Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 10

Berita yang baru disampaikan oleh Dr. Rajan masih bermain di fikiran. Keadaan ummi parah dan dia perlukan rawatan segera iaitu melalui pembedahan untuk mengeluarkan ketulan darah beku yang berada di bahagian dalam kepala. Kata doktor akibat dari hentakan kuat semasa pelanggaran, terdapat bengkakan di bahagian dalam tempurung kepala dan ia perlu cepat dikeluarkan.

 

“Ibu cik perlukan rawatan serta merta. Tapi sebelum tu saya nak beritahu, kos pembedahan memang agak tinggi di sini, biasanya dalam linkungan 5 ke 10 ribu, tak kurang. Itupun tak termasuk bil-bil lain seperti bil hospital dan ubatan.” terangnya. Dian yang mendengar tergamam. Begitu juga keadaan Pak Samad dan Mak Andak.

“Tapi kalau cik dan ahli keluarga mahu kami transfer dia ke hospital kerajaan, kami akan uruskan secepatnya.” tuturnya lagi memberikan cadangan tadkala melihat Dian yang sepi.

“Mana kau nak cari duit banyak tu Dian?” rintihnya di dalam hati sambil kepalanya ligat memikirkan jalan penyelesaian.

Wajah ummi terbayang di mata. Tubuh ummi yang berselirat wayar jelas di penglihatannya. Dia simpati pada ummi. Selama ini hanya ummi yang memberi, sedang dia masih tak berpeluang untuk membalasnya lagi. Sudah banyak ummi bekorban, mungkin sudah tiba masanya untuk dia mengambil giliran.

“Boleh bagi saya sedikit masa? Saya masih belum boleh buat keputusan lagi. Buat masa ni, biarlah ummi saya di sini dulu. Saya akan cuba usahakan apa yang saya termampu.”

“Saya janji, esok saya akan beri jawapan.” balasnya. Dia perlu memikirkan cara untuk mendapatkan wang tersebut. Walau bagaimana carapun dia akan cuba untuk mengusahakannya. Wajah abi berlegar-legar di minda kerana hanya abi yang menjadi satu-satu harapan yang dia ada.

 

Pak Samad sudah mula mencongak baki simpananya, sebelum sedar bakinya sudah tak ada sebanyak mana setelah dia bertindak sebagai penjamin dan terpaksa menanggung hutang adik kandung yang telah menghilangkan diri. Serentak Mak Andak menggenggam tangan suaminya itu sebelum dia mengangguk perlahan sebagai tanda memberikan sokongan.

“Dian jangan bimbang ya. Kita usaha sama-sama.” tutur Mak Andak sebelum menggenggam erat tangan Dian pula.

“Usaha? Ya, Dian pun kena usaha.” bisiknya sebelum dia bingkas bangun dan menyandang beg kainnya itu semula.

“Dian nak ke mana tu?” soal Mak Andak yang sudah mula bimbang.

“Dian nak usaha untuk ummi. Dian pergi dulu. Assalammualaikum.” balasnya sebelum bergegas daripada situ.

“Dian…” tutur Mak Andak menghalang, namun dia tetap gagal.

 

Dia cuba mencari arah yang harus diikuti kerana sudah lebih sepuluh tahun dia meninggalkan kawasan kejiranan tersebut. Deretan rumah banglow yang dibina utuh, kontra dengan kehidupannya kini. Kehidupan kelas atasan yang melambangkan kemewahan, penuh dengan tiang seri yang besar dan tinggi memberi makna tersendiri. Tempat dia bermain dan bersekolah satu ketika dahulu, tempat dia dilahirkan, Sri Andalas yang dirindui.

Sungguhpun sudah agak lama tidak menjejakkan kaki, tapi dia masih mampu untuk mencari arah ke rumah abi. Seketika kemudian, langkah kakinya terhenti di hadapan sebuah rumah banglow yang di cari-cari sebelum dia terpaku di situ.

Bunyi loceng boleh didengari sampai ke luar rumah, namun kedatangannya tetap tak di sambut. Sekali lagi loceng dibunyikan tapi hasilnya tetap sama, tiada sahutan. Keadaan rumah yang bersih menampakkan seperti ada yang menghuni, tapi di mana abi? Abang Razif? Betulke mereka ada? Bisiknya sendiri sambil terintai-intai lagi.

Adakah sepanjang tempoh ini mereka tak pernah pulang? Atau mungkin abi dan abang Razif tiada di rumah sebenarnya? Pelbagai andaian dibuat, kerana dia tak mahu segera putus asa. Harapannya setinggi awan untuk bertemu dengan abi saat itu agar dia segera dapat membantu ummi.

“Assalammualaikum…” tuturnya lagi, tetap tak mahu berputus asa biarpun setelah melihat pintu pagar yang dikunci.

Dia semakin hampa setelah sedar segala usahanya itu ternyata sia-sia sebelum rumah yang masih dijaga rapi itu ditatap lama. Rumah yang penuh dengan kenangan dan ingatan. Setelah begitu lama ia ditinggalkan, ia tetap kelihatan sama, cuma perasaannya yang berbeza.

“Assalammualaikum…abi…abang Razif.” panggilnya lagi sebelum dia mula sebak setelah menyedari dia takkan mungkin bertemu dengan abi di situ.

Akhirnya, Dian menapak lesu meninggalkan kawasan rumah berkenaan. Wajah ummi tetap terbayang di mata. Dia tak tahu bagaimana caranya untuk membantu ummi lagi. Sedang dia sibuk berfikir, dia akhirnya disapa seorang nenek yang tiba-tiba muncul di pagar rumah jirannya itu.

“Anak cari tuan Ehsan?” soalnya kepada Dian.

“Ya, saya cari tuan rumah, tapi tak ada. Nenek tahu mereka di mana?” soalnya pula. Gembira kerana ada yang sudi memberikan maklumat berguna.

“Dia dah lama pindah. Dia dan keluarga pindah ke luar negara. Sejak tu, nenek tak pernah nampak mereka balik.”

“Cuma kadang-kadang adalah orang datang untuk potong rumput dan bersihkan rumah. Rumah tu dah lama kosong, tak ada orang tunggu, tapi anak ni siapa? Kenapa nak cari tuan Ehsan?” soal nenek itu ingin tahu.

“Saya…” belumpun sempat Dian menghabiskan ayatnya, mereka dikejutkan dengan bunyi hon kereta yang kuat daripada arah belakang.

“Takpa lah nek, saya pergi dulu. Terima kasih. Assalammualaikum.” tuturnya sebelum berlalu pergi tak mahu mengganggu nenek yang baik hati kerana maklumat yang diperlukan telah diperolehi. Hatinya hancur, harapannya lebur, setelah satu-satu sandaranya yang ada untuk membantu ummi turut terkubur. Dia mula rasa hilang semangat dan sesat di tanah kelahirannya sendiri.

Kereta mewah bewarna hitam itu laju meluncur di hadapan pintu. Serentak dengan itu pintu pagar automatik dibuka. Syed Azeem muncul dengan wajah tegang. Dia bengang dengan sikap opah yang dilihat semakin keterlaluan. Panggilan yang diterimanya awal tadi membuatkan hatinya bengkak dan berdarah. Opah ingin berjumpa untuk membincangkan isu yang paling dibencinya itu, hal perwarisan dan dia tahu dia takkan dapat mengelak lagi kali ini.

“Siapa tu nek?” dalam hati yang bergerutu, sempat juga dia bertanyakan gerangan perempuan yang dilihatnya seketika tadi kepada Nek Yam.

“Entahlah, Nek Yam pun tak tahu siapa. Katanya dia cari tuan Ehsan. Lama dia menunggu kat depan rumah tu, kesian Nek Yam tengok. Nampak macam budak baik.” jawabnya.

“Perempuan zaman sekarang ni bukannya boleh percaya sangat Nek Yam. Nampak je baik tapi hati kita tak tahu lagi. Janganlah mudah percaya sangat dengan orang asing.”

“Kat rumah ni hanya ada Nek Yam dengan opah. Kalau apa-apa jadi macam mana? Hati manusia, bukannya kita boleh baca.” tuturnya tegas. Dia tak mahu sesuatu yang tak baik berlaku terhadap penghuni rumah berkenaan.

“Iyalah. Nek Yam ingat, lain kali Nek Yam tak buat dah.” balasnya perlahan kerana dia cuma mahu membantu, tak lebih daripada itu.

“Opah ada kat mana Nek Yam?” soal Azeem, setelah teringatkan tujuan asal dia kesitu.

“Puan ada di bilik kerja. Tadi puan ada pesan, puan tunggu Azeem di bilik bacaan.” balas Nek Yam. Azeem mengangguk sebelum segera mencari opah.

 

“Masuk.” terdengar suara opah yang mengarahkannya masuk daripada dalam dan tanpa berlengah dia mengikut arahan.

“Assalammualaikum opah.” tuturnya sebelum mengambil tempat di hadapan opah. Syarifah Rahimah memandang tepat ke arah wajah cucu tunggalnya itu. Pandangannya memang nampak tenang, tapi dia tahu apa yang ada di dalam fikiran opahnya itu. Dia pasti opah ingin mengutarakan tentang perkara itu lagi. Isu anak dan pewarisan yang tak pernah selesai. Dia jadi tertekan setiap kali memikirkan hal tersebut. Bukannya dia tak berusaha, cuma rezekinya yang belum ada.

“Opah rasa Azeem dah dapat agak kenapa opah minta Azeem datang hari ni. Semalam opah dah bercakap dengan Aida dan dia dah setuju. Azeem macam mana?” soalnya inginkan jawapan. Sudah bertahun dia menanti, tapi Azeem tetap tak mempunyai zuriat lagi. Tempoh 5 tahun yang berlalu dirasakan seperti berkurun lamanya kerana harta warisan tersebut perlu menemui pemiliknya yang baru.

“Azeem tak faham dengan opah. Dulu sibuk suruh Azeem kahwin. Lepas kahwin desak Azeem untuk dapat anak. Sekarang bila tak ada anak, opah nak paksa Azeem kahwin lain pulak? Apa ni opah? Kenapa mesti hal-hal pewarisan tu yang opah pentingkan? Opah langsung tak fikirkan tentang perasaan Azeem. Opah memang tak sayang Azeem kan sebenarnya?”

“Aida tu isteri Azeem dan hanya dia yang Azeem cinta. Takkan mungkin Azeem akan cintakan wanita lain selain daripada dia.” tuturnya kesal kerana dia mula tertekan. Sudah lama perkara itu dibangkitkan, sampai dia dah tak tahan. Anak, hanya itu yang opah pentingkan, malah perasaan dan hatinya langsung tak pernah nak diendahkan.

“Azeem tak boleh nak salahkan opah sorang dalam hal ni. Dah lama opah tunggu. Opah dah tua, entah esok, entah lusa opah dah tak ada. Sebelum opah tutup mata, opah nak pastikan yang segalanya diuruskan mengikut wasiat nenek moyang kita dulu dan segala harta-harta ni mendapat pemiliknya yang baru.”

“Begitulah cara opah dibesarkan, dan begitu jugalah yang akan opah lakukan. Opah cuma minta seorang waris daripada Azeem. Besar sangat ke permintaan opah tu?” balas Syarifah Rahimah tegas. Dia tak akan berlembut lagi kali ini. Tak ada cara lain yang dapat difikirkannya, hanya satu, Azeem perlu berkahwin lagi.

“Apa Azeem tak ni penting pada opah? Sejak dulu lagi, semua hal Azeem mesti opah yang tentukan. Hidup Azeem semua kena ikut aturan opah. Azeem nak study music, opah suruh belajar business. Pernah tak sekali pun Opah tanya Apa yang Azeem nak? Tak pernah kan? Ok itu tak apa lagi, Azeem masih boleh terima.”

“Sekarang ni, sampai urusan rumahtangga Azeem pun opah nak tetapkan. Azeem bosan opah. Azeem betul-betul dah bosan.” tuturnya melepaskan segala perasaan, tapi dia takkan mampu berbuat apa-apa terutama untuk melawan perintah opah kerana dia tak akan pernah berani untuk melakukannya. Cuma kali ini hatinya kuat membangkang.

Tangisan Aida semalam masih terngiang-ngiang di telinga. Sakit rasanya hati diperlakukan begini. Hidup seperti lembu yang dicucuk hidung, ditarik ke sana sini sesuka hati.

“Azeem kena faham. Semuanya yang opah buat atas amanat nenek moyang kita dulu. Inilah warisannya dan itu jugalah wasiatnya. Opah tak nak ianya lenyap di depan mata opah. Opah tak tahu macam mana nak menjawapnya nanti. Nak tak nak, Azeem kena ikut apa yang opah dah rancang.”

“Opah akan carikan calon yang sesuai untuk Azeem. Azeem tak payah nak fikirkan apa-apa, semuanya akan opah uruskan.” terangnya. Dia tak mahu Azeem membantah lagi. Sudah tiba masanya untuk dia memainkan peranan.

“Hal Aida pun opah dah uruskan dan dia dah bersetuju. Dia tak kisah untuk bermadu. Opah nak hal ni selesai di sini dan tak perlulah dibangkitkan lagi. Kalau dah jumpa calon yang sesuai, hujung bulan ni kita langsungkan.” tutur opah tegas, Azeem dah tak dapat nak membalas kerana seperti selalu, opah sentiasa menjadi pemenangnya.

 

Aida sedang asyik membelek-belek majalah hiburan di hadapan mata. Majalah fesyen antarabangsa yang penuh dengan penggayaan semasa, seksi dan menjolok mata, tapi itulah yang diidamkannya. Rambut karat yang berjuntaian di pipi dimain-mainkan dengan hujung jari. Tiba-tiba dia tersenyum penuh makna kerana peristiwa semalam takkan nampu untuk dilupakan bila rancangan yang telah diatur sejak sekian lama akhirnya mula berjalan seperti diharapkan.

“Opah, opah...tak sangka opah sanggup buat macam tu.” tuturnya gembira setelah menyedari opah akhirnya menyerah kalah.

 

“Aku tahu apa yang kau nak sebenarnya. Harta kan? Selama ni pun kau mengejar Azeem semata-mata kerana harta ni kan? Kau kena ingat, selagi Azeem tak ada zuriat, selagi itulah semua harta ni takkan jadi milik kau, milik Azeem.” tutur Syarifah Rahimah sambil menjeling pada Aida yang sedang duduk bersila panggung sambil wajah cucu menantunya itu dipandang dengan perasaan sebal.

“Sampai bila nak hidup macam ni? Dah jadi isteri orang pun masih sama. Pakai pakaian yang menjolok mata, macam dah tak cukup kain dalam dunia ni.” tambahnya lagi. Geram kerana nasihatnya tak pernah nak diambil pusing.

Melihat penampilannya saja dah cukup membuatkannya benci. Baju sendat tak berlengan dan hanya berskirt pendek ketat paras lutut dengan bahagian-bahagian tubuh lain yang luas terdedah, sama macam tak pakai apa-apa, membuatkannya rasa sakit hati mahu mengakui yang itu adalah cucu menantunya sendiri. Serentak Aida ketawa mendengarnya dan Syarifah Rahimah hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala.

Bukannya tak pernah ditegur, tapi tak pernah makan saman. Aida memang sukar untuk dibentuk, kaki enjoy, dan merupakan teman sekelab cucunya itu. Berpeleseran ke sana-ke sini sampai lewat malam, daripada sebelum kahwin sampailah sekarang tetap tak berubah. Rambut perangnya tak pernah kurang. Entah apalah yang membuatkan cucunya itu tertarik padanya. Daripada hujung rambut sampailah ke hujung kaki, semuanya haram. Ngomelnya sendiri menyatakan kekesalan hati.

“Chill la opah. Azeem tu yang tergila-gilakan I. Dia yang tak boleh berpisah dengan I. So simpan sajalah hasrat opah tu ya. Dia takkan sanggup. Sebab apa? Sebab dia hanya cintakan I.” tuturnya bangga sambil ketawa senang hati kerana Azeem sentiasa berada di dalam kawalannya. Tak mungkin suaminya itu akan menduakannya dengan yang lain.

Syarifah Rahimah mengetap giginya geram. Aida tak langsung berselindung di hadapannya, memang dasar kurang ajar, langsung tak pandai menghormati orang tua, sumpahnya sendiri. Senyuman sinis Aida tambah memanaskan hati.

Sejak awal lagi dia sudah tak berkenan dengan pilihan Azeem itu, tapi untuk membantah dia tak sampai hati, takut Azeem kecewa nanti. Serentak hatinya tambah bergerutu memikirkan perangai Aida itu.

“Aku tahu Azeem takkan setuju, itulah sebabnya aku nak kau buat dia setuju.” balas opah tak mahu kalah.

“Tak semudah itu opah. Tak ada sebab I nak pujuk dia. Dia kan suami I.” balasnya tetap mahu berbangga.

“Ada. Kau ada sebab yang cukup kuat untuk pujuk dia. Aku jamin kau takkan dapat tolak benda ni. Duit. Lagipun itu yang kau nak kan? Bukannya aku tak tahu.”

“Itulah sebabnya aku kawal semua perbelanjaan Azeem selama ni, supaya kau tak kikis dia sampai botak. Sekarang aku beralah. Banyak mana yang kau nak, kau cakap je lah. Aku jamin yang kau takkan menyesal, tapi dengan satu syarat.” tuturnya sebelum memandang tepat ke wajah Aida.

“Kau kena pujuk Azeem untuk kahwin lagi.” tuturnya menjelaskan keadaan. Dia pasti Aida akan termakan umpan. Aida yang mendengarnya terkesima. Tak disangka dia akhirnya mendapat peluang keemasan seperti itu setelah lama dia menunggu.

“Kau boleh minta banyak mana yang kau nak. Cakap je berapa, aku akan tunaikan. Aku bagi kau masa untuk fikirkannya.” tambah Syarifah Rahimah lagi. Aida bertambah gembira dan senang hati.

“Banyak mana pun? Opah pasti? Kalau I minta 1 juta pun opah akan beri?” soalnya tak sabar setelah mendengar tawaran yang sangat menggoda jiwa.

“Kalau itu yang kau nak, aku akan beri, tapi ingat segala hal Azeem lepas ni semuanya akan ikut cara aku. Bayaran penuh akan kau dapat bila Azeem mendapat warisnya nanti. Setuju?” soalnya ingin memeterai perjanjian.

“Okey, setuju.” balas Aida sambil tersenyum suka. Syarifah Rahimah lega, kerana seperti yang dia jangka, Aida hanya mengejar harta.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati