Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 66

Lapangan terbang sesak dengan penumpang yang turut sama menunggu giliran untuk bergerak ke terminal pelepasan yang disediakan. Dian dan Razif turut berada dikalangan mereka.

Opah juga turut serta untuk menghantar mereka pagi itu. Walaupun sudah ditegah, namun opah tetap berkeras. Alasannya, dia mahu Sofia mendapat lebih banyak masa bersama dengannya dan kerana itu jugalah dia tidak menolak kerana dirinya sendiri masih tak dapat untuk menetapkan hati. Antara kasih pada cinta hatinya itu ataupun keperluan untuk melanjutkan pelajaran.

Haruskah dia pergi sejauh itu? Kenapa Abang Azeem sanggup menghantarnya jauh ke hujung dunia dan kenapa dia harus mematuhinya? Hatinya sudah goyah kembali, malah dia seperti mula meragui diri. Serentak Sofia didakap kemas kerana di benar-benar sudah lemas. Lemas dengan permainan mindanya sendiri, juga lemas dengan pertanyaan yang tak pernah berbalas.

“Adik dengan Opah tunggu sekejap, Razif nak pergi periksa boarding dan loading luggage dulu.” tuturnya sebelum hilang di dalam kumpulan manusia yang lain. Mereka hanya menurut sebelum bergerak untuk mengambil tempat di kerusi yang tersedia.

“Sayang ummi…” ucapnya pada Sofia sebelum mengucupnya mesra kerana masa yang ada sudah tak ada berapa lama sebelum wajah si kecil ditatap penuh kasih. Sofia turut tak ketinggalan untuk membalasnya.

“Kenapa? Hmm? Kenapa…kenapa pandang ummi macam tu?” tuturnya sambil mengangkat muka pada si kecil. Sofia lantas tersenyum dibuatnya. Hatinya bahagia kerana senyuman dan ketawa si manja benar-benar mampu membuatkan hidupnya ceria. Seboleh-bolehnya dia mahu setiap saat yang terakhir, diisi dengan kenangan bersama belahan hatinya itu supaya sedikit sebanyak, dapatlah dijadikan penawar dikala rindu.

“Sayang…kalau ummi tak ada nanti, sayang jangan nakal-nakal. Sayang kena dengar cakap oyang, cakap abi…” tuturnya sambil menghadiahkan kucupan ke pipi.

“Ummi sayang sayang. Sayang sayang ummi tak?” soalnya pula. Serentak dengan itu Sofia tersenyum dan tanpa berlengah tubuh si kecil didakap erat ke dada.

Opah gembira bercampur dengan sedih bila melihat keadaan Dian. Dia gembira kerana tujuan Dian ke sana adalah untuk menuntut ilmu pengetahuan, namun kesedihan tetap takkan dapat untuk dielakkan. Dia turut berkongsi kesedihan yang dirasai oleh insan-insan yang ditinggalkan, Azeem terutamanya. Walaupun sudah dimaklumkan, Azeem tetap tak kelihatan. Opah tahu semua yang Azeem lakukan adalah untuk kebaikan Dian dan bukannya berlandaskan benci, sebaliknya semuanya adalah kerana janji.

“Ummi sayang Sofia.” tuturnya lagi sambil mengusap tubuh si keci lembut. Serentak air matanya menitis di pipi. Opah yang melihat segera menepuk-nepuk bahu Dian untuk mententeramkannya.

“Dian sabar ya. Kita sama-sama minta yang terbaik dari Allah. Kalau ini perkara yang terbaik, insyaAllah, semuanya akan baik-baik nanti.” pujuknya sebelum mendakap tubuh Dian. Dian hanya mampu mengangguk lemah kerana semangatnya kini sudah mula tinggal setengah.

“Opah tahu, semua yang berlaku, atas rancangan Allah. Berkat kehendakNya kita dipisahkan dan berkat kehendakNya juga kita disatukan. Kehidupan sememangnya takkan lekang dari ujian, kerana dengan adanya ujian barulah ada perjuangan, dan perjuangan taklah pernah mudah seperti yang dibayangkan.”

“Tapi percayalah, berkat kesabaran, kejayaan pasti menanti di hujung perjalanan Dian. InsyaAllah.” tuturnya untuk memberikan kekuatan.

“Hmm…terima kasih opah. Terima kasih.” ucapnya perlahan menghargai ilmu yang diberikan.

 

Dian kelihatan semakin gelisah kerana masa dah semakin suntuk. Dia redha, mungkin jodoh mereka belum tiba ataupun mereka memang tak pernah dijadikan untuk kekal bersama. Dia mula takut untuk berterus-terang, bimbang andai permintaannya tak sudi dipandang dan seandainya perkara itu terjadi, pasti dia takkan mampu untuk kembali lagi.

“Adik, kita dah kena bertolak.” ucap Razif tak berapa lama selepas pengunguman dibacakan. Dian masih ternanti-nanti sambil di dalam hati tetap menaruh harapan tinggi, manalah tahu dia datang nanti.

“Betul ke abang Azeem tak datang?” bisiknya sendiri sambil matanya tetap juga memerhati. Bukan mudah untuknya membuat keputusan. Mula-mula tu memanglah, sebab ikut hati. Kalau itulah apa yang Abang Azeem mahu, dia takkan teragak-agak untuk menurut, tapi sekarang kerana ikutkan rasa hidupnya mulai binasa.  

“Dian, kita kena masuk sekarang.” arah Razif semula takut mereka ketinggalan penerbangan.

“O...ok” tuturnya teragak-agak sambil mata tetap juga tercari-cari.

“Kenapa? Dian cari apa?” soal Razif perihatin.

“Tak, tak ada apa-apa.” balasnya pula menidakkan. Razif pantas menggeleng-gelengkan kepalanya kerana dia tahu apa yang Dian mahu.

“Opah jaga diri. InsyaAllah, bila ada masa kami balik.” tutur Razif sebelum menyalami tangan opah.

“Iyalah. Razif jangan lupa jaga diri, jaga Dian dan yang paling penting, jaga sembahyang.” balas opah pula. Sempat juga menyelitkan pesanan, tak mahu cucu-cucunya itu tersalah haluan.

“InsyaAllah opah. Terima kasih kerana mengingatkan.” balas Razif berserta dengan senyuman. Gembira kerana ada yang mahu memberikan peringatan.

“Adik, bagi abang sayang anak buah abang dulu, nanti dah lama tak dapat jumpa dengan dia.” pintanya sambil menghulurkan tangan dan meraih tubuh kecil itu. Satu kucupan dihadiahkan pada bahagian pipi sebelum Sofia diangkat tinggi. Dapat didengari kekehan Sofia yang keriangan kerana anak itu sangat menggemarkan ketinggian. Opah dan Dian turut sama tersenyum melihatnya.

“Opah, Dian pergi dulu ya.” tuturnya meminta restu. Syarifah Rahimah membalas dengan pelukan erat ke tubuh cucu menantunya itu.

“Dian jaga diri kat sana. Nanti janganlah sampai lupa telefon opah kat sini. Tentang hal Sofia, Dian janganlah risau, opah ada, Azeem pun ada. Kami boleh jagakan Sofia. Dian jangan sampai lupa balik nanti, sebab opah dah tak larat nak travel jauh-jauh, lutut ni dah rasa macam nak tercabut.” tuturnya serentak Dian ketawa mendengarnya.

“Ada-ada je opah ni. Takkanlah sampai boleh tercabut.” balas Dian ditemani sisa tawa yang masih ada.

“InsyaAllah opah. Kalau diizinkan Allah, Dian akan balik. Opah pun sama, jaga diri.” tambahnya lagi sebelum mendakap tubuh opah kembali. Tiba-tiba dia seperti ternampak kelibat Abang Azeem berhampiran dengan kiosk yang terdapat disitu.

“Abang Azeem?” bisiknya perlahan beserta harapan yang tinggi bahawa yang dilihat tadi benar-benar adalah realiti.

“Abang, opah, sekejap ya. Dian nak pergi sana. Sekejap je.” tuturnya sebelum meminta diri.

“Ya-Allah, Dian nak ke mana tu? Kita dah lambat ni.” balas Razif menghalang.

“Abang, sekejap je, Dian janji. Dian nak pergi sana sekejap.” jawapnya sebelum melangkah laju untuk memastikan kesangsiannya itu.

 

Sudah agak lama dia menjadi pemerhati. Pengunguman pelepasan yang baru kedengaran membuatkannya pasti Dian akan pergi sebentar nanti. Walaupun segalanya berjalan mengikut apa yang dia sendiri rencanakan namun hatinya tetap juga berasa terkilan.

 

“Assalammualaikum Azeem, kau kat mana?” soal Razif mahu mengetahui kedudukan sahabatnya itu.

“Waalaikumussalam. Aku? Aku…aku ada dekat-dekat sini.” balasnya tersekat-sekat.

“Dekat sini tu kat mana? Kami dah sampai airport ni. Kalau kau nak jumpa adik datanglah. Kesian aku tengok adik, dia macam tak ada hati nak pergi. Betul ke kau nak dia sambung belajar di sana? Kenapa tak biar dia study kat sini? Universiti tempatan pun tak ada kurangnya.” tutur Razif mahu memberikan sedikit cadangan. Dia tak sampai hati melihat Dian berpisah dengan Sofia kerana anak buahnya itu masih terlalu kecil dan dia sangat perlukan kasih sayang daripada umminya.

“Betul ke adik sanggup tinggal kat sini? Betul ke yang dia tak nak pergi? Dia ada cakap pada kau? Tak ada kan.” balas Azeem perlahan tak mahu terlalu menaruh harapan.

“Aku dapat rasa yang dia sendiri mahukan ruang untuk berfikir. Aku dah terlalu banyak lukakan hatinya dulu dan sekarang aku nak beri dia kebebasan. Aku nak tengok dia hidup gembira semula dalam suasana dan kehidupan yang baru. Aku harap sangat kau dapat jaga dia masa kat sana. Biar dia buat keputusan sendiri bila dia dah sedia nanti.” balas Azeem. Walaupun sukar, pemergian Dian tetap akan direlakan.

“Aku betul-betul tak faham dengan cara kau berfikir. Kau kata kau sayang dia, tapi kenapa kau hantar dia pergi jauh-jauh macam ni? Kau betul-betul buat aku pening.” ucap Razif kesal. Dia mula tak dapat memahami cara pemikiran sahabatnya itu.

“Takpalah, kalau kau dah tak nak dia, aku ada. Aku akan jaga dia, sebab apa? Sebab dia adik aku, dan aku satu-satunya wali yang dia ada. Dia akan tetap jadi tanggungjawap aku sampai bila-bila. Assalammualaikum.” ucap Razif marah. Dia kecewa dengan sikap Azeem yang dilihat pengecut, tak mampu mempertahankan haknya sendiri dan tak berani membuktikan cinta, kerana baginya, cinta maknanya bersama. Biar sesusah manapun hidup, dengan berbekalkan cinta sejati, segala dugaan pasti akan dapat diharungi.

Azeem terdiam setelah menyedari sahabatnya itu bukan sahaja kecewa, malah sangat kecewa padanya, tapi keberaniannya hilang entah ke mana. Untuk bersemuka dengan Dian dan untuk memintanya setia? Dirasakan amatlah tak wajar kerana bukan sedikit kesalahan yang pernah dilakukan. Dia malu. Malu untuk menjadi lelaki yang terlalu mementingkan diri dan hanya mengikut kehendak hati.

Apa yang diutamakannya sekarang, Dian mendapatkan dirinya semula. Hidup dengan kenangan dan pengalaman baru dan lupakan segala kenangan pahit yang pernah berlaku. Hidup hanya sekali dan dia mahu Dian mendapat kebahagiannya sendiri. Dia mahu melihat Dian bahagia, biarpun bukan bersama dengannya dan di sisinya.

 

Daripada kejauhan dia dapat melihat Dian sudah mengucapkan salam perpisahan. Serentak jiwanya bercelaru dah tak tentu hala tuju. Mahu ke sana, kakinya tak mampu. Ingin berjumpa, tapi apa yang harus diperkata? Hatinya semakin runsing sebelum akhirnya dia hanya tetap menjadi pemerhati dalam keadaan bisu dan sunyi.

“Dian jaga diri. Abang sayang Dian…” tuturnya perlahan, kerana hanya itu yang dapat dilakukannya, membisik kata cinta. Matanya terasa panas dan dia sudah mula sebak. Kesayuan kuat mencengkam di dada, dingin dan membekukan segenap anggota. Tanpa sedar, langkahan kakinya diatur longlai meninggalkan kawasan lobi lapangan terbang berkenaan, lemah dan tak berdaya.

“Abang Azeem.” sapa satu suara. Sayup-sayup dipendengaran sebelum ditenggelami dengan suara hadiran lain yang memenuhi ruangan berkenaan. Dengan pantas dia menoleh ke belakang, namun hampa kerana sedar dia hanya dibuai anganan semata-mata.

“Abang!” tutur suara itu lagi namun lebih jelas kali ini. Serentak langkah kakinya terhenti bila Dian benar-benar telah berada di hadapannya kini. Dian bertindak untuk mendekatkan jarak antara mereka, sedang Azeem tetap terpaku memerhatikannya.

“Abang, Dian pergi dulu.” tuturnya sambil menghulurkan kedua-dua belah tangan minta keberkatan. Perlahan-lahan salam itu disambut, namun belumpun sempat Dian mengucup tangan itu, tubuhnya terlebih dahulu hilang dalam dakapan Azeem.

Beberapa pasang mata yang menjadi saksi kejadian turut sama memandang kehairanan. Dian mula rasa tak selesa kerana tindakan spontan Abang Azeem itu telah mengakibatkan mereka menjadi perhatian. Tanpa teragak-agak tubuh Azeem ditolak tadkala perasaan malu itu menjelma di jiwa. Azeem akhirnya menyedari bahawa dia bertindak di luar batasan lagi kali ini.

“Dian maaf, Abang Azeem betul-betul minta maaf.” tuturnya menyesali kesalahan diri.

Dalam kedua-duanya sedang leka melayan perasaan, sekali lagi pengunguman pelepasan dibacakan. Azeem makin pasti perpisahan sudah semakin menghampiri dan buat kali yang penghabisan genggaman ke atas jari-jemari Dian dieratkan.

“Abang Azeem, Dian dah kena pergi.” tutur Dian perlahan sebelum mengucup tangan itu kembali.

“Tolong redhakan segala apa yang dah abang beri selama ni, samaada yang Dian sedar atau pun tak…dan terima kasih untuk segala-galanya. Assalammualaikum.” tambahnya lagi sebelum dia akhirnya berlalu pergi.

“Waalaikumussalam…” balas Azeem dan tanpa sedar air mata yang cuba ditahan, menitis juga akhirnya.

Previous: Bab 65
Next: Bab 67

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati