Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 71

Wajah Sofia yang sedang terlena diusap lembut. Dia sedar betapa agung Allah dalam penciptaanNya. Dari setitis air yang kurang dipandang orang, Dia mengubahnya menjadi seketul darah, sebelum berubah pula menjadi daging dan kemudiannya menjadi tulang-tulangan yang berbalutan sehinggalah terciptanya seorang insan yang sempurna sifatnya. Ada mata, telinga dan anggota lain yang cukup pasang dan baik fungsinya. Serentak dengan itu dia tersenyum bahagia.

“Terima kasih Allah…” bisiknya perlahan mensyukuri nikmat yang diberikan sebelum mengelus tangan Sofia lembut. Tiba-tiba bulat matanya, sebelum dia bangun dan menuju ke arah meja.

“Maaf sayang, ummi tak perasan.” tuturnya perlahan, tak mahu mengejutkan, serentak tangan Sofia diraih semula sebelum kuku tangan yang sudah mula memanjang itu dibersihkan.

“Dian…dah tidur ke dia?” soal Azeem perlahan tadkala melihat Sofia yang terbaring lena.

“Hmm…baru lagi.” balas Dian berbisik, tak mahu mengganggu lena si kecil, lebih haru jika dia terbangun kerana bertambah sukarlah tugasnya itu. Sofia memang tak suka bila kuku jarinya dibersihkan. Bila nampak saja pemotong kuku, mulalah dia merengek dan menolak.

“Hai…pening kepala.” bisik Dian di dalam hati sebelum kembali memotong kuku yang masih lembut itu dengan berhati-hati.

Azeem yang baru balik berjemaah di masjid mengambil tempat di sebelah Dian kerana dia juga tak mahu ketinggalan menyaksikan.

“Baru ingat nak main dengan dia, tapi dah tidur.” balas Azeem sedikit kecewa kerana hajatnya untuk mengulit si manja tak berjaya.

“Takpalah, nanti-nanti kan ada masa lagi.” tutur Dian memujuk.

“Pandai Dian potong kuku dia. Nampak bulat je, langsung tak mampak bersegi.” tutur Azeem memuji hasil kerja isterinya itu.

“Dian nak tahu tak, kalau Dian suruh abang, abang mesti takkan dapat buat cantik macam tu.” tambahnya lagi.

“Dulu, masa Dian tak ada, abang pernah cuba buat, tapi Dian tahu tak apa yang jadi?”

“Apa yang jadi?” balas Dian ingin tahu.

“Maaflah…abang terpotong kulit dia sekali.” jawap Azeem yang sudah membuat muka ngeri bila saat itu diingati.

“Patutlah dia takut sangat bila potong kuku, rupanya sebab tu…abang ni…” ucap Dian sambil menepuk lembut bahu suaminya itu.

“Bukan abang sengaja pun. Abang cuma nak tolong, risau bila tengok kuku dia panjang sebab opah kata nanti dia garu mata, luka. Ituah sebabnya bila tengok kuku dia panjang, abangpun cepat-cepatlah ambil pemotong.” balasnya cuba membela diri.

“Masa tengah sedap-sedap potong, tiba-tiba dia menangis. Abang apa lagi, terkejutlah, tak tahu sebab apa. Bila abang tengok-tengok balik, rupanya abang dah terpotong kulit dia sikit. Tapi sikit je, tak banyak. Tak berdarah pun.” tambahnya lagi dan Dian hanya tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala.

“Opah punyalah marah, sampai tak bagi abang buat lagi dah. Opah kata abang tak pandai jaga anak. Sampai hati opah cakap abang macam tu. Abang bukan tak pandai, cuma abang tak pandai lagi.” tutur Azeem menjelaskan kerana dia akan sentiasa berusaha untuk bergerak kehadapan dalam urusan keibubapaan.

“Mesti abang pakai pemotong kuku orang besar kan?” duga Dian.

“Macam mana Dian boleh tahu?” soal Azeem pula, pelik kerana Dian seperti dapat mengetahui segala.

“Dulu, Dian pun tak tahu. Dian ingat yang besar untuk kaki dan yang kecil untuk tangan, tapi ummi kata bukan. Ummi kata, yang besar untuk kita dan yang kecil untuk anak.” balas Dian sambil ketawa bila kenangan lama disingkap semula.

“Nah, abang potong kuku yang sebelah tu.” pelawa Dian serentak disambut gelengan di kepala Azeem.

“Taknak taknak, abang tak nak. Abang masih tak berani.” pantas dia menolak kerana dia tak mahu tragedi lama berulang kembali. Dian yang mendengar bertambah geli hati.

“Takpalah kalau abang tak nak. Dian cuma tanya, manalah tahu abang nak cuba.” tuturnya sambil meneruskan pemotongan di tangan yang bersebelahan.

Azeem hanya mampu tersenyum bangga kerana Dian ada bersamanya, menutup segala kekurangan dengan kelebihan. Kehidupan berkeluarga yang sentiasa ada pasang surutnya, tapi tak akan memberi sebarang perubahan ketara andai mereka berusaha bersama. Apa yang penting kerjasama dan usaha, lalu diakhiri dengan penyerahan kepada yang Esa.

“Dian, abang tengok Dian tenang je. Sampai sekarang abang masih susah nak percaya. Dian dapat maafkan abang dan terima abang macam tak ada apa-apa yang berlaku? Macam mana Dian boleh buat semua tu?” soalnya ingin tahu.

“Hmm…mungkin semuanya sebab ummi.” jawap Dian yang baru selesai.

“Sebab ummi?” balasnya pula.

“Ummi selalu pesan pada Dian, syurga seorang isteri letaknya di bawah tapak kaki suami. Sejak kecil ummi selalu ingatkan. Ummi kata, takkan cium bau syurga bagi isteri yang derhaka dan ingkar pada perintah suami. Itu yang ummi ajar dan itu jugalah yang Dian pegang sampai sekarang.” tuturnya sebelum duduk bertentangan dengan Azeem.

“Bila fikir-fikir balik, terlalu banyak kebaikan yang abang dah lakukan pada Dian berbanding dengan kesalahan, tapi nak kata salah, bukan salah besar mana pun, cuma kita jadi mangsa keadaan dan kita berjumpa dalam suasana yang tak menyenangkan.”

“Dian taknak jadi manusia angkuh, menidakkan segala kebaikan yang abang dah lakukan hanya dengan satu kesalahan, itupun kerana salah sangka.”

“Punca marah kerana kita tak sabar. Jadi maksudnya, kita hanya perlu sabar supaya kita tak marah. Betul tak?” tambahnya lagi.

“Maksud Dian, caranya sabar?” soalnya lagi.

“Hmm…sabar, sabar dan terus bersabar, tapi jangan lupa ikhtiar. Insya Allah semuanya pasti dipermudah.” tuturnya menerangkan.  

“Dian terima kasih. Terima kasih sebab sanggup bersabar dengan kerenah abang.” tutur Azeem sebelum menggenggam kemas jari-jemari isterinya itu.

“Tapi sebenarnya, Dian tak adalah sabar sangat sebab Dian pun masih belajar untuk tempa hati ni. Abang tak ingat apa yang Dian buat pada abang masa abang masuk bilik sewa Dian dulu?” soalnya pula.

“Gila tak ingat!” jawap Azeem kuat, serentak Dian berdecik sambil meletakkan jarinya di bibir, tak mahu mengejutkan anak yang terlena. Azeem pantas mengakui kesalahannya itu.

“Maaf maaf, abang tak sengaja.” tuturnya perlahan sambil memandang ke arah Sofia yang memusingkan badannya sebelum kelihatan tenang semula.

“Mana boleh lupa!” tambahnya berbisik.

“Masa tu abang nampak Dian bertukar jadi hijau. Manalah abang tahu, yang isteri abang ni sama macam Hulk. Bila marah dia berubah.” balasnya sebelum ketawa suka hati bila mengimbau peristiwa yang terjadi.

“Apa abang cakap?” balas Dian geram sambil membulatkan mata sebelum turut sama ketawa mendengarnya.

“Betullah. Nasib baik Dian tak pegang parang, kalau tak dah melayang dah nyawa abang.” tambah Azeem senang hati.

“Abang nak tak, kalau Dian ajar abang satu doa untuk buatkan hati jadi lebih sabar dan tenang. Zikir ni yang Dian amalkan. Dian dapat daripada ustazah yang beri tazkirah dalam rancangan radio masa ummi baru-baru meninggal.” ucapnya mahu menurunkan ilmu, itupun kalau ada yang mahu.

“Nak, Dian ajarlah abang. Abang nak belajar sebab abang pun nak jadi tenang macam Dian. Cepatlah ajar macam mana?” gesanya pula, segera mahu mengetahui rahsianya.

“Ok, kalau macam tu, abang ikut Dian baca.”

“Allah, Allah hu rabbi…Laa nusyriku bihii syai-aa.” tuturnya memulakan, dan segera diikuti Azeem.

“Allah, Allah hu rabbi, laa nusyriku bihii syai-aa.” ulang Azeem lagi, setelah dapat menangkap hanya dengan sekali.

“Pandainya abang, sekali ajar dah dapat.” tutur Dian memberi pujian sebagai galakan. Azeem yang mendengar terasa bahagia kerana usahanya mendapat penghargaan.

“Allah, Allah hu rabbi, laa nusyriku bihii syai-aa. Maksudnya apa?” soal Azeem pula mahu mengetahui makna supaya dapat lebih menghayatinya.

“Ini zikir yang rasulullah ajar supaya kita amalkan. Maksudnya lebih kurang bunyi macam ni, Allah, Allah tuhanku, takkan aku berserah kepada selain daripadaMu ya-Allah. Tak ada yang lain, hanya Allah, Allah dan Allah.” jawapnya pula.

“Sejak Dian belajar sampailah sekarang, Dian sentiasa amalkan, terutamanya bila duduk sorang-sorang. Abang pun, kalau ada masa bolehlah amalkan, sebab kita takkan dapat lihat kesan sesuatu perkara dan kebaikannya selagi tak diamalkan.” tutur Dian meyakinkan.

“Cuba Dian dengar, abang ulang semula. Allah, Allah hu rabbi…laa nusyriku bihii syai-aa. Betul kan?” ucapnya mahu mengulangkaji pemahaman.

“Alhamdulillah, abang memang hebat.” balas Dian memuji kelebihan yang ada pada Azeem lebih dari itu kesudiannya untuk mempelajari dan mendalami ilmu.

“Abang sayang Dian. Abang betul-betul sayang Dian dan abang akan sentiasa sayang Dian kerana Allah.” ucap Azeem tak mahu menyembunyikan perasaan cinta yang mekar di jiwa setelah menyedari betapa berharganya Dian dalam hidupnya.

“Dian pun sama, Dian sayang abang, dan Dian pun sayang abang kerana Allah.” balas Dian sebelum mengucup lembut tangan Azeem, lelaki yang dikirim Allah untuk membahagiakannya. Lelaki pertama yang berjaya memasuki hatinya. Mungkin…ya mungkin sejak pertama kali mereka bertentang mata.

“Abang pun nak, tolong…” tuturnya sambil menyuakan jari tangan ke arah Dian.

“Abang nak Dian buat cantik-cantik, sama macam tu.” tambahnya lagi dengan bibir dimuncungkan ke arah Sofia yang masih terlena.

“Boleh.” balasnya sambil tersenyum bahagia, gembira dan ceria mencerminkan hatinya. Kebahagian hidup seorang isteri bila kemahirannya dihargai, kekurangannya ditutupi dan cintanya dibalas seikhlas hati kerana cinta itu adalah anugerah kurniaan llahi. Dengan adanya cinta, rindu pasti akan menjelma dan kerana cinta, manusia akan kenal penciptaNYA.

 

 

P:) Assalammualaikum...

Terima kasih pada semua yang masih sudi pinjamkan hati.

 

Walau apapun pangilan mereka, samaada mak, ummi mahupun ibu, mama ataupun bonda,semuanya merujuk pada individu yang sama, insan yang melahirkan kita ke dunia. Jadi hargailah mereka selagi ada...pada yang dah tak punya, doakanlah kesejahteraannya di sana.

 

Buat portal ilham, ribuan terima kasih diucapkan kerana telah memberi ruang untuk berkongsi hobi seterusnya menghidupkan karya ini. Sesuatu karya hanya akan jadi bermakna bila ada yang membacanya...

 

InsyaAllah, jika diizinkan, kita akan jumpa lagi, dan sepanjang tempoh tu, moga berbahagialah hendaknya pada semua. Salam...

 

Previous: Bab 70b
Next: Epilog

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati