Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 26

Tudung bawal coklat gelap yang tersarung di kepala dirapikan semula sebelum dia mencapai beg kain yang terdampar diatas katil sambil memeriksa isinya sekali lagi.

“Ok, sarapan pun dah. Sekarang dah boleh bertolak.” tuturnya setelah memastikan segala keparluan disediakan.

Cadangan opah untuk menggunakan pembantu rumah akhirnya tidak diturutkan bila dia rasa keberatan kerana tugas-tugas di rumah tidaklah seberat mana dan dia masih mampu untuk melakukannya.

“Kau dah siap? Kalau dah tunggu aku sekejap. Pergi sekali dengan aku.” tutur Azeem yang sedang bersarapan di meja tadkala terlihat kelibat Dian yang baru keluar dari bilik. Cepat-cepat Dian mengurut dadanya, terkejut.

“Takpa, takpa abang Azeem, Dian boleh pergi sendiri. Lagipun susah nanti, abang Azeem kena patah balik ke belakang. Dian pergi dulu. Assalammualaikum.” balasnya segera mengelak. Dengan pantas dia membuka langkah untuk beredar.

“Dian!” tutur Azeem sepatah, namun sudah cukup membuatkan keberaniannya hancur dan berpecah. Serta merta dia terpaku.

“Kenapa banyak sangat bunyinya? Kalupun susah, yang susah tu aku, bukannya kau.” tuturnya ketika berjalan melepasi Dian. Sempat juga dia menjeling ke arah Dian, sedikit tak puas hati kerana bantuannya rasa tak dihargai dan Dian seperti biasa terpaksa patuh dan menuruti.

 

“Abang Azeem berhenti, berhenti kat sini. Dian dah sampai dah.” tuturnya minta diturunkan.

“Kelas kat sini?” balasnya pula sebelum memberhentikan kereta. Sempat dia melihat tanda arah yang terdapat di situ.

“Hmm, kelas Dian dekat bangunan atas.” jawab Dian pula sambil berusaha membuka ikatan tali pinggang.

“Tunggu, biarlah aku hantarkan kau ke sana.” tutur Azeem tegas. Dia mahu memastikan Dian selamat tiba di tempat yang sepatutnya. Serentak dengan itu dia memeriksa cermin sisi sambil berkira-kira untuk masuk ke simpang kanan.

“Abang Azeem tak payah, cukup sampai kat sini. Dian boleh jalan kaki. Dian turun dulu. Assalammualaikum.” balasnya sebelum segera bertindak. Tak rela pembohongannya tambah merebak.

“Dian!” jerit Azeem terkejut. Kepalanya segara memandang cermin belakang, takut perkara yang tak diundang datang.

“Dian!” panggilnya lagi, namun hampa kerana Dian langsung tak menghiraukannya.

“Apalah…aku cuma nak tolong.” tuturnya perlahan sambil matanya masih tetap memerhati.

 

“Alhamdulillah…” ucapnya selesai menghabiskan sepinggan bihun goreng yang terhidang di atas meja. Tegukan terakhir kopi turut sama dihirup sebelum dia mengusap perut.

“Bagus juga ada kau, kalau tak entah sampai bila kawasan dapur ni tak berfungsi.” bisiknya sambil tersenyum saat membandingkan cara Aida dan Dian dalam menguruskan rumahtangga. Keadaan rumah yang sentiasa kemas sedikit sebanyak membuatkan hatinya berasa tenang, tapi cuma sementara sebelum dia memandang ke arah pintu bilik Dian pula.

“Mananya? Takkan tak siap lagi?” soalnya sendiri. Sempat juga dia melihat jam yang berada di tangan kerana waktu sudah melangkaui kebiasaan.

“Biasanya waktu macam ni kan dia dah sedia, tapi mana?” bisiknya sambil bergerak menuju ke bilik Dian. Bila pintu dibuka, barulah dia sedar, dia sudah ditinggalkan.

“Kenapalah susah sangat dengan kau ni? Kenapa susah sangat kau nak rapat dengan aku?” tuturnya sambil mengeluh kesal. Kesal bila menyedari Dian memang tak menghargai apa yang diberi dan kesal kerana Dian langsung tak memberinya peluang untuk lebih mengenali hati budi.

 

Suara Kak Ina dan rakan-rakan berjaya menarik minatnya untuk mendekati. Rancak berborak sambil bergelak tawa, sampai dia terasa terbawa-bawa. Sambil berjalan dia tersenyum kerana dia juga rasa gembira. Sejak Dian mengandung, hidupnya rasa lebih ceria dan hati juga rasa bahagia. Hubungannya dengan pekerja-pekerja syarikat juga jadi makin rapat bila dia mula mengambil berat. Betullah kata opah, pekerja aset syarikat. Bila dijaga dengan baik ia akan mendatangkan banyak manfaat.

“Seronoknya dalam hati. Tapi kenapa? Sebab aku bakal jadi bapa ke?” duganya sendiri sebelum senyumannya bercambah lagi.

“Apa yang diborakkan tu?” soalnya bila sampai di pantri, tempat kakitangan berehat waktu makan tengahari.

“Boss, ada stok baru. Boss tak nak beli?” jawap Yahya, pekerja baru syarikat.

“Tuan nak kopi? Nanti saya buatkan.” tutur Kak Ina pula.

“Boleh, tapi nanti-nantilah. Saja saya datang singgah. Apa yang akak jual?” soalnya mahu mengetahui perkembangan.

“Barang kemas tuan. Cincin ada, gelang, rantai, pendek kata semua ada. Tuan tengoklah, mana tahu ada yang berkenan. Biar saya siapkan kopinya dulu.” balasnya segera menerangkan.

“Kak Ina, emas betul ke ni?” soal Azeem sedikit curiga.

“Emas betullah tuan. Takkanlah saya nak menipu. Kalau tuan tak percaya, tuan boleh potong jari Yahya.” balas Kak Ina meyakinkan.

“Eh, kenapa saya pulak yang kena, kan akak penjualnya.” balas Yahya pula, tak mahu dilibatkan sama.

“Taknaklah saya potong jari Yahya, nanti kena masuk penjara.” balas Azeem bersahaja serentak mereka semua ketawa. Dalam pada itu, matanya seperti sudah mula tertarik pada seutas rantai tangan yang berjaya mencuri perhatian.

 

“Nah, ambil ni. Cuba tengok.” tutur Azeem sambil menghulurkan kotak baldu biru itu kepada Dian yang baru masuk ke dalam bilik. Perlahan-lahan huluran disambut sebelum mata mereka bertaut.

“Kau bukaklah tengok.” arah Azeem lagi. Dian akhirnya menurut kerana dia tak mahu menghampakan. Dia nyata terkejut saat terlihat isi kotak baldu tersebut.

“Sini, biar aku pakaikan.” ucap Azeem sebelum bertindak meraih tangan Dian namun Dian segera mengelak.

“Tapi untuk apa?” soalnya pula.

“Untuk apa? Kenapa? Kau tak suka?” balas Azeem pula bila reaksi Dian tidak seperti yang dijangkakan. Senyum pun tak. Bukan semua isteri sukakan barang kemas ke? Duganya di dalam hati dengan mata yang masih memerhati.

“Bukan macam tu, Dian cuma rasa tak perlu.” tutur Dian. Jawapan yang sukar untuk diterima, serentak Azeem mendengus marah.

“Kau ni kan memang macam ni ke? Jenis yang tak tahu bersyukur? Bila aku dah bagi tu, ambil jelah pakai. Kenapalah banyak sangat bunyinya?”

“Kalau tak nak pakai simpan. Ha, kalau kau tak nak simpan, buang!” balasnya yang sudah hilang sabar sebelum dia meninggalkan Dian tercongok di situ.

Bunyi pintu bilik yang dihempas kuat boleh didengar sampai ke tingkat bawah. Dian tahu dia dah tersilap bicara dan dia seharusnya menerima saja, tapi hatinya yang tak rela.

“Entah apa-apa. Orang dah beli, ambil jela. Ini tak, ada ke ditanya untuk apa?” tuturnya pada diri sendiri sebelum menghumbankan diri di atas katil. Sakit betul rasa hati bila niat murni tak dihargai. Dalam keadaan marah, dia mencapai bantal yang berada di hujung kepala dan menghumbankannya ke dinding sebagai tanda protes yang belum habis.

“Untuk apa, untuk apa! Ada ke tanya untuk apa?” bebelnya lagi sambil menggeleng-gelengkan kepala sebelum ombak di dada mula beransur tenang dan serentak dengan itu dia bangkit semula sambil menggaru-garu kepala.

“Tapi…untuk apa?” bisiknya pada diri kerana dia sendiri kurang pasti.

Dian masih terpaku di situ sedang matanya tetap juga memerhatikan gelang tangan berkenaan, sebelum dia pasti dia tak layak untuk semua itu. Perlahan-lahan dia menuju ke arah meja solek dan meninggalkannya di situ.

 

Titik-titik hujan semakin kuat di pendengaran. Dia berdoa minta dikuatkan iman agar kusyuknya tidak terganjak dan syukur, akhirnya satu demi satu rakaat dihabiskan tanpa langsung ada rasa keberatan.

Selesai solat dia bergegas ke luar untuk melihat situasi kain jemuran, tapi nampaknya seperti yang dijangka semuanya sudah dibasahi dan dia perlu mengulangi pekerjaan itu lagi. Betullah kata orang, panas di tengahari belum tentu sampainya ke petang, sebab hujan tak tentu bilanya nak datang.

“Takpa, bukan rezeki kau agaknya Dian, dah memang nak jadi rezeki hujan.” tuturnya sambil menikmati keindahan ciptaan Allah. Berkilau dan bercahaya sehinggakan hatinya berbunga ceria. Tiba-tiba dia rasa tersentuh kerana hujan banyak mengingatkannya pada ummi.

“Ummi…” tuturnya sayu dan tanpa sedar dia kini sudah bersatu dengan alam semulajadi itu.

“Ummi...” ucapnya lagi. Baju yang basah dan memberat di badan membuatkannya sedikit terpujuk kerana dia rasa bagai dipeluk.

“Ummi, Dian sayang ummi.” rintihnya sedih sambil turut sama dibasahi air hujan yang turun mengalir daripada celahan mata, sebelum dia akhirnya terduduk dengan memeluk kedua-dua belah lutut.

“Dian!” tutur Azeem sebelum membuka pintu bilik Dian.

“Kemana perginya?” soalnya tak puas hati kerana dia memang tak suka mencari.

“Dian!” panggilnya lagi sambil mata masih lagi melilar memerhati.

“Ya-Allah…dah buang tebiat ke apa dia ni?” ucapnya marah bila terpandangkan Dian yang sedang terbaring di halaman belakang dan dengan pantas dia bergegas keluar untuk mendapatkannya.

“Dah kenapa dengan kau ni? Masuk!” arahnya setelah mencapai tangan Dian dan mengheretnya ke bawah ruang yang bumbung.

“Kau ni dah kenapa ha? Yang kau duduk baring kat luar tu kenapa? Apa, tak cukup besar lagi rumah ni sampai kau nak tidur kat situ?” semburnya sebelum dia mengeluh panjang kerana Dian dilihat suka sangat mencabar kesabarannya.

“Bila aku tanya kau nak makan apa, kau cakap tak ada. Sekarang kau jangan cakap dengan aku yang kau mengidam nak minum air hujan pulak. Kau tunggu sini, aku pergi ambilkan tuala.” tambahnya lagi sebelum bergegas ke bilik. Dia mula bimbang bila terpandangkan Dian yang sudah basah kuyup. Sepantas dia pergi, dan sepantas itu jugalah dia kembali dengan sehelai tuala yang berjaya dicari.

“Sini, biar aku tolong.” tuturnya dengan amarah yang sudah mula mengendur. Laju saja tangannya mahu menukarkan baju Dian, namun tangan itu pantas ditolak.

“Abang Azeem, Dian boleh...” balas Dian segera mengelak.

“Ok.” balasnya segera juga akur, biarpun pasti dah tak ada apa yang perlu dirahsiakan lagi.

“Kau pergilah bersiap. Opah suruh datang rumah.” arahnya pula sebelum melangkah pergi daripada situ.

“Hish, apalah. Suka sangat buat benda pelik-pelik.” bebel Azeem sambil meneliti bajunya sendiri.

“Tengok, disebabkan kau aku terpaksa tukar baju semula. Apa yang kau dapat duduk dalam hujan macam tu? Seronok sangat? Macam dah tak ada air dalam rumah ni.” ngomelnya sambil meneliti bajunya lagi, tapi Dian tak ambil hati, sebaliknya dia tetap memerhati titisan-titisan hujan yang masih setia menyumbangkan bakti.

“Dian suka bau dia…” balas Dian perlahan, serentak Azeem mematikan langkahnya.

“Apa? Apa kau cakap? Bau?” soal Azeem tak percaya. Sejak bila pula hujan mengeluarkan bau.

“Hmm. Bau rumput tu bila dapat bertemu dengan hujan…sebab kat situ ada bau kehidupan.” balasnya sambil tersenyum. Seperti rumput yang kelesuan bersatu dengan hujan yang menyenangkan, begitu jugalah perumpamaan antara dia dan ummi kerana dia akan sentiasa tenang selagi ada ummi di sisi.

“Takpalah, Abang Azeem tunggu sekejap, Dian pergi bersiap.” tuturnya sebelum berlalu meninggalkan Azeem yang masih terpaku sambil memandang ke luar, bertemankan jawapan Dian. 

Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati