Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 16

Seminggu berlalu, kini Dian telah tinggal di rumah Azeem yang turut didiaminya bersama Aida. Biarpun sudah berminggu-minggu, keadaan ummi tetap sama dan dia masih koma. Daripada penerangan yang diberikan oleh doktor, Dian tahu yang dia hanya mampu berdoa dan berharap agar ummi segera sedarkan diri semula.

Wajah ummi yang terbaring kaku diusap sebelum tangan ummi dikucup, namun itu masih belum cukup. Serentak tubuh itu didakap lembut. Sayangnya pada ummi semakin menjadi-jadi akhir-akhir ini. Dia tak sampai hati untuk meninggalkan ummi sendiri dalam keadaan seperti itu. Tidak sekali-kali kerana selama ini hanya ummi yang sentiasa memberi, kini sampailah masanya untuk dia turut menyumbang bakti.

“Ummi cepatlah sedar…Dian tunggu ummi. Ummi sedarlah ya. Janganlah biar Dian tunggu lama-lama. Dian takut tinggal sorang-sorang.” tuturnya penuh hiba. Cuma ummi yang dia ada, buat jadi peneman dikala suka mahupun duka.

Hanya itu yang dia harapkan, keberadaan ummi yang sentiasa menemani dan dia tak sanggup kehilangan satu-satunya insan yang disayangi.

“Ummi…Dian ada benda nak cakap dengan ummi, tapi ummi janganlah marah Dian ya. Dian takut ummi kecil hati kalau Dian sembunyi perkara ni.” tuturnya sebelum mengusap pipi ummi semula.

“Ummi, Dian dah jadi hak orang. Dian tahu Dian tergesa-gesa, tapi Dian tak buat dosa.” ucapnya sebelum mengesat air mata dan serentak dengan itu, kenangan sewaktu pertama kali berjumpa di Wisma Warisan beberapa bulan sebelumnya kembali memenuhi ruangan minda.

 

“Assalammualaikum.” tutur Dian perlahan. Walaupun dia mahu menuntut haknya, tapi hati tetap terasa takut dan gementar. Bangunan Wisma Warisan yang gah terbina membuatkannya sedikit ragu-ragu pada mulanya, namun demi sebuah penjelasan, segalanya tetap diteruskan.

“Waalaikumussalam. Ya cik, ada apa-apa yang saya boleh bantu?” balas kakitangan yang bertugas di situ.

“Saya Fatin Nurdiana Binti Ehsan. Boleh tak kalau saya nak jumpa dengan Puan Salimah berkenaan dengan tajaan pendidikan yang telah ditarik balik. Dia ada tak?” soal Dian sopan. Dia perlu segara berurusan, kerana sudah beberapa minggu dia menunggu jawapan, namun pemohonan rayuan yang dikemukakan tetap juga tak mendapat balasan.

“Cik dah buat appointment ke dengan dia?” soalnya pula sebelum mencapai gagang telefon.

“Belum, tapi saya dah call haritu. Surat rayuan pun saya dah hantar. Dia minta saya tunggu, tapi dah berminggu tetap juga tak dapat apa-apa feedback. Itulah sebabnya saya datang terus hari ni. Boleh tak kalau saya nak jumpa dengan dia?” rayu Dian bersungguh-sungguh. Dia sangat perlukan tajaan berkenaan, kerana seandainya ianya ditarik balik amat sukar baginya untuk memulakan semula. Hanya setahun lagi masa yang diperlukan untuknya menamatkan pengajian, cuma setahun sebelum segalanya selesai.

“Sekejap, saya cuba hubungi dia dulu. Cik tunggu sekejap ya.” balas wanita berkenaan.

“Okey.” tutur Dian. Hatinya lega kerana ada yang sudi membantu.

“Maaf cik, pihak pengurusan dah putuskan untuk menarik balik tajaan yang diberikan sebab cik dah gagal tepati syarat dalam kontrak.” tutur wanita itu seketika kemudian. Remuk redam rasa hati Dian mendengarnya. Harapan dan impiannya musnah dalam sekelip mata kerana itu bukanlah apa yang ingin didengarinya.

“Boleh tak saya jumpa dengan pihak pengurusan tertinggi. Saya nak jumpa dengan Puan Syarifah Rahimah yang dah luluskan tajaan itu dulu. Dia ada tak? Boleh saya jumpa dengan dia?” Dian sedar yang dia sudah tak ada cara lain. Hanya satu yang tinggal, merayu secara berdepan, itupun belum pasti apa yang akan dicapai, tapi hanya itu yang dapat difikirkannya, dah tak ada cara lain. Paling tidak bagilah dia peluang untuk menjelaskan segala yang berlaku.

Laporan perubatan juga telah dikemukakan. Perkara tak dijangka seperti itu boleh berlaku pada sesiapa saja. Kurang adil menjadikan itu sebagai alasan untuk menarik balik tajaan. Hatinya mula bengkak, malah kesabarannya sudah mula menipis.

 “Pengarah tak ada, dia dah keluar. Kalau cik tetap nak cuba, cik boleh jumpa dengan pengurus besar syarikat. Office dia di tingkat 6, tapi saya tak berani jamin apa-apa. Setakat itu saja yang boleh saya tolong.” tuturnya, simpati atas musibah yang menimpa.

“Terima kasih cik. Itupun dah cukup. Terima kasih banyak-banyak. Terima kasih kerana sanggup bantu.” balasnya. Mensyukuri bantuan yang diberi.

 

“Assalammualaikum. Puan, boleh saya berjumpa dengan pengurus besar? Dia ada?” tutur Dian, masih takut-takut, namun cabaran yang menanti tetap juga ditempuhi. Dia bukan mahu meminta simpati, sebaliknya dia hanya minta difahami. Dia juga ada hak untuk didengari dan dia tak mahu dihukum tanpa melalui sebarang proses perbicaraan yang telus.

“Pengurus besar ada. Cik dah buat appointment ke belum?” soalnya pula.

“Belum.” balas Dian sepatah sambil menggeleng-gelengkan kepalanya perlahan.

“Kalau macam tu susah lah sikit rasanya, tapi sebelum tu boleh saya tanya cik siapa dan atas tujuan apa cik datang sebenarnya?” soal wanita pertengahan umur itu lagi. Tegas meminta penjelasan.

“Saya Fatin Nurdiana Ehsan. Beberapa minggu lepas saya ada hantar surat rayuan berkaitan dengan tajaan biasiswa yang telah ditarik balik. Bersama-samanya juga saya ada sertakan surat MC daripada doktor sebagai bukti kegagalan saya untuk menghadiri peperiksaan akhir semester dan disebabkan itu keputusan semester lepas tak mencapai tahap yang diminta. Cuma satu semester saya gagal, itupun dengan alasan yang kukuh.”

“Saya rasa ralat sikit sebenarnya sebab hanya tinggal dua semester sebelum saya menamatkan pengajian, semester ni dan semester depan. Lebih mengecewakan, rayuan yang saya kemukakan tetap juga ditolak. Itulah sebabnya saya datang hari ni, saya nak cuba membela diri.” terang Dian panjang lebar. Dia berharap sangat wanita itu dapat memahami situasi yang dihadapinya. Walaupun sedar mungkin hasilnya tiada, tapi dia tetap mahu mencuba dan percubaan terakhirnya ini akan menentukan perancangan yang bakal dilakukan selebihnya.

“Okey, kalau macam tu, cik masuk bilik depan, yang hujung sekali. Pengurus besar ada di dalam.” arahnya setelah menimbang semua.

“Terima kasih puan. Terima kasih.” balas Dian gembira.

“Sama-sama.” jawapnya pula sebelum menyambung tugasannya semula.

Pintu bilik diketuk sebelum dia menunggu arahan yang seterusnya. Dalam hati, ombak ganas semakin kuat menghentam tembok semangat yang sedaya-upaya cuba untuk dipertahankan.

“Inilah masanya. Usaha Dian, usaha. Ini peluang kau yang terakhir.” bisiknya pada diri sendiri untuk menguatkan hati.

“Masuk.” arah satu suara daripada dalam. Sepatah perkataan itu saja sudah cukup mendebarkan inikan pula ingin berbicara secara berdepan.

“Bismillah hi tawakal tuallallah.” tuturnya perlahan, minta keberkatan, sebelum masuk seperti yang diarah.

“Assalammualaikum tuan.” tuturnya sopan sebagai tanda pengenalan sebelum memandang ke arah lelaki yang dimaksudkan. Dia sedikit terkejut kerana sangkaannya meleset. Lelaki di hadapannya itu amat jauh berbeza daripada yang telah dibayangkan. Masih muda, mungkin dalam lingkungan pertengahan 30’an, lengkap memakai suit dan bertali leher kecil, sangat kemas dipandangan matanya.

“Waalaikumussalam.” balasnya perlahan sebelum memandang ke arah Dian yang masih terpaku.

“Ada apa yang saya boleh bantu?” soalnya tak mahu berlengah. Serentak dia memandang ke arah jam tangan kerana dia bakal berjanji temu dengan kekasih hatinya sebentar nanti. Dia sudah berjanji dengan Aida untuk makan tengahhari bersama dan masa sudah tinggal tak berapa lama.

“Saya nak bincang tentang penamatan tajaan biasiswa yang saya perolehi daripada pihak tuan. Saya dah kemukakan surat rayuan beserta dengan laporan doktor sekali, tapi keputusannya tetap negetif. Boleh saya tahu kenapa?” soal Dian perlahan. Syed Azeem masih sama macam tadi. Tetap serius sambil mengetuk-ngetuk jari di meja sebelum dia menekan butang interkomnya.

“Kak Ina, tolong sambungkan saya pada Kak Salimah.” tuturnya. Dian setia menanti, dalam hati dia tak putus-putus berdoa agar musibah yang dihadapinya itu akan menemui jalan penyelesaian seperti yang diharapkan.

“Ya, Kak Salimah. Kat depan saya ni ada seorang budak perempuan. Dia complaint tentang biasiswa yang sudah ditarik balik. Apa hal sebenarnya?” soal Syed Azeem. Dia mahu segera menyelesaikan semuanya, tak mahu Aida terlalu lama menanti.

“Okey. Maksud akak yang akak hantar dulu tu? Hmm…okey, okey. Terima kasih kak.” tuturnya sebelum meletakkan semula gagang. Dian menarik nafas dalam-dalam. Kini dia sudah bersedia untuk mendengar penjelasan atas kesulitan.

“Saya rasa saya dah tak boleh buat apa-apa. Saya lupa, sebenarnya saya yang dah luluskan penamatan biasiswa cik tu. Pihak syarikat cuma mengikut prosedur yang sepatutnya. Cik dah melanggar syarat yang ditetapkan.” “Masa sign kontrak dulu tertera bersama klausa yang cik kena lulus dalam setiap peperiksaan akhir semester yang dijalankan, tapi malangnya cik gagal kan? So, kami dah tak boleh buat apa-apa.” tutur Syed Azeem tenang, tanpa memikirkan perasaan orang yang dipandang.

“Tapi kan saya dah sertakan sekali surat doktor? Kalau tuan tak percaya, ini dokumen yang asal.” jelas Dian sambil menghulurkan fail yang berada di tangan sambil malas-malas Azeem menyambutnya.

“Saya tak dapat menduduki peperiksaan sebab saya pengsan dan terpaksa dikejarkan ke hospital. Tak adillah kalau pihak tuan menjatuhkan hukuman tanpa mengambilkira ianya sebagai satu keadaan yang tak dapat dijangka.”

“Lagipun cuma sekali saya gagal. Tuan boleh lihat sendiri. Kat situ ada keputusan peperiksaan semester-semester yang sebelumnya. Saya berharap sangat yang tuan akan mempertimbangkannya semula.” rayu Dian. Hanya itu yang mampu dia lakukan, merayu dan terus merayu agar dia diberi pengampunan. Azeem mengeluh kerana dia sudah semakin tak berminat untuk meneruskannya. Semakin dilayan, semakin banyak pula yang diminta, bisiknya dalam hati.

“Kan saya dah cakap tadi. Saya dah luluskan, dan saya dah tak boleh nak buat apa dah. Itu polisi syarikat, saya harap cik boleh menghormatinya. Saya cadangkan, adalah lebih baik seandainya cik mula cari pembiayaan daripada pihak lain. Sebab saya dah tak boleh buat apa-apa. Jadi, ada apa-apa lagi?” balasnya sebelum mengembalikan semula fail di tangan sambil memandang tepat ke arah Dian. Perlahan-lahan Dian menggeleng.

“Kalau dah tak ada, cukuplah tu. Saya pun ada hal yang lebih penting untuk diuruskan.” balas Azeem tenang tanpa langsung ada rasa simpati. Dian tertunduk lemah. Dia tahu peluangnya terakhir yang dia ada turut sama tidak menyebelahinya.

“Dahlah keluar. Saya nak cepat ni.” arah Azeem pada Dian yang dilihat masih termenggu di situ sebelum dia mencapai telefon bimbitnya dan kunci kereta yang ada di atas meja.

“Tapi tuan…” tutur Dian, masih berusaha untuk mempengaruhi keadaan kerana dirasakan dia mempunyai alasan yang kukuh untuk menyokong segalanya, tapi kenapalah sukar sangat bagi mereka mahu memahami, rintihnya di dalam hati.

“Tak ada tapi-tapi dah. Keluarlah cepat.” arah Azeem yang sudah mula hilang sabar kerana dia sangat benci pada mereka-mereka yang mempertikaikan keputusannya. Walaupun dia mampu untuk membantu, tapi dia malu. Malu dilihat seperti seorang yang tak kompetan dalam membuat sesuatu keputusan.

Dian segera menurut. Sukar untuk dia mempercayainya. Setelah segala usaha dicurah, dia tetap tak mampu untuk mengubah. Wajah ummi terbayang di mata. Dia kecewa, tapi dia tahu ummi pasti akan lebih kecewa nanti.

“Cepat!” gesa Azeem lagi. Serentak Dian mati bicara.

 

Dia tetap terpaku di hadapan bangunan Wisma Warisan berkenaan. Entah kenapalah dia masih belum mahu angkat kaki dari situ. Fikirannya berserabut memikirkan nasib diri. Tentang masa depannya dan tentang ummi. Tentang keadaan kesihatannya dan tentang kuliah di universiti, sebelum dia tiba-tiba mendengus marah serentak bangunan itu dijeling geram sambil kepala mengimbas semula layanan sambil-lewa yang diterimanya sebentar tadi. Lain yang buat onar, lain pula yang kena.

“Mentang-mentanglah aku orang susah, tak ada siapa pun nak pandang.” tuturnya geram dengan jelingan yang masih tepat dihadiahkan pada dinding konkrit yang tersergam teguh sebelum dia akhirnya mengalah kerana yang dimarah, bukanlah yang bersalah.

Nafas dihela dalam-dalam dalam usaha memujuk hati. Tiba-tiba dia ternampak kelibat tuan yang baru ditemuinya sebentar tadi, betul-betul melintas di hadapannya. Tanpa dipaksa, kakinya pantas mengekori sehingga sampailah mereka ke pintu kereta.

“Tuan tolonglah pertimbangkannya semula.” tuturnya tanpa memberi salam terlebih dahulu. Terkejut Azeem dibuatnya serentak dia mendengus marah.

“Tuan tolonglah tuan. Saya sangat perlukan biasiswa tu. Lagipun saya ada alasan yang kukuh. Saya janji dengan tuan, saya akan belajar dengan lebih tekun lagi dan pastikan saya dapat keputusan yang lebih cemerlang untuk semester-semester yang berikutnya.”

“Tolonglah saya tuan. Saya janji, saya takkan sia-siakan duit bantuan tu.” rayunya lagi. Lebih berani kali ini kerana sudah tiada apa yang tinggal lagi. Maruah? Letak tepi. Perkara terpenting adalah untuk mendapatkan semula biasiswa tersebut, hanya itu matlamatnya. Pandangan beberapa pekerja yang melepasinya langsung tak diendahkan, dia rela menebalkan muka kali ini.

“Hei, budak ni. Tak habis-habis lagi ke? Apa lagi yang saya kena cakap untuk buat awak faham? Kan saya dah cakap tadi, awak yang salah. Awak yang langgar syarat. Kenapa degil sangat?” bentak Azeem, marah kerana kedamaiannya diganggu lagi sambil menjeling geram ke arah Dian.

“Tolonglah saya tuan. Saya merayu sangat. Anggaplah tuan beri ihsan pada seorang yang sangat memerlukan. Saya janji, saya takkan sia-siakan kepercayaan tuan.” rayunya tanpa henti. Azeem mula panas hati. Entah apalah nasibnya hari ini. Pagi tadi dia telah dimarahi opah, kerana berlaku kelewatan dalam projek perumahan yang sedang dijalankan, sekarang dia terpaksa pula melayan kerenah seorang budak kecil yang merengek-rengek minta belas kasihan.

“Rimas betul. Sejak tadi awak minta tolong dengan saya kan? Sekarang ni, saya pula nak minta tolong daripada awak. Tolonglah balik. Sebab apa pun yang awak buat takkan dapat buat saya ubah semula keputusan tu.” tutur Azeem tegas.

“Memang tujuan asal biasiswa tu untuk bantu orang susah macam awak, cuma awak yang tak tahu gunakan peluang. Bukan salah saya biasiswa itu ditarik balik. Ia salah awak. Dahlah saya dah malas nak dengar apa-apa lagi. Awak pergilah balik dan mula cari penaja yang lain. Lagipun banyak lagi tempat yang boleh beri awak duit.” tambahnya sebelum memboloskan diri ke dalam kereta.

“Tuan, tuan. Tolonglah saya tuan.” rayu Dian lagi, tapi tetap tak diendahkan. Serentak kereta dipandu laju meninggalkan Dian yang masih tak penat mencuba untuk mengubah keadaan sebelum dia akhirnya putus-asa kerana usahanya itu ternyata hanya sia-sia.

“Kenapalah rumit sangat hidup kau Dian?” rintihnya sayu, sedar tiada apa lagi yang boleh dilakukan. Cuma seketika sebelum kekecewaan kembali menyapa.

“Apalah gunanya kereta sebesar kapal, kalau hati kecil besar kuman.” ngomelnya menzahikan perasaan.

“Takpalah Dian, sabar. Hanya itupun yang boleh kau buat sekarang. Ingat, kau ada Allah. Ulat dalam batu pun boleh hidup, inikan kau. Mesti ada rezeki lain nanti. InsyaAllah.”

“Ya-Allah pupuklah kesabaran dalam hati ini.” tuturnya sebagai langkah untuk memujuk hati. 

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati