Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 1.

Permandangan yang sama menemaninya hari ini, perjalanan pulang dari sekolah dengan menaiki LRT sebelum dia tiba ke destinasi. Deretan bangunan-bangunan tinggi yang tersusun rapi sentiasa berjaya menarik minatnya untuk memerhati. Pelbagai bentuk dan saiz dengan bahan-bahan binaan yang berbeza, mampu membuatkannya terleka. Di dalam hati, dia memasang impian tinggi agar dapat memasuki salah satu bangunan itu sebagai wakil pekerja sedikit masa nanti.

“InsyaAllah Dian. Satu hari nanti. Amin.” bisiknya di dalam hati untuk meyakinkan diri.

Perjalanan pulang diteruskan dengan berjalan kaki selama kurang lebih 10 minit, merentasi beberapa blok rumah kedai yang sudah lama dibina, tapi masih baik keadaannya hasil daripada pengurusan rapi dan tersusun oleh pihak yang bertanggungjawab. Serentak dia tersenyum gembira menghargai kebertanggungjawaban pihak yang beramanah, namun cuma sebentar. Dengan tak semena-mena dia menggeleng-gelengkan kepala tadkala terlihat tindakan sorang lelaki yang melepasinya. Resit bank yang baru diterima daripada mesin dibuang ke jalan, sedangkan ada disediakan tong sampah di sebelahnya.

Dian sedar, betapa canggih sistem yang dicipta sekalipun, takkan memberi makna apa-apa andai pengguna sistem tersebut tak mempunyai kesedaran akan kepentingannya. Slip-slip kertas yang sedia bertaburan sudah tak terkira banyaknya, sampai dah berlambak-lambak.

“Kesian jalan, selalu jadi tong sampah besar bagi mereka-mereka yang kurang berpengetahuan.” bisiknya sendiri, serentak dia membongkok mengutip, mana yang termampu.

 

Dari pintu belakang kedai, dia dapat melihat kelibat insan yang paling bermakna dalam hidupnya itu, ummi yang sentiasa diingati. Walaupun kemana dia pergi, pesan ummi pasti akan dibawa sekali.

“Assalammualaikum ummi. Dian dah balik ni.” tuturnya manja sebelum mendakap tubuh umminya itu dari belakang.

“Waalaikummussalam. Dah balik dah anak ummi? Dian lapar? Kalau lapar naik dulu. Makan, solat lepastu berehat. Ummi ada kerja sikit lagi ni.” arah ummi sambil tangannya masih lagi tekun membersihkan pinggan mangkuk yang bertimbunan.

“Takpalah, Dian tak lapar lagi, nantilah kita naik sekali. Tinggal ni je lagi nak buat? Ada apa-apa lagi yang tak siap?” soal Dian sambil matanya melilar mencari pekerjaan yang boleh dilakukan untuk meringankan beban sebelum dia pasti ada lagi perkara yang belum diselesaikan.

“Ummi, biar Dian bersihkan dekat depan ya.” tuturnya sambil membuka beg kain sandang tepinya yang sudah agak lusuh dan meletakkannya di satu sudut sebelum dia mencapai penyapu yang berada tidak jauh dari situ.

“Dian tak payah, nanti biar ummi yang buat. Dian naiklah dulu, sekejap-sekejap lagi ummi naik.” tuturnya yang sudah hampir menghabiskan tugas-tugas mencuci, tak mahu menyusahkan Dian setelah seharian dihabiskan untuk menelaah pelajaran.

“Takpala ummi, nanti kita boleh naik sekali. Ummi buat kerja kat situ, Dian buat kerja kat sini, barulah cepat siap. Apa yang penting?”

“Kerjasama!” balasnya sambil ketawa, ummi hanya mampu menggelengkan kepala mendengarnya.

“Ummi, daripada tadi Dian tak nampak pun Mak Andak. Mak Andak pergi mana?” soalnya pula kerana sejak sampai kelibat Mak Andak, tuan punya kedai langsung tak kelihatan.

“Mak Andak ke pasar pergi cari barang-barang keperluan untuk esok. Sekolah tadi macam mana? Siu Lin mana? Biasanya kan dia balik sekali dengan Dian?” soal ummi sambil meneruskan kerja-kerja penyentalan.

“Dia ada tuisyen sampai pukul 5 dengan cikgu matematik sebab tu tak dapat ikut balik sekali.”

“Dian kenapa tak ikut sekali?”

“Itu tuisyen berbayar ummi. Cikgu yang biasa buat soalan periksa yang anjurkan. Seminggu 2 kali, dalam masa 3 bulan sampai dekat-dekat nak periksa nanti.” balas Dian sambil menarik kaki kerusi daripada bawah meja sebelum dibersihkannya.

“Kenapa Dian tak begitahu ummi?” soalnya sebelum mengesat tangan pada apron yang dipakai.

“Berapa bayarannya?” tambahnya lagi.

“Kenapa?” soal Dian pula.

“Iyalah berapa? Sempat lagi ke nak daftar?” soal ummi pula sedikit kesal bila memikirkan Dian ketinggalan daripada mengikuti pelajaran.

“RM 200 sebulan.” jawab Dian perlahan sebelum segera meneruskan tugas pembersihan.

“RM 200…” bisiknya di dalam hati sambil mencongak-congak perbelanjaan dengan berhati-hati.

“Takpalah ummi, lagipun Dian tak ada masalah sangat dengan subjek tu.” ucapnya menyembunyikan perasaan kerana dia tak mahu ummi rasa kekurangan. Ummi dah lakukan yang terbaik untuknya dan dia sedar dia tak seharusnya meminta lebih. Serantak ummi terdiam. Dia yang membesarkan Dian dan dia tahu anaknya itu sangat mencintai ilmu. Bila ada kelas tambahan di sekolah pasti tak pernah Dian ketinggalan, tapi kerana tak mahu menyusahkannya perkara tersebut hanya dipendamkan saja.

“Ummi, petang ni pasar malam kan? Kita pergi nak? Dah berapa minggu kita tak jadi pergi. Dian teringin nak makan rangka ayam. Boleh tak ummi?” tuturnya mencadangkan.

“Boleh, lepas Asar nanti kita pergi. InsyaAllah, kalau tak ada apa-apa aral.” balas ummi sebelum bergerak semula ke sinki ditemani perasaan kecewa kerana dirasakan dirinya gagal memberikan yang terbaik untuk anaknya itu.

 

Kalau pergi lepas asar beginilah keadaannya, sesak dan dipenuhi manusia. Pasar malam yang diadakan seminggu sekali itu menjadi tumpuan orang ramai untuk mencari keperluan dan memenuhi keinginan. Mereka turut sama tak ketinggalan memeriahkannya.

Kawasan tempat letak kereta sudah dipenuhi sampai ada yang sanggup meletakkan kenderaan di tempat yang tak sepatutnya sehinggakan menghalang pergerakan kenderaan yang lain. Dian hanya mampu memandang kerana dia yakin benar pasti ada yang bakal meradang.

Dengan memegang lengan ummi, satu demi satu gerai diterokai sehingga sampailah mereka ke gerai Pak Tajul yang menjual kuih apam balik kesukaan semua.

Pak Tajul, tokey apam balik yang menjadi pilihan ramai. Pemurah dengan senyuman dan pandai mengambil hati pelanggan. Kemana saja pergi sentiasa dikunjungi dan mungkin juga sebab kuantiti, biar pun naik harga gula atau bahan apa, harga jualan apam baliknya tetap sama dengan kualiti yang serupa, tapi ada satu je perkara yang dia tak berkenan tentang Pak Tajul ni. Dian jadi tak suka dengan cara Pak Tajul layan ummi.

“Zizah sekejap. Satu kan?” soalnya saat ternampak ummi berdiri dikalangan pembeli-pembeli yang sedang menanti. Kemain manis tersenyum, lebih manis daripada apam balik yang dihasilkannya. Ummi menganggukkan kepala membenarkan dan tanpa berlengah-lengah dia membungkus pesanan sebelum dihulur kepada Dian.

Lambat-lambat Dian menyambut kerana dia memang tak berkenan dengan layanan yang diberikan. Potong barisan kan tak sepatutnya diamalkan, biarpun hanya berkaitan dengan makanan untuk kenalan. Serentak ummi menghulurkan wang belian tapi seperti biasa tetap ditolak oleh Pak Tajul.

“Duitnya.” tutur ummi sambil menghulurkan wang yang berkenaan.

“Takpalah Zizah. Lain kali, yang ni saya bagi.” balasnya sebelum menguruskan dapurnya kembali.

“Tak eloklah macam ni. Ini duitnya. 3 ringgit kan.” tutur ummi sebelum bertindak meletakkan duit itu di atas meja jualan.

“Zizah, saya kata tak payah. Saya dah niat nak belanja.” balasnya pula segera menolak tangan ummi untuk menghalangnya.

“Saya ikhlas. Takpa mungkin lain kali, insyaAllah.” tambahnya lagi. Dian tambah tak selesa melihatnya sedang pembeli-pembeli yang lain hanya tersenyum simpul memerhati.

 

“Dah, semua dah dapat?” soal ummi selesai mereka meronda serata pasar.

“Ummi, Dian lupa tadi. Dian ingat nak makan apam balik kecil, tapi tadi kita beli yang besar je kan?” tuturnya selesai mendapat rangka ayam rangup yang dihajati.

“La…kenapa Dian tak cakap tadi. Takpalah jom kita pergi beli semula.” balas ummi, mahu patah balik ke belakang.

“Ummi, ummi takpa. Biar Dian pergi sorang, lagi cepat. Ummi tunggu Dian kat sini sekejap ya. Sekejap je.” balasnya sebelum dia hilang sampai langsung tak ternampak bayang.

“Nak apam balik kecil 2 ringgit.” pintanya setiba di gerai Pak Tajul.

“Boleh, boleh. Dian tunggu sekejap ya, nanti Pak Tajul bungkuskan.” jawabnya dan seperti biasa dia melebihkan kenalan.

“Ok, dah siap.” tuturnya sambil mengulurkan beg plastik di tangan.

“Ni duitnya. Sekali dengan yang tadi.” tutur Dian.

“Takpa lah Dian, biarlah Pak Tajul belanja.” ucapnya, tetap mengelak untuk menerima bayaran.

“Takpalah, kali ni biar Dian bayar. Dian bayar 5 ringgit, sekali dengan yang awal tadi. Dian beli. Assalammualaikum.” jawabnya sebelum segera angkat kaki. Kata ummi, walau ada harimau sekalipun di dalam hati, tak boleh ditunjukkan sebab itu salah satu asas pertuturan. Biarpun tak puas hati, jangan luahkan dengan cara yang salah, sebalikya simpan ataupun lupakan andai ianya dapat menjaga hati orang lain. Hina tua bila tiada agama, hina bangsa kerana bahasanya.

“Waalaikummussalam. Pak Tajul jual…” balas Pak Tajul perlahan kerana daripada cara Dian memandang sahaja, dia sudah dapat mengagak anak Azizah itu tidak begitu menyukainya.

 

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati