Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 4

Slot rancangan tv yang menyiarkan cerita-cerita klasik lama sentiasa menjadi pilihan, ummi terutamanya, tapi biasalah, kalau rancangan ambil masa dua jam, ummi cuma akan tengok separuh jalan sebab yang separuh lagi ummi sambung dalam mimpi. Dian tersenyum gembira bila melihat mata ummi bercahaya menanti permulaan cerita, serentak idea nakalnya menjelma.

“Oh, cerita ni. Ummi suka cerita ni.” ucap ummi bila wajah hero lama pujaan malaya itu muncul di kaca.

“Dian nak tukar la.” balas Dian sebelum merangkak menuju ke arah tv, sengaja mahu mengacau keseronokan ummi dan mendapat keseronokan sendiri.

“Dian jangan. Ummi nak tengok.” pantas ummi menegah sambil tangannya berusaha untuk menghalang.

“Nak tengok lagi? Rasanya tahun ni je dah tayang dua kali. Taknaklah, Dian nak tengok rancangan lain.” ucap Dian sambil menahan ketawa kerana ummi dah terkena.

“Dian jangan…” tutur ummi sambil cuba menghalang lagi, tapi malang, tangan ummi tak sampai.

“Acah je la…” jawap Dian sambil ketawa kerana tak sanggup membiarkan ummi kecewa. Serentak dia mencapai nota kecil yang terdapat di hujung meja lipat sebelum mengambil tempat di sebelah ummi.

“Dian ni, saja je kan. Suka nak main-mainkan ummi.” balas ummi sebelum menepuk lembut bahu Dian.

“Ummi tulah yang beria sangat. Suka betul ummi tengok cerita ni.”

“Iyalah, ceritanya sedih. Kesian, nanti isteri dia berpisah dengan suami dia sebab raja. Anak raja tu nanti suka pulak pada suami dia sampai raja tu kurung suami dia dalam istana, tak bagi keluar dari situ.” tutur ummi memberi ringkasan cerita berkenaan. Dian hanya mampu senyum. Biarpun sudah acap kali benar dia mendengar, tapi dia tak kisah untuk mendengarnya lagi.

“Lepastu apa jadi?” soal Dian, sekadar mahu ummi memanjangkan cerita.

“Lepastu nanti dia pergi cari suami dia kat istana, pastu akhirnya nanti dapatlah dia balik semula dengan suami dia.” jawab ummi sambil tersenyum, selesai memberitahu cerita.

“Sadakallah hul adzim. Ummi dah tahu dah ceritanya, jadi bolehlah kita tukar tengok tv lain.” pantas Dian membalas sebelum akal jahatnya datang lagi.

“Dian janganlah kacau ummi.” tutur ummi sedikit geram dengan mata yang masih melekat di kaca sedang Dian hanya ketawa.

“Seronoknya…dapat kacau ummi.” ucapnya sebelum menyandarkan badannya semula lalu meneruskan pembacaan di nota kecil berkenaan. Satu demi satu isi-isi penting diulangi supaya mudah diingati sebelum dia kembali leka mengulangkaji.

Suara ummi yang sama-sama mendendangkan lagu gurindam jiwa, lagu tema cerita tersebut berjaya mengalihkan perhatiannya serentak dia menoleh ke arah ummi. Sambil menjahit, ummi bersenandung. Ummi betul-betul nampak tenang sampai hatinya juga terjangkit rasa senang dan tanpa sedar dia tersenyum tanda sayang.

“Rehat sekejap la. Dengar lagu dulu.” tuturnya sebelum bersandar ke bahu ummi.

Satu demi satu bait-bait gurindam yang didengar memasuki benak lalu dianalisa. Cukup sempurna garapannya dan dia pantas menghargai warisan yang ditinggalkan. Gabungan tentang kehidupan, cinta dan perasaan menjadi intipati lagu yang dinyanyikan. Penggunaan ayat yang ringkas dan tepat membuatkan dia mudah memahami apa yang ingin disampaikan.

Seronok bila dengar ummi nyanyi, tapi lagi seronok bila dengar ummi salah nyanyi. Sekali salah ok. Bila masuk kali kedua dia masih juga berusaha untuk menahan diri, tapi bila tiba kali yang ketiga dia dah tak dapat mengawal emosi lagi.

“Hihihi, ummi salah…” tuturnya. Kecil biji mata bila terpaksa menahan ketawa, tapi ummi hanya berdecik tak mahu membesarkan hal-hal kecil.

“Dian ni, kenapa suka sangat kacau ummi?” soalnya bila menyedari dia diganggu lagi.

“Mana ada Dian kacau ummi, kan Dian duduk je senyap-senyap kat sini.” balasnya pula tetap tak mahu mengakui sambil ketawa suka hati.

“Ummi…ummi. Ummi Dian ni kelakar la. Dahlah, dah tak larat Dian nak gelak. Dah penat dah. Adoiyai…sakit perut Dian ni.” tambahnya lagi sebelum mengesat air mata yang turut menjelma.

“Ummi, ummi perasan tak dekat rangkap yang akhir tadi dia kata nak mati kat hujung kuku lepastu nak berkubur kat telapak tangan kan? Apa maksudnya? Macam mana pulak boleh mati kat hujung kuku? Boleh ke nak kubur kat sini?” soalnya sebelum melihat jari dan tangan sendiri kerana dia rasa sukar untuk memahami.

“Bukan maksudnya mati betul-betul. Itu cuma kiasan untuk menunjukkan betapa kuatnya perasaan.” tutur ummi sebelum menghentikan kerja jahitan.

“Perasaan?” soalnya pada diri sendiri sebelum dia pasti dia tetap tak dapat mencari perkaitannya.

“Susah la ummi, Dian tak dapat nak faham. Kenapa mesti dikaitkan kuku dengan telapak tangan?” soal Dian lagi, masih tak dapat membaca makna tersirat rangkap yang dimaksudkan. Kepalanya mula pening kerana dia tak biasa meninggalkan sesuatu masalah tanpa dirungkaikan.

“Cuba Dian gengam tangan, tengok apa yang Dian nampak?” soal ummi pula serentak Dian menurut sebelum dia tersenyum setelah memahami apa yang dimaksudkan.

“Ooo…itu maksudnya. Sentiasa nak dekat dan ada bersama. Wah, hebatnya ummi Dian. Dulu masa sekolah ummi ambil kelas sastera ya? Sebab tu boleh pandai sampai macam ni.” tuturnya sambil mengangguk-anggukkan kepala dan ummi hanya mampu tersenyum mendengarnya.

“Ummi tahu tak ummi, Dian pun nak macam tu dengan ummi. Dian nak selalu dengan ummi. Dian nak melekat je dengan ummi. Dian nak jaga ummi lama-lama.” tambahnya lagi berjanji.

“Selama mana?” soal ummi pula kerana dia tahu hidup takkan selama mana.

“Selama-lamanya, selagi Allah kasi. Sebab ummi tahu tak Dian sayang ummi banyak mana?” tuturnya bersungguh-sungguh.

“Hmm? Banyak mana?” soal ummi, turut sama tertarik ingin mengetahui kebenarannya.

“Banyak ni.” balasnya sambil meraih tangan ummi.

“Satu jari ni, tambah satu jari ni lagi.” jawapnya sambil menaikkan jari telunjuk dan jari hantu ummi sebelum mereka saling berpandangan.

“Lagi? Takkan banyak tu je?” balas ummi tak percaya.

“Cukuplah tu. Satu untuk ummi, yang satu lagi untuk Dian.” jawapnya bersahaja sebelum dia ketawa.

“Malas la ummi nak layan Dian. Baik ummi sambung tengok cerita ummi ni. Dian pergi main jauh-jauh, jangan kacau ummi dah.” arahnya sebelum menyambung tontonannya sambil Dian bergembira kerana agendanya berjaya.

 

Minggu peperiksaan sudah hampir menjelang, tapi entah kenapa kepalanya kerap rasa tak selesa. Muktahir ini dia selalu saja pening. Mungkin kerana bebanan akibat proses latih-tubi yang tak pernah berhenti menjadi penyumbang perkara itu terjadi.

“Ummi, boleh tolong Dian tak ummi?” soalnya saat terlihat ummi melintasinya.

“Dian nak ummi tolong apa?” pantas ummi menjawab.

“Tolong cabut rambut Dian ummi. Kepala Dian rasa pening lagi.” adunya dan tanpa berlengah ummi menjalankan rawatan.

“Dulu ummi sempat belajar dengan kawan serumah ummi, masa kami kerja sama-sama. Bila ummi pening, dia kata dia boleh tolong, tapi kenalah percayakan dia. Mula-mula ummi takut jugak sebab dia kata nak cabut rambut.” tutur ummi sambil mengambil sebahagian rambut sebesar duit 5 sen dan mengurut di bahagian pangkalnya berulangkali.

“Macam mana dengan cabut rambut boleh hilangkan pening, memang pelik bunyinya, tapi bunyi yang keluar masa rambut ditarik lagi buat ummi pelik. Punyalah kuat bunyinya, belepuk-lepuk. Ummi tanya dia, bunyi apa? Dia kata bunyi angin daripada dalam kepala dan lepas semua tu barulah ummi tahu ada cara nak keluarkan angin dari dalam kepala.” tambahnya sambil menyentap kumpulan rambut yang selesai diurut pada kadar serdahana dan serentak dengan itu mengeluarkan angin daripada dalamnya. Kuat dan dalam bunyinya sampai boleh terkejut pihak yang mendengar.

“Kuatnya bunyi. Pening sangat kepala Dian ni. Takpa, biar ummi buat lagi.” tuturnya sebelum meneruskan di bahagian kepala yang lain pula.

“Mujurlah ada ummi, kalau tak entahlah apa yang jadi.” balas Dian saat merasa kepalanya sedikit meringan semula.

“Silap tu. Bukan sebab ummi tapi sebab Allah. Sebab setiap satu ilmu yang kita jumpa, semuanya milik Allah.” balas ummi pula.

“Hmm.” tuturnya mengiyakan.

“Allah, terima kasih.” bisiknya di dalam hati sebagai bukti kesyukuran.

“Ummi kerja apa dulu? Ummi kerja kat mana? Kenapa selama ni ummi tak pernah cerita?” soal Dian, mahu mendengar berita.

“Dulu ummi kerja...” tuturnya tak tahu bagaimana mahu menjelaskan.

“Kat sini dah ke belum? Ada rasa sakit tak?” soalnya sebelum beralih ke bahagian kepala yang lain. Dia mahu segera mengelakkan isu itu kerana tiada apa yang baik untuk diceritakan.

“Belum.” jawapnya serentak dia bersendawa.

“Banyak sangat angin Dian ni.” ucapnya sebelum tangannya menghala ke bahu anaknya itu. Serentak Dian menggeletik terkejut. Segera tangannya diarahkan pada tengkok yang terasa meremang.

“Ummi, Dian suruh cabut rambut, bukan urut.” tuturnya kecewa kerana dia betul-betul tak suka dengan perasaan itu.

“La, kenapa pulak?” balas ummi tak percaya.

“Kan Dian dah kata, Dian geli. Dian tak boleh kalau ummi usik kat situ.”

“Dah tu tak payahla ni?” soal ummi pula mahu menamatkan sesi rawatan.

“Janganlah. Tak siap lagi ni. Ni kat sini, lepastu kat sini.” jawapnya sambil menunjukkan bahagian-bahagian yang lain.

“Kalau nak ummi buat, duduk senyap-senyap.” arah ummi pula.

“Ok, tapi janji, jangan usik kat situ. Dian geli.” tuturnya minta simpati.

“Iya, ummi janji. Cepatlah.” arahnya lagi sebelum meneruskan sesi.

 

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati