Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 11

Azeem berusaha untuk menyambung tugasan sebelum fikirannya terganggu semula. Sukar baginya menerima rancangan opah itu. Mengahwini seorang wanita yang tak dikenalinya demi seorang waris yang dinanti. Perlukah dia merelakan semua itu? Seandainya rancangan itu tetap tak berjaya, apa pula yang akan opah lakukan nanti? Takkanlah waktu tu opah akan mencarikan dia isteri lain lagi?

“Opah memang dah gila.” Bisiknya pada diri sendiri. Tambah merunsingkan bila Aida dilihat turut memberikan kerjasama. Kenapa Aida tak membantah, malah tak habis-habis memujuknya pula.

“Gila. Semua orang dah gila agaknya!” tuturnya geram. Semua dilihat mahu memenuhi kehendak sendiri, sampai tiada siapa yang mengambil tahu tentang perasaannya lagi.

Bunyi pintu yang dibuka agak kuat mengejutkannya sebelum Aida dengan penampilan yang kekal anggun dan seksi pantas menghampirinya.

“Honey you busy ke?” soalnya sebelum duduk di ribaan Azeem. Azeem takkan dapat menolak tubuh langsing isterinya itu. Hangat, cantik dan seksi seperti selalu. Dia bangga bila berdampingan bersama dan bangga bila melihat mata-mata lain yang memandang iri padanya kerana memiliki isteri sehebat itu.

“Kenapa, you ada plan?” soal Azeem pula, serentak dia merangkul pinggang isterinya itu.

“Malam ni you kena ikut I clubbing. Semalam you tak join, semua dah bising, tapi kali ni you kena ikut. Please no more accuses. Tonight Linda will be celeberating her birthday and we cannot miss it dan you pun tahu, kalau kita tak datang mesti dia merajuk.” tutur Aida sambil wajah suaminya itu di main-mainkan dengan jari. Ruang pejabat yang luas dan sunyi memberi mereka kesempatan untuk bermesra tanpa mendapat gangguan daripada sesiapa.

Azeem bahagia. Hatinya berbunga ceria. Kehadiran Aida sedikit sebanyak dapat mengubat hatinya yang sedang gundah-gulana. Wajah cantik Aida mampu membuatkannya tersenyum. Mungkin itulah yang dinamakan cinta pertama, perasaannya mekar dan berbunga sepanjang masa.

“Sorry sayang. Malam ni I betul-betul tak boleh. Ada dinner dengan client, dah masuk kali kedua I tunda meeting ni. I need to accompany him.” tutur Azeem, serentak tangan Aida diraih dan dikucup mesra.

“You sendiri kenal kan opah macam mana? Silap haribulan, dengan I sekali dia halau keluar. Maybe next time. Just sent may apology to her and I’m sure she will understand. Jangan lupa ucapkan tahniah pada dia bagi pihak I.” tutur Azeem lagi.

“You ni takkanlah kirim tahniah je. I dah janji, bill malam ni atas kita. Lagipun I tak prepare apa-apa lagi untuk dia.” tuturnya sambil membuat muka. Azeem segera mencapai dompetnya sebelum mengeluarkan sekeping kad kredit yang terdapat di situ.

“Untuk you honey. I love you.” ucapnya sebelum kad bertukar tangan.

“Thank you sayang. I love you too.” balas Aida gembira sambil merangkul tubuh Azeem rapat padanya.

 

Tubuh ummi yang sedang terbaring kaku ditatap tak berkelip. Masa semakin berdetik, tapi dia tetap tak dapat memikirkan cara untuk membantu ummi. Kalau minta pertolongan Mak Andak, entah dia ada duit ke tidak. Duit biasiswanya pun dah dipotong, kalau tak, dapatlah dia menggunakannya untuk ummi.

Otaknya betul-betul dah beku. Perlukah dia berputus asa saja dan mambawa ummi ke hospital kerajaan seperti yang dicadangkan? Kalaupun begitu, dia tetap memerlukan belanja untuk menguruskannya, sedang dia tak punya apa-apa. Perlahan-lahan tangan ummi dikucup lembut sebelum mukanya di sembamkan di situ.

“Ummi…” tuturnya sayu. Gerimis di hatinya muncul semula setelah sedar dia takkan dapat mengadakan duit sebanyak itu. Pembedahan ummi takkan dapat dijalankan dan dia tak tahu mahu melakukan apa lagi. Sedang dia melayan emosi, tiba-tiba dia teringatkan Lilly, rakan serumahnya yang mampu hidup mewah hanya dengan melakukan perkerjaan sambilan. Segera telefon bimbitnya diraih, serentak air mata yang masih bersisa pantas diseka.

“Assalammualaikum, Lilly. Kau kat mana?” soalnya.

“Aku ada kelas ni. Kenapa cuak? Bunyi macam ada masalah je?” balasnya perlahan.

“Kau ingat tak yang haritu kau ada ajak aku kerja part time sekali dengan kau. Agaknya kalau aku nak kerja sekarang masih boleh dapat ke?” soalnya lagi. Walaupun tak mengetahui pekerjaan yang bakal dilakukan, dia tetap perlu mencubanya kerana hanya itu pilihan yang dia ada.

“Betul ke ni? Tu la, hari tu aku ajak, kau tak nak. Kalau tak sekarang dah senang dah hidup kau. Takpalah, kau tunggu aku kat rumah. Nanti aku bawak kau pergi kerja sama-sama. Aku rasa tak ada masalah untuk kau kerja, sebab memang diorang memang nak pakai pekerja masa ni.” jelas Lilly.

“Betul ke Lilly?” soalnya tak percaya. Semudah itu dia mendapat kerja.

“Betullah. Takkan kau tak percaya kat aku. Ada jugak student-student lain yang buat kerja kat situ. Takpalah nanti aku balik kita cerita.” tambahnya lagi.

“Tapi kau agak-agak, kalau aku nak minta advance dia bagi tak?” soalnya takut-takut.

“Advance? Kenapa? Kau nak pakai duit sangat ke?”

“Hmm. Aku memang nak pakai duit, urgent. Kau rasa boleh dapat tak?”

“Itu aku tak pasti. Takpa nanti aku tanya, tapi aku rasa tak ada masalah kot. Dian, Prof dah sampai, malam nanti kita jumpa. Assalammualaikum.” tuturnya sebelum mematikan talian.

“Waalaikumussalam.” balas Dian gembira. Tak sangka Allah memudahkan jalannya, jalan untuk membantu ummi, dan diharapkan usahanya itu dirahmati.

“Tapi kerja apa ya?” soalnya pada diri sendiri, menyedari yang dia terlupa untuk menanyakannya tadi.

 

Setibanya di rumah, Lilly mengarahkan Dian untuk bersiap-siap. Katanya dia sudah memaklumkan kepada boss tentang dirinya.

“Aku dah call boss tadi dan dia setuju nak ambil kau kerja. Tentang advance tu, dia kata boleh tak ada masalah. Tapi kau kena janjilah takkan berhenti macam tu je nanti, rugilah dia.” terang Lilly yang sedang merapikan wajahnya di cermin.

“Betul ke Lilly? Alhamdulillah. Terima kasih sebab tolong aku. Aku tak tahu macam mana nak balas pertolongan kau ni.” balas Dian gembira.

“Tak payah ucap terima kasih. Aku bukannya buat apa-apa, cuma bantu kau cari kerja, selebihnya kau sendiri yang kena buat. Aku seronok sebab adalah kawan nanti.” tuturnya sambil tersenyum.

“Nak pakai baju apa? Kena pakai baju formal? Ke boleh aku pakai macam biasa?” soal Dian pula. Sambil menunjukkan baju kemeja yang sedia tergantung di dinding.

“Boleh, boleh. Tak ada masalah. Nanti sampai sana kita tukarlah.” balasnya pula.

“Tapi daripada tadi kau tak bagitahu, kita kena buat kerja apa sebenarnya?” soal Dian. Dia sendiri tidak mengetahui tugasan yang perlu dilakukan, yang dia nampak hanya hasilnya. Hidup Lilly berubah 360 darjah setelah berbulan-bulan melakukan pekerjaan tersebut. Lilly dapat berbelanja mewah, sampai boleh beli kereta dengan hasil kerja sambilannya, tapi pelik tak pernah pula Lilly menceritakan kepadanya dengan lebih lanjut.

“Kita buat kerja macam PA, tak banyak bezapun sebenarnya. Takpalah kejap lagi sampai, aku tunjukkan apa yang kau kena buat. Aku yakin, kau mesti akan seronok nanti.” balasnya sambil merapikan mekap di muka.

“Okey.” dalam teragak-agak, Dian menjawap.

“Seronok? Apa yang kita kena buat sebenarnya?” bisikya dalam hati.

 

Ramai pengunjung berpusu-pusu masuk kedalam pusat hiburan tersebut, tak ketinggalan Dian dan Lilly. Dian mula kurang selesa kerana hatinya rasa tak tenang. Tak pernah dia menjangka tempat yang dimaksudkan Lilly adalah kelab malam. Apa yang boleh dilakukannya nanti? Dia mula menyesali tindakannya itu. Kalau ummi tahu dia menjejakkan kaki ke situ, pasti ummi kecewa. Bisiknya dalam hati.

“Lilly. Aku nak balik lah.” tuturnya, namun tak diendahkan kerana ditenggelami dengan bunyi muzik yang kuat, sebaliknya tangan itu dipimpin untuk terus mengikutinya. Dian mula pening. Suasana yang gamat terasa menyesakkan dada, malah turut memekakkan telinga.

“Madam. Ni Diana, kawan yang saya begitahu tadi.” Dian diperkenalkan kepada seorang wanita cina pertengahan usia yang tak kurang seksinya.

“Dian, ni madam. Boss tempat ni.” tuturnya pula kepada Dian.

“Emm. Cantik you punya kawan. You bawa dia masuk dalam. Kasi tukar baju dulu, kemudian you ajar dia apa yang kena buat.” arah madam sambil tersenyum gembira.

“Ok madam.” balasnya sebelum segera dia menarik tangan Dian menuju ke sebuah bilik yang berada sedikit tersorok daripada pandangan.

Sesampainya mereka di situ, Lily memberikannya sehelai gaun seksi, sampai terseksa mata melihatnya. Mulut Dian terlopong, sebelum dia meneguk air liur sendiri.

“Nah, kau ambil ni pakai.” arahnya. Dian masih terpaku, tak tahu mahu buat apa. Gaun yang tak berlengan, silap hari bulan boleh nampak bulu ketiak dengan panjang lebih sikit daripada dua kaki itu di sambut dan dibelek penuh kehairanan, serentak dia menggeleng-gelengkan kepala.

“Ni kerja gila Lilly. Takkan nak kena pakai macam ni? Kau kata kita kerja PA, tapi kenapa kena pakai seksi sampai macam ni? Aku tak nak. Aku nak balik.” tegasnya. Serentak dia melangkah meninggalkan bilik persalinan tersebut.

“Dian tunggu dulu. Aku tak beritahu kau daripada awal sebab ni lah.” balasnya sebelum mencapai tangan Dian.

“Aku tahu, kalau aku cakap yang kita kerja kat tempat ni mesti kau tak nak ikut punya, tapi kita bukannya buat salah pun. Bukannya kena jual diri pada siapa-siapa. Kerjanya senang je. Kita pakai baju ni, lepastu pergi ambil dan hantarkan pesanan.”

“Kau kata kau nak pakai duit kan? Madam dah janji nak bagi pinjam. Betul kau taknak ni? Kau tak menyesal?” pujuk Lilly dan dengan perasaan tak bersalah, gaun itu diberikan semula kepada Dian. Dian mula tergoda mendengarnya.

“Ambillah pakai. Kita orang susah Dian. Masa kita susah ada orang nak tolong kita? Madam tu baik orangnya, aku boleh jamin dia takkan paksa kita buat yang bukan-bukan. Lagipun bukannya kena kerja sepanjang hidup. Kumpul duit banyak-banyak lepastu kita berhentilah. Kalau nasib kita baik, dapatlah kumpul tips lebih.”

“Kau tengok aku ni, contoh yang terbaik. Baru berapa bulan aku kerja, dah boleh pakai kereta. Ambillah pakai. Kita dah lambat ni. Dah penuh pelanggan kat luar tu. Cepatlah, nanti madam bising.” rayunya lagi. Dian masih memikirkan kewajaran kata-kata Lilly. Benar dia sudah sampai ke jalan mati dan hanya Madam dilihat satu-satu jalan keluarnya kini. Perlahan-lahan huluran itu di sambut dan Lilly gembira tak terkata.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati