Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 70a

Azeem bergegas mendapatkan Dian yang sedang mengemas di dapur. Dia dapat melihat Dian sedang sibuk mengeluarkan bahan-bahan daripada peti sejuk untuk dimasak, namun itu takkan dapat menggugat rancangan yang telah lama diusahakannya itu.

“Dian, siap cepat.” arahnya.

“Siap? Kita nak ke mana?” soal Dian tak percaya kerana dia baru hendak bermula.

“Rahsia.” balas Azeem pula sambil tersenyum gembira.

“Abang, Dian baru selesai last paper tadi. Dian ingat nak masak best-best hari ni. Tengok, dah sedia barang dah. Mesti ke sekarang? Esok tak boleh? Bagilah Dian rehat dulu.” balasnya. Peperiksaan akhir semester baru saja selesai dan penatnya masih terasa, tapi kenapalah dia digesa-gesa pula.

“Abang nak bagi Dian rehat lah ni. Abang nak bawa Dian ke satu tempat yang happening. Dian mesti sukalah nanti.” balasnya sambil tersenyum bangga. Digenggam erat kedua-dua belah tangan Dian mahu menyebarkan kegembiraan yang dirasakan. Dian hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala dan dia jadi tak sampai hati untuk menghampakannya.

“Iya lah tu…happening ke haipening?”

“Tapi esok tak boleh? Mesti ke sekarang sebab Dian dah rindu sangat dengan Sofia. Seminggu dua ni, Dian sibuk dengan kerja Dian sampai anak sendiripun Dian tinggalkan.” balasnya perlahan kerana kerinduan pada anak kecilnya itu semakin terasa.

“Kita pergi tak lama, abang janji sehari dua kita baliklah.” jawap Azeem meyakinkan.

“Tapi abang tak jawap lagi soalan Dian tadi. Kita sebenarnya nak ke mana?”

“Kita pergi over the sea. Kita ke Langkawi!” balas Azeem ceria.

“Betul ke ni? Abang tak tipu? Tapi kenapa tiba-tiba?” soal Dian tak percaya.

“Iya, betul. Bukan Dian kata Dian teringin sangat nak ke sana. Dian nak tengok helang merah tu kan? Dah tu sekarang abang nak bawak, jadi Dian janganlah tolak, lagipun situ kan kampung ummi.” balas Azeem sebelum dia menyedari sesuatu. Dia tak mahu perancangannya sejak sekian lama berakhir sebelum mencapai matlamatnya.

“Hish, Dian ni, dahlah. Cepat siap. Kita dah tak ada banyak masa, kalau terlepas flight susahlah kita nanti.” tuturnya sebelum menarik tangan Dian tak mahu membuang masa lagi.

 

Sepanjang perjalanan Azeem masih tak mendedahkan apa-apa. Belumpun sempat panas kerusi, mereka sudah tiba ke destinasi. Pengalaman menaiki kapal terbang menjadi kenangan yang bakal diingati sampai bila-bila. Teruja, memang teruja ditambah pula dengan perasaan gembira yang sukar untuk diterjemahkan, bila pertama kali dia berada di dalam kelompok awan. Lebih menggembirakan, pengalaman itu dikongsi bersama dengan insan yang dicinta.

Setelah menaiki kapal terbang, perjalanan diteruskan dengan menaiki kereta yang telah sedia menunggu ketibaan mereka di luar bangunan lapangan terbang berkenaan sebelum menuju pula ke destinasi yang tetap juga dirahsiakan.

Azeem masih mengunci mulutnya rapat-rapat, tak rela merosakkan rancangan yang sudah bertahun berjalan. Biarpun dirayu, namun dia tetap teguh dengan pendirian dan setiap persoalan Dian hanya mampu dibalas dengan senyuman.

“Ok, kita dah sampai.” tutur Azeem sambil menuntun Dian untuk mengikutinya.

“Ini untuk Dian.” tambahnya lagi sambil mendepangkan tangan berdekatan dengan nama resort berkenaan. Serentak dengan itu wajah Dian berubah. Jelas terukir perkataan Teratak Ummi Resort and Spa di pintu masuk tempat peranginan tersebut.

“Maksud abang apa?” soalnya kurang mengerti dan Azeem hanya tersenyum memerhati.

“Takkanlah abang…” tuturnya sebelum dia seperti dapat membaca jawapan yang tesirat di sebalik senyuman suaminya itu.

“Untuk Dian, dan untuk ummi.” balas Azeem mengesahkan.

“Semua ni? Tapi kenapa?” soalnya yang sudah mula rasa sebak di hati.

“Sebab abang sayang Dian dan abang pun sayangkan ummi. Ini tanda penghargaan abang pada ummi, pada Dian. Abang harap Dian dapat terima.” balasnya sebelum merangkul bahu Dian.

“Abang nak abadikan nama ummi di sini, di tempat ummi dilahirkan.” tambahnya lagi sebelum mengusap lembut bahu isterinya itu. Dian terharu mendengar jawapan itu, serentak setitis air matanya jatuh juga.

“Dahlah tu. Abang tak nak tengok Dian sedih-sedih lagi. Ini baru permulaan. Abang ada banyak lagi yang nak dikongsikan. Jom abang bawa Dian masuk.” tuturnya sambil menyeka air mata Dian perlahan.

Ketibaan mereka disambut oleh beberapa orang pekerja yang sudah bersedia untuk memulakan acara. Reben merah yang siap terlintang menantikan perasmian yang bakal dilakukan. Bulat mata Dian memandang Azeem kerana terkejut.

“Dian tetamu VVIP, eh silap, VVVIP resort ni, dan abang nak Dian rasmikannya…” tutur Azeem sebelum meletakkan gunting berkenaan ke tangan Dian.

“Tapi sebelum abang terlupa. Abang nak kenalkan Dian pada tetamu VVIP yang ada kat belakang ni.” tambahnya lagi. Serentak dengan itu Dian menoleh sebelum dia mati bicara kerana semua insan-insan yang sentiasa di ingati, kini sudah berada di hadapan mata.

Opah dan Sofia, Mak Andak sekeluarga, terutamanya Udin dengan senyuman yang sampai ke telinga, Abang Saiful dan Kak Ira yang baik hati, tak ketinggalan geng-geng busking, yang mungkin dilihat kurang dari segi kemampuan, tapi sebenarnya lebih kuat dan teguh dalam aspek keimanan.

“Ya-Allah, ini kerja abang rupanya. Patutlah abang berahsia sangat sejak tadi.” tuturnya sambil menepuk lembut tangan Azeem sebelum mendukung Sofia yang sudah mendepangkan tangan, minta diambil.

“Ummi…” ucapnya gembira kerana dapat bertemu dengan umminya semula.

“Kan abang dah cakap tadi, Dian yang tak nak percaya. Happening ke tak?” soal Azeem.

“Hmm, happening sangat. Abang, terima kasih.” jawabnya perlahan sebelum merapati Aimi, Adam dan Nasir.

“Korang, aku kenalkan. Ini anak aku, Sofia. Opah, ini kawan-kawan baik Dian.” tuturnya memperkenalkan sahabat-sahabatnya itu.

“Opah dah kenal, malah dah kenal rapat pun dengan mereka. Dian tahu tak yang kami dah dua hari disini?” balas opah pula.

“Dua hari? Sampai hati tak cakap.” jawabnya sedikit kecewa.

“Dian, nak bagitahu macam mana? Abang Zul cakap kau tengah periksa, itulah sebabnya kami diam je.” jawap Adam pula.

“Dian kau tahu tak yang aku dapat kerja kat sini?” soal Aimi pula.

“Betul ke? Kat bahagian apa?” soalnya gembira.

“Kat bahagian spa. Kepakaran, urutan refleksiologi.” balas Aimi. Gembira kerana dia akhirnya mendapat sesuatu untuk dikerjakan. Selebihnya mahu mengubat hati yang kelukaan.

“Mak macam mana? Ayah? Mereka bagi kau kerja jauh macam ni?” soal Dian sedikit tak percaya.

“Mula-mula tu memang tak bagi, tapi nasib baik ada Abang Saiful dengan Kak Ira, diaorang yang tolong pujuk mak dengan ayah.” tambahnya ceria sambil mengusap tubuh kecil Sofia.

“Dian, aku pun ada benda nak tunjukkan pada kau. Nah, kau tengok ni apa?” tutur Nasir pula, tak mahu ketinggalan menyatakan perkembangan semasa.

“Serius ke korang dah ada kedai jual alat muzik?” tuturnya sambil memandang ke arah Azeem yang jelas menyembunyikan senyumannya. Dian pasti segalanya adalah atas usaha suaminya itu juga.

“Dian ni, seronok sampai lupakan abang.” tutur satu suara. Serentak Dian menolehkan kepalanya sebelum dia terkesima.

“Abang, kenapa balik tak bagitahu.” ucapnya bila terlihat kelibat Razif yang sudah tercegat di sebelahnya. Serentak tangan Razif diraih dan disalami.

“Bukannya abang tak nak beritahu, tapi ni, adik ipar abang, suami Dian ni yang tak benarkan abang bagitahu. Dian tahu tak, dah seminggu abang kat sini dan abang akan terus kekal kat sini, itupun kalau Allah izinkanlah. InsyaAllah.” balas Razif pula.

“Maksud abang?”

“Abang dah buat keputusan untuk balik semula ke sini lepas Azeem tawarkan abang kerja di resort. Abang pun dah mula rindu pada tanah air sendiri, rindukan Dian, rindukan Sofia dan semua yang ada.” tuturnya sebelum memandang ke arah Aimi. Lama wajah itu dipandang kerana hatinya turut berasa riang.

“Ha, abang tengok apa tu?” bisik Dian perlahan, mematikan lamunannya.

“Apa? Tengok apa?” balasnya semula dengan frekunsi yang sama, sebelum kedua-duanya tersenyum suka.

“Ok, kalau semua dah sedia, kita boleh mula.” ucap Azeem, lantas memulakan kembali acara yang terhenti.

“Dian, dengan lafas bismillah…” tambahnya memberikan tunjuk ajar dan dengan lafas bismillah, segalanya dimulakan.

Previous: Bab 69
Next: Bab 70b

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati