Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 58

Bunyi batukkan Dian jelas di pendengaran, dan serentak dengan itu dia merapatkan kepalanya ke dinding semula. Azeem perasan, sudah beberapa hari Dian seperti itu. Bunyinya berlarutan malah makin berpanjangan sejak semalam. Berat dan dalam macam petanda mahu demam.

Hatinya mula jadi tak tenang. Mahu membantu Dian, tapi dia masih memikirkan caranya. Berita Dian menolak untuk menerima rawatan lebih mengecewakannya. Cara terakhir yang dia ada adalah dengan menghubungi Razif dan meminta bantuannya untuk menyelesaikan permasaalahan itu. Dia takut kalau ditangguhkan lagi langsung dah tak ada harapan nanti.

“Assalammualaikum Razif.” tuturnya tak mahu berlengah setelah rancangan membawa Dian untuk menerima rawatan gagal pada percubaan yang pertama. Namun dia tetap tak mudah putus asa kerana dia tahu Razif masih ada.

“Waalaikumussalam, ya Azeem, kenapa?” balas Razif yang terganggu lenanya. Jam baru melangkau angka 3 pagi di sana. Perbezaan waktu yang sangat ketara buat kedua-dua negara menyukarkan komunikasi diantara mereka.

“Maaf, kalau aku ganggu, tapi aku ada perkara penting nak bincang dengan kau, tentang adik.” ucap Azeem. Razif segera bangun setelah mendengarnya.

“Adik? Kenapa dengan adik? Dia tak sihat ke? Ada masalah yang jadi kat sana?” soalnya bimbang sambil menggosok-gosok kelopak matanya yang masih memberat.

“Aku rasa kau kena balik. Adik sakit. Dia dah tak boleh nampak, dia kena glaucoma.” tutur Azeem, tak mahu membuang masa kerana hanya Razif yang mampu menggugat keputusan Dian.

Razif hilang kata-kata. Dia amat terkejut tadkala perkataan itu disebut kerana dia pernah terbaca artikel berkaitan penyakit itu tak berapa lama dulu. Penyakit yang boleh mengakibatkan kecacatan kekal kepada penghidapnya, salah satu punca kehilangan daya penglihatan manusia di seluruh dunia, tapi dia tak pernah menjangka ada ahli keluarganya sendiri yang turut merana disebabkannya.

“Ya-Allah, betul ke ni Azeem? Kau jangan main-main. Macam mana boleh jadi macam ni? Sejak bila? Kau dah bawa dia ke hospital? Dah buat check-up? Doktor cakap apa?” soalnya semakin bimbang. Dia mahu segera mengetahui keadaan kesihatan Dian. Kebimbangannya memuncak, kalau ikutkan hati mahu saja rasanya dia mengambil penerbangan untuk ke Malaysia saat ini juga untuk menemui adiknya itu.

“Betullah apa yang aku sangka. Selama ni, dia pun berahsia dengan kau.” balas Azeem kesal. Dia mula kesal dengan sikap Dian yang tak mahu dibantu sedangkan dia tahu akibat penyakitnya itu.

“Adik dah tak boleh nampak dah Razif. Dia hanya bergantung pada tongkat sekarang. Aku tak tahu nak buat macam mana lagi. Kau baliklah pujuk dia. Aku tak mampu nak berhadapan dengan dia. Kau sendiri tahu yang dia memang dah tak nak jumpa dengan aku.”

“Aku tak sanggup Razif, aku dah tak sanggup hilang dia lagi.” serentak kenangan masa lalu menghukum dirinya semula.

“Hanya kaulah harapan aku sekarang. Aku yakin kalau kau pujuk dia, dia akan ubah fikiran.” ucap Azeem menerangkan segala-gala setelah mengetahui sahabatnya itu juga tidak mengetahui apa-apa.

“Ok, aku akan cuba arrange balik kerja-kerja kat sini. Selesai semuanya aku balik. Tapi buat sementara, aku nak minta jasa baik kau untuk jagakan adik. Terima kasih sebab beritahu aku tentang hal ni.”

“Patutlah bila aku kata nak balik, macam-macam alasan adik bagi. Rupanya dia nak rahsiakan penyakitnya tu daripada aku. Kalau tak sebab kau bagitahu, sampai bila-bilapun aku tak tahu.” ucap Razif kesal. Sikap Dian sedikit-sebanyak mengguris hatinya. Dia kan abang, tapi kenapa adik bertindak untuk merahsiakan pekara sebesar itu? Mujurlah ada Azeem, kalau tak dia dah tak tahu mahu harapkan siapa lagi. Serentak dia mengeluh, menyatakan kekesalan.

“Takpa, masih ada masa lagi. Lagipun bukan salah kau, tapi salah aku. Dia macam dah bersedia untuk terima semuanya. Aku rasa dia dah hilang semangat.”

“Aku tahu, semuanya sebab aku kan. Aku yang buat dia sedih. Aku yang buat dia tak dapat jumpa dengan ummi. Aku ni Razif, aku yang bersalah.” balas Azeem ditemani kekekecewaan yang tak mampu untuk disembunyikan lagi.

“Tapi kau janganlah lama sangat. Aku takut kalau lagi lama, adik dah tak boleh diubat.” tambahnya lagi sambil menyapu titisan air mata yang menuruni lekuk pipi, panas, namun tak mampu mencairkan salju yang menyeliputi hatinya ketika itu. Dia hampir putus harapan, namun dia tetap akan terus mencuba.

“Kenapa kau cakap macam ni lagi? Semuanya dah takdir. Sama macam takdir kau jadi adik ipar aku, macam tu jugalah takdirnya ummi pergi waktu tu. Kita tak boleh nak buat apa-apa.”

“Sudahlah tu, aku tak nak kau salahkan diri sendiri, lagipun dah lebih setahun ummi pergi. Aku janji akan selesaikan hal-hal di sini secepatnya.  InsyaAllah selesai semuanya aku balik. Nanti aku call kau semula, biar kita sama-sama pujuk adik.” janji Razif. Azeem lega kerana harapannya melangit untuk melihat penglihatan Dian kembali seperti sediakala supaya dapatlah dia menebus segala dosa-dosa yang pernah dilakukannya dan diharap usahanya ini akan mendapat keberkatan.

 

Dian sudah bersedia untuk memulakan harinya seperti biasa, namun perasaannya sedikit berbeza hari ini. Langkahan kaki lebih lemah jika dibandingkan dengan semalam dan badannya mula terasa dingin tak seperti selalu. Sudah bermalam-malam tidurnya tak lena kerana asyik melayan batuk yang bermaharajalela.

Dia meletakkan belakang tangannya di dahi sebelum mengangguk-angguk beberapa kali, menyedari badannya telah mula menunjukkan reaksi. Serentak dia mencari ubat yang biasanya ada diletakkan di atas meja, namun hampa kerana isinya telah tiada.

“Alamak, dah habis. Kenapalah setiap kali lalu kat kedai boleh lupa nak singgah beli. Kenapa kau jadi pelupa sangat ni Dian.” tuturnya pada diri sendiri sebelum melangkah menuju ke pintu sambil terbatuk-batuk lagi.

Seketika kemudian Azeem menjengukkan kepalanya di sebalik daun pintu. Riak kebimbangan jelas terpamer di wajahnya. Dia mula bimbangkan Dian lebih lagi daripada yang sebelumnya.

 

Segala pergerakan yang berlaku di dalam pusat urutan terbabit dapat dilihatnya dengan jelas. Kedudukan kereta yang dipakir berhadapan dengan pusat urutan ditambah pula dengan cermin kereta yang gelap memudahkan usaha pemantauan dilakukan tanpa sebarang gangguan.

Pesanan ringkas yang diterima daripada Razif awal pagi tadi sangat melegakannya. Sahabatnya itu akan bertolak malam nanti untuk pulang ke Malaysia. Dia benar-benar berharap Dian akan berjaya diyakinkan. Andai harapannya itu tercapai dia berjanji takkan meminta apa-apa lagi.

Tiba-tiba dia seperti teringatkan sesuatu, serentak sampul surat yang terdampar diatas tempat duduk belakang kereta segera dicapai. Setelah berfikir sejenak dia memandu keretanya meninggalkan kawasan tersebut sebelum menuju semula ke rumah.

 

Perlahan-lahan dia membelek kunci pendua yang terdapat di dalam genggaman. Hatinya mula rasa berdebar-debar, rasa macam buat salah pun ada kerana dia bakal mencerobohi ruangan yang bukan menjadi miliknya itu, tapi apa nak buat, nak tak nak dia perlu menyelesaikan segala yang telah dimulakan. Hadiah kecil daripada seorang suami buat si isteri yang sentiasa diingati. Selebihnya biarlah Dian yang menentukan segalanya nanti.

Kepalanya ditoleh ke kiri dan kanan, kerana takut ditangkap ketika melakukan kesalahan. Setelah dipastikan, barulah dia memulakan operasinya. Dia perlu segera menyelesaikan perkara tersebut kerana dia tahu setelah Razif tiba segalanya bakal berakhir dan Dian akan mendapat dirinya semula. Dian akan berada di bawah penjagaan Razif dan Haikal, sedang dia tak perlu bimbangkan tentang keselamatan Dian lagi.

Dia sangat yakin Dian akan berbahagia nanti. Walau di mana Dian berada, dia takkan lupa mendoakan keamanan dan kesejahteraannya. InsyaAllah jika diizinkan Allah, bisiknya di dalam hati. Bila pintu sudah berjaya dibuka, sepantas kilat dia memboloskan dirinya ke dalam bilik Dian, takut dikatakan pencuri dan kalau ditangkap, tentu nahas nanti.

Hatinya tersentak tadkala pertama kali melihat segala yang terpampang. Keadaan bilik Dian yang sempit dan kosong memilukan hatinya. Dia rasa berdosa kerana dirasakan diri tak menjalankan tanggungjawap sebagai seorang suami seperti yang diamanahkan kepadanya selama ini. Bilik Dian lebih kecil dari yang pernah dia bayangkan. Tempat tidur malah dapur berada dalam ruangan yang sama tanpa ada sebarang penghadangnya.

Terdapat sebuah meja kecil di bahagian tepi dinding yang dipenuhi dengan buku, manakala di bahagian yang lainnya dia dapat melihat alas tidur nipis yang sudah agak uzur namun tetap juga dilipat kemas. Beberapa helai baju kemeja lengan panjang yang kelihatan seperti sudah sedia dipakai bergantungan di bahagian dinding bilik. Baju sama yang pernah dilihatnya dulu, sudah bertahun lamanya, tapi Dian masih tetap begitu dan serentak dengan itu, hatinya rasa terharu.

Peritnya sampai terasa menusuk ke sanubari sebelum dia beristigfar berkali-kali untuk menguatkan hati. Dia bertekad pada diri untuk berusaha mengembalikan semula kebahagiaan yang pernah dimusahkannya dulu. Biarpun dia perlu memaksa, dia tetap akan melakukannya. Seandainya Dian masih berdegil tak mahu menerima rawatan, dia akan terima, tetapi sesekali Dian takkan dibenarkan untuk meninggalkannya lagi. Biarlah Dian membencinya seumur hidup, dia rela, asalkan Dian sentiasa berada di hadapan matanya.

Matanya tertarik pada potret ummi dan Dian yang terdapat diatas meja kecil itu. Perlahan-lahan bingkai gambar itu dicapai sebelum mengamatinya lama. Wajah ummi dilihat tak banyak berubah seperti yang tersimpan di dalam kenangan, sama macam dulu dengan senyuman yang ikhlas dan Dian kelihatan sangat bahagia bertemankan ummi di sisi. Tanpa dipaksa, perasaan bersalah itu datang lagi, berterusan sampai dia tak mampu untuk memaafkan dirinya sendiri.

“Ummi…maafkan Azeem. Azeem tak tahu yang ummi sakit masa tu, tapi Azeem mengaku, Azeem bersalah. Azeem bersalah sebab tak pernah nak ambil tahu.” serentak dia melepaskan keluhan berat, seberat perasaannya saat itu.

“Azeem berdosa pada ummi, pada adik. Tolong maafkan Azeem ya ummi. Azeem betul-betul minta maaf.” tuturnya terketar-ketar menahan perasaan. Air matanya sudah tak dapat ditahan lagi. Segala jasa baik yang pernah dilakukan ummi padanya masih segar diingatan dan ianya takkan mudah untuk dilupakan.

“Azeem janji dengan ummi, Azeem janji. Azeem akan usaha untuk pulihkan adik. Ummi bantu Azeem ya. Ummi tolonglah bantu Azeem…” ucapnya lagi ditemani air mata kekesalan. Lama potret itu ditatap sebelum akhirnya ia didakap.

 

Dian berusaha sedaya upaya untuk menahan diri, tapi nampaknya badannya sudah tak dapat bertahan lagi. Mahu atau tidak, dia terpaksa pulang awal hari ini kerana demannya sudah makin menjadi-jadi.

“Kak Ira…Dian nak baik boleh? Dian rasa tak selesa. Badan ni rasa makin tak sihat.” tuturnya dengan suara yang sudah mula serak sambil menuju ke arah Kak Ira untuk mendapat kebenaran.

“Itulah, semalam kan Kak Ira dah pesan, kalau tak sihat, hari ni ambil cuti, tapi Dian yang degil, Dian tetap nak datang. Takpa, jom cepat akak bawak ke klinik, lepastu baru akak hantar balik.” balasnya yang mula tak sedap hati kerana sudah berhari-hari, tapi deman Dian tetap tak kebah lagi.

“Takpalah kak, takpa. Dian rehat dekat rumah je. Lepas makan ubat dan rehat, insyaAllah sembuhlah, lagipun nanti Abang Saiful tinggal sorang-sorang, ni kaunter lagi, takada orang yang jaga nanti. Dian boleh balik sendiri, akak tak payahlah risau. Dian ok lagi.” balasnya tak mahu menyusahkan.

“Betul ke ni Dian? Takpalah akak hantar Dian sekejap, lagipun pelanggan tengah tak ada ni. Cuma ada sorang kat dalam dengan Abang Saiful, ambil masa juga untuk siap. Jomlah akak hantar Dian dulu. InsyaAllah tak ada apa-apalah tu. Risau akak bila tengok Dian macam ni. Jomlah!” gesanya pula.

“Akak takpayah. Betul, Dian ok. Dian memang jarang demam, tapi kalau sekali demam dia datang semua sekali, batuk tu tak payah cakaplah. Selera makan dah tak ada sangat sehari dua ni. Minum airpun rasa pahit, tapi biasanya kalau makan ubat dan rehat sembuhlah. Dian tak nak pelanggan rasa tak selesa bila Dian asyik batuk.” balasnya segera menolak.

“Betul ke ni Dian?” soal Kak Ira pula kerana dia masih bimbang.

“Betul, Dian ok lagi. Kalau macam tu Dian balik dulu ya. Akak, terima kasih sebab beri Dian cuti hari ni.” tuturnya lagi menghargai keperihatinan yang diberikan.

“Apalah Dian ni, daripada kita kenal sampailah sekarang Dian sentiasa nak berterima kasih pada akak.” balasnya sambil menghulurkan beg kain Dian ke tangan.

“Kenapa tak? Akak memang dah banyak tolong Dian. Dian ni dah banyak sangat terhutang budi pada akak dengan Abang Saiful. Sebab ada akak dengan abanglah Dian mampu hidup berdikari. Terima kasih sangat-sangat, saranghae.” balasnya pula.

“Sarang…ape?” balas Kak Ira yang tak tahu akan maksudnya.

“Saranghae…maknanya love you.” ucap Dian sambil tersenyum. Kak Ira yang mendengarnya ketawa senang hati.

“Dian ni kan, demam-demam pun masih ada mood nak bergurau.” balasnya serentak dia menggeleng-gelengkan kepala.

“Mana ada gurau. Dian cakap betul la ni, datang terus daripada hati. Saranghae.” ulangnya lagi sambil tersenyum.

“Iyalah, hati-hati. Kalau melarat cepat-cepat call akak. Nanti akak bawa ke klinik.” balas Kak Ira memberikan pesanan.

“InsyaAllah, akak jangan risau. Dian balik dulu ya. Assalammualaikum.” tuturnya sebelum membuka langkah kerana dia sedar badannya perlukan rehat pada saat-saat seperti itu.

“Waalaikumussalam.” balas Kak Ira segera mendoakan kesejahteraan Dian.

Previous: Bab 57
Next: Bab 59

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati