Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 38

Suasana pagi sesak dengan penghuni-penghuni kota yang berpusu-pusu untuk memulakan hari dan Dian juga menjadi salah seorang daripada mereka. Dia gembira kerana tetap ada sesuatu yang boleh dilakukannya.

Pihak persatuan telah menganjurkan Kursus Membina Jati Diri dan Kemahiran Berkomunikasi pagi ini. Memang dia sudah pernah menghadirkan diri pada modul yang sebelumnya, tapi dia tetap tak mahu ketinggalan menyertainya lagi. Manalah tahu ada input baru yang dimuatkan bersama nanti, kerana penceramahnya juga berbeza. Lain guru, lain ilmu dan diharapkan usahanya itu akan dirahmati.

Bunyi deruan enjin keretapi bukan saja sudah boleh didengari, bahkan dapat dirasai sampai ke kaki. Semakin lama semakin bergegar, sehinggalah bunyi pintu tren terbuka menyapa telinga. Badannya terdorong ke kiri dan kanan akibat daripada tolakan pengguna tren yang berebut-rebut untuk menaikinya, tak mahu ketinggalan kerana kalau terlepas, maknanya kena menunggu lagi. Dalam kepayahan dia cuba untuk memboloskan diri, namun tetap juga tak berjaya sehinggalah datang seorang yang baik hati, menghulurkan bantuan padanya.

“Kak, biar saya tolong. Ikut sini.” tutur saudari berkenaan sambil mencapai tangan Dian dan bertindak untuk membukakan laluan.

“Terima kasih dik.” tutur Dian penuh syukur.

“Sama-sama.” balasnya tertib.

Dian bersyukur kerana ada juga insan yang menyedari kehadirannya di situ. Syukur kerana Allah hantarkan dia seorang pembantu yang tulus seperti itu.

“Terima kasih Allah, terima kasih kerana menyantuniku.” bisiknya di dalam hati.

 

Pergerakan kereta dirasakan mula tersekat-sekat sebelum mati dengan sendirinya. Azeem segera memberhentikan keretanya di sisi jalan. Sekali lagi enjin kereta cuba untuk dihidupkan, namun tak berjaya kerana keretanya tetap gagal untuk kembali berfungsi.

“Hai…entah apalah nasib kau pagi ini Azeem. Dahlah terbangun lambat, sekarang kereta buat hal pulak. Pagi-pagi lagi dah meragam. Entah sempat ke tak sampai nanti.” keluhnya sendiri. Kesal kerana dia mungkin terlambat pagi ini sedang dia harus segara untuk ke MIDA bagi mendapatkan maklumat yang diperlukan untuk pembangunan resort di Langkawi itu.

Dia perlukan pengesahan daripada pegawai berkenaan dengan meterial yang bakal digunakan dalam pembangunan itu. Lokasinya di tepi pantai, sering terdedah dengan cuaca, oleh sebab itu bahan yang digunakan haruslah kukuh serta mampu untuk mengelakkan tindakbalas dengan bayu laut kerana dia tak mahu ada masalah di kemudian hari.

Setelah berfikir, akhirnya dia membuat keputusan untuk meninggalkan saja keretanya di situ dan menaiki teksi untuk ke sana. Telefonnya dicapai, sebelum dia menghubungi Yahya, pengurus projek yang bakal mengelola projek pembangunan semula tersebut.

“Assalammualaikum. Yahya kat mana?” soalnya.

“Waalaikumussalam. Saya dah sampai tuan. Tinggal tunggu tuan sekarang ni.” balasnya.

“Saya mungkin lambat sikit. Dalam setengah jam, insyaAllah saya sampai.” tuturnya sambil menjeling jam di tangan sebelum mematikan talian.

 

Setelah hampir 10 minit menaiki LRT, Dian tiba ke destinasinya. Dari situ dia perlu berjalan kaki lebih kurang 15 minit lagi sebelum dia sampai ke pusat orang cacat penglihatan berkenaan. Langkah kaki diayun berhati-hati dengan bantuan tongkat pada jalan yang ditanda supaya dia tak tersalah arah.

Mujur dia telah mempunyai masa untuk berlatih terlebih dahulu. Walaupun kabur, namun gambarannya masih jelas terpancar di minda. Dia gembira kerana dirasakan segala usaha yang dicurah selama ini telah membuahkan hasil dan terima kasih kepada Allah kerana telah memberikannya masa. Masa untuknya menyiapkan diri dan bersedia.

Dia masih berdiri di situ, menanti gilirannya untuk menyeberangi jalan sambil bunyi deruan enjin kenderaan tak lepas daripada pendengaran. Semenjak daya penglihatannya berkurangan, deria pendengarannya mula jadi semakin peka. Bunyi derapan kaki manusia, deruan enjin dan hon kereta digunakan sebagai panduan perjalanan yang sangat berguna dan dia mula belajar melihat kehidupan dengan cara yang berbeza. Mata, tangan, telinga dan semua deria-deria yang lain adalah anugerah Allah. Bermacam-macam, namun fungsinya tetap sama iaitu memandu hati untuk membuat pilihan bila masanya diperlukan.

 

Azeem membuang pandang ke luar tingkap kereta. Suasana pagi yang sama dilalui oleh semua. Jalan raya sesak dan padat dengan pengguna, berusaha gigih untuk meneruskan kelangsungan hidup yang semakin menggesa. Matanya memfokus pada segerombolan pejalan kaki, terdiri daripada pelbagai bangsa yang sedang menanti giliran untuk menyeberangi jalan, sebelum dia tersenyum bangga.

“This is my Malaysia.” bisiknya sendiri, menghargai nikmat perpaduan yang dikecapi semua. Pelbagai, namun sehati sejiwa menjaga keharmonian negara yang tercinta. Berbeza, tapi tetap dapat mencari titik persamaannya. Tiba-tiba dia tersentak. Mati senyuman yang terukir di bibirnya seketika tadi. Sekali lagi dia cuba mengamati, dalam hati dia tak henti berdoa agar apa yang baru dilihatnya itu adalah benar.

“Dian!” terpacul nama insan yang sentiasa diingatinya itu tadkala terpandangkan Dian yang berada di kalangan kumpulan tersebut, namun tak lama kerana kereta sudah bergerak semula.

“Berhenti, berhenti. Pak cik tolong berhenti.” gesanya kepada pemandu teksi yang nyata terkejut dengan arahan itu.

“Mana boleh berhenti sini encik. Tu kat depan tu, ada polis jaga. Tak fasal-fasal kena saman nanti.” balasnya, tak mahu tersalah langkah.

“Tolonglah saya pak cik, penting sangat ni.” rayunya, tak mahu ketinggalan untuk mendapatkan Dian.

“Takpa, kita masuk sini.” balasnya sebelum mengubah arah ke simpang kiri.

“Pak cik tunggu sekejap ya. Sekejap lagi saya datang balik.” tuturnya Azeem sebelum keluar dengan tergesa-gesa menuju ke tempat dia terlihatkan Dian sebentar tadi, namun sia-sia kerana Dian sudah tiada.

 

Bunyi riuh rendah di dalam dewan menggambarkan bilangan penyertaan yang agak ramai di dalam kursus kali ini. Sesampainya di situ, Dian didatangi Kak Lela yang telah tiba lebih awal.

“Ha, dah sampai pun dia. Tulah, semalam akak kata naik dengan akak tak nak.” tuturnya Kak Lela yang sudah berdiri di sebelah. Dian hanya tersenyum mendengarnya.

“Tapi takpa, balik nanti naik sekali dengan akak.” tambahnya lagi. Dian mula tak senang hati mendengarnya.

“Tapi…” tuturnya ingin menolak, sebelum dipintas Kak Lela yang tak mahu memberikan kelonggaran lagi.

“Dah, dah, dah. Jangan nak bertapi-tapi lagi. Balik nanti akak hantar.” balasnya mematikan alasan yang bakal dicipta Dian. Dia tahu Dian tak suka menyusahkan orang lain, tapi dia turut tak mahu ketinggalan melakukan kebaikan kerana dia juga mahukan ganjaran.

“Ok…” balasnya lambat-lambat.

“Akak nak tanya, ramai ke peserta hari ni?” soal Dian, dia mahu menggambarkan keadaan.

“Dian rasa?” soal Kak Lela pula, saja mahu bergurau senda.

“Eee, akak ni. Saja nak perli Dian la tu?” balasnya pula.

“Mana ada perli. Tulah sebabnya akak kata rasa. Rasa tak semestinya kena guna mata kan?” balasnya semula, sengaja mahu membuatkan Dian peka.

“Rasanya…macam ramai, daripada bunyinyalah. Akak ada nampak Aimi tak? Dia dah sampai ke? Dia datang ke tak hari ni?” soalnya lagi. Dia sudah mula rindukan teman-teman yang senasib dengannya itu. Aimi, Nasir dan Adam, kisahnya berlainan, tapi pengakhirannya serupa. Ketiga-tiganya diuji dengan cabaran yang sama, kehilangan nikmat cahaya, sama seperti dirinya.

Aimi kehilangan penglihatannya sejak 2 tahun yang lalu setelah ditimpa kemalangan jalan raya. Adam dan Nasir sudah ditakdirkan begitu kerana dilahirkan tanpa memperoleh kesempatan untuk melihat dunia.

“Ada, kat sana tu. Dekat kaunter depan, Nasir dengan Adam pun ada sekali. Semua ahli geng Dian dah sampai dah sejak tadi. Dian tak daftar lagi kan? Jom cepat kita daftar dulu sebab ramai yang datang hari ni.” balas Kak Lela sebelum memimpin tengan Dian untuk mengikutnya.

“Kita? Akak pun belum daftar lagi? Kata datang awal.” soal Dian tak percaya.

“Sebab tunggu Dianlah ni. Tengok akak pun dah lupa. Jom cepat, nanti lambat.” balasnya. Dian tersenyum gembira mendengarnya.

 

“Dian, lepas ni kau nak pergi mana?” soal Aimi usai majlis kepada Dian.

“Baliklah, nak ke mana lagi? Kenapa? Korang ada plan ke?” soalnya pula sambil mengeluarkan tongkat yang disimpan di dalam beg.

“Aku ingat nak ajak kau pergi CM, jom jamming nak? Nasir dengan Adam yang ajak, buat release tension sama-sama. Diaorang asyik bising je, sebab kau tak pernah pergi tengok diorang perform. Nak pergi ke tak?” soalnya semula.

“Ha, nak pergi ke tak?” soal Adam pula yang kebetulan semakin menghampiri.

“Maaflah, hari ni tak boleh rasanya. Lain kali kot. Aku janji lain kali, lagipun hari ni aku dah janji dengan Kak Leha nak balik sama-sama. Sekarang pun dah pukul berapa dah ni? Tapi aku janji, insyaAllah minggu depan aku datang, boleh?” balas Dian pula menerangkan.

“Kau tu Dian daripada dulu lagi, sama je jawapannya. Bila ajak bukannya pernah nak join. Kami sedar yang kami ni tak glamor, tak terkenal pun.” balas Adam perlahan, sedar akan kekurangan diri.

“Kenapa cakap macam tu? Selama hari ni aku tak pernah janji apa-apa kan? Tapi hari ni aku janji, minggu depan aku datang, awal-awal pagi lagi aku dah sampai, lagipun kita tak ada apa-apa program minggu depan kan?” tuturnya membuat perjanjian.

“Tapi sebelum tu…tiket mana?” soalnya pula sambil menadah tangan.

“Tiket apa?” jawap Nasir tak memahami maksud kata-kata Dian.

“Tiket konsert la apa lagi, takkan tiket LRT? Aku nak masuk free, tak nak bayar.” ucapnya, serentak disambut dengan ketawa oleh semua.

“Seronoknya sembang. Cerita apalah agakya tu.” tutur Kak Lela yang muncul secara tiba-tiba.

“Nasir dengan Adam ni kak, dia ajak tengok konsert minggu depan. Diorang nak perform. Kak Lela nak join tak?” jawab Dian dengan sisa ketawa yang masih sedia meniti di bibir.

“Boleh, tapi kat mana? Pukul berapa? Ha, yang paling penting, tiket. Tiket mana? Masuk percuma ke?” soal Kak Lela. Serentak ketawa yang baru nak reda pecah semula. Kak Lela turut sama tumpang sekaki. Dia bersyukur kerana Allah telah menemukannya dengan mereka untuk mengerti definasi kebahagian yang sebenar. Kebahagian bukanlah kesempurnaan, sebaliknya kecukupan dan kesyukuran pada nikmat pemberianNya.

Mereka sememangnya istimewa bukan saja di kaca matanya, tapi di hadapan Allah. Mungkin mereka tak dapat melihat, tapi kekurangan itu tak pernah menghalang mereka untuk berbahagia. Mereka gembira dengan cara mereka sendiri. Bergelak ketawa dan beramah mesra, sama seperti yang lain juga, biarpun mereka telah kehilangan mata, nikmat sementara pinjaman yang Esa.

Previous: Bab 37
Next: Bab 39

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati