Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 55

Badan yang kelesuan berjaya dicas semula setiap kali dia mendapat rawatan di situ. Urutan yang diterima terasa melonggarkan urat-urat yang sudah ketat akibat penat. Dia mengakui Abang Saiful memang seorang yang berbakat, oleh sebab itu dia mula memikirkan kaedah untuk mengembangkan lagi perusahaan tersebut. Cipta lebih banyak peluang kepada golongan istimewa seperti mereka supaya lebih ramai yang berani ke depan untuk melakar kejayaan.

“Abang, kalau Zul tanya sikit boleh? Tapi kalau abang taknak jawap pun takapa, cuma Zul ada rasa ingin tahu.” soalnya yang agak mesra bergaul bersama kerana sudah kerap kali dia ke situ dan rasanya dah tiba masa dia mengesahkan perkara tersebut.

“Boleh. Zul nak tanya apa?” balasnya pula.

“Zul nak tanya, macam mana abang boleh tak nampak?” soalnya sebagai pengenalan sebelum memperoleh maklumat yang diperlukan.

“Abang jadi buta lepas doktor sahkan abang menghidap glaucoma. Abang sedar pun dah lambat. Memang masih mampu dirawat, tapi masalahnya duit. Abang anak sulung yang jadi harapan semua dan abang tak sanggup nak menghampakan keluarga.” tuturnya sebelum mengimbau semula kenangan lama.

“Kami bukan orang senang, ramai lagi adik-adik yang nak bersekolah. Memang abang terkejut sangat masa tu, tapi abang nekad untuk teruskan. Bila abang pasti yang abang dah tak boleh nak kumpul duit untuk rawatan, abang mula terima apa yang jadi, dan mula berfikir untuk cari jalan bagi sara keluarga kami. Masatu abang dah buat keputusan untuk belajar urutan dan siapkan diri. Mujurlah sebelum sakit abang sempat kerja dan dapat kumpul duit sikit.” tambahnya lagi.

“Dian pun sama?” soalnya bila mendapat peluang.

“Dian? Zul kenal dengan Dian?” soal Abang Saiful hairan.

“Ke..kenal, rasanya macam pernah jumpa, tapi masa tu dia masih ok, matanya masih boleh nampak. Sejak bila dia jadi macam tu?” balas Azeem sedikit terkejut dalam usaha untuk menyembunyikan kebenaran.

“Penyakit glaucoma ni boleh diibaratkan macam anai-anai yang makan daripada dalam. Perlahan-lahan sampai kita sendiri pun tak sedar. Selagi tak serius, selagi itulah kita sendiri tak perasan. Kes Dian sama macam kes abang. Dia sedar pun bila dah teruk.” terangnya menjelaskan keadaan.

“Dah tak ada apa-apa rawatan yang boleh dibuat?” soalnya ingin mencari jawapan daripada orang yang lebih berpengalaman.

“Macam abang ni, memang dah tak adalah rasanya, tapi Dian abang tak pasti. Mungkin masih ada peluang untuk dia sembuhkan matanya tu. Abang tak boleh nak pastikan sebab hanya dia sendiri yang tahu keadaannya.” jawap Abang Saiful sambil urutan beralih ke bahagian belakang badan.

“Haritu adalah abang tanya dengan dia, macam mana dengan mata? Dia kata dia masih boleh nampak lagi, sikit, tapi dah tak berapa jelas. Abang rasa dalam keadaan macam tu rawatan pembedahan mungkin masih berkesan, itupun kalau abang tak silap la.” balasnya dengan tangan yang masih menjalankan tugasan.

“Kenapa Zul tanya? Zul kesian tengok kami macam ni?” soalnya sambil ketawa. Dia tahu lelaki yang hidup mewah seperti Zul takkan datang mengunjungi pusat urutan yang amat biasa sebegitu kalau bukan atas dasar simpati.

“Mana ada abang ni. Bukan kesianlah, cuma tumpang rasa. Zul rasa gembira dan bangga bila tengok abang dengan dia mahu dan mampu untuk hidup berdikari sedang masih terdapat segelintir anak muda kita yang sempurna fizikalnya tetap leka bersuka ria tanpa berfikir untuk mengusahakan apa-apa, malah tak pernah pun peduli apa yang terjadi.” tuturnya sedikit kesal.

“Tapi abang dengan Dian berbeza, sentiasa berusaha dan yang paling penting, sentiasa murah dengan senyuman.” balasnya seketika kemudian, gembira kerana dia sudah mendapat jawapan. Serentak dia teringatkan lampu bilik Dian yang sentiasa terpasang.

“Kalau betul dia langsung dah tak boleh nampak, takkan dia pasang lampu kan?” bisiknya sendiri sebelum dia tersenyum penuh keceriaan.

 

Haikal berjalan beriringan bersama-sama Dian menuju ke bilik sewanya. Sudah semalaman dia memikirkan perkara tersebut dan dia pasti masanya telah tiba. Dia sudah tak mahu bertangguh lagi dan kini dia bersedia untuk menyatakan hasratnya itu.

“Ok Dian, dah sampai.” tuturnya ketika menghampiri ruang tangga.

“Terima kasih sebab belanja Haikal makan. Susah dengan Dian ni, Haikal nak belanja tak nak. Malulah lelaki kena makan belanja orang perempuan.” tuturnya kecewa. Dia sudah tak dapat menolak kali ini bila Dian tetap berkeras untuk melangsaikan bayaran dan dia tak mahu menghampakan sahabatnya itu.

“Nak malu apanya? Dian tak selesa bila setiap kali keluar Haikal yang belanja. Tak seronok la macam tu. Masa Dian study dulu, bila keluar dengan kawan-kawan, adalah yang bayarkan dulu, bila dah balik bilik, mulalah menghitung hutang masing-masing, sampai siap ambil mesin kira. Seronok sebab semua tahu tanggungjawap sendiri, tapi dah macam kes ceti.” balasnya sambil ketawa. Kegembiraan bersama rakan-rakan sekolej tak mudah untuk dilupakan.

“Itu lain.” balas Haikal tetap berasa tak puas hati.

“Apa yang lainnya? Haikal pun kawan Dian. Jadi samalah tu, Dian tak nak jadi kawan yang suka ambil kesempatan walaupun hakikatnya kita berkawan.”

“Tapi…kalau Haikal tak nak kita setakat jadi kawan, Dian nak tak? Dian nak tak kalau…”

“Haikal, tolonglah. Kan kita dah bincang hal ni. Dian masih isteri orang, Dian dah ada suami. Sedang kita keluar berdua macam ni pun dah salah, tolonglah jangan buat Dian rasa lebih bersalah.”

“Dulu kan Haikal dah janji nak kawan je, tapi kenapa sekarang bangkitkannya lagi?” tutur Dian kesal. Niatnya murni, setakat ingin bersahabat, tak lebih daripada itu.

Tak ada salahnya berkawan selagi mereka tak melanggar peraturan, tambahan pula dia rasa hubungannya dengan Azeem sudah lama ditamatkan. Lebih-lebih lagi, Haikal adalah anak mak, sahabat lama ummi. Rasanya tak adalah salah sangat. Betul ke macam tu? Entahlah, sakit betul kepala, bisiknya di dalam hati. Pening dibuatnya, lagi difikir lagi berdenyut-denyut isinya.

“Haikal tahu tu, sekarang memanglah Dian masih isteri orang, tapi nanti. Manalah tahu yang satu hari nanti Dian nak mulakan semuanya semula. Dian sanggup tak beri Haikal peluang untuk isi kekosongan tu nanti?”

“Atau, boleh tak Haikal tunggu Dian sampai masa tu tiba?” soal Haikal mahukan kepastian. Dia perlukan jawapan yang jujur daripada Dian sebelum menguruskan segalanya.

“Haikal, Dian nak minta maaf sebab rasanya masa tu takkan tiba. Tolonglah jangan tunggu Dian sebab Dian dah selesa hidup sorang-sorang macam ni, kat sini. Haikal seorang lelaki yang baik dan Dian yakin sangat ada seorang wanita yang terbaik Allah dah tetapkan untuk Haikal nanti, tapi yang pasti dia bukan Dian.” balasnya.

“Sebab kat hati Dian masih ada dia kan? Betul Dian masih sayangkan dia?” soal Haikal mahu tahu kebenaran. Apa yang hatinya mahu tak sentiasa akan berlaku. Dia memang sudah jatuh hati dengan Dian tapi sesekali paksaan takkan dilibatkan. Biarpun tak dapat memiliki Dian dia sudah cukup gembira melihat sahabatnya itu memperoleh kebahagiaan.

Serentak Dian terkesima. Soalan yang tak pernah terdetik di hatinya sendiri. Apakah perasaan dia pada Abang Azeem sebenarnya? Cinta? Pernahkah dia jatuh cinta dengan lelaki itu selama ini? Fikirannya merawang mengingati sisa-sisa kenangan antara mereka yang masih ada tersimpan. Walaupun sudah berusaha untuk menghapuskannya, tapi entah kenapa ianya jadi makin jelas semula sejak kebelakangan ini.

“Dian tolonglah jawap soalan Haikal. Haikal betul-betul perlukan jawapan.” “Haikal mengaku yang Haikal dah jatuh hati pada Dian. Kalau Dian sudi, Haikal takkan teragak-agak untuk sunting Dian. Bukan sebab untuk memenuhi hasrat mak, tapi betul-betul datang daripada hati.” tutur Haikal tegas.

“Memanglah masa mula-mula kita kenal dulu Haikal rasa simpati bila tengok Dian, tapi sekarang tak lagi. Haikal sungguh-sungguh nak jadikan Dian isteri, penyeri dalam hidup ni, teman sejati sampai ke akhir hayat nanti.” tuturnya lagi membuat pengakuan. Dia sangat menyayangi Dian, bukan kerana simpati tapi kerana hati. Wajah Dian yang sepi membimbangkannya. Jelas terpancar rasa yang kurang selesa di situ. Hilang semua senyuman yang menguntum ceria sebelumnya.

“Haikal akan terima segala keputusan Dian, tapi tolonglah jawap soalan Haikal tadi. Dian tak boleh terima Haikal sebab masih cintakan dia? Dian masih simpan harapan untuk kembali semula pada dia?” soalnya yang tak mengenal erti putus asa kerana sepatah jawapan Dian akan menentukan segalanya.

Dia tak mahu memaksa kerana dia yakin takkan pernah ada kebahagiaan dalam keterpaksaaan. Kejujuran dan keiklasan adalah penentu kebahagiaan. Andai penyatuan semula sebuah keluarga yang Dian inginkan, dia akan memberi bantuan walaupun itu bermakna dia bakal melukai hatinya sendiri. Dia sanggup untuk menghadapai segala, asalkan Dian dapat bertemu dengan cintanya.

Perlahan-lahan Dian mengangguk setelah pasti hatinya telah dimiliki oleh seorang lelaki yang bergelar suami. Azeem, nama yang tak asing baginya, teman baik Abang Razif malah merangkap abang angkatnya sendiri sejak sekian lama. Dia sendiri sukar untuk memahami diri, tapi mungkin semuanya disebabkan ummi.

Cinta ummi pada abi tak pernah kurang. Meskipun setelah mereka hidup berjauhan, sekalipun ummi tak pernah membangkitkan tentang keburukan abi dihadapannya, malah ummi sentiasa berdoa agar abi berubah dan mendapat hidayah dari Allah.

Kata ummi, cinta seorang isteri tu diukur dengan ketaatannya pada suami mengikut nas-nas yang dibenarkan. Itu pegangan ummi dan itu jugalah yang dipegangnya selama ini. Mungkin Abang Azeem hanya melayannya atas dasar keperluan, tapi dia tak pernah mengingkari tanggungjawap yang diamanahkan. Keperluannya sebagai isteri tak diabaikan. Makan dan pakainya terjaga, bahkan tak pernah ada yang kurang sebenarnya, melainkan cinta, kerana cinta lelaki itu dah jadi milik orang lain.

Haikal yang menyaksikannya tersenyum. Dia bangga dengan Dian, bangga kerana dapat mengenali insan yang sebaik itu.

“Betullah apa yang Haikal fikirkan selama ni, Dian memang jenis yang setia. Alangkah baiknya jika kita berkenalan lebih awal. Haikal pasti akan jadi lelaki yang paling bahagia kerana dapat cinta Dian, tapi takdir kan, Dia tak izinkan perkara tu berlaku sebab Dian memang milik orang lain.” balas Haikal lega. Lega kerana cintanya pada Dian telah menemui penamatnya. Lega kerana tak perlu terus-terusan mendambakan sesuatu yang bukan ditentukan untuknya, juga lega kerana paling tidak dia mampu membantu Dian mencapai hasratnya itu.

“Takpa, Dian naiklah atas berehat. Sebagai sahabat, merangkap saudara angkat Dian, Haikal terima semuanya dengan berlapang dada. Haikal akan sentiasa doakan kebahagiaan Dian. Moga Dian akan sentiasa mendapat redha Allah.”

“Lupakanlah apa yang Haikal cakap tadi. Haikal harap ia takkan mengubah hubungan persahabatan kita sebelumnya. Kawan?” tuturnya mahu menjernihkan semula kekeruhan yang melanda hati dan fikiran Dian.

“Ok…kawan, tapi Haikal kena janji dengan Dian, tolong jangan bangkitkan hal ini lagi.” tutur Dian meminta kerjasama.

“Ok, Haikal janji, insyaAllah. Dian naiklah dulu. Haikal tunggu kat sini, manalah tahu nanti ada apa-apa yang jadi.” cadangnya mengubah intonasi sebelum suasana yang muram segara berganti ceria semula.

“Hmm…nanti jangan lupa kirim salam Dian pada mak. Bawak kereta elok-elok. Assalammualaikum.” balasnya sebelum berhati-hati mendaki.

“Waalaikumussalam, insyaAllah…” ucap Haikal perlahan. Pandangannya masih tertumpu pada Dian. Pertemuannya dengan Azeem semalam telah membantu untuk mematikan bunga cinta yang sedang mekar di taman hati. Ditambah pula dengan pengakuan Dian sebentar tadi membuatkan dia pasti, Dian sememangnya tak mampu untuk dimiliki kerana hatinya telah bertemu dangan pemiliknya yang sejati, lelaki yang wajib untuk ditaati isteri, seorang suami, tempat hati dikunci.

Previous: Bab 54
Next: Bab 56

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati