Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 40

Azeem bersandar lesu di bangku tempat duduk. Setelah selesai mengekori Dian, dia kembali semula untuk mendapatkan keretanya yang ditinggalkan di situ sambil masih berusaha untuk menerima keadaan Dian. Hatinya benar-benar terluka dan sengsara bila memikirkannya.

Bukan saja Dian kehilangan ummi, malah dia juga telah kehilangan penglihatannya?

Tak pernah dia menjangka semua itu telah menimpa Dian, dan apa yang Razif lakukan? Sanggup Razif membiarkan Dian berseorangan begitu? Perasannya bercampur baur antara sedih dan kecewa. Sedih melihat Dian yang seorangan berjalan di khalayak tanpa teman, kecewa kerana dia langsung tak tahu-menahu tentang keadaan semasa Dian.

Dalam masa kurang setahun Dian sudah menjadi buta? Entah apalah sebenarnya yang berlaku sampai Dian boleh jadi seperti itu. Kepalanya sudah sesak dengan persoalan yang tak pernah ada jawapan. Ingin ditanya kepada Razif, tapi dia tak tahu bagaimana mahu memulakannya, kerana bukankah ini hasrat Dian, mahu kembali semula ke tempat asalnya untuk menyambung kehidupan yang ditanguhkan?

“Azeem, apa yang kau dah buat pada dia? Kau punca dia hilang segala-galanya.” tuturnya sebelum menggenggam kuat stereng kereta untuk melepaskan kekesalan yang mambadai jiwa.

“Kau yang buat dia merana. Kenapalah teruk sangat perangai kau Azeem. Kau memang tak guna!” tuturnya sambil meraup muka dengan kedua-dua belah tangan sebelum menyembamkannya ke atas stereng kenderaan.

“Tapi kenapa Razif? Kenapa kau sanggup sembunyikan perkara sebesar ini daripada aku? Aku suaminya. Aku berhak tahu.” tuturnya lagi, sedih kerana kewujudannya seperti tak memberi makna, hanya suami atas nama, namun tidak pada kewajipannya.

“Ya-Allah, bantulah aku Ya-Allah…bantu aku untuk menjaganya. Ampunkan aku…aku yang bersalah.” doanya minta dipermudahkan segala urusan sebelum kelopak matanya terasa panas dan kebasahan.

 

Setelah tiba di rumah, Azeem segera menyiapkan beg pakaian. Dia sudah tak rela lagi membiarkan Dian sendiri tambahan pula bila mengetahui tentang keadaannya sekarang. Dia sudah membuat keputusan untuk menjaga Dian, biarpun secara senyap-senyap dia sanggup, kerana dia ingin memastikan keselamatan Dian.

Dia tak mahu sesuatu yang tak baik berlaku pada Dian. Dalam keadaan seperti itu, segala kemungkinan boleh berlaku terutamanya sewaktu berjalan seorang diri, bukannya boleh pasti. Dia takut Dian diapa-apakan nanti. Hatinya jadi runsing semula bila memikirkan kebarangkalian yang mungkin terjadi.

“Opah tolong Azeem, tolong jagakan Sofia untuk Azeem.” pintanya sambil menggenggam kemas tangan opah yang baru datang menghampiri.

“Azeem nak ke mana? Tu, kenapa bawak beg sekali? Azeem nak ke mana sebenarnya ni?” soalnya bimbang. Dia tak tahu apa yang terjadi pada cucunya itu. Baru saja sampai, dah bergegas nak keluar semula, siap dengan beg sekali.

“Azeem dah jumpa dia opah. Azeem dah jumpa Dian.” balasnya dengan senyuman sebelum menggenggam erat tangan opahnya itu. Hatinya lega kerana akhirnya dia tak perlu lagi bersoal jawab tentang ke mana Dian menghilangkan diri.

“Kalau dah jumpa, bawalah dia balik. Dia ada dekat mana sekarang? Dian ada dekat mana? Jom kita sama-sama pergi jemput dia. Azeem tunggu sekejap, opah nak bersiap.” tutur opah sebelum bergerak ke biliknya, namun dengan pantas Azeem menghalang.

“Tak opah, tak. Belum sampai masanya. Azeem tak rasa yang dia akan ikut kita balik sebab kalau dia nak balik, mesti dia dah balik sejak dulu lagi.”

“Dia masih ada di KL, tapi kenapa dia tak pernah balik? Dah dekat setahun dia pergi opah, tapi sekalipun dia tak pernah datang ke sini, kenapa?”

“Sebabnya dia memang dah tak nak balik. Dia masih marahkan Azeem. Semuanya salah Azeem opah. Azeem punca dia hilang segala-galanya. Azeem buat dia tak dapat jumpa dengan ummi. Azeem ni opah, semuanya salah Azeem.” tutur Azeem sambil menepuk dadanya kesal. Airmatanya sudah mula bergenangan. Dia telah menghancurkan kehidupan Dian, seorang adik yang pernah dikasihinya dulu, kini isteri yang sentiasa dirindu. Dia rindukan Dian, rindu setengah mati kerana cintanya telah tertinggal bersama isterinya itu.

“Dah la, jangan cakap lagi. Perkara dah lepas. Tak guna Azeem nak salahkan diri sendiri. Apa rancangan Azeem sekarang? Azeem dah fikirkan cara untuk bawa Dian balik?” soal opah mahu mengetahui perancangan cucunya itu sambil membalas gengaman di tangan.

Dia mahu melihat Azeem dan Dian bersatu semula lebih-lebih lagi bila mengetahui kebenaran tentang Dian, anak Azizah jiran lamanya itu. Dia bersyukur kerana dapat bertemu semula setelah berpuluh tahun mereka tak bersua. Biarpun Azizah sudah tiada, dia mahu menyambung ikatan tersebut dan Dian seperti kurniaan dari yang Esa. Kehadirannya tak pernah dijangka, namun sangat terkesan dijiwa dan jasanya melahirkan Sofia takkan dapat dilupakan sampai bila-bila.

“Azeem akan cuba betulkan semuanya opah. Opah doakan Azeem. Doakan supaya Azeem dapat pujuk dia dan bawa dia balik semula ke sini. Opah tolong Azeem ya, tolong jagakan Sofia untuk Azeem.” pintanya lagi. Dia tahu opah mampu menjaga Sofia dengan baik kerana dia sendiri merupakan anak didik opah. Didikan dan ajaran opah lengkap, cuma dia yang terleka. Dia berazam untuk berubah dan tak akan mengulangi kesilapan yang sama lagi, demi semua insan yang dikasihi dan demi janjinya pada arwah ummi.

“InsyaAllah, Azeem tak perlu risau tentang Sofia. Azeem tu, nanti jangan lupa telefon opah. Opah pun nak tahu apa yang jadi.” balasnya memberikan galakan. Dia percaya Azeem akan berjaya dalam usahanya itu kerana Allah sesekali takkan mengecewakan hambaNya. Usaha dan tawakkal, merupakan azimat keramat yang takkan dapat ditandingi oleh apa-apa. Itulah pegangannya selama ini dan hasilnya telah terbukti. Allah sentiasa ada, penuh dengan kasih sayang dan DIA takkan sesekali membuat hambanya menangis.

“InsyaAllah opah. Azeem tak akan lupa. Opah, projek di Langkawi tu dah boleh mula minggu depan. Yahya akan uruskan semuanya, opah tak perlu risau. Apa-apa hal Azeem dah minta dia forward terus pada Azeem. Azeem minta jasa baik opah untuk uruskan syarikat. Azeem minta maaf sebab terpaksa susahkan opah semula.” tuturnya menghargai segala pengorbanan opah selama ini.

“Takpa, hal tu biar opah uruskan. Apa yang paling penting sekarang Dian, tapi ingat, jaga diri. Kalau Azeem perlukan apa-apa bantuan bagitahu opah. InsyaAllah, biar kita usaha sama-sama.” balasnya sambil menepuk-nepuk bahu cucunya itu. Dia sedar Azeem sudah banyak berubah dan itulah perubahan yang sangat dinanti-nantikannya selama ini. Sekarang Azeem sudah matang dan mampu menilai sesuatu dengan lebih baik berbeza dengan dirinya yang dulu.

“Terima kasih opah. Terima kasih kerana sokong Azeem. Opah dah banyak sangat berkorban untuk Azeem. Azeem janji dengan opah, Azeem akan cuba betulkan keadaan. Azeem pergi dulu opah. Doakan Azeem berjaya.” ucapnya sebelum mengucup dan mendakap tubuh opah untuk mengambil keberkatan.

 

Hari ni masuk hari ketiga dia memulakan operasi menjadi pengawal peribadi tak berbayar Dian. Seawal jam 8 pagi dia sudah terpacak di kedai makan tersebut untuk bersarapan terlebih dahulu sebelum memulakan tugasannya untuk melindungi Dian. Jadual harian Dian juga sudah sebati dengan jiwanya. Tak banyak yang Dian lakukan kerana hari-harinya hanya berkisar tentang rumah dan tempat kerja. Habis kerja, Dian singgah di kedai makanan panas Cik Zainab sebelum pulang ke rumah. Begitu sajalah aktiviti yang dijalankan Dian setakat ini. Tak ada perubahan sejak hari pertama dia bertugas.

Azeem mula berfikir untuk mendekati Dian, tapi dia tak tahu bagaimana caranya. Kalau terus terjah, dia takut Dian jadi tak selesa, malah mungkin emosinya akan terganggu nanti. Senyuman yang sentiasa dipamer di wajah itu terasa amat berharga untuk dibunuh. Senyuman manis yang sentiasa dirinduinya sepanjang tempoh mereka berjauhan. Senyuman tanda kasih sayang, ikhlas dan suci tanda rela, bukannya terpaksa.

Surat khabar yang berada dihadapan hanya dipandang, tak seperti kebiasaanya. Kalau dulu, perkara pertama yang dicari di awal pagi adalah ruangan akhbar untuk mengetahui maklumat dan berita-berita semasa, tapi kini keterujaan itu berkurangan kerana ingatannya hanya ada Dian.

“Assalammualaikum…” tutur Dian yang baru tiba di kaunter depan. Azeem cepat-cepat menyembunyikan wajahnya di sebalik surat khabar, takut kehadirannya diketahui Dian, sungguhpun tahu Dian tak dapat melihatnya, namun perasan gementar tetap juga terasa. Perlahan-lahan dia memerhatikan Dian semula setelah sedar yang dia hanya dihantui perasaan.

“Waalaikumussalam. Kak Dian dah siap? Akak tunggu sekejap, Udin ambilkan bekalnya.” balas Udin sambil bergegas ke dapur. Azeem turut membalas salam yang diberi sebelum mencuri pandang ke arah Dian semula.

Wajah Dian yang penuh dengan kejujuran betul-betul membuatkan hatinya tersentuh. Senyuman yang tak pernah diperlihatkan dihadapannya dulu, kini dapat dijamu semahunya tanpa perlu diminta. Dian nampak sangat cantik di matanya. Serentak hatinya berbunga ceria kerana kehadiran Dian terasa mendamaikan jiwa.

Jika diizinkan, mahu saja rasanya dia mendakap tubuh itu dan membelainya seperti waktu dulu, tapi dia tak mahu mengulangi kesalahan yang sama. Keinginannya serta kehendak Dian berbeza dan sesekali dia takkan memaksa. Azeem sedar Dian hidup bahagia di situ, dikelilingi kenalan-kenalan yang mengambil berat tentang keadaan dirinya.  

“Kak Dian, bekalnya. Jangan lupa makan. Biar cepat gemuk sikit, tapi… bahaya pulak nanti, ramai pula yang datang mengorat. Takpalah kak, biarjelah kurus macam ni, dah ok dah ni. Senang hati Udin tengok.” tuturnya dengan senyuman, sengaja mahu beramah mesra.

“Udin ni kan, dahlah malas akak nak layan. Akak gerak dulu. Assalammualaikum.” balasnya sambil menggeleng-gelengkan kepala. Udin ketawa suka, tanpa menyedari ada sepasang mata sedang memerhatikannya dengan perasaan yang kurang selesa.

“Kak Dian, ingat ya. Jalan tu elok-elok, jangan sampai jatuh, sebab kalau jatuh kena bangun sendiri, Udin tak ada nak tolong nanti.” pesannya dan seperti selalu Dian hanya tersenyum mendengarnya.

“InsyaAllah. Akak pergi dulu, terima kasih untuk bekal ni. Assalammualaikum…” ulangnya lagi.

“Waalaikumussalam. Akak jaga diri.” pesan Udin semula, tak penat mengingatkan.

“Iya, insyaAllah.” balas Dian yang sudah mula membuka langkah. Serentak Azeem yang hanya memerhati sejak tadi turut sama bergerak pergi. 

Previous: Bab 39
Next: Bab 41

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.