Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 37

Perniagaan urutan refleksiologi yang dijalankan semakin berkembang sejajar dengan permintaan yang memberangsangkan daripada pelanggan-pelanggan yang terdapat di sekitar kawasan tersebut dan Dian menjadi antara yang paling sibuk menguruskannya. Tangannya sudah sebati dengan jalur-jalur urat dan cara terbaik untuk memberikan kelegaan kepada pelanggan.

Ketekunan dapat dilihat daripada riak wajahnya ketika dia memberikan rawatan, yakin dan berpengetahuan malah kesannya turut tak dapat nak dipertikaikan. Kaki dan tangan merupakan bahagian tubuh utama yang diberikan penekanan dalam urutan kerana disitulah terletaknya titik-titik kawalan bagi bahagian-bahagian badan.

Dian sedang tekun menjalankan rawatan terhadap salah seorang pelanggan tetap pusat tersebut, Kak Lela. Kak Lela merupakan seorang pesara guru yang gemar untuk mendapatkan perkhidmatannya. Seminggu sekali pasti Kak Lela akan datang berkunjung ke situ. Biarpun diusahakan oleh insan kelainan upaya dia tetap memilih untuk ke situ, malah Kak Lela turut mendaftarkan diri sebagai ahli di pusat rawatan mereka.

Rezeki Allah melimpah ruah pada yang tekun dan gigih berusaha mengubah diri. Jangan jadikan kekurangan sebagai alasan untuk menghalang kejayaan. Tetapkan pada hati, percaya pada diri, nescaya kita akan dapat berdiri di atas tapak kaki sendiri tanpa perlu mengharapkan belas ihsan lagi. Itulah moto yang dipegangnya selama ini dan dengan IzinNya dia akan berjaya, insyaAllah. Bisiknya di dalam hati, sambil tangan tetap juga beraksi.

“Akak, dah siap dah ni.” tutur Dian pada Kak Lela yang masih terbaring selesai sesi urutan berkenaan, tapi tiada sahutan.

“Kak Lela, dah siap dah ni…Akak tidur ke?” soalnya pula. Iringan muzik klasik yang sedia terpasang dimatikan. Dia pasti sangat Kak Lela telah terlena kerana memang begitu keadaanya setiap kali dia datang untuk mendapatkan rawatan. Kak Lela tak segan silu untuk menjadikan pusat urutan itu sebagai rumahnya sendiri.

“Akak bangunlah. Tidur lagi ke?” tuturnya lagi sambil menggoyangkan jari kaki Kak Lela serentak dia dapat merasakan tindakbalas di situ. Usahanya berjaya kerana Kak Lela akhirnya terjaga.

“Hmm…dah siap? Kenapa cepat sangat? Rasa macam baru je mula tadi. Tak sedar akak.” balasnya sambil menguap besar, cepat-cepat dia menghalang lubang yang terhasil dengan tapak tangan.

“Cepat akak cakap? Dah setengah jam. Akak tu, baru je tangan ni landing terus sunyi. Tu tandanya dah layanlah tu kan? Kesian Dian, cakap sorang-sorang rupanya tadi.” ucap Dian sambil memuncungkan bibir. Kak Lela ketawa melihatnya.

Kebanyakan pelanggan adalah daripada kenalan Kak Ira dan Abang Saiful. Mereka memberikan sokongan yang tak berbelah bahagi untuk sama-sama menjayakan pusat rawatan terbabit.

“Sorry…” balas Kak Lela, serentak itu juga dia turut meregangkan badan. Wajah Dian dipandang sambil dalam hati memanjatkan kesyukuran pada yang Esa. Dia sudah biasa dan mesra dengan Dian. Dia terhibur bila melihat kesungguhan Dian dalam menjalankan tugasan. Dia berharap, di satu masa nanti, golongan kelainan upaya akan semakin berjaya dalam bidang-bidang yang diceburi, sama seperti mereka yang normal.

Paling penting, mereka tidak lagi dipinggirkan dalam arus pembangunan agar mereka dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dikalangan ahli masyarakat yang lain. Berusaha bersama-sama untuk kemajuan negara, itu harapannya dan diharap impiannya itu akan menjadi nyata.

Kekurangan atau kecacatan bukanlah penamat segala-galanya. Ia terbukti dengan pencapaian membanggakan oleh atlet-atlet negara dalam acara yang mereka sertai di peringkat dunia, malah melakar sejarah yang tak pernah dibayangkan sesiapa. Itulah buktinya Allah Maha Memberi pada mereka yang Dia kehendaki. Serentak dia tersenyum, bangga bila memikirkan aturan Allah.

“Akak, akak tidur balik ke?” soal Dian bila suasana mula terasa sunyi.

“Ish, Dian ni. Mana ada tidur. Akak cuma rehat. Penatlah rasa badan ni.” “Hujung minggu lepas anak-anak pakat balik ramai-ramai. Jenuh akak melayan kerenah anak cucu, sampai diri sendiripun dah tak terjaga. Seronok tu memanglah seronok, tapi badan ni yang dah tak larat. Sekarang barulah ada masa nak berehat.” balasnya sebelum bangkit daripada perbaringan.

“Oh, sebelum akak terlupa, akak nak tanya. Dian join tak kursus esok?” soalnya yang sedang duduk bertentangan dengan Dian.

“InsyaAllah kalau tak ada aral, Dian pergi. Lagipun esok cuti, tak tahu nak buat apa kat rumah sorang-sorang, kalau pergi ada juga dapat ilmu nanti.” balasnya sambil mengemaskan perkakasan. Kak Lela tersenyum mendengarnya. Dia sangat sukakan sikap Dian yang mencintai ilmu. Walaupun ditemani kegelapan, tapi Dian tetap berani untuk bergerak ke hadapan.

“Kalau macam tu, esok akak singgah ambil Dian dulu, lepastu kita pergi sekali.” tutur Kak Lela memberi cadangan.

“Tak payahlah kak. Buat dua kerja nanti, akak nak datang sini lepastu nak patah balik semula. Kita jumpa kat pusat je lah. Dian pun dah biasa guna kenderaan awam. Train kan ada.” balasnya tak mahu menyusahkan.

“Mana ada susahnya. Akak kan bawa kereta, bukannya basikal. Dian memang tak pernah nak terima bantuan daripada akak kan?” balasnya merajuk.

“Alamak, alapak. Akak merajuk ke? Janganlah merajuk, sebab Dian tak nak pandai pujuk.” balasnya sambil tersenyum.

“Akak cakap akak suka tengok bila orang macam kami berdikari dan berupaya untuk jaga diri sendiri, bukan akak sendiri yang cakap dulu? Akak dah tak ingat?” soal Dian pula. Kak Lela tersenyum bangga. Dia tak sangka kata-katanya itu mampu membuatkan hidup Dian jadi bermakna.

“Maksudnya salah akak la ni? Ok, takpalah kalau macam tu. Tapi ingat, jalan tu elok-elok. Hati-hati masa turun tangga kat Kl Sentral nanti. Waktu pagi train biasanya penuh. Dian kena jaga diri elok-elok, jangan sampai berebut-rebut.” pesannya tak mahu Dian ditimpa musibah.

“Baiklah, arahan diterima. Akak ni kan, macamlah baru pertama kali Dian ke sana. Dah berpuluh-puluh kali Dian ulang-alik ke pusat tu, sampai kaki ni dah hafal arahnya. InsyaAllah, dengan izin Allah Dian akan selamat. DIA kan ada, DIA boleh jaga Dian.” balasnya dengan senyuman tanda penghargaan atas keperihatinan yang diberikan.

“Nah, ambil ni.” tutur Kak Lela sambil menyelitkan sekeping note Rm 50 ke dalam tangan Dian.

“Akak apa ni? Duit? Kenapa akak bagi Dian duit pulak?” soalnya hairan, kerana hatinya tak dapat merelakan.

“Ambil pakai. Guna buat tambang esok.” balasnya sambil meloloskan diri  tanpa pengetahuan Dian.

“Akak Dian tak nak. Kenapa sampai nak bagi Dian duit? Dian ada duit sendiri. Ambil balik, Dian tak nak duit ni.” tuturnya sambil meraba-raba katil mencari Kak Lela. Namun dia hampa, kerana Kak Lela sudah tiada.

 

Selesai solat maghrib, dia pasti tak akan lupa membacakan Surah Yasin untuk ummi. Dian ingat lagi, dulu ummi ada cakap, surah Yasin baik dibacakan pada yang sudah tiada kerana mampu untuk mengurangkan siksanya. Malah kebaikannya bukan saja kepada yang dibaca tapi juga pada individu yang membacanya.

Ummi kata, Surah Yasin adalah hati Al-Quran dan amat baik untuk dijadikan amalan mahupun hafazan. Nasihat dan ilmu yang ummi turunkan, takkan sesekali akan dilupakan dan dia berjanji untuk terus mengamalkan, selagi nyawa tak berpisah daripada badan. Itu tekadnya, semoga usahanya itu akan mendapat keberkatan. Amin. Bisiknya sendiri dengan senyuman yang turut hadir bersama.

Mungkin kerana itu juga hatinya rasa terubat kini. Memang ummi dah tak ada di hadapan mata, tapi kehadirannya tetap dapat dirasa. Walaupun ummi jauh, ummi sentiasa dekat di hatinya. Terasa seperti baru semalam ummi pergi meninggalkannya, dan dia mahu sentiasa mengingati ummi begitu sepanjang masa agar dia tak lupa pada ummi sampai bila-bila. Sedar tak sedar, sudah hampir setahun ummi pergi meninggalkannya.

Dalam kesamaran, Surah Yasin yang sentiasa menjadi penemannya di kala sunyi dicapai dan dibawa dekat ke mata. Serentak air mata mengalir membasahi pipi bila menyedari daya penglihatannya sudah menjadi semakin kabur. Kesedihan pantas mencengkam di hati. Sedih bila memikirkan entah berapa lama dia mampu melihat bait-bait ayat yang tercatat di situ lagi. Perlahan-lahan jarinya menyentuh qalam suci pemberian llahi.

Tanpa dipaksa tangisannya semakin galak menyapa. Pilu rasa hati bila memikirkan akan tiba masanya dia takkan dapat melihat tulisan itu lagi. Benarlah apa yang diramalkan doktor yang telah merawatnya dulu, dia akan menjadi buta.

“Ya-Allah…kuatkanlah aku Ya-Allah. Kuatkan semangatku untuk menempuhi segala yang bakal berlaku. Tenangkanlah hati ini Ya-Allah, sesungguhnya aku hanya hambamu yang lemah…” tuturnya sayu sebelum mengucup buku kecil itu.

Dia sedar, hidupnya sudah ditakdirkan begitu. Perasaan kecewa dan kesal yang pernah bermukin di hati sudah lama dibuang ke tepi, diganti dengan perasaan redha dan pasrah pada Allah. Hidup umpama satu coretan cerita yang bakal menemui pengakhirannya. Entah esok atau lusa, dia akan dapat bertemu semula dengan ummi, menyambung kembali hubungan yang telah terputus ini. Dia gembira bila memikirkannya, saat pertemuan semula dengan ummi pasti tetap akan terjadi, cuma masanya yang dia tak ketahui dan hanya pada Allah tempat dia berserah diri.

 

Beberapa helai pakaiannya di letakkan ke dalam beg yang sedia berada dia atas katil sebelum dia melangkah turun ke bawah semula. Langkahannya terhenti saat terpandangkan gerimis senja yang mula muncul daripada cermin pintu ke halaman belakang rumah. Lama dia tercegat sebelum beg yang berada di tangan terlepas daripada genggaman sebelum kakinya rasa terpanggil untuk menuju ke situ.

Azeem masih terpegun ditemani perasaan kesal yang takkan pernah dapat berakhir. Batinnya menjerit namun tiada suara yang kedengaran. Hatinya merintih menyatakan kekecewaan, tapi tiada siapa yang mampu mendengarnya. Segala kesalahan yang pernah dilakukan kini menjadi racun, yang memakan dirinya sendiri dan lama-kelamaan semakin membunuh hati. Perlahan-lahan pintu dibuka sebelum dia disapa bayu senja yang mendamaikan jiwa.

Gerimis yang baru bermula disusuli pula dengan titisan yang lebih kasar dan besar. Padat bunyinya saat jatuh ke atas jubin lantai yang berada di bahagian luar rumah sehingga menimbulkan suasana hening yang mencengkam jiwa dan serentak dengan itu dia teringatkan Dian pula. Segala kesalahan yang pernah dilakukan kembali menyapa dan mendera dirinya semula.

“Ya-Allah, andai ini dugaan untukku, bantulah aku untuk menempuhinya dan pertemukanlah semula aku dengannya…” ucapnya sambil menadah kedua belah tangan minta pertolongan.

“Andai ini suratan, bantulah hati ni untuk menerima, dan redhakanlah hati ini…” tambahnya pula.

“Tapi…tapi aku sayang dia…aku betul-betul sayang dia Ya-Allah. Tolonglah jangan pisahkan kami…” rintihnya sedih sambil ditemani air mata kekesalan yang takkan pernah ada kesudahan selagi dia tidak diketemukan dengan Dian.  

Previous: Bab 36
Next: Bab 38

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.