Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 49

Pusara ummi dibersihkan dengan berhati-hati sebelum kediaman abadi itu dipandang dengan penuh mengharap. Berharap agar kehidupan ummi di situ dirahmati dan semoga ummi ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Sudah beberapa kali dia ke situ, tapi perasaannya kekal sama, kerana kesedihannya tetap terasa.

“Ummi, damailah di sana. Azeem janji, Azeem janji dengan ummi, Azeem akan jaga adik. Ummi jangan risau ya. Ummi boleh harapkan Azeem. Insya Allah, Azeem akan pastikan adik bahagia.” tuturnya perlahan sebelum memulakan bacaan ayat-ayat suci sebagai bukti kasih dan sayang pada yang telah pergi.

 

Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran jelas dipendegaran menandakan waktu sudah menghampiri ke subuh hari. Dian sudah bersedia untuk menjalankan kewajipannya. Sambil menunggu, dia beristigfar memohon keampunan Allah. Bunyi pintu yang dibuka berjaya menarik perhatiannya kerana dia pasti jiran barunya itu sudah turut bangun.

“Dia pergi sembahyang subuh berjemaah ke?” duganya sendiri sebelum dia tersenyum senang hati.

 

Hari cuti akan digunakan sebaiknya dan takkan disia-siakan begitu saja. Selesai membasuh baju, dia mula mengemas ruang bilik sewanya pula. Setiap pelosok bilik diteroka dan dibersihkan sebaik-baiknya. Buku-buku yang sedia tersusun di satu penjuru dirapikan seadanya. Biarpun tak mampu untuk menelaahnya lagi, hatinya sudah cukup gembira dengan kehadirannya di situ, malah sebahagian besar dari kandungannya masih diingatinya dan melekat di dalam kepala.

Serentak fikirannyanya merawang, mengingati kenangan waktu bersama rakan-rakan sekolej, Yatt, Jan, Nora dan Rozi yang sentiasa diingati. Dia pasti rakan-takannya itu sudah mula memasuki alam pekerjaan.

“Korang kat mana sekarang? Mesti korang dah lupakan aku kan?” tuturnya setelah sedar sudah terlalu lama mereka tak berhubungan.

Tiba-tiba batang penyapu yang diperbuat daripada kayu jatuh menghempas lantai menghasilkan bunyi yang kuat dan kurang menyenangkan.

“Maaf, maaf.” tuturnya sambil menggigit bibir, takut mengganggu penyewa yang ada di sebelah kerana waktu masih diawal pagi. Mak Andak telah menceritakan segala yang terjadi. Tentang hal kedai dan tentang perihal bilik berkenaan dan penyewaannya. Dia rasa gembira bila mengetahuinya malah dia sangat bersyukur kerana dia telah dibantu lagi kali ini.

Selesai mengemas, dia ke bilik air untuk membersihkan diri. Hajat di hati mahu ke kedai runcit Uncle Ah Sing, untuk membeli barang-barang keperluan yang sudah kehabisan, tempat dia biasa melanggan.

Tudungnya dikemaskan ala kadar kerana biasan wajahnya di cermin tak menggambarkan apa-apa. Penglihatannya sudah terlalu teruk berbanding sebulan yang lalu. Masanya sudah semakin manghampiri dan dia akan hilang penglihatan sepenuhnya sedikit masa saja lagi. Entah esok lusa atau sebulan dua, pasti hidupnya akan ditemani kegelapan setiap masa, tapi selagi dia diberikan peluang, selagi itulah dia mahu menikmati, nikmat cahaya yang sering kali tidak begitu dihargai.

Bunyi tombol pintu yang dibuka menarik minat Azeem yang sedang terbaring di sofa panjang. Segera dia bergerak ke pintu untuk mengetahui apa yang berlaku. Dengan berhati-hati pintu dibuka dan dia dapat melihat Dian  sudah menuruni anak tangga bertemankan tongkat saktinya yang setia berada di sisi sepanjang masa.

“Hish, kemana dia nak pergi tu? Harini kan cuti?” tuturnya perlahan dan seperti selalu, dia pasti tak akan rela membiarkan Dian berjalan tanpa pengawasan.

Lokasi pertama yang dituju Dian adalah kedai runcit uncle Ah Sing, kenalan ummi yang turut dikenalinya rapat, merangkap bapa kepada teman sekolah menengahnya, Siu Lin.

“Hello Dian. Masuk, masuk. Biar uncle tolong. Macam biasa ka?” soalnya pada Dian ketika terpandangkannya di muka pintu kedai.

“Hmm, macam biasa uncle.” balasnya dengan anggukan.

“Dian duduk dulu atas ini kerusi. Uncle pergi ambil barang dulu.” tuturnya sebelum hilang di sebalik rak-rak yang bersusunan di dalam kedai. Azeem turut sama tak melepaskan peluang untuk memboloskan diri. Sambil  membelek-belek barang matanya sesekali mencuri pandang kepada Dian yang berada tidak berapa jauh dari situ. Sengaja dia berlegar-legar, tak mahu menarik perhatian sesiapa, tuan punya kedai terutamanya.

“Encik mau cari apa barang?” soal Ah Sing padanya ketika terpandangkan Azeem yang dilihat seperti tercari-cari barang yang ingin dibeli. Terkejut Azeem dibuatnya, kerana dia sendiri tak sedar bila tokey kedai itu berada di sebelahnya.

“Takpa, saya nak tengok-tengok dulu.” balasnya yang masih terkejut sebelum segera menuju ke rak-rak yang dipenuhi dengan kuih-muih dan biskut.

“Ok, you tengok-tengok dulu.” balasnya berbahasa, sikap seorang perniaga yang berjaya, mengambil tahu tentang keperluan pelanggannya.

“Aiya, apa lagi?” tuturnya pula sambil mencongak kembali barang-barang yang masih ingin dicari sebelum kembali menyambung tugasannya sebentar tadi.

“Uncle, Siu Lin tak ada balik?” soal Dian ingin mengetahui perkembangan sahabatnya itu.

“Tak ada lagi. Dia kata mau sambung terus, habiskan master sekali. Uncle pun tak mau halang, lagi elok kalau dia nak sambung. Selagi dia mau belajar uncle akan sokong.” balasnya.

“Dia memang rajin uncle. Sejak dari sekolah lagi dia memang dah macam tu. Mata asyik kat buku, sebab tu lah kami panggil dia sifu.” kata-kata Dian disambut dengan ketawa daripada Ah Sing, bangga dengan pujian yang diberikan.

“Uncle ada tanya sama dia, tak mahu rehat dulu? Tapi dia kata dia mau belajar lagi. Uncle pun rasa gembira juga. Takpalah, biar dia belajar banyak mana yang dia mau. Apa guna simpan duit kalau bukan untuk anak-anak.” balasnya dengan senyuman. Dian yang mendengar turut sama kegirangan.

“Ok Dian, sudah siap. Ada mau tambah apa-apa lagi?” soalnya pula sambil meneliti semula barang-barang di meja.

“Tak ada rasanya. Cukuplah dulu banyak tu. Nanti kalau dah habis stok, Dian datang lagi. Berapa uncle semuanya sekali?” soalnya sambil mengeluarkan duit kertas yang terdapat di dalam kocek seluar.

“Nanti, uncle kira semua dulu.” balasnya sebelum memulakan pengiraan. Azeem yang berdiri berhampiran segera mengeluarkan sehelai note RM 50 dan menghulurkannya kepada Ah Sing, membuatkan tokey kedai itu menghentikan kerja-kerja mengira. Cepat-cepat dia memberi isyarat tangan menyatakan hasrat untuk melangsaikan bayaran. Belumpun sempat Ah Sing bersuara, Azeem telah meninggalkan mereka.

“Uncle, dah siap kira ke? Berapa?” soal Dian semula berkira-kira mahu membuat pembayaran.

“Dian, itu orang sudah kasi bayar tadi. Dia kasi ini duit.” tutur Ah Sing yang masih terkejut.

“Siapa pulak yang bayarkan?” tutur Dian tak puas hati.

“Aiya, uncle sendiri pun tak kenal sama dia. Itu orang melayu jugak, laki-laki, muda lagi. Baru uncle mau cakap dia sudah jalan. Tapi rasanya bukan orang sini-sini.”

“Kenapa uncle ambil? Dian nak bayar dengan duit Dian.” balasnya kesal, dia tak suka terhutang budi kerana tak mahu membayarnya nanti. Lagipun dia mampu untuk menguruskan halnya sendiri. Kalaupun ada yang ingin membantu, bantulah mereka-mereka yang lebih memerlukan, yang sudah terlantar dan tak mampu berbuat apa-apa misalnya kerana dia masih diberikan kelebihan jika dibandingkan dengan mereka semua.

“Dia kasi ini duit, lepastu dia terus pergi. Uncle pun tak sempat nak cakap sama dia. Habis tu mau buat macam mana sekarang?” soalnya ketika melihat wajah kecewa Dian.

“Tak pun macam ni lah. Uncle simpan jelah duit tu. Kalau dia ada datang lagi, uncle tolonglah pulangkan. Kalau tak ada, uncle bagilah pada orang lain yang lebih perlu.” tutur Dian memberikan penyelesaian.

“Uncle ambil duit ni, Dian nak bayar barang-barang Dian sendiri.” tuturnya lagi setelah berfikir dan mambuat keputusan. Tak betah rasanya mengambil sesuatu terutamanya wang daripada seseorang yang tak dikenali seperti itu, tambahan pula pemberian daripada seorang lelaki sebab dia ingat lagi pesan ummi, jangan biasa makan belanja orang, terutamanya orang lelaki, takut memakan diri.

“Betul Dian tak mahu ambil ini duit?” soal Ah Sing lagi. Tak menyangka Dian berkeras mahu menolaknya.

“Hmm, betul. Uncle tunggu jelah, manalah tahu nanti-nanti dia ada datang lagi. Uncle kiralah yang Dian tu berapa semuanya.” arahnya pula. Bukannya tak mensyukuri niat baik si pemberi, cuma dia tak mahu rasa terbeban sebab barang-barang tu nak buat makan dan dia tak suka dibebani dengan perasaan. Tak seronok rasanya bila memikirkan diri termakan budi sedangkan dia masih mampu menguruskan diri.

“Kalau Dian dah cakap macam tu, uncle tak bolehlah nak paksa. Takpa nanti kalau dia ada datang lagi uncle pulangkan pada dia, kalau tak ini duit uncle kasi sama orang lain, macam yang Dian cakap tadi.” balasnya mengalah.

Azeem yang masih duduk bersandar di luar kedai nyata kecewa. Bantuan yang cuba dihulurkan tak mendapat hasil seperti yang diharapkan. Niat sucinya itu tak berjaya dimengertikan kerana Dian betul-betul seorang yang kuat pendirian.

 

Aimi sedang duduk di meja restoran bersama dengan Azmi. Tempoh pertunangan mereka sudah memasuki tahun ketiga. Sudah lama dia menanti, tapi pelawaan untuk mendirikan rumahtangga tetap belum diterima dan yang paling merunsingkan, bila setiap kali dia mahu membangkitkan isu tersebut, Azmi seperti berusaha untuk mengelakkannya.

“Abang, mak tanya bila…” belumpun sempat dia menghabiskan ayat, Azmi sudah mencelah.

“Nak makan apa? Macam biasa kan? Tunggu sekejap abang ambilkan.” balasnya sebelum segera berlalu ke meja lauk yang tersedia.

Aimi menghela nafas panjang, kerana sekali lagi hasratnya itu tak dipandang. Sejak disahkan buta, begitulah keadaannya. Azmi mula berubah dan tak semesra dulu lagi. Ramahnya hilang, sampai kadang-kadang hati terasa seperti hidup seorang.

 

“Abang, mak tanya bila kita nak langsungkan?” soal Aimi semula kerana dia ingin mencari kebenaran tentang perasaan tunangnya itu supaya dia tak perlu ternanti-nanti. Serentak Azmi yang sedang memandu mengeluh mendengarnya.

“Abang dah berapa kali kita tangguh. Takkan kali ni kena tangguh lagi? Mak ada jumpa ibu, tapi ibu kata abang yang tak bersedia. Betul ke?” soal Aimi lagi, tapi Azmi tetap sunyi.

“Abang betul ke…”

“Kita dah sampai. Hal tu nantilah kita bincangkan. Sekarang kan waktu kerja. Ayu dah tunggu lama, takut lapar pula dia nanti.” balas Azmi sebelum mematikan enjin kenderaan.

“Dah balik?” soal Ayu yang telah tiba di pintu kereta.

“Dah, ini makanan untuk Ayu.” balas Azmi sambil tersenyum senang hati sebelum menghulurkan bungkusan nasi.

“Tapi kan Ayu kata tak payah tadi.” balasnya ingin menolak apa yang diberi.

“Ambil abang belanja.” balasnya pula, tetap mahu membuat jasa.

“Kalau abang dah cakap macam tu, Ayu terpaksa juga terima. Terima kasih.” tuturnya sambil tersenyum sebelum dia menuju ke arah Aimi yang masih berusaha untuk keluar daripada van berkenaan.

“Kak Aimi, biar Ayu tolong.” ucapnya sambil menyambut tangan Aimi yang masih terkial-kial untuk turun.

“Terima kasih. Buat susah Ayu je.” balas Aimi sebelum berjaya menjejakkan kakinya ke tanah.

“Tak ada susahnya la kak, Ayu ikhlas.” balas Ayu, serentak dia membuang pandang ke arah Azmi semula sebelum kedua-duanya tersenyum penuh makna. 

Previous: Bab 48
Next: Bab 50

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati