Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 54

Langkahan kakinya diatur berhati-hati menuruni anak tangga yang sudah menjadi kebiasannya itu namun masih perlu beringat, takut menerima akibat. Esok ulangtahun pemergian ummi buat yang pertama kalinya. Sedar tak sedar sudah setahun ummi pergi, tapi kenapa dia rasa macam baru semalam semua itu terjadi? Biarpun kedukaannya sudah sedikit terubat tapi kesedihannya tetap juga sama.

Mungkin benarlah kata cerdik pandai, harimau mati meninggalkan belang dan manusia meninggalkan nama. Bila setiap kali nama ummi disebut, semua kenangan tentangnya turut datang menyambut. Segala bakti dan kasih sayang ummi tetap akan bersemi, teguh dan kekal menemani, buat penawar hati yang ditinggalkan sendiri. Sepatah ungkapan keramat itu takkan dapat dilupakan sampai bila-bila kerana hanya ummilah kesayangannya.

“Ummi, Dian nak bagi hadiah pada ummi. Ummi terima tau. Memanglah tak banyak sangat, tapi hanya ini yang Dian mampu buat…”

“Dian sayang sangat dengan ummi, sayang sangat. Dian tak puas lagi hidup dengan ummi. Ummi tunggu Dian kat sana, nanti Dian datang ya.” bisiknya pada diri sendiri untuk memujuk hati kerana hanya dengan mengingati ummi semangatnya dapat dikuatkan kembali.

“Assalammualaikum.” tuturnya yang sudah berada di kaunter kedai makan milik Mak Andak itu. Udin yang sedang membersihkan meja segera bertindak mendapatkan Kak Dian.

“Akak duduk kat sini. Udin dah bersihkan tadi.” tuturnya sambil memimpin tangan Dian lalu membawanya ke meja yang dimaksudkan.

“Mak, Kak Dian datang ni.” teriak Udin pada Mak Andak yang sedang membersihkan perkakasan di dapur. Bunyi periuk belanga yang berlaga dapat didengari sampai ke dalam kedai. Dian dapat membayangkan situasi itu kerana itulah tugas utama ummi dulu.

“Kejap, ada sikit lagi. Udin buatkan air untuk Kak Dian tu.” arahnya pada Udin yang sedang melepaskan lelah di bangku.

“Iya tak ya, Udin lupa la… Kak Dian, macam biasa kan? Horlick ais. Akak tunggu sekejap ya, Udin buatkan.” tuturnya sebelum hilang di sebalik dinding konkrit, tempat kerja Pak Samad, cuma Pak Samad yang tiada kerana dia sudah ke pasar mencari bahan-bahan yang diperlukan untuk perniagaan mereka. Dian ingin menolak, tapi tak sampai hati mahu menidakkan kebaikan yang ingin diberikan.

“Udin, buatkan mak air sekali boleh?” tutur Mak Andak pada Udin yang sedang sibuk membancuh air.

“Mestilah boleh? Macam tak biasa? Mak nak air apa?” soalnya pula.

“Apa-apa jelah, yang penting tak nak ais. Nanti bertambah sakit lutut mak ni. Buat suam-suam je ya.” pesannya lagi.

“Ok boss, siap.” balasnya dengan senyuman.

“Siap apanya, buat pun belum lagi.” tutur Mak Andak sebelum dia menuju ke arah Dian, manakala Udin fokus pada perkerjaan.

“Dian dah makan? Nak makan nasi? Ada baki lagi sikit ni. Kejap ya, Mak Andak sendukkan.”

“Mak Andak tak payah la susah-susah. Dian sebenarnya ada nak bincang benda Mak Andak ni. Makan tu nanti-nantilah.”

“Dian nak tanya dengan Mak Andak. Mak Andak boleh tolong Dian?” ucapnya. Dia memang perlukan bantuan dan hanya merekalah satu-satu tempat dia mendapatkan pertolongan.

“Boleh, Dian nak Mak Andak tolong apa? Dian cakap, insyaAllah Mak Andak akan cuba usahakan.” balasnya sebelum melabuhkan punggunggungnya di kerusi yang terdapat di hadapan Dian.

“Esok ulangtahun ummi. Cepat betul masa berlalu, sedar tak sedar dah setahun ummi pergi. Dian ingat, Dian nak buat majlis tahlil untuk ummi, sekali dengan abi. Mak Andak boleh tolong Dian? Dian tak tahu macam mana nak uruskan.” balasnya perlahan, sedar yang dia takkan dapat melakukannya sendiri.

“InsyaAllah boleh. Dian nak buat kat mana? Nak buat dekat rumah ke dekat masjid? Kalau nak buat kat rumah, boleh buat dekat rumah Mak Andak. Kena sangat tarikhnya sebab esok kan khamis malam jumaat. Biasanya malam esok ramai yang ke masjid, sebab ada ustaz yang beri ceramah, jadi lebihlah sikit jemaah. Kalau nak buat di rumah, lepas solat Isyak kita ajak ramai-ramai ke rumah. Baca yasin dan tahlil lepastu baru makan.” terang Mak Andak berkongsi maklumat.

“Tapi nanti kalau buat kat rumah, susahkan Mak Andak, nak kemas rumah lagi. Takpa kita buat kat masjid teruslah, mudah sikit rasanya.” balas Dian setelah membuat keputusan. Dia tak mahu membebankan Mak Andak lagi, kerana sudah terlalu banyak ihsan yang telah diberi.

“Mana ada susahnya, kenapalah Dian cakap macam tu. Kita buat kat rumah ya, buat kat rumah Mak Andak.” pujuknya pula.

“Takpalah, kali ni kita buat kat masjid dulu. InsyaAllah tahun depan, kalau umur Dian panjang, kita buat kat rumah Mak Andak pulak. Lagipun dah lama Dian tak ke masjid, dah rindu rasanya nak ke sana nak sembahyang jemaah sama-sama.” balasnya perlahan.

Kenangan semasa bersama ummi kembali lagi. Sama-sama berjalan kaki menyusuri koridor rumah kedai yang berderetan untuk menunaikan solat maghrib dan isyak secara berjemaah di masjid bila berkesempatan. Seronoknya kehidupan saat itu, terasa mahu kembali semula dan kekal di situ selamanya. Hidup bertemankan ummi, ummi dan ummi lagi. Hanya ummi, kerana ummilah sahabat sejatinya. Serentak kelopak matanya sudah mula terasa panas kembali.

“Kalau Dian dah cakap macam tu, Mak Andak tak nak paksa. Iyalah, tahun ni kita buat kat masjid dulu, tapi tahun depan kita buat dekat rumah Mak Andak. Dian dah fikir apa yang nak dimasak?” soalnya pula.

“Dian sendiri pun tak tahu nak masak apa. Itulah yang Dian datang nak bincang dengan Mak Andak ni. Nak kena masak sendiri ke atau beli je, yang mana satu lebih baik?” soalnya minta pendapat.

“Dua-dua pun boleh, ikut Dianlah, tapi bagi Mak Andak eloklah kalau kita sediakan sendiri, dapat sedekahkan tenaga sekali. Nak mudah kita hantar nasi ayam. Lagipun budak-budak memang suka makan nasi ayam. Kalau kita masak sendiri, boleh kita lebihkan lauknya nanti. Macam mana?”

“Dian ikut yang mana baik je Mak Andak. Dian nak tolong, tapi Mak Andak sendiri tahu macam mana keadaan Dian. Apa yang Mak Andak rasa baik, baik jugalah bagi Dian. Ini ada duit untuk belanja kenduri tu. Ada RM 500, cukup ke tu Mak Andak?” tuturnya sambil mengulurkan sehelai sampul surat yang tersimpan didalam poket seluar sukannya itu.

“Ish, tak payah, berduit-duit. Biar Mak Andak sedikan semuanya. Dian simpan duit tu, guna bila perlu.” balasnya sambil menolak pemberian Dian itu.

“Taknaklah macam ni Mak Andak. Dah lama Dian simpan duit untuk buat tahlil ni. Bagilah Dian gunakan duit ni untuk ummi. Dian teringin sangat nak buat kenduri untuk ummi dengan duit Dian sendiri, lagipun duit Dian ada lagi. Alhamdulillah, sentiasa cukup untuk Dian. Mak Andak ambillah ya, guna buat beli barang-barang nanti, tapi cukup ke banyak tu? Kalau tak cukup Dian boleh tambahkan lagi.” ucapnya sambil mengeluarkan beg duitnya pula.

“Dah dah, ini pun dah terlebih cukup. Mak Andak ambil RM 100 je, yang selebihnya ni Dian ambil balik.” tutur Mak Andak sambil menghulurkan semula sampul duit tersebut ke tangan Dian.

“Mana cukup tu Mak Andak. Takkan RM 100 je, Mak Andak ambillah semuanya.” balas Dian sambil menghulurkan semula sampul tersebut kepada Mak Andak.

“Dah cukup dah ni yang lebihnya tu Dian ambil balik Mak Andak tak nak. Dian gunalah untuk tujuan lain.”

“Tapi Mak Andak…”

“Tak ada tapi-tapi lagi dah. Nanti sebelum Maghrib, Mak Andak datang jemput Dian, lepastu kita sama-sama ke masjid. Hal masak-memasak ni biar Mak Andak yang uruskan. Dian tak payah risau, Udin dengan Pak Andaknya ada, biar kami yang sediakan semuanya.” tuturnya tegas. Dian sedar yang dia takkan dapat membantah lagi.

“Air siap.” tutur Udin yang baru datang dengan tiga gelas air di tangan.

“Kak Dian, makan ya. Nak nasi berlauk ke nasi dagang? Sorilah, nasi kegemaran akak tu sold out hari ni.” tambahnya lagi sambil menanti jawapan daripada Dian.

“Nasi berlauk pun boleh, tapi ada sambal belacan lagi tak?” soalnya yang sudah mula mengaku kalah. Biarpun Mak Andak tak mahu menerima semuanya, duit yang selebihnya itu akan digunakan untuk tujuan yang lain nanti.

“Mestilah ada, mana lengkap nasi kita tanpa sambalnya? Nanti Udin letak banyak sikit untuk akak ya.” tuturnya sambil mencapai pinggan.

“Terima kasih.” balas Dian sambil tersenyum.

“Kacang je tu. Mak pun makan nasi berlauk?”

“Bolehlah tu, tapi jangan banyak sangat.” pesannya.

“Ok boss. Don’t worry, be happy.” balas Udin. Dian terhibur mendengarnya.

 

Mereka sama-sama menunaikan sembahyang Maghrib secara berjemaah dengan penuh tekun dan khusyuk. Setiap satu kalimat yang dibacakan imam terasa terkesan di hati, walaupun tak mengetahui semua maknanya, tapi cukup untuk menenangkan jiwa. Perasaan penghambaan itu muncul dengan sendirinya tanpa perlu dipaksa. Terasa lemah diri dihadapanNya dan itulah juga matlamat, kerana sembahyang merupakan tanda penyerahan diri seorang hamba pada Tuhannya.

Selesai sembahyang, Ustaz Mun memulakan ceramahnya sementara menanti waktu Isyak. Intipati ceramah hari ini berkisarkan tentang kepentingan iman dalam kehidupan. Iman ibarat permata dan ia perlu ditempa dalam proses pembikinannya. Tanpa tekanan yang tinggi, permata pasti takkan dapat diperolehi. Begitu juga dengan iman, tanpa dugaan, ketetapan iman sukar untuk dicapai.

Sejarah islam sendiri telah membuktikan segalanya. Kepayahan dan kesukaran yang ditanggung oleh pejuang-pejuang Islam dalam menyebarkan agama yang dimulakan oleh Rasulullah dan disusuli oleh kalifah-kalifah terulung sebelum Islam akhirnya berjaya mencapai zaman kegemilangannya. Buktinya agama Islam telah tersebar luas di seluruh pelusuk dunia hingga menjadi agama yang paling utama.

Itu adalah faktanya, tapi sedih bila memikirkan keadaan umat islam yang terus-terusan dikuasai kerakusan untuk mencari kejayaan. Mereka sanggup melakukan apa saja asalkan hasrat mereka tercapai. Siri peperangan dan kematian seperti tidak ada kesudahannya. Paling menyedihkan, mereka saling menumpahkan darah saudara-saudara sendiri, tanpa langsung ada tanda-tanda untuk berhenti. Entah untuk selama mana lagi, dia sendiripun tak pasti, kerana hanya Allah yang Maha mengetahui.

 

Azeem memanjangkan lehernya, namun yang dicari-cari tetap juga tak dapat ditemui. Sudah agak lama majlis berakhir malah dia juga sempat menjamu selera dengan juadah yang disediakan. Memuaskan hati dan lebih daripada mencukupi biarpun hidangan yang disediakan ringkas. Udin menghampiri Azeem yang masih setia menanti, serentak tangannya mendarat di bahu rakannya itu.

“Ha, buat apa tu?” tuturnya perlahan, tak mahu perlakuan mereka disalah ertikan.

“Ya Allah, Udin ni. Terkejut abang tahu tak? Kot iya pun, berilah salam dulu.” marah Azeem sambil berbisik, sedar sebarang tindakan yang kertelaluan akan menarik perhatian daripada jemaah-jemaah lain yang masih belum selesai berurusan.

“Abang tu lah, daripada tadi Udin tengok, abang tak habis-habis usha Kak Dian. Nak risau apa?”

“Tu, tu abang nampak tak mak Udin kat hujung sana dengan Kak Lela, maksudnya Kak Dian mestilah ada sama kat situ, jadi nak risau apanya? Lagipun kita kan kat masjid, takkanlah ada orang yang nak buat perkara tak baik. Relak la.” tuturnya sambil tersenyum. Azeem membalasnya ala kadar kerana kebimbangannya tetap ada.

“Udin dah sudah? Kalau dah jom balik.” tutur satu suara daripada arah belakang, mematikan perbualan keduanya. Pak Samad dan Haikal yang baru selesai menjamu selera berjalan beriringan menuju ke arah mereka.

“Dah dah. Ayah, ni kawan Udin, namanya Abang Zul. Abang Zul ini ayah Udin dan yang kat sebelahnya tu Abang Haikal, anak Kak Lela.” balas Udin segera memperkenalkan semua. Azeem segara menundukkan kepala sambil menghulurkan tangan tanda pengenalan dan disambut Pak Samad, menghargai ikatan persaudaraan yang dihulurkan sebelum turut sama disambut Haikal.

“Kawan Udin? Orang mana? Budak sini ke? Tapi macam tak pernah tengok sebelum ni? Anak siapa?” soal Pak Samad pula, serentak Azeem dan Udin berpandangan kerana tak tahu mahu menjawap yang mana dulu.

“Kawan baru Udin. Abang Zul baru lagi pindah sini. Udin kenal masa dia makan kat kedai, tu yang jadi kawan. Ayah balik dulu boleh? Udin nak lepak dengan Abang Zul sekejap. Kejap-kejap lagi Udin balik.” balasnya segera mahu mematikan perbualan.

“Iyalah, tapi jangan lambat sangat. Hari dah malam ni. Kalau macam tu ayah balik dulu. Assalammualaikum.” tuturnya sambil membuka langkah menuju ke arah Mak Andak yang telah bersedia untuk berangkat pulang.

“Waalaikumussalam.” balas Azeem dan Udin serentak sebelum mereka saling berpandangan sesama sendiri.

Haikal yang masih berdiri tetap juga memerhati. Dia sangat mengenali lelaki itu kerana sudah kerap kali mereka bertemu. Matanya masih kekal di situ, mencari jawapan pada kesangsian fikiran. Azeem mula tak selesa, cepat-cepat dia memalingkan muka.

“Ke mana kita?” soal Azeem seraya membuka langkah kerana dia sendiri tidak mempunyai rancangan yang selanjutnya. Udin menjongketkan bahu sebelum menggeleng-gelengkan kepala kerana dia juga mahu segera menjauhkan diri daripada Haikal yang sudah mula kelihatan sangsi.

“Takpalah, kita pergi tempat biasa.” balas Azeem sebelum mereka segera angkat kaki.

Previous: Bab 53b
Next: Bab 55

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati