Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 53a

Sudah beberapa kali dia mengunjungi pusat urutan yang menjadi tempat Dian bekerja dan Dian dilihat melayannya mesra. Disebabkan persamaan usia, lebih mudahlah mereka berkomunikasi kerana tak ada formaliti yang perlu dituruti.

Topik perbualan mereka biasanya berkisar tentang keadaan semasa, baik di dalam mahupun di luar negara. Ada saja pendapat dan buah fikiran yang ingin dikongsi bersama dan mereka jelas mempunyai persamaan dari segi itu. Mereka tak kekok bila berbicara dan bercerita. Paling utama, hatinya sedang menunjukkan reaksi dan dia seperti sudah mula jatuh hati.

Dian terhibur bila dapat berkongsi cerita dan berita. Dia dapat merasakan kejujuran pada diri sahabat barunya itu. Tambahan pula Haikal merupakan anak kepada teman lama ummi, jadi pergaulan mereka rasa dirahmati. Dia gembira kerana mereka dapat menyambung semula ikatan yang pernah terbina. Dia ingat lagi pesanan ustaz yang disampaikan dalam rancangan kegemarannya Tanyalah Ustaz satu masa dulu.

Kata ustaz, kalau kita rindu pada kedua orang tua yang dah tiada, selain berdoa dan memohon rahmat untuknya, kita pun digalakkan untuk berbuat baik pada rakan-rakan karib arwah dan membahagiakan mereka kerana kesannya sama. Amal kebaikan yang dilakukan akan diberi ganjaran yang serupa, sama seperti kita berbuat baik pada arwah juga.

Begitu cantik serta mudahnya konsep Islam dan dia bersyukur kerana dilahirkan di dalam komuniti yang terpilih tanpa perlu mencarinya sendiri. Dia sentiasa bermunajat pada Allah agar dipelihara nikmat iman dan Islam yang menjadi tunjang kekuatannya itu sehingga ke hujung nafasnya kelak kerana dia mahu bertemu semula dengan ummi dalam keadaan yang dirahmati. Tak sanggup rasanya andai terpaksa berpisah di sana juga nanti. Itulah harapannya dan itu jugalah doanya saban hari.

Tiba-tiba dia teringatkan Azeem dan anak yang dibiarkan sendiri. Serentak perasaan bersalah itu muncul lagi. Dia tahu dia berdosa, tapi dia tak tahu bagaimana mahu menghadapinya. Cepat-cepat dia beristigfar di dalam hati, minta pengampunan dari llahi.

“Dian tahu tak apa yang ada dalam surat khabar hari ni?” soal Haikal yang sedang membelek-belek isi kandungan berita di telefon pintarnya.

“Apa dia? Kongsilah, sebab Dian dah tak dapat baca.” balasnya sambil tersenyum nipis.

“Baitulmaqdis dah diserahkan pada golongan kafir laknatullah tu, dan Israel bakal menakluki Al-Aqsa, hasil perbuatan seorang pemimpin tertinggi negara yang selama ini sibuk memperjuangkan tentang hak asasi. Sekarang dia dah buktikan yang itu hanya retorik dan polimik untuk menyedapkan bunyi dalam politik.”

“Cakap pandai, tapi sebenarnya merekalah golongan yang paling teruk yang diciptakan di atas muka bumi ni. Hidup tanpa etika, memperdagangkan hak orang lain dengan sewenang-wenangnya. Pemimpin dunia pertama yang berani membuat tindakan memalukan, sekaligus memusnahkan reputasinya sendiri. Mereka bangga dengan menggelarkan diri sebagai polis dunia walhal merekalah penjenayahnya.” jawap Haikal kesal. Kesal kerana dunia seperti dikawal oleh mereka. Segala yang berlaku mestilah mengikut kehendaknya. Membenarkan peperangan atas alasan keselamatan. Nyawa manusia lain langsung tak dihargai dan dianggap murah dan mudah, tak seperti nyawa mereka, mahal dan berharga.

“Ya-Allah, dah disahkan? Betul-betul dah jadi ke?” soal Dian terkejut. Semalam berita itu telah didengarinya dalam siaran berita malam, tapi masa tu belum lagi disahkan. Benarkan umat islam akan kehilangan Al-Aqsa kiblat pertama umat Islam itu? Serentak hatinya jadi sayu kerana sedar ia akhirnya berlaku.

“Dia dah sahkan, tengah malam waktu kita. Siap buat sidang akhbar lagi. Tadi Haikal dah tengok, ceritanya pun dah keluar dalam berita pagi. Dian nak dengar?” soalnya pula.

“Boleh.” jawap Dian sebelum pantas dia mengangguk.

“Kejap ya.” balasnya sambil memulakan pencarian pada laman web yang berkenaan. Dia teruja mahu berkongsi berita, kerana ia bukan berita biasa, tapi berita yang menggemparkan seluruh isi dunia.

Wajah Dian tiba-tiba mendung. Masih terbayang di matanya, babak-babak peperangan yang disiarkan di televisyen beberapa bulan sebelumnya. Kehancuran infrastruktur dan darah yang berlinangan tak lupa juga tangisan akibat kehilangan. Hal-hal dan isu-isu agama sentiasa dekat di hati, terutamanya isu Baitulmaqdis dan negara Palastin, tanah ambiya yang dirahmati dan diberkati. Bumi yang menjadi bukti berlakunya peristiwa Isra’ Makraj dan permulaan ibadat solat umat Nabi Muhammad.

Ketenangannya digugat dengan kehadiran bangsa pedatang yang kini merajai hampir keseluruhan jajahan asalnya sehingga mereka dilihat seperti menumpang di tanah sendiri. Pokok-pokok dan tanaman yang menjadi sumber pendapatan dimusnahkan dan rumah-rumah kediaman penduduk diroboh tanpa belas ihsan.

Sudah berpuluh-puluh tahun masalah itu berlarutan, namun jalan penyelesaian dilihat semakin jauh daripada gapaian. Tindakan kuasa besar  itu pasti akan mencetuskan kemarahan dunia. Benarkah masanya semakin menghampiri sebelum kita bertemu semula denganNya? Duganya di dalam hati.

Serentak dia beristigfar berkali-kali untuk menenangkan diri kerana dia tahu semua yang berlaku adalah atas kehendahNya dan hanya Dia yang mengetahui segala.

“Dah dapat dah. Nah, Dian dengar guna ni.” tuturnya sambil menghulurkan earphone berkenaan ke tangan Dian.

“Terima kasih.”

“Tak payahlah ucap terima kasih. Haikal cuma nak kongsi berita supaya lagi ramai yang tahu dan berdoa untuk mereka, sebab apa yang boleh kita lakukan sekarang hanyalah berdoa dan memohon agar Allah gagalkan usaha mereka itu, insyaAllah.” balasnya dengan senyuman. Gembira bertemankan Dian.

Semakin lama berkenalan, semakin dia jadi tertarik pada Dian. Hatinya mula terpaut pada keperibadian Dian yang lembut dan sopan dalam pertuturan. Tegas bila diperlukan, namun sentiasa berpatutan dan paling penting, tak pernah melampaui batasan.

Wajah Dian yang sedang tekun mendengar pengunguman ditatap. Hatinya mula berbunga kembali dan cintanya berputik lagi, semakin lama semakin memenuhi tangkai hati. Mungkin benarlah kata orang, cinta itu buta, tak dapat dilihat dimata kerana ia hanya mampu dirasa.

Air mata yang bergenangan sejak tadi akhirnya menitis juga. Haikal yang melihatnya mula jadi tak tentu arah.

“Dian kenapa? Kenapa Dian menangis ni?” soal Haikal terkejut. Ingin diseka air mata yang berjuraian, tapi dia masih ingat tuhan. Dia sedar yang dia belum mendapat hak itu. Hak untuk menyentuh seorang wanita yang dikasihi kerana mereka belum ada ikatan yang sah untuk mematri. Pantas Dian memujuk hati sambil mengesat air mata yang membasahi pipi. Perkara yang tak sesuai dilakukan ditempat awam seperti itu, takut menimbulkan fitnah pula.

“Tak ada apa-apa. Dian cuma rasa sedih. Sedih bagi pihak saudara kita yang berada di sana. Pasti akan berlaku pertumpahan darah lagi nanti.” balasnya sebelum menghela nafas panjang.

“Dah berpuluh-puluh tahun, tapi keadaan tetap sama. Dunia memang dah terlalu tua agaknya kan? Mungkin dah tiba masanya dunia ini akan diganti, tapi yang sedihnya, dah sampai tahap macam ni pun, kita masih lagi alpa dan lupa, leka mengejar nikmat dunia yang sementara.” balasnya sambil membersihkan air mata yang masih bersisa. Dia sudah berusaha untuk menahan sebak, tapi dia tahu dia tetap gagal. Kepiluan terasa perit dan kuat menusuk di dada.

“Lebih menyedihkan, sikap negara-negara islam itu sendiri yang masih mahu berkerjasama setelah mereka terang-terangan menindas dan menganiaya saudara-saudara kita di sana. Dunia jadi kacau-bilau disebabkan mereka.”

“Lepas satu, satu negara yang dihancurkannya dengan modal yang sama, untuk menghapuskan keganasan, tapi kenyataannya, siapa yang mengganas sebenarnya? Kita atau mereka?”

“Kenapa kita masih mahu bergantung dan bekerjasama sedangkan kita sendiri tahu niat mereka? Penjajahan minda, penjajahan alaf baru yang lebih kuat dan menakutkan. Berlaku secara senyap dan tanpa kita sedar, meresap dan mempengaruhi pemikiran sampai ke satu masa kita sendiri dah tak dapat nak bezakan antara yang hak dan batil.”

“Hmm.” balas Haikal sambil mengangguk-anggukkan kepala.

“Demi kepentingan ekonomi, itu sajalah alasan yang diberi sampai kita sendiri sanggup memperjudikan tempat yang begitu suci. Mereka lantang berbicara, tapi hakikatnya hanya kata-kata yang bersifat sementara.” tambah Dian lagi. Dia kesal bila memikirkan situasi semasa dunia. Dunia akhir zaman, fasa keempat dalam kehidupan sebelum datangnya insan istimewa yang dinanti semua untuk mendamaikan dunia.

Haikal rasa gembira dan bahagia mendengarnya. Dia sedar Dian penuh dengan pengetahuan, dan sepanjang mereka berkenalan Dian sentiasa memberikan pendapat-pendapat yang bernas dan berkesan.

“Betul apa yang Dian cakap tu. Haikal sokong sebab memang itu yang terjadi. Mereka dah menubuhkan satu pakatan, bukan saja dari segi ekonomi tapi dalam aspek-aspek lain seperti politik dan ketenteraan untuk menentang Islam. Negara-negara Islam jadi lemah sebab kita tak pernah nak bersatu. Kita teruja untuk mencapai pembangunan duniawi yang bersifat meterial seperti yang telah dicapai oleh mereka sampai kita lupa pada pembangunan modal insan yang paling penting untuk dibina.” tutur Haikal membenarkan pendapat Dian.

“Sebagai umat Islam, pembangunan iman adalah hal yang terpenting untuk dilakukan, tapi sebaliknya kita masih gagal untuk menjayakan. Masalah-masalah sosial yang berlaku sekarang bukti ketempangannya. Kita boleh nampak tu dan semakin jelas dalam dunia tanpa sempadan.” serentak Dian menganggukkan kepala kerana dia juga memikirkan perkara yang sama.

“Apa yang boleh kita lakukan sekarang, kembali pada dua perkara iaitu, Al-Quran dan sunnah Rasulullah dan jadikanlah ianya pegangan sepanjang masa. Tabahkan hati, disamping tu kuatkan iman agar kita tak leka dan hanyut dibawa bersama.” tambah Haikal lagi.

“Musuh tetap musuh dan kawan yang terbaik hanyalah orang-orang yang beriman.” tutur mereka setentak sebelum kedua-duanya menguntum senyum dan ketawa ceria.

“Dian tengok halaqah?” soal Haikal tak percaya.

“Mestilah tengok. Itu rancangan kegemaran Dian, tak boleh tinggal. Haikal pun tengok jugak ke?” soalnya pula.

“Mestilah. Apa Dian ingat Dian sorang yang cintakan ilmu? Haikal pun sama, mak pun sama juga. Sambil jamu minum petang, sambil tambah ilmu pengetahuan. Tapi bukan nak cakap apalah, memang berkesankan penyampaiannya? Ustaz yang memberi penjelasan penuh dengan ilmu pengetahuan, sampai ada masa tu Haikal rasa terlalu sikit yang Haikal tahu sebab masih terlalu banyak lagi yang harus diambil tahu.” balas Haikal pula.

“Samalah kita. Dian pun rasa macam tu. Halaqah, ia pasti datang. Kiamat dan kehidupan memang takkan dapat dipisahkan. Kematian itu sendiri merupakan kiamat kecil manusia dan bakal dirasai oleh semua, tapi sedih, kenapa masih ada segelintir daripada kita yang menidakkannya?” tuturnya menyatakan perasaan hati.

“Dian tak ingat apa yang dia cakap dalam siri yang awal dulu? Jawapannya ada kat situ.”

“Sebabnya kalau tak dia, kita. Allah dah jadikan syurga dan neraka dan kita yang memilih untuk ke mana. Mereka yang mendustakan ayat-ayat Allah sedang mereka tahu tentangnya pasti akan diganjar selayaknya. Itulah janjiNya pada golongan-golongan pendusta.” tutur Haikal tegas. Dian segera membenarkannya.

“Sabarlah. Haikal tahu, bukan Dian sorang yang rasa macam ni, kita semua pun rasa sakit dan sedih. Haikal yakin sangat, dengan izin Allah, kita mampu untuk mempertahankan kedaulatan tanah suci tu. InsyaAllah kita doa sama-sama, mohon agar niat jahat mereka dipatahkan. Jangan sesekali kita lupa yang kita ada Allah, tuhan yang maha berkuasa. Kun faya kun, dan sentiasa ingat itu. Selagi DIA tak izinkan, takkan ada apa-apa yang akan berlaku.” tambahnya untuk menguatkan hati.

“Mungkin mereka rasa mereka dapat memaksa dengan menggunakan kekuatan fizikal, tapi mereka lupa semuanya tetap berbalik pada Allah. Kalau Allah tak izinkan, tetap takkan ada apa-apa yang mereka mampu lakukan dan seandainya ianya tetap terjadi, Haikal pun setuju dengan apa yang Dian cakap awal tadi.”

“Dunia mungkin dah terlalu tua dan tak mampu untuk bertahan lebih lama.” terangnya sebelum menghela nafas panjang.

“Doa adalah senjata yang paling kuat untuk kita umat nabi Muhammad. Kalau Dian sedih, sentiasa doakan untuk mereka. Haikal percaya dengan doa ikhlas daripada kita semua, Allah akan bantu saudara-saudara kita, tak kisahlah di manapun mereka berada. Itulah caranya Haikal tenangkan hati dan Haikal harap hati Dian pun jadi tenang nanti.” tuturnya, cuba memujuk hati Dian yang dilanda kesedihan.

“Hmm, terima kasih sebab ingatkan Dian.” balasnya pula. Sedikit sebanyak kedukaannya terubat. Hatinya tenang dan senang setiap kali berbicara dengan Haikal kerana mereka mempunyai cara pemikiran yang hampir serupa dan saling memahami antara satu sama lain.

“Sama-sama, tapi Haikal pun nak ucapkan terima kasih pada Dian sebab sudi bersahabat dengan Haikal. Lagipun tak ada luaknya ilmu kalau dikongsi. Haikal seronok sebenarnya dapat kawan yang sekepala, tak susah nak cari topik untuk dibualkan.” tuturnya ceria.

“Haikal lama lagi ke dekat sini?” soal Dian ingin mengatahui perihal sahabat barunya itu.

“Tak adalah lama sangat. Dalam seminggu dua macam tu, lepastu Haikal dah kena balik study semula. Kenapa? Dian nak ikut Haikal balik Mesir ke?” soalnya teruja. Kalau Dian rela, dia pasti akan menerimanya.

“Ish, Haikal ni. Tak adalah, cuma Dian rasa seronok berkawan dengan Haikal. Banyak ilmu yang Dian boleh dapat. Maklumlah dalam keadaan macam ni, Dian dah tak dapat nak buat banyak benda, nak membaca pun dah tak boleh. Kalau nak tahu info semasa, hanya boleh dengar di tv dan di radio, dah tak ada sumber lain. Pernah tak Dian ucapkan terima kasih pada…”

“Pernah la. Kan baru je tadi Dian ucap terima kasih pada Haikal.” sampuk Haikal belumpun sempat Dian menghabiskan kata-kata.

“Bukan, memanglah tadi Dian ada cakap, tapi kali ni untuk tujuan lain. Cuba bagi Dian habis cakap dulu boleh tak?”

“Ok, proceed.” balas Haikal ringkas. Gembira dapat bergurau begitu.

“Dian nak ucapkan terima kasih sebab Haikal sudi berkawan dengan Dian, dan terima kasih juga sebab sudi terima kekurangan yang ada pada diri ni.” ucapnya sebagai tanda penghargaan.

“Dian tak perlu nak ucapkan terima kasih sebab Dian yang dah ajar Haikal banyak benda. Dian ajar Haikal supaya lebih menghargai kehidupan dan nikmat yang dah diberikanNya.”

“Hidup untuk mencari keredhaan Allah dan itu adalah erti hidup yang sebenarnya. Sakit hanya ujian dan Dian dah berjaya buktikan, Dian dah lulus, malah dengan flying colour sebab Dian tetap bahagia dan gembira setiap masa. Sekarang barulah Haikal tahu apa makna kehidupan, iaitu tak lain dan tak bukan untuk mencapai ketenangan. Haikal bangga jadi sahabat Dian.” tuturnya sambil tersenyum dan Dian tak ketinggalan membalasnya. Dia bahagia mendapat teman yang memahami seperti itu. Daripada lenggok bahasa dan bunyi suara, dia percaya Haikal adalah seorang lelaki yang baik dan berfikiran positif sama juga seperti mak yang baik hati.

Haikal jadi semakin pasti bila hati yang tak pernah berpenghuni mula rasa terisi. Serentak dia memikirkan semula usul yang diutarakan mak untuk menyunting Dian. Tiba-tiba dia teringatkan tentang status Dian ketika ini. Dia perlu berusaha untuk melepasi benteng halangan yang pertama itu sebelum dapat memiliki Dian. Dia juga perlu mengetahui perasaan Dian terlebih dahulu dan sampai ke saat ini dia masih menanti waktu untuk membincangkan perihal itu. Kalau Dian bersetuju dia akan menguruskan segala-galanya, tapi kalau Dian menolak dia akan menerimanya dengan berlapang dada kerana mungkin dah tersurat jodoh mereka memang bukan bersama.

“Dian nak makan apa hari ni?” soalnya sambil menjenguk ke arah lauk-lauk yang terhidang di meja jualan.

“Mee goreng pun boleh, tak kisahlah. Tapi kalau tak ada, Haikal ambil apa yang sama dengan Haikal.” balasnya mahu memudahkan.

“Minum? Dian nak minum air suam macam semalam?”

“Hmm, air suam. Maaf sebab susahkan Haikal.”

“Tengok tu. Kenapa sampai nak minta maaf dengan Haikal. Haikal yang patutnya minta maaf sebab selalu ganggu Dian, ganggu isteri orang. Kalau suami Dian tahu mesti teruk Haikal kena kan? Takpalah, Dian tunggu sekejap, Haikal pergi sana ambil makanan.” balasnya. Hakikat yang takkan dapat di ketepikan. Dian sudah jadi milik orang dan dia perlu menjaga kelakuan sehingga segala-galanya selesai diuruskan.

Previous: Bab 52
Next: Bab 53b

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati