Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 64

Perkarangan tanah perkuburan yang luas terbentang membangkitkan perasaan keinsafan yang tak mudah untuk dijelaskan. Perhentian terakhir manusia di dunia sebelum diri dibangkitkan semula. Tempat persemadian ummi, merangkap tempat tinggalnya juga satu ketika nanti. Dian tersenyum gembira saat pusara ummi terdampar di hadapannya kerana sudah terlalu lama mereka tidak bersua.

“Assalammualaikum…ummi, Dian dah datang ni.” tuturnya perlahan sebelum mengusap batu nisan yang terpahat utuh di bumi.

“Ummi, Dian rindu ummi…” tambahnya lagi dan tanpa dipaksa air matanya mula bergenang kembali.

“Tapi nanti, Dian mesti lagi rindu dengan ummi, sebab Dian dah nak kena pergi.” tambahnya lagi serentak dia menyeka air mata sebelum memulakan bacaannya. Perjalanan kehidupan ada kalanya tak dapat diduga, kerana tiada siapa yang mengetahui dengan pasti apa yang bakal menanti.

 

Selesai melepas rindu di pusara, Dian menuju pula ke rumah sewanya. Perancangan hari ini adalah untuk menziarahi Mak Andak sekeluarga, tak dilupakan Kak Ira dan Abang Saiful yang sudah terlalu banyak menabur jasa padanya, untuk mengucapkan salam perpisahan kerana mereka akan hidup berjauhan. Masa yang dia ada sudah tak ada berapa lama dan lusa dia akan berangkat ke Kanada bersama-sama dengan Abang Razif yang bakal pulang menjemputnya.

Abang Razif telah memaklumkan rancangan perjalanan itu kepadanya beberapa hari lalu dan dia perlu menyelesaikan semuanya terlebih dahulu. Benarlah kata orang, hutang budi dibawa mati dan tak tergamak rasanya pergi tanpa memaklumkan kepada mereka sendiri kerana kalau bukan sekarang, entah bilalah mereka dapat bersua kembali.

“Assalammualaikum…” ucapnya dengan senyuman. Mak Andak yang sedang sibuk mengemas perkakas di dapur segera menjengah ke ruangan tengah sebelum dia turut sama tersenyum gembira.

“Waalaikumussalam…Udin Kak Dian datang ni.” tuturnya pada Udin yang kebetulan baru tiba setelah selesai membeli keperluan barangan perniagaan.

“Iyalah tu. Mana? Mananya?” jawabnya acuh tak acuh sedang tangannya tekun memunggah barang-barang yang berkaitan.

“Mana Kak Dian? Mak saja nak tipu Udin lagi kan? Macam hari tu? Mak ingat Udin tak tahu? Udin takkan mudah terpedaya dah.” tambangnya lagi kerana sudah acap kali dia diakali dan kini dia sudah lali.

“Ish budak ni. Tak percaya pulak dia. Tu, yang di depan tu siapa? Orang cakap betul-betul, dia kata kita main-main.” balas Mak Andak. Udin hanya tersenyum mendengar, namun percaya takkan sekali kerana sudah terlalu kerap dia diperdaya.

“Iyalah tu…” balasnya tetap tak mahu mempercayai, sedang tangan dan mata tetap juga sibuk dengan pekerjaannya.

“Assalammualaikum Udin…” tutur Dian sambil menuju ke arah keduanya.

“Waalai…waalaikumussalam..” jawapnya tak percaya tadkala matanya menyaksikan kehadiran Kak Dian.

“Betullah mak, Kak Dian!” tambahnya lagi. Gembira kerana sudah terlalu lama mereka tidak berjumpa.

“Tulah, orang tua cakap, bukan nak percaya. Kan mak dah cakap tadi.” balas Mak Andak pula dan Udin hanya mampu tersengih mendengarnya.

“Manalah Udin tahu, ingat mak nak main-mainkan Udin lagi.” balasnya suka hati.

“Akak datang sorang je ke? Akak naik apa tadi?” soal Udin tak mahu ketinggalan.

“Jom kita bersembang kat depan. Udin ni, hari-hari asyik tanya tentang Dian. Dah rindu sangat katanya.”

“Udin buatkan air untuk Kak Dian.” arah Mak Andak pula.

“Kak Dian tunggu jap, biar Udin buatkan air special untuk akak. Best in the town. Dua minit.” tuturnya sebelum hilang di sebalik dinding diganti bunyi gelas berlaga tanda ada yang bekerja.

“Makan ya? Dian nak makan apa? Takpa, Dian duduk dulu, biar Mak Andak sediakan.” tambahnya lagi sebelum menuju ke arah meja makanan. Dian bahagia kerana sudah terlalu banyak kasih sayang yang diterima daripada mereka sekeluarga.

 

Kunci yang berada di tangan digenggam erat. Dia bersyukur kerana berkat usaha Mak Andak mencari, dia akhirnya mendapat kunci simpanan untuk bilik sewanya itu. Kuncinya sendiri? Kali terakhir yang dia ingat, dia telah meninggalkannya di atas meja di ruang depan sebelum segala yang tak dijangka itu berlaku.

Peristiwa yang berlaku antara dia dan Abang Azeem lama dulu pantas menerjah di benaknya, sebelum dia segera menggeleng-gelengkan kepala, tak mahu terlalu memikirkan, tak rela kenangan itu membebankan fikiran.

“Biarkan Dian. Jangan fikir tentang dia dah. Lusa kau dah nak bertolak. Tolonglah fokus, fokus. Ingat, fokus. Lagipun ini yang dia nak kan.” bisiknya sendiri, sebelum menarik nafas untuk menguatkan diri.

Tadkala pintu bilik dibuka, matanya tertangkap pada tompokan-tompokan gelap yang terkesan diatas lantai. Setelah diamati, rupanya kesan tapak kaki. Serentak dia beristigfar di dalam hati setelah mengetahui apa yang terjadi.

“Abang Azeem...” ucapnya sebelum terduduk menginsafi diri. Demi keselamatannya, Abang Azeem yang tercedera. Paling mendukacitakan, dia langsung tak mengetahui apa-apa, sebaliknya lelaki itu dihambus sesedap rasa.

“Tapi abang dekat mana? Kenapa abang langsung tak datang jumpa Dian? Kenapa abang sanggup hantar Dian pergi jauh-jauh? Kenapa?” tambahnya lagi yang sudah terduduk ke lantai.

“Abang...Dian minta maaf.” tuturnya sebelum menyentuh tompokan darah yang kekeringan.

 

 Kepalanya ditoleh ke kiri dan ke kanan sambil meneliti barangan-barangan yang diperlukan. Beberapa helaian baju kurung kepunyaan ummi, turut sama dibawa untuk menjadi penguat semangat. Begitu juga beg kain hadiah ummi semasa pertama kali dia melanjutkan pelajaran ke universiti. Memang dah lusuh di mata, tapi sentiasa mampu membuatkan hati berasa bahagia dan sesekali ianya takkan ditinggalkan begitu saja.

“Ummi…” bisiknya perlahan sambil mengusap lembut potret gambarnya bersama ummi sebelum mengucupnya syahdu. Satu-satunya potret kenangan yang ada di dalam simpanan, tempatnya melepas rindu.

“Dian rindu ummi.” tuturnya lagi sebelum mendakapnya erat. Biarpun sudah mengunjungi pusara ummi awal tadi, namun rindunya tetap bermukim di hati. Terlalu sukar rasanya untuk dia mengawal hati dan selagi ada nyawa di badan, selagi itulah ummi takkan mampu untuk dilupakan. Buat seketika dia lemas di dalam ombak rindu yang tak tentu bilakan surutnya. Ini baru sehari, sedang pengajiannya memakan tempoh bertahun nanti. Serentak dengan itu dia mula meragui diri sendiri.

“Boleh ke kau bertahan Dian? Ya-Allah boleh ke aku bertahan?” bisiknya sendiri sebelum menyembamkan mukanya ke arah meja.

Sambil melepaskan perasaan, pandangannya sempat tertumpu pada sampul surat putih bersaiz A4 yang terdapat di situ.

“Sampul apa? Siapa punya? Kau punya ke? Tapi bila?” tuturnya hairan sebelum menelitinya lagi. Sepengetahuannya tak pernah pula dia memiliki sampul surat berkenaan, rasanyalah. Serentak isinya dikeluarkan, sebelum dia terpaku tadkala mengetahui kandungannya.

“Kenapa benda ni boleh ada dekat sini? Siapa yang isi? Kenapa ada nama kau dekat surat ni?” tuturnya lagi sebelum dia dapat menyimpulkan apa yang sebenarnya terjadi.

“Ini mesti kerja Abang Azeem lagi.” tuturnya yang mula rasa kecewa. Hatinya bertambah tak tenteram. Kenapa semua urusannya sentiasa ada perkaitan dengan lelaki itu. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu, pantas jam yang tergantung di dinding dipandang.

“Udin masih ada kat bawah lagi rasanya. Dia mesti tahu tentang hal ni.” bisiknya. Dia segera perlukan jawapan kerana hatinya sudah terlalu sarat dengan persoalan.

 

“Udin, sini kejap.” tuturnya perlahan sambil menggamitkan tangan minta bantuan. Udin yang sedang mengemaskan kerusi segera mendapatkan Kak Diannya itu.

“Kenapa kak Dian? Dah siap? Akak dah nak balik? Jomlah, biar Udin hantarkan ke stesyen.” tuturnya menawarkan bantuan.

“Udin, belum, akak tak siap kemas lagi. Akak cuma nak tanya. Akak rasa Udin mesti tahu tentang hal ni.” balasnya sambil menghulurkan sampul surat tersebut kepada Udin yang jelas kehairanan.

“Apa bendannya ni kak? Surat apa?” tuturnya sangsi kerana dia sendiri tak pasti apa yang terjadi sebelum dia terkebil-kebil sambil menggaru kepala tanda hilang kata-kata.

“Kenapa Udin tak pernah bagitahu akak selama ni? Sampai hati Udin rahsiakan perkara penting macam ni daripada akak? Udin kenal dia kan? Udin kenal Abang Azeem?” soal Dian setelah dapat mengagak apa yang terjadi.

“Maaflah Kak Dian. Bukannya Udin sengaja, tapi abang Azeem yang minta Udin rahsia. Dia kata dia takut nak jumpa akak, dia takut akak marah. Bila Udin tanya kenapa, dia kata dia dah banyak buat salah pada akak. Dia tak berani sebab dia takut kak Dian lari lagi.” ucap Udin penuh penyesalan. Menyesal kerana terpaksa berbohong selama ini.

“Akak tahu tak yang sebenarnya kita dah kena pindah dari sini, tapi Abang Azeem sempat beli daripada Pak Ramli. Udin tahu akak sayang sangat dekat bilik tu kan, sebab tulah kami tak sampai hati nak beritahu awal-awal.”

“Mak dengan ayah kata nanti lepas dapat tempat baru, baru bagitahu, tapi akak tahu tak, masa ayah sibuk cari tempat baru, masatulah abang Azeem datang. Pelikkan, kena pulak masanya.” tutur Udin menerangkan. Dia sendiri masih teruja setiap kali mengingatkannya. Siapa sangka perkara seperti itu akan terjadi, tapi itulah bukti Allah itu ada dan DIA sentiasa mengetahui segala yang terdetik di hati kita.

“Udin ingat lagi, masa Abang Azeem minta no telifon Pak Ramli. Masa tu Udin sendiri pun tak dapat fikir apa yang dia nak buat, tapi tak berapa lama lepastu barulah Udin tahu, Syed Azeem Zulkarnain, dah beli kedai ni. Dia minta ayah untuk kosongkan bilik kat sebelah akak tu sebab dia nak sewakan pada orang. Orang tu dialah rupanya. Mesti akak tak perasan abang Azeem tinggal kat situ kan?” tambah Udin lagi. Dia gembira kerana dapat menyaksikan sendiri pengorbanan seorang suami pada seorang isteri. Dian yang mendengar terpaku kerana perkara yang langsung tak pernah difikirkan itu berlaku.

“Abang Azeem duduk dekat situ? Macam mana aku boleh tak perasan? Dian, kenapalah serabut sangat hidup kau ni?” bisiknya di dalam hati. Kepalanya semakin pening memikirkan segala-galanya. Perihal hubungan mereka, Sofia yang bakal ditinggalkan, urusan pengajian yang harus dijalankan dan semuanya itu perlu dibuat keputusan.

“Ya-Allah, berikanlah aku petunjuk. Bantulah aku Ya-Allah kerana aku hanya seorang hambamu yang lemah.” tambahnya lagi sebelum beristigfar di dalam hati.

“Kak Dian marah Udin ke?” soal Udin bila melihat kesunyian Kak Diannya itu. Dian hanya mampu menggelengkan kepala kerana dia sendiri sudah tak tahu apa lagi yang mahu ditanya. Semuanya telah terjawap dan segala kesangsian telah terungkap.

“Daripada apa yang Udin nampak kan kak, dia macam sayang sangat dekat akak. Setiap pagi dia makan sarapan kat sini, sambil tunggu akak datang. Lepastu dia yang hantar akak sampai kedai Kak Ira. Setiap hari, tak pernah miss dia hantar akak.”

“Dia parking kereta kat depan ni, lepastu jalan kaki sama-sama dengan akak sampai sana. Petang pulak, dia guard akak dari kedai Kak Ira sampailah ke sini semula. Akak mesti tak perasan kan?” tutur Udin lagi kerana sudah terlalu banyak perkara yang disimpan.

“Patutlah akak rasa macam ada orang ikut akak selama hari ni. Apa lagi yang Udin simpan daripada Kak Dian? Mak dengan ayah tahu ke tentang hal ni?” soal Dian kecewa setelah satu demi satu rahsia diketahuinya.

“Mak dengan ayah pun tak tahu, cuma Udin sorang je. Akak marah Udin ni kan? Akak janganlah marah. Akak tak kesian kat Udin ke? Udin bukan sengaja.” balasnya merayu. Takut dileteri kedua orang tuanya itu.

“Tahu pulak takut. Takut mak dengan ayah marah?” soal Dian pula. Udin pantas mengangguk.

“Kalau macam tu, akak nak Udin ceritakan apa yang Udin tahu dari mula sebab akak nak tahu semua.” arah Dian.

“Ok, Udin cerita, tapi bukanlah kat sini. Kalau kat sini, nanti mak dengar.  Kalau mak dengar, ayahpun mesti tahu. Kalau dah semua tahu, masaklah Udin.” balasnya perlahan tak mahu menarik perhatian. Serentak mak yang sedang berurusan di dapur dijeling. Lega. Mak masih sibuk membasuh periuk belanga.

“Selamat!” bisiknya di dalam hati.

“Tak pun macam ni, akak tunggu kat tangga, sekejap lagi Udin datang. Udin nak settelkan sikit je lagi. Kita sambung bincang kat situ. Nanti Udin ceritakan semua, dari A, b, c sampailah ke z, boleh?” cadang Udin pula.

“Ok, akak tunggu.” balas Dian sebelum menuju ke tempat yang dijanjikan. 

Previous: Bab 63
Next: Bab 65

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati