Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 68

Sesampainya di rumah selesai bersolat subuh berjemaah di masjid yang berhampiran, Dian terus ke bilik. Azeem yang melihat hanya mampu tersenyum kerana dia tahu apa yang Dian ingin lakukan. Sambil menyandar di kepala katil, pandangannya tetap diarahkan kepada Dian yang sudah bersedia untuk membacakan Surah Yasin seperti kebiasaan. Sejak daripada dulu lagi dia melihat Dian melakukan begitu, tapi kenapa? Bisiknya dia dalam hati kerana dia mula jadi ingin tahu sebabnya.

“Dian, sebelum tu, abang nak tanya Dian sikit boleh?” soalnya ingin segera mendapatkan penjelasan.

“Hmm. Tanyalah. Apa dia?” soal Dian pula sambil mengalihkan pandangannya ke arah Azeem.

“Daripada dulu lagi abang perasan, setiap kali lepas solat subuh, Dian mesti baca Surah Yasin. Boleh abang tahu kenapa?”

“Bukan ke kebiasaannya kita baca Surah Yasin ni masa malam Jumaat ataupun masa buat solat hajat? Tapi kenapa Dian baca hari-hari? Untuk apa?” soalnya hairan kerana cara Dian jauh daripada kebiasaan.

“Sebabnya banyak, tapi yang paling utama sebab hati.” jawapnya sebelum tersenyum kerana persoalan itu telah mengingatkannya kepada ummi.

“Sebab hati? Maksudnya?” soal Azeem tak dapat memahami apa yang Dian perkata.

“Hmm, sebab hati. Macam kita, semua ada hati dan Allah menyuruh kita menjaga hati, seketul daging yang ada kat dalam ni kan?” tuturnya sambil meletakkan tangan di dada.

“Rasa macam pernah dengar, tapi apa kaitannya?” soal Azeem semula sambil memikirkan kata-kata Dian sebentar tadi.

“Kalau macam tu, Dian nak tanya abang. Abang tahu tak apa hati bagi Al-Quran?” soalnya lagi. Azeem mengerutkan keningnya memerah otak untuk mencari jawapan sebelum dia seperti dapat menangkapnya.

“Maksud Dian, hati bagi Al-Quran adalah Surah Yasin?” ucapnya bercampur baur antara jawapan dalam persoalan. Serentak Dian mengangguk mengesahkan.

“Hebat kan. Dian harap sangat dengan mengamalkan bacaan hati Al-Quran, ia akan dapat didik hati Dian.” balasnya ceria, gembira bila hanya memikirkannya.

“Berbalik pada soalan asal abang tadi, abang tanya kenapa Dian baca surah Yasin setiap kali selepas subuh?” tuturnya sambil menghalakan tubuhnya menghadap ke arah Azeem pula. Serentak Azeem menganggukkan kepalanya.

“Sebab Surah Yasin ni banyak sangat manafaatnya. Banyak, sampai Dian sendiri pun susah nak ingat, tapi antara yang paling utama adalah sebagai alat pelindung diri. Jika dibaca pada pagi harinya, insyaAllah sampai ke petang kita akan dapat merasa kegembiraan dan jika dibacakan pada petang hari, nescaya seseorang itu akan gembira sampai ke waktu paginya pula. InsyaAllah, dengan izin Allah.” terang Dian sambil tersenyum kerana dapat berkongsi ilmu. Azeem yang mendengar semakin tertarik dengan penjelasan yang baru diberikan.

“Ooo…macam tu? Lagi? Apa lagi?” soalnya, mahu mendapatkan informasi.

“Bila dibaca khas untuk seseorang yang dah tak ada lagi di dunia, nescaya ia dapat mengurangkan siksanya di sana.” jawap Dian, tapi agak sayu kali ni kerana dia mula teringatkan ummi kembali. Azeem yang melihat menyedari kesedihan yang Dian rasakan dan tanpa berlengah dia terus bergerak ke sebelah Dian.

“Kalau macam tu, abang pun nak baca. Abang nak baca untuk ummi, untuk papa dan untuk mama sekali. Kita baca sama-sama.” ucapnya sebelum mencapai buku kecil yang terdapat di tangan Dian. Serentak Dian mengangguk menghargai ketulusan hati suaminya itu.

 

Keadaan dalam bilik yang dipenuhi dengan peralatan-peralatan lukisan menjadikan ruangan itu lebih sempit berbanding kebiasaannya. Azeem yang baru sampai hanya mampu melihat.

“Abang maaflah. Bilik sepah sikit, tapi sekejap lagi Dian kemaskan.” tuturnya sebelum menyambung tugasan dipapan kerja. Projek berkenaan harus dilengkapkan sebaik-baiknya kerana dia bukanlah seorang yang suka membuat kerja sambil lewa.

“Dah nak siap dah ni. Bila nak kena hantar?” soal Azeem ingin mengambil tahu sebelum duduk di sisi Dian.

“Minggu depan.” jawapnya ringkas sambil tangan pantas menyambungkan keratan-keratan yang berkaitan. Satu demi satu bahagian binaan dicantumkan untuk menghasilkan rekaan yang dihajatkan.

Azeem gembira melihat ketekunan Dian kerana isterinya itu bukan saja nampak seronok tapi nampak sangat secocok dengan kerjaya pilihannya itu. Puas dia menatap wajah itu kerana dia sudah cukup bahagia hanya dengan berbuat begitu.

“Dian.” tuturnya sepatah tak berapa lama kemudian.

“Hmm, kenapa?” balas Dian, sebelum memandang ke arah Azeem, ingin mengetahui sebabnya.

“Tak ada apalah.” balas Azeem pula sebelum menggeleng-gelengkan kepala dan serentak dengan itu, Dian terus menumpukan pada pekerjaannya semula.

“Dian…” panggil Azeem lagi sebelum dia tersenyum senang hati kali ini, seronok dapat mengganggu konsentrasi si isteri.

“Ish abang ni. Main-main ya. Suka sangat mengenakan orang.” ucap Dian geram kerana fokusnya sedikit lari, sebelum satu cubitan dilepaskan pada peha Azeem yang ada berdekatan.

“Aduh sakit!” tuturnya sambil mengusap kulit.

“Dian nak tahu tak bahagian apa yang abang paling suka tengok pada Dian?” tutur Azeem pula sambil matanya masih menumpu pada wajah Dian.

“Ha?” balasnya kurang memberi perhatian sebelum dia berjaya memahaminya.

“Dian tak nak tahu dan Dian tak nak ambil tahu.” balas Dian sambil menutup kedua-dua belah telinga untuk menguatkan minda.

“Dian dengar la dulu apa abang nak cakap ni.” rayu Azeem tetap mahu memberitahu apa yang terbuku.

“Tak nak! Dian tak nak tahu.” ulang Dian lagi kerana dia memang tak terfikir untuk ambil tahu tentang hal-hal seperti itu. Penting ke? Kerana seluruh jiwa dan raganya telah dimiliki oleh suaminya itu.

“Kalau Dian tak nak tahu, takpalah. Biar abang simpan sorang-sorang sampai abang ma…” balas Azeem sedikit kecewa. Serentak Dian meluru ke dalam dakapannya.

“Abang jangan. Jangan sebut tentang perkara tu.” tutur Dian kesal.

“Tolonglah jangan cakap benda-benda macam tu, sebab semua yang kita sebut, semuanya doa. Dian tak nak abang tinggalkan Dian.” tambahnya lagi. Azeem gembira, kerana yakin Dian juga mencintainya, tapi kecewa pada diri sendiri setelah menyedari dia telah membuat Dian berduka lagi.

“Maaf, abang tak sengaja. Abang terlepas cakap. Abang janji, abang tak akan cakap macam tu lagi.” tuturnya sambil menepuk-nepuk lembut bahu Dian.  

“Itulah sebabnya, bila abang nak cakap Dian dengar la dulu. Ini tak, belumpun abang sempat cakap, Dian dah tak sudi nak dengar.” tambahnya lagi. Dian segara meleraikan pelukan sebelum menatap wajah Azeem semula.

“Ok, sekarang abang cakap. Dian nak dengar.” balas Dian sedia mendengar hujahan.

“Abang paling suka tengok Dian senyum. Bila Dian senyum, abang rasa semua beban abang hilang, entah pergi manapun abang tak tahu. Bila tengok Dian ketawa abang pun rasa gembira dan tumpang suka. Tapi pelik kan? Kenapa abang boleh rasa macam tu?” tuturnya kerana dia sendiri tak dapat memahami diri. Kenapa hanya dengan melihat senyuman, duka di hatinya sembuh dengan serta-merta. Dian yang mendengar tersenyum suka.  

“Ha, senyum ni lah maksud abang. Apa yang Dian dah buat pada abang sampai abang rasa macam ni?”

“Dian tahu tak, disebabkan senyum ni lah abang jadi naik hantu masa tu. Abang rasa marah bila Dian boleh senyum pada semua orang lain, tapi kenapa tak pada abang. Abang rasa betul-betul tercabar sampai tak dapat nak kawal perasaan sendiri.” tuturnya meluahkan perasaan, tanpa sedar kenangan pahit itu terungkit semula. Dian hanya terdiam kerana dia tak mahu mengulas apa-apa.

“Benda dah jadi, buat apa nak cakap lagi.” tutur Dian perlahan sambil segera merungkaikan pelukan. Dia mahu menoktahkan perbualan kerana tiada apa yang baik untuk dibincangkan.

“Sebab dah jadilah abang nak jelaskan semuanya sekarang.” balas Azeem sebelum segera meraih tangan Dian.

“Abang mengaku abang cemburu bila tengok Dian dengan lelaki lain sebab abang dah mula sayang Dian masa tu. Cuma abang malu nak mengaku.” serentak tangan Dian dikucup mahu menzahirkan penyesalannya.

“Mesti sakit kan?” tambahnya lagi sebelum mengusap pipi itu lembut.

“Dah tak sakit, cuma Dian harap perkara macam tu tak jadi lagi.” balas Dian mengharap.

“InsyaAllah abang janji. Abang takkan buat perangai lagi.” balas Azeem pasti.

“Dah alang-alang abang buka buku lama, Dian pun ada benda nak tanya.” tuturnya pula, turut sama mahu mencari jawapan untuk persoalan-persoalan yang ada tersimpan.

“Dian tanyalah, abang akan jawab. Tanya je apa-apa, abang mesti boleh jawab.” balasnya bersedia.

“Kenapa abang tak datang hospital masa tu? Dian cari abang, nak tengok abang, tapi abang tak datang.” balas Dian perlahan menyatakan kesedihan.

“Mana Dian tahu abang tak datang? Abang ada. Abang hanya berani tengok Dian daripada luar, tak cukup berani untuk masuk.”

“Lagipun kan Haikal ada. Abang nampak Dian pegang lengan dia.” balas Azeem sedikit tak puas hati bila teringatkannya semula.

“Ha…mula la tu, tuduh Dian lagi. Cuba abang ingat betul-betul. Dian pegang lengan dia atau pegang lengan baju dia?” soal Dian yang sudah mula tak puas hati kerana dia dituduh lagi. Azeem segera mengingati semula perkara yang terjadi sebelum dia akhirnya menggigit bibir sendiri.

“Maaf maaf, sorry…” tuturnya setelah mengetahui keterlanjuran lidahnya lagi.

“Susahlah macam ni. Susah kalau dapat suami yang kuat cemburu, tapi takpala, awak redha. Dahlah jangan kacau Dian. Dian nak sambung kerja.” balasnya sebelum menyambung tugasannya semula.

“Dian merajuk ke?” soal Azeem tak percaya kerana Dian dilihat sudah tak mahu melayannya.

“Taklah, mana ada merajuk. Dian suka.” balas Dian sebelum tersenyum sumbing, nampak sangat dipaksa dan Azeem yang mendengar hanya mampu menggaru-garu kepala. Nampaknya niat untuk bergurau senda bakal berakhir dengan kecewa. Kesunyian Dian terasa mendera hati kerana dirasakan diri telah melakukan kesalahan lagi.

“Esok lepas kelas, Dian terus ke rumah opah.” tutur Dian minta kebenaran.

“Ok, nanti balik kerja abang jemput Dian kat sana. Dian jangan lupa kirimkan salam peluk cium abang pada Sofia ya.” balasnya pula.

“Hmm.” jawap Dian sepatah sebelum kedua-duanya sunyi tanpa bicara buat satu jangka masa yang agak lama. Dian leka semula di dalam dunia penciptaan manakala Azeem masih tetap memerhatikan.

“Ada apa-apa yang abang boleh tolong?” soal Azeem tak berapa lama kemudian, mahu memulakan semula perbualan.

“Hmm…rasanya tak ada.” balas Dian ringkas sambil menggelengkan kepala sedang mata masih memfokus pada rekaannya.

“Abang kalau dah penat, abang naiklah dulu. Dian nak siapkan sikit lagi ni. Sekejap-sekejap lagi Dian naik.” tambahnya lagi.

“Oklah, kalau Dian dah cakap macam tu…tapi janganlah lama-lama sangat.” balasnya pula.

“Hmm.” tutur Dian, lebih ringkas. Azeem sedar yang isterinya itu sudah tak mahu diganggu lagi dan dia perlu segera pergi. Setelah befikir dia akhirnya bangkit dan berlalu dalam keadaan pilu.

“Abang.” panggil Dian tiba-tiba bila dia sudah mula teringatkan sesuatu.

“Ya, kenapa? Dian nak abang tolong apa?” soal Azeem yang mendengar sambil tersenyum suka. Serentak dia merapati Dian semula.

“Dian lupa nak tanya. Kaki macam mana? Boleh abang bagi Dian tengok?” pintanya. Azeem yang mendengar ceria kerana dia telah mendapat ruang untuk berbicara semula.

Previous: Bab 67
Next: Bab 69

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati