Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 27

Rancangan berita yang sedang ke udara tak mampu untuk menarik minatnya. Tidak berapa lama kemudian, dia didatangi Dian yang baru selesai menunaikan Solat Maghrib. Sempat juga dia membuang pandang ke arah Dian sebelum terus fokus pada peranti di tangan.

Dian hanya mampu melihat permandangan yang kurang digemarinya itu. Teknologi kadang-kala boleh menjadi sesuatu perkara yang menakutkan kerana ia mampu melekakan. Bukan dia menidakkan kepentingannya, cuma dia rasa tak ada gunanya mengejar teknologi kerana ia takkan pernah berhenti untuk berevolusi. Serentak dengan itu dia menggeleng-gelengkan kepala, tak mahu terlalu memikirkannya.

“Dian dah sembahyang.” soal opah yang baru tiba dari dapur.

“Alhamdulillah dah siap opah.” balas Dian dalam senyuman.

“Azeem?” soal opah pula.

“Dah opah.” balasnya pantas. Langsung tak ada rasa bersalah. Terlopong mulut Dian dibuatnya.

“Ya-Allah, lancarnya dia menjawap.” bisik Dian di dalam hati kerana Dia tahu Abang Azeem sememangnya berbohong.

“Opah nak naik solat sekejap. Dian jangan balik lagi. Tunggu opah siap dulu.” arahnya sebelum beredar.

“Ok.” balas Dian sebelum matanya memandang semula ke arah Azeem.

“Kenapa kau pandang aku macam tu?” soal Azeem yang sudah mula rasa tak selesa kerana daripada ekor mata dia dapat melihat dirinya diperhatikan.

“Ta..tak, tak ada apa-apa.” jawap Dian terkejut. Tidak menyangka tindakannya itu disedari Abang Azeem rupanya.

“Kau ingat aku tak tahu, kau pandang rendah pada aku kan? Kenapa? Sebab aku tak ikut arahan tuhan?” tuturnya pula sedikit beremosi, sebelum dia menjeling ke arah Dian.

“Tak adalah. Dian tak ada hak nak mengadili ibadah orang lain, sebab Dian bukan tuhan, tapi…”

“Tapi apa?” sampuk Azeem bila hatinya sudah mula jadi panas.

“Dian cuma hairan. Dulu kan abang Azeem sembahyang, tapi kenapa tak sekarang?” balas Dian. Serentak dia menggigit bibir menyedari keterlanjuran diri.

“Bilanya aku sembahyang? Bila masa kau pernah nampak aku sembahyang? Kau saja nak perli aku ke apa ni?” soal Azeem yang sudah mula tegang kerana dirasakan Dian sengaja ingin mempermainkannya.

“Dian…Dian cuma dengar cerita opah. Opah kata abang Azeem rajin pergi masjid.” balas Dian setelah berjaya mencari jawapannya.

“Kau ingat! Kau jangan berani nak report pada opah yang aku tak sembahyang. Kalau tak, siap!” ugut Azeem sambil mengangkat jari telunjuknya tinggi ke arah Dian, takut penipuannya terdedah. Kalau opah tahu dia berbohong selama ini, masaklah dia nanti, silap haribulan kena buat gulai kari. Serentak Dian tersenyum mendengarnya.

“Kenapa kau senyum?” soal Azeem yang mula sakit hati, kerana dia rasa seperti dipermainkan lagi.

“Tak ada apa-apalah.” balas Dian. Segera dia menundukkan kepala tak mahu memanjangkan topik perbualan mereka.

“Aku dah tanya kenapa, kau jawap je lah! Apa yang susah sangat!” bentak Azeem kasar bila rasa maruah dirinya diperkecilkan. Dian pantas sedar Abang Azeem yang ada dihadapannya sekarang bukan lagi abang yang dikenalinya dulu. Mereka nampak macam sama, tapi sememangnya langsung tak serupa. Cepat-cepat dia menghela nafas untuk mengemaskini hati.

“Dian cuma teringat kisah lama. Waktu Dian budak-budak, itulah jawapan sama yang Dian guna.”

“Bila ummi tanya dah sembahyang ke belum, cepat-cepat Dian kata dah, padahal tak, sebab takut ummi marah.” tuturnya sebelum memandang ke arah Azeem dengan kuntum senyum yang masih ada.

“Tapi betul lah cakap orang tua-tua, tupai memang pandai sangat melompat, tapi sepandai-pandai dia melompat, satu hari nanti jatuh juga dia ke tanah.” tambahnya yang sudah mendapat rentak. Kuntuman senyumnya tadi segera mekar dan mengembang, kerana dia pasti akan gembira setiap kali perihal ummi dibicara. Azeem jadi terpesona melihatnya.

“Ada satu hari, ummi dapat tangkap Dian, tapi ummi tak marah. Ummi cuma cakap, tak kenal maka tak cinta sebab macam tulah agama dengan kita.”

“Selagi kita tak biasa selagitulah kita takkan suka, jadi kalau nak suka kenalah biasa. Agama memang takkan terasa manis, selagi tak diamalkan konsepnya.” tambahnya lagi.

“Takpalah, Dian nak pergi kemaskan barang. Sekejap lagi kita dah nak balik kan?” soalnya setelah menjelaskan apa yang terbuku. Perlahan Azeem menganggukkan kepalanya.

“Kalau macam tu Dian naik dulu.” tambahnya meminta kebenaran.

“Hmm.” balas Azeem yang masih terpesona. Tambahan pula dia perlukan lebih masa untuk menganalisa data yang baru diterima.

 

Azeem tersedar daripada lena sebelum dia perasan Dian sudah tak berada di sebelahnya. Serentak dia menyapu mata yang masih memberat sambil mengamati jam di dinding.

“Awal lagi. Kemana pulak dia pergi ni?” ngomelnya sendiri sambil menggeru-garu kepala dan serentak dengan itu dia bangun untuk meneliti. Ketekunan Dian yang sering kali bangun beribadat di awal pagi sedikit sebanyak berjaya menjentik hati. Lama dia memerhati sebelum dia baring kembali dengan mata yang tetap juga setia menemani.

Hampir setengah jam berlalu, tapi Dian masih kekal begitu. Bersujud kaku dan beku.

“Takkanlah sampai kena lama macam tu?” bisiknya perlahan dengan kening yang dikerutkan. Serentak dia bangkit sebelum bergegas menuju ke arah Dian. Teragak-agak dia mahu mengganggu, tapi hatinya mula rasa tak tenteram kerana dia mula bimbangkan keadaan Dian. Perlahan-lahan tangannya mendarat di atas bahu Dian ingin mengetahui keadaan.

“Dian.” panggilnya, namun belumpun sempat apa-apa, tubuh itu terlebih dahulu rebah. Mujurlah sempat dia menyambut kepala Dian dengan tangan. Setelah diteliti, barulah dia tahu Dian hanya terlena.

“Macam mana kau boleh tertidur dalam keadaan macam ni?” tuturnya perlahan setelah keadaan berjaya disahkan, sebelum dia tersenyum lega. Lega, kerana apa yang difikirkan tak menjadi kenyataan. Wajah Dian yang tidur beralaskan telapak tangannya itu ditatap kerana makin lama dipandang, hatinya jadi makin sayang.

“Kenapa kau boleh buat aku rasa macam ni?”

“Kenapa aku rasa tak pernah cukup dengan kau?” bisiknya.

“Seumur hidup aku, aku percaya hanya ada bebarapa perkara yang takkan dapat diulang semula. Masa aku, mati aku dan cinta aku…” tuturnya sebelum tangannya mengusap pipi Dian perlahan.

“Tapi itu dulu…sekarang, aku sendiri pun dah tak tahu. Mungkin betul apa yang kau kata…tak kenal maka tak cinta, sebab lagi lama aku kenal, aku rasa lagi susah nak lepaskan kau.”

“Kenapa aku rasa macam ni? Kenapa aku rasa macam dah jatuh cinta buat kali kedua.” tuturnya lagi sambil perlahan-lahan merebahkan diri di situ. Wajah Dian yang sentiasa tenang mampu membuatkan hatinya terasa lapang.

“Boleh kau tolong aku?” soalnya ditemani perasaan yang sukar untuk dimengertikan.

“Tolonglah jangan pergi.” tambahnya lagi.

“Tolong kekal di sini…di sisi aku…untuk selama-lamanya. Aku sayang kau.” tuturnya menyatakan perasaan hati sambil mata masih dipenuhi wajah si isteri sebelum akhirnya dia turut terlena bersama.

 

Mereka hanya tersedar saat terdengar azan Subuh dilaungkan dari masjid berhampiran meminta diri memulakan amalan. Dian yang masih mamai segara bangkit daripada perbaringan sebelum diikuti Azeem yang turut sama terjaga.

“Kan aku dah pesan, jangan tidur kat bawah ni, tapi kenapa kau tidur lagi?” tutur Azeem sambil memicit lengan yang kekejangan setelah berkhidmat sebagai bantal untuk Dian.

“Maaf, Dian tak sengaja. Dian tertidur tadi.” balasnya sebelum menundukkan kepala tak berani mahu bertentang mata.

“Takpa, lain kali jangan buat lagi.” tutur Azeem sebelum bangun untuk membetulkan pinggang dan berkira-kira mahu angkat kaki.

“Sebelum aku terlupa, air sembahyang kau tu jangan lupa ambil semula. Aku dah tersentuh kau tadi.” tuturnya sebelum keluar dari situ.

 

Perut yang mula memberat memang memerlukan lebihan kederat. Kandungannya kini sudah memasuki bulan yang ke 7 dan tak berapa lama lagi dia bakal melahirkan, tapi ummi tetap juga begitu.

Harapan untuk melihat ummi menjaganya dalam tempoh berpantang seperti terlalu jauh untuk dicapai. Dia sedar dia bakal melalui saat-saat getir itu tanpa ummi di sisi. Dia pantas menghela nafas panjang untuk menenangkan hati. Kaki yang terasa lesu dilunjurkan sebelum tangannya diarahkan ke situ untuk memberikan urutan.

“Kenapa? Kaki kau tu sakit lagi?” soal Azeem pada Dian yang sedang berlunjur sambil memicit-micit kedua belah kaki.

“Tak adalah. Penat sikit je, tapi dah ok dah.” balasnya segera menidakkan.

“Sini, biar aku tolong.” tutur Azeem sebelum dia bergerak merapati Dian.

“Abang Azeem tak payah, tak payah. Dian dah ok dah.” segera dia menolak, tapi dah terlambat kerana tangan Azeem dah mendarat. Serentak Azeem berdecik kuat tak puas hati barangkali.

“Cuba senyap!” arahnya tegas. Berkerut keningnya menahan perasaan marah yang mula mengetuk pintu hati. Jelingannya itu sudah cukup melenturkan keberanian Dian. Dian tahu dia tak sepatutnya bekeras lagi. Serta-merta pergerakannya jadi terhenti.

Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati