Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 30

Keesokan harinya Razif datang lagi untuk menjemput Dian sebelum mereka sama-sama bertolak ke hospital. Dian gembira kerana dapat berkongsi cerita tentang ummi begitu juga Razif. Semua cerita tentang dia dan abi tak lupa untuk diceritakan. Masa-masa yang ada akan digunakan dengan sebaiknya untuk mengganti masa lalu yang sudah keduanya ketinggalan.

Dian lega kerana sedikit sebanyak bebanan emosi yang ditanggungnya selama ini dapat dikongsi bersama abangnya itu. Mereka rancak berbual tanpa langsung menyedari kereta mereka sedang diekori. Aksi Azeem tak ubah seperti mata-mata gelap, fokus dan tetap, tak mahu terlepas sasaran yang dihendap.

“Ini kerja kau ya…masa aku tak ada, kau menggatal dengan lelaki lain. Kau tengoklah apa yang aku akan buat nanti. Kau memang nak kena. Perempuan tak guna!” gerutunya sendiri. Matanya tajam memandang kereta di hadapan, tak rela membiarkan diri ditinggalkan.

 Puas mengekori, akhirnya kereta berhenti di tempat yang sama, hospital itu juga. Azeem mengerutkan keningnya kehairanan, sebelum diganti perasaan cemburu kembali. Kemesraan yang ditunjukkan Dian dan lelaki itu mencarik-carik hatinya. Dian dilihat merelakan tangannya dipimpin lelaki asing tersebut, paling tak tahan, senyuman tu. Senyuman yang begitu mahal dipamer dihadapannya, rupa-rupanya dengan mudah boleh diberikan pada lelaki lain.

Tiba-tiba hasutan si pembisik itu datang lagi. Kini dia sudah mula sangsi tentang kandungan si isteri. Dengan muka yang merah menahan marah, satu hentakan kuat dilepaskan pada stereng kereta yang nyata tak melakukan kesalahan apa-apa.

 

Razif berjalan beriringan dengan Dian yang sudah nampak semakin sukar untuk melangkah dan dia tak melepaskan peluang untuk membantu selagi dia berada di situ. Tangan Dian dipimpin sambil kedua-duanya menaiki anak tangga ke tingkat atas. Sesampainya di bilik ummi, segera Dian didudukkan kerana dia tak mahu adiknya itu terlalu kepenatan.

“Assalammualaikum ummi…” tutur mereka serentak sebelum kedua-duanya saling berpandangan lalu ketawa ceria.

“Ummi, abang dengan adik dah sampai ni.” tutur Razif sebelum menyalami dan mengucup tangan ummi lembut. Dian turut melakukan perkara yang sama kerana dia sudah rindukan ummi semula.

“Ummi, Dian dah datang ni.” tuturnya pula. Gembira dan bersyukur kerana matanya masih dapat menatap wajah ummi yang dicinta.

“Ummi, ummi maafkan abang. Abang nak minta maaf sebab tak dapat nak temankan ummi lama kat sini.” tuturnya sambil mengucup pipi ummi.

“Malam ni abang dah kena balik. Abi dah tak kuat, tapi abang janji dengan ummi, abang akan balik lagi untuk jenguk ummi nanti. Ummi tunggu abang ya.” tambah Razif menjelaskan keadaan. Biarpun ummi terkujur begitu, dia tetap berharap ummi mendengar kata-katanya itu. Sukar untuk dia meninggalkan ummi, tapi keadaan kesihatan abi telah memaksanya untuk pergi.

“Betul ke abang dah nak balik malam ni?” balas Dian terkejut. Tiba-tiba dia teringatkan abi dan segera dia menerima kenyataan, abi juga perlukan penjagaan. Kedua-dua mereka mempunyai tanggungjawap yang harus dilakukan kerana ummi dan abi masing-masing perlukan perhatian.

“Hmm. Bukannya abang tak nak tinggal lama kat sini, tapi abi. Keadaan abi yang tak mengizinkan. Tadi Rudi ada telefon, dia suruh abang balik.” balasnya.

“Kenapa? Ada apa-apa yang tak elok jadi pada abi ke?” soal Dian yang mula bimbang.

“Takadalah. Tak ada apa-apa. Cuma dia minta abang balik untuk uruskan hal-hal berkaitan dengan abi. Dian tak payahlah risau, insyaAllah abi ok.” tuturnya berbohong, tak mahu membebankan fikiran Dian pada waktu-waktu seperti itu kerana Dian perlu memberi perhatian pada diri dan kandungannya. Hal-hal berkaitan abi biarlah dia yang menguruskan.

“Tapi abang janji, bila keadaan abi dah bertambah baik, abang akan balik semula. Lagipun abang nak jumpa dengan kawan lama abang tu, baby ni lagi. Kalau Allah izinkan, kita akan bersatu semula sebagai sebuah keluarga nanti. Abi, ummi, abang dengan adik, semua sekali. Kita doa sama-sama.” tuturnya memutikkan harapan di dalam dirinya dan Dian.

Semuanya kehendak Allah. Pertemuan dan perpisahan memang adat manusia biasa kerana ia takkan pernah jemu menjengah dan setiap sesuatu yang berlaku pasti ada khikmah. Walaupun sukar, mereka perlu menerimanya dengan reda kerana hanya Dia yang mengetahui segala-galanya dan Allah sesekali takkan pernah menganiyai hambanya.

“InsyaAllah. Dah tu flight abang pukul berapa?” balas Dian setelah dapat menerima kenyataan yang mereka bakal berpisah semula.

“Pukul 8 malam nanti. Sementara tu, adik kena temankan abang.”

“Ok boleh, sebab Abang Azeem pun tak balik lagi. Janji, abang jangan lupa balik lagi, bawa abi sekali nanti.” tuturnya mahu mengubat hati.

“InsyaAllah, abang janji. Kita doa sama-sama.” balasnya sebelum menggenggem tangan Dian. Dian menganguk sambil tersenyum mesra.

“Ummi, abang harap bila kita jumpa lagi, ummi dah boleh nampak abang.” ucapnya sambil beralih pula pada ummi yang sentiasa diingati.

“Abang sayang ummi.” tuturnya lagi. Setitis airmatanya jatuh juga kerana sedar mereka terpaksa berpisah semula.

 

Tangannya diramas-ramas geram kerana dia berasa sangat tak tenteram. Jam di dinding dijeling lagi. Sudah berjam-jam dia menanti, tapi yang dinanti tetap juga tak kembali. Setelah bosan menunggu, dia akhirnya mendaki anak tangga menuju ke bilik tidurnya.

Bunyi deruan enjin kereta yang agak kuat mengejutkan Azeem yang telah terlena. Pantas langkahnya diarahkan ke jendela yang terletak berhadapan dengan garaj kereta. Seperti apa yang disangka, Dian sudah kembali setelah seharian menghabiskan masa bersama lelaki yang dilihatnya tadi. Hatinya panas lagi, bahangnya sudah terasa sampai ke kepala serentak Dian yang baru keluar daripada perut teksi dipandang penuh benci.

Sesampainya di rumah, Dian melepaskan lelahnya di sofa panjang sebelum betis yang terasa keras dipicit-picit untuk mengurangkan kekejangan sedang ingatannya tetap pada Abang Razif yang baru beberapa hari ditemukan bersama. Panggilan masuk yang tertera pada skrin telefon bimbitnya segera menguntumkan senyuman di wajah.

“Panjang umur abang.” tuturnya perlahan bila mengetahui gerangan si pemanggil.

“Assalammualaikum abang. Abang ni macam tahu-tahu je yang adik tengah ingatkan abang.” ucapnya gembira. Kegembiraan yang tak dapat untuk disembunyikan olehnya.

“Waalaikumussalam. Apalah adik ni. Abang tak bertolak pun lagi, tapi adik dah rindu.” balas Razif dalam senyuman kerana dia turut merasai perkara yang sama.

“Abang pun sama jugak sebenarnya. Kalau diikutkan hati memang abang nak stay lama sikit dekat sini, tapi abi. Abi lebih perlukan abang.” tuturnya perlahan.

“Tapi takpalah, insyaAllah. InsyaAllah, nanti kita jumpa lagi. Adik dah sampai rumah?” soalnya kembali, mula bimbangkan keselamatan adiknya itu. Ingin dihantar adiknya itu berkeras menolak, tambahan pula waktu dah semakin suntuk dan dia tak mahu terlepas penerbanganya nanti.

“Dah. Adik dah sampai. Abang dah kat mana? Dah sampai airport?” soalnya pula.

“Belum lagi, masih dalam perjalanan. Sekejap lagi sampailah rasanya. Abang lupa nak pesan pada Dian tadi. Tolong kirim salam abang pada Azeem. InsyaAllah nanti abang balik lagi. Dian jaga diri, jaga baby. Abang minta maaf sebab tak dapat nak sambut ahli keluarga terbaru kita. Bila keadaan dah mengizinkan insyaAllah kita jumpa.” tuturnya lagi kerana hanya dengan izinNya segala akan terjadi.

“InsyaAllah. Abang pun jaga diri. Jangan lupa kirim salam adik pada abi ya.” balasnya.

“InsyaAllah. Assalammualaikum.” tuturnya menamatkan perbualan.

“Waalaikumussalam.” ucap Dian mendoakan kesejahteraan diri seorang abang. Senyuman ceria masih terukir di bibir. Pertemuan semula ini sememangnya anugerah yang tak terhingga dari Illahi. Dian tahu ummi pasti sangat gembira kerana dapat bertemu semula dengan Abang Razif. Walaupun tak mampu mengungkapkannya, dia dapat merasakan yang ummi bahagia kerana penantiannya selama ini berakhir juga.

Previous: Bab 29
Next: Bab 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati