyusun kehidupan baru ketika itu. Kereta yang dipandu diletakkan berhampiran dengan kedai makan tersebut, kerana mereka akan menaiki train ke CM nanti. Kata Dian lebih mudah menaiki kenderaan awam jika dibandingkan dengan kereta sendiri, takut sesak nanti.

Melalui Mak Andak, dia dapat mengetahui sedikit sebanyak sejarah hidup Dian. Dia sukakan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Dian dalam usia muda seperti itu. Kuat semangat dan mempunyai keyakinan pada diri sendiri, tak suka meminta-minta walaupun musibah melanda, tapi adakalanya terlalu tetap sehinggakan sukar untuknya menghulurkan bantuan.

Alasannya pastilah tak lain tak bukan kerana dia ingin berdikari dan berusaha untuk menguruskan segalanya sendiri, tak rela selama-lamanya bergantung pada orang lain dan setiap kali perkara itu berlaku, dia dah tak dapat nak cakap apa. Sokongan dan dorongan yang tak berbelah bahagi sentiasa diberikan, berserta iringan doa agar Dian sentiasa mendapat perlindungan dariNya.

Dulu mungkin dia simpati pada Dian, tapi lama kelamaan simpati itu sudah berganti sayang, dan kini dia sudah memasang angan-angan untuk menjodohkan Dian dengan anak lelaki tungggalnya yang masih menuntut di luar negara. Haikal pasti akan menerima kerana anaknya itu tak pernah menghampakannya selama ini dan alangkah senang rasa hati jika rancangan itu berjaya nanti. Bisiknya sebelum tersenyum sendiri.

“Udin, bungkuskan Kak Lela 6 nasi kerabu dengan lauk daging bakar ya. Kejap lagi akak datang ambil. Akak nak naik tengok Kak Dian dulu.” pesannya pada Udin yang sedang mengambil pesanan.

“Ok kak, siap.” balas Udin sambil tersengih.

 

Semampu daya Dian bergerak ke pintu yang sudah diketuk berkali-kali dengan menggunakan dinding rumah sebagai panduan.

“Assalammualaikum…Dian.” tutur kak Lela yang sudah termengah-mengah melepaskan lelah sambil tangannya mengusap-usap dada. Keadaan tangga yang tinggi dan curam sememangnya mencabar bagi pengguna-pengguna kali pertama separtinya ditambah pula dengan faktor usia yang turut sama menjadi penyumbangnya.

“Waalaikumussalam. Sekejap Kak Lela. Dian datang ni.” balasnya dari dalam, Kak Lela lega mendengarnya setelah sedar dia tak perlu menunggu dengan lebih lama.

“Kak Lela ni, kata pukul 9.00, ni baru pukul berapa? Dian tak siap lagi. Baru selesai gosok baju.” balasnya kalut.

“Tak apalah. Bukannya kita kena pergi sekarang. Akak sebenarnya dah lama nak merasa air tangan Mak Andak, tu yang datang awal sikit. Dah rindu rasanya sebab dah berminggu jugak akak tak pekena nasi kerabu. Takut habis.”

“Lagipun dah terbiasa keluar awal masa mengajar dulu. Duduk sorang-sorang kat rumah tu boring juga. Akak dah bungkuskan sarapan untuk semua, nanti bolehlah kita makan sama-sama.” tuturnya menjelaskan.

“Akak ni, buat susah-susah je, tapi Adam dengan Nasir mesti happy bila tahu akak belanja. Tak apalah, akak tunggu sekejap, Dian nak bersiap.” balasnya sebelum meraba-raba tuala yang tergantung di dinding.

“Dian tak payahlah rushing sangat, awal lagi. Menyesal akak naik tadi. Tengok, sekarang Dian dah jadi tergesa-gesa.” balasnya kesal kerana dia tak suka melihat Dian begitu.

“Tak ada apa yang salahnya kak. Lagipun ini pertama kali akak datang rumah Dian kan? Lupa Dian nak perkenalkan tadi, nilah bilik sewa Dian. Dah lama Dian duduk sini, sejak Dian budak-budak lagi. Arwah ummi kerja dengan Mak Andak, tu yang dia bagi sewa, tapi naman je sewa, bukannya dia nak ambil duit pun.” balasnya sambil tersenyum.

“Takpa akak duduk dulu. Dian nak mandi kejap.” tuturnya sebelum segara menuju ke bilik mandi.

“Iyalah.” balas Kak Lela sambil melabuhkan punggungnya di situ.

Kak Lela memerhatikan keadaan sekeliling bilik sebelum mengangguk-anggukkan kepala puas hati.

“Kemas.” tuturnya sepatah. Kini dia sedar, walaupun sendiri, Dian mememangnya mampu untuk berdikari.

Potrat gambar Dian bersama ummi yang terletak di atas meja berjaya menarik perhatiannya. Lama potret gambar itu ditatap. Puas dia cuba menyelongkar kotak ingatannya sebelum dia akhirnya menjumpai apa yang dicari.

“Azizah?” terpacul satu nama yang sudah lama tak diungkap, sahabat yang pernah mewarnai zaman remajanya. Dia cuba untuk membandingkan keduanya, Azizah yang dingatinya kekal muda, tapi seperti ada persamaan antara keduanya. Wajah Dian yang ada bersebelahan turut mirip dengan wajah temannya itu ketika di zaman sekolah sebelum dia bertambah yakin dengan andaian yang dibuat.

Tak berapa lama kemudian, Dian keluar setelah selesai membersihkan diri.

“Akak, kita minum dulu. Akak nak air apa? Akak minum teh tak?” soalnya yang sedang mengeringkan rambut. Kak Lela kekal sunyi sambil mata tetap tertumpu pada wajah Dian yang ada dihadapannya. Dia jadi sangat pasti, Dian adalah anak sahabat baiknya itu kerana mereka memang seiras. Serentak hatinya dihambat perasaan syahdu dan pilu.

“Kak Lela? Kenapa senyap je? Takkan tidur pulak.” gurau Dian sambil tersenyum ceria.

“Ya,ya boleh. Akak ikut je, teh pun akak suka, tapi sebelum tu, boleh akak tanya?”

“Ni ummi Dian kan? Boleh akak tahu siapa namanya?” soalnya pula segera ingin menokthahkan kesangsian. Dah tak sanggup rasanya terus-terusan dibebani dengan persoalan.

“Hmm...ummi Dian. Ummi yang paling Dian sayang, Azizah namanya. Ada satu je pun, tapi Allah dah simpan ummi dulu. Abi pun sama, dah tak ada. Abang Dian cakap, abi meninggal sehari selepas ummi pergi.” balas Dian perlahan, serentak hatinya rasa sebak semula.

Biarpun sudah lama berlalu, namun memori itu sentiasa kekal bersamanya. Satu demi satu bersilih ganti tanpa perlu dipaksa kemunculannya dan setiap kali bila teringatkan ummi dia pasti akan rasa syahdu semula.

“Dahlah, hari ni tak nak sedih-sedih. Kita nak tengok konsert kan? Jadi kenalah happy sikit, betul tak? Akak tunggu sekejap, lima minit gerenti siap.” tuturnya lagi sebelum bergerak ke dapur untuk membuat air.

“Iyalah.” balas Kak Lela. Jawapan yang sememangnya ingin didengar. Dia gembira kerana dapat bertemu dengan Dian, namun tak lama sebelum dia akhirnya tersedar. Dia telah kehilangan sahabatnya itu.

“Zizah…kau dah tak ada?” bisiknya pada diri sendiri sebelum mengusap potret gambar sahabatnya itu. Siapa sangka mereka akan dipertemukan semula dalam keadaan begitu dan tanpa dipaksa air mata membasahi kedua-dua belah pipi.

Pandangannya dialihkan pula ke arah Dian yang sedang sibuk di dapur. Walaupun hidup dalam kegelapan, kekurangan itu tak menghalangnya mengalu-alukan kedatangan tetamu. Hatinya jadi betul-betul terharu. Melihat keadaan Dian, dia jadi makin bertekad untuk menyatukannya dengan Haikal.

 

“Akak, kita naik train kan?” tuturnya selesai turun dari tangga rumah.

“Ikut Dian lah. Akak tak kisah, tapi Dian tahu stesyennya kan? Akak tak pandai sangat sebab jarang guna train.” balasnya yang masih memimpin tangan Dian.

“Itu akak jangan bimbang. Semuanya serahkan pada Dian. Dian dah pro dengan semuanya sebab kat situlah tempat Dian bermain dengan kawan-kawan masa belajar dulu. Tempat cuci mata dan telinga, seronok dapat dengar muzik-muzik daripada artis yang tak didendang, samalah macam Adam dengan Nasir. Entah apalah lagu yang mereka nak persembahkan pada kita hari ni agaknya kan?” tutur Dian dengan senyuman.

Kenangan bersama Yatt, Jan, Rozi dan Nora takkan pernah hilang daripada ingatan. Ingin dihubungi, takkan dapat dilakukannya kerana maklumat tentang mereka tersimpan di dalam telefon yang dihancurkan oleh Abang Azeem dulu. Cepat-cepat dia menghalang kenangan bersama lelaki itu, tak mahu harinya dipengaruhi lagi. Dia tak rela perasaannya kembali ke lembah itu semula.

“Kereta akak parking mana? Dah kunci ke? Jangan buat macam hari tu, tinggalkan kereta tak kunci. Bahaya tau. Mujurlah tak ada yang bawa lari.” ucap Dian mengingatkan.

“Iya tak ya jugak. Kereta ada kat depan ni je. Rasa macam dah kunci tadi, tapi kejaplah, kita buat revision bukannya susah pun kan.” balasnya sebelum mencapai kunci kereta yang terdapat di dalam beg tangan dan menekan butang kunci sekali lagi untuk memastikan.

“Dah, dah confirm kunci kali ni. Terima kasihlah sebab Dian tolong ingatkan akak. Biasalah usia dah sampai tahap klasik nasional ni, ingatan pun dah jadi klasik juga.” balasnya dengan senyuman ceria, lega kerana Dian ada untuk mengingatkannya.

“Sama-sama.” jawap Dian, gembira kerana mampu menyumbang sesuatu pada orang lain, walaupun hanya sebaris ayat kerana tak banyak sangat sumbangan yang boleh dia buat. Amanat ummi yang menyuruhnya berbakti pada orang lain sudah tak dapat ditunaikan lagi kerana dia sendiri yang perlukan bantuan kini.

“Eloklah kalau Dian tahu macam nana nak gunakan train sebab akak memang tak tahu apa-apa. Tapi kan, sebelum tu, akak nak minta satu perkara daripada Dian bolah? Akak berharap sangat Dian sanggup tunaikan.” tuturnya bersungguh-sungguh.

“Apa dia? Akak cakaplah, kalau Dian mampu Dian buat, tapi janganlah pelik-pelik sangat kak. Akak sendiri pun tahu keadaan Dian macam mana kan?” balasnya pula, sedar yang dia tak mempunyai apa-apa untuk disumbangkan.

“Dian start panggil akak, mak boleh?” tutur Kak Lela mengharap.

“Tapi kenapa? Dian dah biasa panggil akak, akak. Kenapa nak kena tukar pulak?” tuturnya kembali kerana dia mula rasa kurang selesa.

“Ok, akak nak tanya Dian. Umur ummi Dian berapa?” soal Kak Lela pula.

“55, masuk 56 kalau campur tahun ni, tapi kenapa?” soalnya pula.

“Dianlah yang salah selama hari ni. Umur akak pun 56, akak dah sebaya mak Dian, takkanlah Dian nak panggil akak lagi. Mestilah panggil mak kan? Betul tak?” balas Kak Lela. Dian berdecik, sambil memuncungkan bibirnya sedikit tak puas hati. Sudah lama mereka berkenalan dan dia sudah biasa menggunakan gelaran itu, kenapa tiba-tiba kena tukar? Bisiknya dalam hati kerana bukan mudah untuk mengatasi kebiasaan.

“Tapi Dian dah biasa…” balasnya perlahan masih cuba untuk mengelak daripada melakukannya. Apa bezanya mak atau akak, yang penting cara mereka dihormati, sambil diri tetap memikirkan keperluan untuk melaksanakannya.

“Tapi ok apa Dian panggil akak, mudalah sikit nanti. Orang lain berebut-rebut tak nak cepat tua, takut diberi gelaran sebelum sampai masanya, tapi akak tak pulak.” tambahnya semula, sengaja mahu mempengaruhi Kak Lela supaya dia menimbangkannya kembali.

“Panggilan tak menjadikan seseorang tu tua atau muda Dian. Tak ada salahnya mengaku tua, bila itu kenyataannya. Dian panggil akak, mak ya. Anak-akak akak semua duduk jauh, bila ada cuti panjang barulah mereka balik. Dian jadi anak angkat mak boleh? Dian tinggal dengan mak nak?” pelawanya pula. Dian mula jadi tak selesa.

“Sekejap kak, sekejap. Kenapa tiba-tiba je ni? Sampai nak ambil Dian jadi anak angkat lagi. Kenapa sebenarnya?” soalnya tak pasti kerana semakin lama semakin pening kepala dibuatnya.

“Kenapa? Dian tak suka?” soal Kak Lela pula setelah sedar dia terlalu mendesak tadi.

“Bukan Dian tak suka, cuma Dian tak biasa.” jawapnya. Bukan dia tak mensyukuri keperihatinan yang diberikan, cuma dia tak mahu terlalu berlebihan kerana setiap satu perhubungan akan datang bersekali dengan tanggungan. Dia takut tak mampu menguruskannya nanti.

“Dian cubalah dulu. Lama-lama nanti biasalah. Praktis dulu, kalau dah kena panggil betul-betul nanti, tak susah dah.” balasnya berharap hasratnya untuk bermenantukan Dian tercapai.

“Maksud akak?” soal Dian hairan.

“Tak ada apa-apa la. Ha, tengok, Dian panggil akak lagi. Jangan panggil akak, panggil mak. Cuba sebut, mak.” arahnya pula. Dian memuncungkan bibirnya sebelum tersenyum sumbing, nyata sangat dibuat-buat.

“Hmm…baiklah…mak.” balas Dian setelah berfikir sejenak. Memang tak ada yang salah sebenarnya cuma dia masih belum dapat membiasakan diri. Kak Lela tersenyum gembira. Bahagianya dia rasa kerana dapat membantu menjaga zuriat temannya itu. Biarpun Azizah sudah tiada, dia akan berusaha untuk menggantikan kekosongan di hati Dian.

“Dian tunggu sekejap. Mak nak ambil order tadi.” tuturnya sebelum menuju ke kaunter.

“Hari ni nak pergi mana? Pagi-pagi lagi dah keluar? Ada benda seronok ke?” soal Udin pada Kak Lela yang sedang membuat bayaran.

“Nak ke CM, kawan-kawan Kak Dian ajak tengok konsert hari ni.” jawap Kak Lela. Udin seperti tak percaya mendengarnya.

“Seronoknya, Udin nak ikut…tapi nanti tak cukup orang jaga kedai.” balasnya perlahan kerana sudah lama dia tak pergi menghiburkan hati. Bila terpandangkan mak dan abah yang sedang sibuk di station masing-masing serta-merta niatnya itu dimatikan.

“Tak apalah. Lain kali kot. Kak Lela tolong jagakan akak Udin tu elok-elok ya.” pesannya.

“Iya lah. Udin tak payah risau, Kak Lela ada. InsyaAllah petang sikit kami balik.” balasnya.

“Dian dah nak keluar? Pergi mana hari ni?” sampuk Mak Andak yang muncul secara tiba-tiba.

“Kak Dian nak pergi CM mak, nak tengok kawan-kawan dia busking. Udin nak ikut…” tuturnya yang masih terkilan.

“Udin nak ikut? Tapi kalau Udin pergi, siapa nak uruskan kat depan.” balas Mak Andak pula. Wajah anaknya yang kelat itu dipandang.

“Udin tahu, sebab tulah Udin tak pergi.” jawapnya, sedar yang dia lebih diperlukan di situ.

“Dian ambil ni, buat belanja makan dengan kawan-kawan.”

“Mak Andak, apa pulak ni? Dian ada duit sendiri. Kan Dian kerja. Mak Andak tak payahlah susah-susah.” lembut dia menolak. Dia tak mahu menyusahkan sesiapa, malah gajinya di pusat urutan sudah cukup untuk menampung kehidupannya. Dengan gaji asas RM 900 sebulan dia mampu meneruskan kelangsungan hidup. Itupun dia masih dapat memperuntukkan sebahagian daripada amaun itu untuk tujuan kecemasan.

“Ambil pakai. Tak banyak mana.” tuturnya sebelum menyelitkan duit tersebut ke tangan Dian.

“Mak Andak nak sambung kerja ni. Dian hati-hati kat jalan ya.” pesannya sambil menepuk-nepuk bahu Dian lembut.

“Tapi Mak Andak…” balasnya masih cuba untuk mengelak.

“Gunalah, bukannya selalu. Sebelum ni, setiap kali Mak Andak kasi, mesti Dian tolak, tapi hari ni jangan tolak lagi. Mak Andak nak sambung kerja dulu. Ingat, hati-hati kat jalan.” ucapnya sebelum bergegas semula ke dapur kerana masih banyak pesanan yang perlu disediakan. Dengan berat hati, Dian akhirnya menerima. Dia tak rela mengguris hati Mak Andak bila sudah terlalu banyak kali dia menolak.

Azeem yang berada berhampiran masih tetap memerhati. Dia menghargai layanan mesra mereka terhadap Dian. Dian telah mereka anggap seperti ahli keluarga sendiri. Azeem mengakui Dian hidup selesa dan bahagia di situ, malah lebih bahagia jika dibandingkan ketika hidup bersamanya dahulu. Buktinya senyuman manis itu tak pernah lekang di bibir. Sentiasa cantik dan mekar sehingga membuatkan dirinya jadi makin terpesona.

Previous: Bab 41
Next: Bab 43a

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati